7/31/2013

Yes I Love You 47



Yes, I Love You – Bab 47

Di tempat makan Teratak Rimbun pagi itu, pelanggan tidak begitu ramai. Tidak seperti waktu tengah hari, pasti ramai warga yang bertandang untuk mengisi perut yang bergendang. Dia dan teman akrabnya mengambil tempat duduk di bahagian luar berdekatan dengan akuarium yang menempatkan ikan-ikan emas.

Sebentar lagi, mereka perlu menemui klien. Jadi, kesempatan yang ada digunakan untuk bersarapan dahulu. Izz hanya memandang Zikri makan kerana dia sudah pun kenyang. Dua pinggan kuey teow goreng penangan Hasya dihadapnya sebelum keluar tadi. Walaupun gadis itu tidak banyak bercakap dengannya tetapi tugas sebagai isteri tidak diabaikan langsung. 

“Zik, aku nak batalkan kerjasama kita dengan Thaqif. What say you?” Lancar Izz bersuara. 

Bihun sup yang sedang dihirup Zikri berhamburan. Dia tersedak. “Whyyy...? Projek tu takde problem, kan?” 

Izz membuang pandang ke arah sekumpulan remaja yang sedang bergelak ketawa. Mereka seolah-olah berada di dunia sendiri tanpa menghiraukan orang lain. Pada mereka, zaman remaja perlu diisi dengan keseronokan semata-mata tanpa memikirkan natijahnya pada masa akan datang.

“Memanglah takde cuma...” Kata-katanya tergantung tanpa tali. “Aku tak berapa berkenan dengan Thaqif.”

Zikri menyedut nescafe aisnya. “Kenapa pulak? Atas dasar apa kau tak suka dia? Terlalu kacak? Terlalu kaya? Terlalu kelakar? Terlalu... terlalu apa lagi, ye?” Zikri membilang personaliti yang ada pada Thaqif dengan jari jemarinya.
 
“Zikri, stop it!” Jelingan maut sudah dipanah.

Zikri tersengih. “Kau kena ingat, Izz. Nak tarik diri bukan semudah yang disangka. Company kena bayar 50% gantirugi. Kau tentu tak nak company papa kau rugi, kan?” 

Izz mengangguk. “Sudah semestinya, tapi...” Agak sukar untuk Izz meluahkan apa yang terbuku di hati kecilnya.

Zikri menghirup semula bihun supnya yang masih berbaki. Hanya kuahnya yang tinggal, bihunnya sudah habis dihadam Zikri. “Tapi apa? Kelakuan kau pelik laa hari ni... Izz. Apa yang sebenarnya berlaku? Share dengan aku.”

Pandangannya jatuh pada ikan-ikan emas yang sedang bebas berenang di dalam akuarium. Bebas berenang tanpa sebarang kekangan. Soalan Zikri dibiarkan sepi. Perlukah semua masalahnya dikongsi dengan Zikri? Bukankah membuka pekung di dada akan memalitkan aib ke muka sendiri? Akan tetapi, semakin lama hal itu dipendam, semakin hatinya karam. 

“Hmmm...!” Satu helaan nafas yang panjang dilepaskan. “Entahlah Zik. Aku tak tahu nak mula dari mana.”

“Tak tahu? Nak aku ajar, tak? Macam ni... kau start dengan A, diikuti B, C dan seterusnya kau susun sampailah ke Z.” Zikri melawak. Cuba memancing gelak Izz tetapi lelaki itu mempamerkan muka bosan.

“Zik... this is not funny!” Ah, sudah! Izz marah!

“Amboi, garangnya dia! Nak bergurau pun takleh?” Zikri ketawa kecil. Izz menjuihkan bibirnya ke bawah. “Okey! Back to the topic! Apa halnya yang buat kau sasau?” Zikri memperkemas duduknya. Dia buat muka serius. 

Tawa Izz berderai. Mimik muka Zikri menggeletek hatinya. Zikri menjelingnya. Masa dia buat lawak, Izz buat muka tak ada perasaan. Bila dia mula serius, lelaki itu mentertawakannya pula. 

Jam di tangan dikerling sekilas. “Jom gerak! Kang lambat pulak!”

“Eh, dah nak pergi? Mana story the mory?” Zikri turut bangun apabila Izz mula melangkah.

“Tungguuu...! To be continue!” Izz ketawa. 

“Aci pulak macam tu?” Zikri menepuk dahi. Dia mengambil telefon bimbitnya lalu mula menapak.

“Encik, bil tak bayar lagi.” Bahunya disentuh dari belakang. Seorang pelayan membawa bil di atas dulang lalu disua kepadanya. 

Zikri terkebil-kebil. Bil itu dipandang sepintas lalu tanpa mengamatinya dengan betul. “Owhhh! Sorry!” Senyuman separuh manis dikupas. Not RM10 dikeluarkan lalu diletakkan di dalam dulang. “Keep the change.” Dia melangkah semula.

“Encik...” Pelayan itu mengejar langkahnya. “Jumlahnya tak cukup.”

