3/07/2010

Yes, I Love You 04

Yes, I Love You – Bab 4

Deruman enjin motosikal berkuasa tinggi milik Izz dan Zikri membelah kepekatan malam. Setelah lebih satu jam menunggang, mereka berpatah balik ke destinasi asal. Mereka singgah sebentar di sebuah restoran untuk membasahkan tekak. Izz menghentikan BMW K1200S kelabu biru miliknya. Seketika kemudian, Ducati 1098 berwarna hitam merah Zikri pula mengambil tempat di sebelah motornya.

“So, kau ikut parents kau pergi kampung budak tu?” Zikri memulakan soal siasat.

Hanya anggukkan sebagai jawapan dari Izz. Malas hendak bercerita pasal ‘budak’ itu.

“Amacam? Cun?”

Izz jongket bahu.

“Alah, cerita laa Izz. Aku belanja malam ni. Kau boleh order apa saja.” Zikri tersengih. Masih belum berputus asa untuk mendengar khabar tentang ‘budak’ itu.

“Amboi, nak rasuah aku ke? Tak berkat rezeki nanti tau.” Keras suara Izz tetapi masih dalam nada gurauan.

“Sejak bila pulak kau pandai berahsia ni? Okey, lain kali aku malas dah nak ambil tahu hal kau.” Zikri buat-buat merajuk.

“Kiranya kau merajuk laa ni? Aku takkan pujuk lelaki. Never! Kalau gadis, memang rela kupujuk.” Izz ketawa.

“Dah nak kahwin pun masih terserlah sifat Romeo kau ye?” Zikri turut ketawa.

“Bunyinya macam aku jahat sangat. Aku tak buat benda tak elok tau.”

“Sensitif pula kawan aku malam ni. Budak tu okey ke?”

“Gadis melayu tipikal.”

Zikri garu kepala. Sah, Izz malas hendak bercerita. Biarkan sajalah. Layan mee rebus lagi bagus.

**********

Hasya menyalami tangan ibunya. Tangan itu dikucup lama. Fatimah mengusap-usap kepala anaknya yang masih tersarung telekung sembahyang. Hasya mengangkat muka. Wajah ibunya dipandang.

“Adik, mak tak kisah kalau adik tak suka dengan perkahwinan ini. Adik berhak buat keputusan.” Jari jemari Hasya digenggam.

“Mak, kenapa cepat sangat mak nak lepaskan adik? Adik masih nak bermanja dengan mak.” Mata Hasya berkaca.

“Adik, ada tiga perkara kita perlu percepatkan apabila sampai masanya iaitu pengurusan jenazah, perkahwinan anak gadis dan hidangan untuk tetamu. Lagi pun adik tetap anak mak yang manja sampai bila-bila. Mak dah ajar adik cara nak membuat keputusankan?” Lembut suara Fatimah meyakinkan anaknya.

“Ya. Mak, adik tak sampai hati nak biarkan mak duduk sorang kat sini.”

“Adik jangan risaulah. Mak tahu jaga diri. Lagipun tak lama lagi Alang akan tamat praktikal. Bolehlah dia temankan mak pulak.”

“Boleh ke Alang jaga mak? Dia bukan reti masak pun. Baju dia pun tau basuh je. Lepas tu adik juga yang kena jemur.” Hasya mengomel.

“Orang lelaki ni jarang tunjuk sikap prihatin dia kalau ada orang lain yang boleh diharap. Tapi kalau dia sorang je yang ada, masa tu mungkin dia lebih mengambil berat berbanding perempuan.”

“Alang tu pelik sikit laa mak. Adik rasa dia memang tak tahu nak layan orang perempuan dalam kategori ibu atau adik ni. Kalau kategori lain tu, adik tak tau laa.” Hasya masih belum mahu kalah.

Fatimah tersenyum. “Agaknya perangai tu pun ada pada adik.” Usik Fatimah.

“Mak…. Adik lagi bagus dari Alang tau.”

“Ye ke? Kalau macam tu, adik kenalah buktikan.”