“Hah? Tak cukup?” Zikri melihat semula bil tersebut, RM19.90. Sekeping lagi not dengan nilai yang sama dikeluarkan. “Dik, duit bakinya adik ambik. Abang ikhlas walaupun sikit.” Zikri masih sempat mengusik. Alamak! Malunya orang nampak! 

Pelayan itu tersenyum. Pelanggan sentiasa betul walaupun kepalanya sedikit biul. Hal itu sudah termaktub di dalam ‘undang-undang’ perniagaan. Walaupun pelanggan membuat onar, peniaga mesti sentiasa bersabar. Biarpun hati geram tetapi jangan menyimpan dendam.

Gara-gara mahu cepat, Zikri lupa melunaskan bayaran makanan dan minumannya. Dia semakin kelam-kabut setelah Izz meninggalkannya. Dia pasti menerima bebelan percuma dari Izz kalau dia membiarkan ketuanya itu menunggu lebih lama di dalam kereta. Zikri berlari anak ke arah Izz yang sudah tersedia menanti di dalam kereta.

Satu lagi urusniaga berjaya ditarik masuk ke kantung Izzfar Empire Holding. Gandingan mantap dua peneraju mudanya telah meyakinkan klien untuk memberikan hak pembinaan kepada syarikat itu. Sejak masuk ke kereta, senyuman tidak lekang dari bibir Zikri sedangkan Izz hanya memaniskan muka sewaktu sesi urusniaga berjalan. Selebihnya, dia lebih suka diam.

Zikri memang perasan akan perubahan yang berlaku pada Izz tetapi dia tidak bertanya lanjut. Baginya perihal orang lain tidak perlu dikorek melainkan empunya badan sendiri mahu membuka mulut. 

Mereka selesai berurusan pada waktu tengahari. Izz bercadang untuk belanja Zikri makan tengahari di sebuah restoran mewah sebagai meraikan kejayaan mereka berdua memperolehi sebuah lagi projek bernilai jutaan ringgit. 

“Zik, restoran mana yang paling best kat sini?” Soal Izz sambil matanya melilau mencari kelibat restoran yang sesuai untuk disinggah.

“Izz, alang-alang kau dah lalu area ni... kita lunch kat rumah aku jelah. Lagi pun, waktu Zohor dah dekat, boleh solat sekali.” 

“Eh, mana boleh! Aku makan banyak, nanti tak cukup lauk. Lagi pun, menyusahkan mummy kau pulak.” Izz ketawa. 

“Mummy aku akan lebih susah kalau... kau tak datang makan. Mummy dah masak banyak lauk.” Zikri tersengih.

“Maksud kau?” Izz melihat sekilas ke arah Zikri. Jalan raya yang agak sesak memerlukan dia memandu dengan cermat.

“Mummy dah tau kau nak datang.” Zikri sengih lagi. Dia sempat menelefon ibunya supaya menyediakan makanan lebih kerana dia akan membawa Izz makan tengah hari di rumahnya. Wanita itu pula sangat gembira untuk menerima kunjungan Izz.

“Patutlah kau bersunguh ajak aku singgah. Padahal dah buat persediaan awal.” Izz ketawa kecil. Zikri memang suka buat perancangan di luar pengetahuan orang. 

Izz berfikir sejenak. Tidak elok pula kalau dia menolak ajakan Zikri sedangkan ibu sahabatnya itu sudah pun menyediakan juadah untuknya. Jika tidak habis nanti, terjadilah pembaziran. Hasratnya untuk belanja Zikri makan di restoran mewah akan ditunaikan pada hari lain.

Izz tidak jadi berhenti di persimpangan lampu isyarat. Dia mengambil selekoh kiri. Caldinanya diperlahankan apabila memasuki simpang kanan ke taman perumahan elit yang didiami oleh golongan mewah seperti Zikri. Setelah melepasi empat buah banglo, sampailah mereka ke rumah Zikri. Pintu pagar automatik terus terbuka sebaik Caldina Izz tiba. 

Seorang perempuan separuh abad terjengul di muka pintu. Izz menyalami tangan ibu Zikri sejurus masuk ke dalam banglo itu. Sudah lama dia tidak bertemu dengan wanita itu. Dahulu, dia sering ke rumah Zikri bila ada masa lapang.

“Maaflah, aunty. Izz tak sempat nak beli buah tangan. Last minute baru Zik cakap nak datang sini.” Izz terasa segan pula apabila bertandang ke rumah orang dengan tangan kosong.

“Takpelah, Izz. Aunty tak kisah.” Ibu Zikri tersenyum. 

“Lain kali kau datang, jangan lupa bawak buah tangan... buah hati pun kau bawak sekali. Kira ganti hutang kau hari ni. Betul tak, mummy?” Zikri ketawa.

“Ishhh..! Zik ni, suka sangat merepek. Izz, jangan pedulikan dia.” Cubitan singgah di perut Zikri.

“Aduhhh...! Bisa sungguh!” Muka Zikri berkerut. 

Izz hanya ketawa melihat telatah anak beranak itu.

Selesai makan, Izz mengimamkan solat Zohor. Seketika kemudian, Zikri mempelawa Izz ke bilik kerjanya. Ruang kerja Zikri lebih kecil jika hendak dibandingkan dengan bilik kerja Izz. Walaupun ruang kerja Zikri padat dengan pelbagai bahan berkaitan kerjanya tetapi ianya tersusun rapi. Tidak padat. Tidak berselerak.

“Izz, kebetulan kau dah ada kat sini. Aku nak tunjuk lakaran awal yang aku dah buat untuk projek kita kat Damansara.” Zikri membuka laptopnya lalu suis dinyalakan.

“Awalnya kau buat. Projek tu lagi tiga bulan, kan?” Izz mengambil replika helikopter hiasan yang terdapat di atas meja kerja Zikri lalu diperhatikannya.

Correction! Tiga bulan sepuluh hari.” Zikri tersengih. Jari jemarinya pantas menaip kata laluan untuk membolehkannya mengakses laptopnya.

“Eleh, tu pun nak berkira?” Izz mengelewehkan bibirnya. “Cepatlah, mana lakarannya?” Jam di dinding dijeling. Masih ada 43 minit sebelum mereka perlu berada di pejabat.

“Kau ambil sketch book berkulit hijau yang ada atas meja kecil tu.” 

 Izz membongkok sedikit untuk mengambil sketch book yang dimaksudkan. Dia membelek helaian pertama. Matanya dibuka besar-besar. Helaian seterusnya dibelek-belek lagi. Kurang percaya dengan pandangan matanya sebentar tadi, dia perlukan sebuah kepastian.

“Zikriiii...! Apa semua ni?!” Jeritan Izz bergema memenuhi ruang bilik itu. Sketch book yang masih terbuka dihempas kasar di atas meja kerja Zikri.

Zikri tersentak. Dia mendongak ke arah Izz dengan cepat. Lelaki itu mencerlungnya tajam. Tangan sudah dicekak di pinggang. 

“Izz...! Please... let me explain.” Zikri bangun dari kerusi. Dia cuba menyabarkan Izz yang sudah berapi suhu amarahnya. Bila-bila masa sahaja laharnya boleh meletus.

“Cakappp! Kenapa kau edit gambar Hasya? Kenapa kau print gambar dia?!” Tubuh Zikri ditolak kasar. Lelaki itu terduduk semula di kerusinya.

“Sabar Izz. Aku cuma jadikan dia model untuk aku mahirkan diri dengan Adobe Photoshop.” Tenang suara Zikri. Dia cuba mengawal keadaan yang semakin tegang.

“Baik kau mengaku! Jangan tipu aku!” Pekikan Izz bergema lagi. Leher baju Zikri sudah dicekak kuat. 

“Aku berani bersumpah,  Izz. Aku tak ada niat lain.” Zikri mengangkat tangan tanda bersumpah. 

Izz melonggarkan genggaman tangannya di leher baju Zikri. “Penipu! Kenapa ada tulisan Zikri love Hasya?” Satu tumbukan tepat mengenai pipi kiri Zikri sebelum Izz melarikan diri.

Zikri tunduk. Pipinya yang terasa sakit disentuh berhati-hati. Kemudian, dia menyentuh hujung bibir kirinya pula, ada sedikit darah disitu. Zikri mengeluh. “Izz, maafkan aku.” Tuturnya perlahan.



Eriyza :  Perang meletus lagi. Adakah kali ini Hasya juga yang akan dihakimi?? Ada sesiapa mahu penulis pos bab 2 kali seharikah?? Just kidding. 
 

7/30/2013

Yes I Love You 46


Yes, I Love You – Bab 46

Sejak pulang dari lapangan terbang tambang murah, Hasya berkurung di dalam bilik. Dia hanya turun sewaktu menghidangkan makan malam buat Izz. Dia cuma menjamah tiga suap nasi sedangkan Izz berselera benar sewaktu meratah siakap masak stim. Dia menunggu Izz selesai makan sebelum mengemas meja dan membasuh pinggan. Lelaki itu sedikit pun tidak menghiraukan dia yang lebih banyak memandang dari makan.

Mata dipaku pada filem Who Am I? lakonan Jackie Chan yang disiarkan di stesen percuma. Sesekali kedengaran gelak tawa Izz apabila aksi Jackie Chan yang memegang peranan utama membuat aksi lucu. Akibat terlalu banyak ketawa, tekaknya terasa kering. Dia perlu membasahkan tekak.

“Hasya..! Buatkan aku air.” 

Mata masih tidak lepas dari kaca televisyen. Hampir beberapa minit menunggu, air yang dipesan belum juga sampai. Dia mulai berang. Tekaknya menjerit minta minuman.

“Sya...! Kau dengar tak? Aku suruh kau buat air!” Pekiknya sekali lagi.