Hasya mendekatkan diri dengan ibunya. Bahu Fatimah dipeluk mesra. Kepalanya dirapatkan ke muka ibunya. Dia masih mahu bernaung di bawah kasih ibunya. Dia masih mahu merasai keenakan masakan ibunya. Dia masih mahu menemani ibunya saban hari. Dia masih terlalu muda untuk bergelar isteri apatah lagi pemuda itu langsung tidak dikenali hati budinya.

Fatimah menepuk-nepuk lembut pipi Hasya yang bersentuhan dengan pipinya. Dia sendiri tidak menyangka anaknya itu menjadi perhatian Datin Faridah. Wanita berstatus tinggi tetapi bersifat merendah diri. Wanita yang sanggup datang ke ceruk kampung semata-mata untuk mendapatkan ilmu walhal di bandar terdapat banyak ustazah yang berkelayakan. Wanita yang tidak kekok bersimpuh di teratak usang ini.

Hasya merenggangkan pelukan apabila menyedari ibunya ingin menanggalkan telekung. Memberi sedikit ruang agar ibunya dapat melipat telekung tersebut. Hasya bangun. Dia berdiri semula di atas sejadah. Seketika kemudian, kelihatan Hasya mengangkat takbiratul ihram. Fatimah tersenyum. Dia maklum benar dengan rutin baru Hasya sejak akhir-akhir ini. Dia berjalan keluar dari bilik solat dengan perlahan. Dia tidak mahu mengganggu Hasya yang sedang beribadat.

**********

“Alhamdulillah, syukur.” Datin Faridah menadah tangan ke langit sebelum disapu ke muka. Keriangan jelas terbayang di wajah Datin Faridah sebaik talian telefon bimbitnya dimatikan.

“Kenapa ni Idah? Apa yang berlaku sampai awak tersenyum lebar macam tu?” Datuk Izzuddin yang baru masuk ke bilik pelik dengan kelakuan isterinya.

“Hajat kita bakal terlaksana, bang,” Senyuman masih tidak lekang di bibirnya.

“Hajat? Hajat apa?” Datuk Izzuddin menggaru dagu. Masih keliru dengan percakapan isterinya.

“Tadi, Fatimah call saya. Katanya Hasya bersetuju dengan pinangan kita.”

“Patutlah awak gembira sangat. Baguslah kalau macam tu. Elok kita segerakan saja pernikahan mereka berdua tu.”

“Saya pun fikir macam tuh jugak. Kita sekalikan saja pertunangan dengan pernikahan mereka. Biar jadi wedding of the year.” Datin Faridah mula memasang angan.

“Awak ingat anak kita tu artis ke? Mahu ke Hasya diraikan macam tu?”

“Kahwin ni sekali saja seumur hidup. Biarlah meriah, bang.”

“Meriah tapi ringkas. Lagi bagus, tak banyak keluar fulus.” Datuk Izzuddin mengusik isterinya. Sengaja hendak menjatuhkan tembok anganan yang sedang dibina isterinya.

“Iskkk! Abang ni kedekut betul laa. Izz tuh kan anak bongsu kita. Biarlah majlis kahwinnya jadi ingatan dalam kepala semua orang.” Datin Faridah menjeling.

“Bukan kedekut tapi berjimat. Manalah tahu kalau awak pun nak kita berdua ni bersanding sekali lagi dalam majlis kahwin Izz. Tak tahun ini, tahun depan kita dapat anak lagi.” Datuk Izzuddin ketawa besar.

“Abanggggg….” Datin Faridah menjerit geram. Satu cubitan dihadiahkan buat suaminya di lengan.

“Aduhhh! Sakitlah.” Muka Datuk Izzuddin cemberut menahan pedih. Tangan kanannya digosok-gosok pada lengan kirinya yang sedikit merah.

“Nasib badan, dapat isteri garang.”

“Tulah, sapa suruh abang gatal sangat?” Kali ini giliran Datin Faridah pula ketawa.

2 comments

sueella November 17, 2010 at 3:26 PM

makin baca.. makin nak baca lagi..

Unknown September 19, 2012 at 6:40 PM

baru je akak terjengah blog ne n terbaca lah novel ne...sungguh menarik tertarik n the boom.fuh!!sungguh dek best banget.....walau pun akak dah ketinggalan dek.hehe

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.