Senyap sunyi. Tiada jawapan dari Hasya. Dia hanya bercakap sendirian. Dia bingkas bangun. Langkahnya menuju ke dapur. Kosong, tiada orang di situ. Dia mencari pula di sekitar tingkat bawah itu, tiada juga. 

“Ke mana pulak perginya budak Hasya ni? Sini takde... sana pun takde.” Dia membebel sendirian.  

Dia kembali ke dapur. Malas hendak membancuh minuman. Sudahnya dia mengambil sebotol susu segar lalu dibawa ke ruang tamu. Dia meneruskan tontonannya yang masih belum habis tayangannya.

Walaupun dia seronok melayan filem itu tetapi dia sedikit gelisah apabila kelibat Hasya langsung tidak dilihatnya. Matanya terarah kepada kaca televisyen tetapi ingatannya melayang kepada Hasya.

Dia tidak senang duduk. Remote control dicapai, televisyen ditutup. Dia menghayun langkah ke tingkat atas. Pintu biliknya dibuka kasar. Dari luar pintu, dia melihat katilnya kosong. Dia menggaru kepala. Mengapa Hasya tiada? Sudah hilangkah dia?

Dia melangkah masuk ke dalam bilik. Pandangannya meliar 360 darjah di dalam bilik itu. Akhirnya, pandangannya jatuh pada ‘suspek’ yang dicari.

“Ada pun kau. Owhhh... tidur, ye?!” Izz menghampiri Hasya yang kelihatan seperti sedang tidur di atas settee

Dia bercekak pinggang. Benar sangkaannya, Hasya tidur lena sekali. Ada sisa air di tubir matanya, tentu dia menangis lagi. Izz tunduk melihat tangan kanan Hasya yang melecur. Sudah dua kali krim antiseptik disapu. Kesan merahnya masih ada walaupun tidak semerah siang tadi. Mungkin sehari dua lagi kesan merah itu beransur hilang. 

Izz duduk di sisi Hasya. Wajah Hasya direnung lama. Ternyata gadis itu terlalu cantik walaupun dalam tidurnya. Izz mengangkat tangan kanannya, dia ingin mengelus-elus pipi mulus isterinya. Sebaik tangannya hampir pada pipi Hasya, dia membatalkan hasrat tersebut. Pasti Hasya terjaga kalau dia berbuat demikian.

Izz perasan Hasya memeluk sesuatu. Izz teringin tahu gerangan apakah yang dipeluknya. Dia cuba menarik ‘barang’ tersebut tetapi gagal. Pelukan Hasya terlalu kuat. Dia mengalihkan tangan Hasya dengan berhati-hati. Dia tidak mahu Hasya terjaga. Gadis itu bergerak sedikit apabila tangannya disentuh. Akhirnya dia dapat menarik ‘barang’ itu sepenuhnya dari pelukan Hasya.

Ianya adalah bingkai gambar berukuran 6R. Izz hanya melihat gambaran bingkai gambar itu dari belakang tetapi darahnya sudah mendidih. Sukar untuk dibayangkan tindakannya nanti, apabila wajah sebenar di sebalik bingkai gambar itu terpampang di ruang mata. 

“Tak guna! Tak dapat jumpa depan mata, kau peluk gambarnya pula!” Izz melempar bingkai gambar itu ke dinding. Lantunan bingkai gambar menimbulkan bunyi bising apabila jatuh ke lantai. Hasya terjaga. Terkejut dengan bunyi kuat yang mengganggu lenanya.

“Bangun..! Perempuan tak guna!” Lantang suara Izz. Bahu Hasya digoncang kuat.

Hasya terpisat-pisat. Dia menggosok-gosok matanya yang terasa pedih, mungkin kerana dia menangis terlalu banyak sebelum tidur. Matanya sekejap pejam, sekejap celik. Masih mamai! Keadaan diri Hasya mengundang kemarahan Izz.

“Heyyy..! Aku kata bangun!” Lengan kiri Hasya dicengkam kasar. Dia memaksa gadis itu berdiri. Hasya terkedu. Lengannya terasa sakit.

“Lepaslah... sakit!” Cengkaman tangan Izz cuba dileraikan tetapi gagal. Tenaga lelaki itu cukup kuat. Hasya tidak mampu menandinginya.

“Owhhh..! Dah pandai melawan, ye? Siapa ajar kau? Thaqif?!” Sebelah lagi tangannya mencengkam lengan kanan Hasya pula. 

“Apa abang merepek ni? Lepaslah..! Sakit, tau?” Hasya meronta-ronta minta dilepaskan. Namun, cengkaman tangan Izz semakin kuat. 

“Kau cakap aku merepek?!” Kau tidur sambil peluk gambar kekasih kau, itu... kira munasabah?!” Cengkaman tangannya dilepaskan lalu gadis itu ditolak menjauh.

Tolakan Izz membuatkan Hasya tergerak sedikit ke belakang. Hasya melihat kedua-dua belah lengannya. Cengkaman jari Izz yang kuat menyebabkan kulitnya bertukar merah. Siang tadi, tangan kanannya disirami dengan kuah laksa penang yang panas. Belum pun kesan melecur itu hilang, Izz menghadiahkan pula kesan merah di kedua-dua belah lengannya.  

“Abang... apa salah Sya? Kenapa buat Sya macam ni? Dah banyak kali Sya cakap... Thaqif bukan kekasih Sya. Kenapa abang tak percaya? Kenapa?” Suaranya sudah serak. Dia cuba menahan sendu dari berlagu.

“Dah buat salah... tapi... masih nak berdalih? Heyyy budak kampung! Dengan aku... jangan berani berbohong!” 

“Apa bukti abang yang Sya dengan Thaqif ada hubungan?” 

“Kau nak bukti? Tu... gambar lelaki yang kau peluk... gambar Thaqif, kan?” Jari dituding pada bingkai gambar yang masih terdampar di tepi dinding.

Hasya berjalan ke arah bingkai gambar yang sudah pun pecah. Gambar yang ada di dalam bingkai itu sudah tercampak keluar sedikit. Luluh hati Hasya melihat gambar tersebut koyak akibat balingan yang kuat. Walaupun hanya sebahagian gambar yang koyak, namun hakikatnya gambar itu sudah rosak.

Hasya mengambil gambar tersebut. Kaca-kaca yang bersepai di atas gambar tersebut dikuis ke lantai. Masih banyak cebisan kaca dari bingkai gambar yang berterabur di lantai. Darah menitis dari jari jemarinya tetapi Hasya tidak peduli. Sepanjang hari ini, dia sudah banyak disakiti. Kelukaan yang nampak di tangan masih tidak setanding dengan luka di hatinya.

Hasya senyum sinis. “Ya...! Gambar ni memang gambar lelaki. Lelaki tu tak keseorangan... ada perempuan disebelahnya... dan pasangan kekasih tu bernama Hashim dan Fatimah! Bukan Thaqif dan Hasya!” Terketar-ketar Hasya menayangkan gambar itu di hadapan muka Izz. 

Tangan kanan Izz dicapai, gambar yang sudah berlumuran darah itu diletakkan di atas telapak tangan Izz. Terbelalak mata Izz. Hasya bercakap benar. Gambar yang sedang dipandangnya adalah gambar ibu mentuanya, Fatimah dengan arwah bapa mentuanya iaitu Hashim. Dia mengenali lelaki itu melalui gambar di dalam album yang pernah ditunjukkan oleh Hasya. 

Berdasarkan gambar yang berwarna hitam putih berlatarbelakangkan studio gambar, ianya mungkin diambil ketika pasangan itu baru berkahwin. Kebahagiaan jelas terpancar di mata mereka. Izz mengundur ke belakang beberapa tapak. Gambar ditangannya sudah jatuh ke lantai. Sungguh dia kesal kerana menuduh isterinya tanpa pertimbangan akal.

“Abang puas hati sekarang?” Hasya semakin berani melawan. 

Hasya sudah penat menangis. Hasya sudah penat mengalah. Hasya sudah penat menjadi mangsa buli suami sendiri. Air matanya tidak dapat diproses lagi. Air matanya sudah lama pecah dari empangan. 

“Sya... aku... aku...” Kata-kata Izz tersekat di kerongkong. Rasa malunya seluas lautan China Selatan.

“Sudahlah...!” Suara Hasya semakin kendur. Hasya memalingkan tubuhnya. Langkahnya longlai menuju ke pintu bilik. Izz hanya mengekori langkahnya dengan hujung mata. Seketika kemudian, Hasya lenyap dari pandangan. Hanya tinggal sisa-sisa darah di lantai yang menitis dari jari Hasya. 

Hasya berlari ke luar rumah. Dia menuju laju ke buaian. Di atas buaian itu, air matanya dirembes selaju mungkin. Bertali arus bagaikan hujan di musim tengkujuh cecair jernih itu menuruni pipinya yang pucat. Dia sedikit pun tidak mengesat pipinya yang basah. Juraian air mata yang menitik jatuh ke tangannya dibiarkan sahaja. Jari yang masih berdarah langsung tidak dibalut dengan plaster. 

Hasya memandang belakang tangan kanannya yang masih ada kesan melecur akibat tumpahan kuah laksa Penang pagi tadi. Malam ini pula, kedua-dua jarinya luka angkara serpihan kaca bingkai gambar. Esok lusa, entah tubuhnya pula yang akan menjadi mangsa cemburu buta Izz. Mampukah Hasya terus bertahan? 

Izz menyandar di dinding biliknya, dia mengutuk dirinya sendiri. Dia tidak mahu mengasari Hasya. Akan tetapi apabila marahnya datang, dia menjadi suami yang sangat garang. Dia meraup mukanya beberapa kali. Risau menggugah perasaannya. Bagaimana keadaan Hasya sekarang? Masih memuncakkah amarah dijiwa atau sudah reda dibawa angin malam?

Izz mengintai dari sliding door. Hasya sedang berbuai perlahan. Izz mahu menghampirinya tetapi rasa bersalah membuatkan dia beralah. Izz berjalan perlahan merentasi pokok bunga kertas yang merimbun subur. Dari situ, dia dapat melihat wajah Hasya yang murung. 

♪♪ Sedih rasanya hati di dalam
Mengenangkan peristiwa masa yang telah silam
Di mana aku hidup bersama si dia
Tak pernah rasa aman bahagia

Perselisihan sering terjadi
Walaupun jauh dari nyata dan juga bukti
Namun begitu dia selalu terburu
Tegak meluru menurut nafsu

Andainya dia dapat mengubah
Tetap kuterima
Mendirikan mahligai ria
Tapi tak berdaya

Kusangka panas sampai ke petang
Rupanya hujan di tengahari ♪♪

Mendayu-dayu jadinya apabila Hasya mendendangkan lagu Hujan Di Tengah Hari yang dipetik dari filem Perjodohan. Dia menjiwai lagu itu dengan baik memandangkan nasibnya sekarang ditimpa malang. Lantunan suaranya lantang kedengaran meskipun sesekali suaranya serak akibat rasa sebak. 

Bait-bait lirik lagu itu tepat mengenai batang tubuh Izz. Dia terduduk di atas rumput karpet Zoysia. Satu persatu keganasan yang dipalit ke tubuh Hasya terlayar di wayang ingatannya. Tubuh badan yang asalnya sempurna kini disaluti calaran luka. Hasya selayaknya dilayan sebagai isteri tetapi Izz menjadikannya tak ubah seperti hamba abdi. Sudah luakkah budi pekerti? 



Eriyza :  Adakah Hasya akan terus bertahan setelah hari demi hari dirinya menjadi sumber kemarahan Izz?? Bab seterusnya pasti lebih menarik. Tungguuu.....

7/29/2013

Yes I Love You 45



Yes, I Love You – Bab 45

Keadaan di meja makan tidak semeriah dulu. Tiada usik mengusik antara Izzdiyad dan Natalia. Tiada gelak ketawa Datuk Izzuddin. Tiada bebelan Datin Faridah. Tiada juga komunikasi antara Izz dan Hasya. Masing-masing menyimpan suara. Hasya menceduk laksa ke dalam mangkuk Izz. Secawan nescafe diletakkan di hadapan Izz. Lelaki itu cuma minum seteguk air. Laksa tidak dijamah langsung.

Izz mengambil empat keping roti lalu dibakar. Roti disapu mentega sebelum diletakkan sedikit kaya. Dia mengapuhkan kedua-dua roti sebelum dipotong berbentuk segitiga. Dia kembali ke meja makan. Laksa ditolak ke tepi. Dua set roti bakar dihadapnya. Dia mengunyah roti bakar perlahan sambil menikmati keenakannya. Hasya hanya memandang.

“Izz, kenapa tak makan laksa ni?” Mak Bee menegur apabila melihat laksa tersebut tidak terusik.

“Izz alergi dengan laksa Penang... Mak Bee.” Dia sengih tepi.

“Ye ke? Sejak bila pulak Izz alergi? Maaflah... Mak Bee tak tahu.” Mak Bee menggaru kepalanya. Terasa bersalah kerana menghidangkan makanan yang salah tetapi setahunya sebelum ini Izz tidak pernah pula menolak laksa Penang air tangannya.

“Baru je seminggu dua ni... Mak Bee. Izz alahan dengan semua benda yang ada kaitan dengan Penang!” Perkataan Penang sengaja disebut dengan kuat.

“Hah? Alah dengan semua barang dari Penang? Peliknya.” Pertama kali Mak Bee mendengar ‘penyakit’ yang menyebabkan pesakitnya tidak boleh ada kaitan dengan semua jenis barang dari sesuatu negeri.

“Aha. Doktor baru je sahkan. Jadi, mak Bee kena pastikan tak beli barang yang datangnya dari Penang, ye?” Sekali lagi perkataan Penang disebut kuat.

Hasya berhenti menyuap laksa. Telinganya panas mendengar sindiran Izz. Patutlah lelaki itu memulaukan laksa Penang kerana ianya ada kena mengena dengan Thaqif. Gara-gara dendam, makanan jadi sasaran. Hasya turut menolak mangkuk laksanya. Seleranya sudah mati. Nescafenya dihirup perlahan.

“Hai, ada orang terasa hati! Pergilah mengadu kat kekasih hati!” Izz sengih sinis. Kebisuan Hasya membikin dia semakin geram. 

Hasya buat-buat tidak dengar. Malas hendak mencetuskan pergaduhan di permulaan hari. Dia terus mengemas mangkuk dan cawannya lalu dibawa ke sinki. Dia membasuh mangkuknya tetapi fikirannya melayang jauh. 

“Hey...! Basuh pinggan mangkuk aku sekali!” Izz menolak kasar tangan Hasya dengan mangkuk menyebabkan kuah laksa yang masih panas tertumpah ke atas tangan gadis itu. 

“Aduhhh...!” Refleks Hasya melarikan tangannya yang pedih. Serta-merta tangannya memerah. Deras air matanya menghujani pipi. Dia menangis bukan kerana tangannya sakit. Dia menangisi kekasaran Izz terhadapnya. Dia menangisi nasibnya yang sudah mula berubah, tidak lagi ceria seperti dahulu.

Izz pegun di situ. Dia tidak berniat hendak menyakiti Hasya dengan sedemikian rupa. Dia hanya ingin menyakiti hati gadis itu tetapi lain pula yang terjadi. Dia memegang tangan Hasya, ingin melihat kesan melecur tersebut. Pantas gadis itu melarikan tangannya. Tidak mahu disentuh Izz. Hasya meniup-niup tangan kanannya yang pedih dan hangat sebelum dijirus dengan air lalu di bawah paip. 

Izz pantas mendaki anak tangga. Dia mencari krim antiseptik di dalam kotak kecemasan. Seketika kemudian, laju pula dia menuruni anak tangga sambil membawa krim antiseptik. Di tepi sinki, Hasya masih mengalirkan air paip pada tangannya. Seperti aliran air paip, air matanya juga belum kering. Timbul simpati di hati Izz.

Izz menghampiri Hasya. Dia teragak-agak ingin membantu Hasya. Rasa bersalah membunuh rasa simpatinya. Dia jadi malu hendak menyapu krim di tangan Hasya. Namun, dia rasa bertanggungjawab untuk mengubati kesakitan Hasya. 

“Bak sini tangan. Aku nak tengok!” Izz menghulurkan tangan kanannya.

Hasya tidak memberi respon. Tangannya tetap dijirus dengan air paip.

“Kau nak aku buat secara paksa atau kau sendiri rela?” Suara Izz mulai tinggi.

Tangan Hasya dicapainya. Gadis itu tidak menolak tetapi tetap mendiamkan diri. Izz membawanya duduk di kerusi. Tangan Hasya dilap dengan tuala bersih sehingga kering, penuh berhati-hati. Kesan merah jelas kelihatan di belakang tangannya yang putih. Krim antiseptik dicalit sedikit demi sedikit lalu disapu perlahan-lahan di kawasan yang melecur. Krim antiseptik itu menyebabkan tangan Hasya berasa sejuk.

Mak Bee masuk sambil membawa bakul pakaian. Dia baru selesai menjemur pakaian di ampaian. Dia agak  terkujat melihat Izz menyapu krim pada tangan Hasya.

“Eh...! Kenapa ni Sya?” Bunyinya cemas.

“Izz...tumpah...” Belum pun sempat Izz menghabiskan ayatnya, Hasya sudah menyampuk.

“Sebab cuai sangat, tangan Sya melecur.” Dia senyum segaris. Hasya segera menghalang Izz daripada memberitahu hal sebenar.

Izz memandangnya dengan rasa hairan. Kenapa Hasya masih mahu membantunya sedangkan dia sudah banyak menyusahkan gadis itu? Apa sebenarnya yang tersirat di dalam fikirannya?

“Laa, melecur kena apa? Teruk tak ni?” Mak Bee menilik-nilik tangan Hasya yang diselaputi krim berwarna putih.

“Kuah laksa tumpah. Taklah... Mak Bee. Sikit je ni.” Hasya senyum lagi. Dia tidak mahu wanita tua itu risau akan dirinya.

“Esok lusa, sembuhlah. Mak Bee tak payahlah risau.” Izz pula menokok.

“Kamu ni, Sya... buat Mak Bee terkejut. Lain kali hati-hati, tau.” Pesan Mak Bee lagi.

“Sayang jugak Mak Bee dengan Sya, ye.” Hasya sempat mengusik wanita itu.

“Mestilah!” Mak Bee senyum. Hasya sudah menjadi salah seorang insan yang disayanginya. 

Mak Bee tidak senang duduk. Pak Musa dari tadi bergerak. Mundar-mandir di hadapan Mak Bee. Wanita itu tidak berminat hendak memarahi Pak Musa, dia hanya mahu mendengar arahan dari Izz. Lelaki muda itu menyuruhnya dan Pak Musa menunggu di ruang tamu. Katanya ada hal penting ingin diperkatakan. Sudah 11 minit mereka duduk di situ, Izz belum juga turun.

Pak Musa segera duduk di sofa apabila ternampak kelibat Izz menuruni anak tangga. Senyuman dilemparkan kepada kedua-dua pekerja yang setia menabur bakti di rumahnya.

“Mak Bee... Pak Musa... maaflah. Izz lambat sikit.”

“Takpe.” Serentak kedua-duanya membalas. Mereka hanya mahu mengetahui tujuan mereka dipanggil.

“Ada tujuannya Izz panggil Mak Bee dan Pak Musa. Seperti kita semua maklum, mama papa bercuti selama sebulan.” 

Mak Bee mengangguk. Pak Musa menunggu butiran lanjut.

“Jadi... Izz pun nak bagi Mak Bee dan Pak Musa bercuti jugak.”

“Cuti? Kenapa Izz? Mak Bee ada buat salah? Mak Bee...” Wanita itu gusar.

“Mak Bee... bukan macam tu. Izz nak bagi Mak Bee peluang untuk berehat.” Izz ketawa kecil. Wajah Mak Bee cukup kelat. 

“Bee... lain kali dengar habis dulu. Ni tidak... laju je menyampuk.” Pak Musa membebel. “Berapa lama Izz bagi kami berdua cuti?”

“Sebulan. Sama lama dengan mama papa bercuti.”

“Tapi... Sya kurang sihat. Tak sampai hati pulak Mak Bee nak tinggalkan dia.” Kerisauan jelas tergambar di mata Mak Bee.

“Tentang Sya... Mak Bee jangan risau. Izz ada. Izz boleh tengokkan dia.” 

“Tapi... Izz kerja. Siapa nak uruskan...”

“Mak Bee..” Izz memegang bahu kanan Mak Bee. “Izz akan jaga dia.” Senyuman dikupas.
 
“Bee... Izz dah bagi jaminan tu. Takkan Bee tak percaya pada Izz pulak? Sudahlah! InsyaAllah Sya tak apa-apa.” Pak Musa memberi jaminannya pula.

Mak Bee mengangguk tanda mengalah. “Bila Mak Bee boleh mula cuti?”

“Hari ni.” Izz menghulurkan dua keping sampul. Satu untuk Mak Bee dan satu lagi untuk Pak Musa.

“Eh...! Apa ni, Izz?” Pak Musa terkejut melihat sejumlah wang yang agak banyak di dalam sampul.

“Ambillah..! Buat beli hadiah untuk anak-anak Pak Musa!” 

“Tapi Izz... kami berdua ni dah ada gaji.” Pak Musa segan hendak menerimanya.

“Tak mengapa. Ini bonus pemberian saya.”

“Banyak sangat ni... Izz.” Mak Bee sebak.

“Anggaplah rezeki Mak Bee dan Pak Musa.” Izz ikhlas. 

“Terima kasih... Izz.” Serentak kedua-duanya bersuara. Mereka tahu kalau wang itu ditolak, Izz akan tetap memaksa mereka untuk menerimanya. Mereka berdoa agar Izz dan Hasya sentiasa murah rezeki sama ada wang ringgit atau zuriat keturunan.

“Ada lagi...” Izz mengeluarkan dua keping tiket dari kabinet televisyen. “Kalau sebelum ni Mak Bee dengan Pak Musa balik ke Langkawi dengan feri... kali ni cuba kapal terbang pulak.”

Kedua-duanya saling berpandangan. Sedang bermimpikah mereka? Menaiki kapal terbang untuk pulang ke kampung tidak pernah mereka angankan. Pada hemat mereka, semua itu hanya akan menjadi kenyataan jika ada rezeki mereka untuk menjadi tetamu Allah di Kota Mekah.

“Izz... kami... kami tak boleh terima tiket ni. Tak layak untuk orang macam kami.” Pak Musa menolak.  Dia lebih selesa naik bas atau keretapi untuk pulang ke kampungnya.

“Syhhh...! Jangan cakap macam tu. Semua orang pun boleh naik kapal terbang termasuklah Mak Bee dan Pak Musa.” Izz mencapai tangan kanan Pak Musa. Tiket itu diletakkan di atas telapak tangan Pak Musa. Lelaki tua itu tidak berdaya hendak menolak lagi. 

Mak Bee sudah tidak mampu menahan sebak. Dia terharu dengan layanan baik Izz dan ahli keluarganya yang lain. Walaupun dia dan Pak Musa cuma orang bawahan, namun ianya tidak pernah menjadi sempadan bagi keluarga elit Datuk Izzuddin. Berada di banglo mewah ini tidak membuatkan mereka tersisih malah keluhuran budi penghuninya membuatkan mereka  bertambah kasih.

“Alahai, Mak Bee... kenapa menangis pulak ni?!” Izz ketawa kecil. Badan wanita tua itu sudah terhinggut-hinggut menahan tangisan. 

“Pergilah berkemas. Penerbangan ke Langkawi lepas Asar... pergi airport nanti... Izz hantar.” Izz menggosok-gosok bahu Mak Bee. 

Mak Bee dan Pak Musa beredar ke bilik mereka. Mereka sangat berbangga mempunyai majikan sebaik Izz. Tidak lokek dengan wang ringgit. Sudahlah diberi duit, dibelanja pula dengan tiket penerbangan percuma. Izz tersenyum sendirian melihatkan gelagat mereka berdua. 



Eriyza : Terima kasih kepada pembaca senyap yang mula muncul memberi komen. Penulis harap lebih ramai lagi pembaca yang memberikan pendapat agar enovel ini dapat diperbaiki pada masa akan datang.