5/06/2010

Yes, I Love You 15

Yes, I Love You – Bab 15

Pandangan dilontar jauh ke tengah laut. Sekumpulan camar terbang bebas di awan. Alangkah bagusnya kalau manusia juga boleh hidup sebebas itu. Namun, manusia akan lupa diri jika terlalu bebas tanpa pengawasan. Dia segera menafikan kata hatinya yang inginkan kebebasan luar biasa. Ombak laut setia menghempas pantai seperti mana pantai tidak pernah jemu menerima kehadiran sang ombak di hamparan dadanya.

Tidak seperti manusia, hatinya sering berbolak-balik. Jika semalam cinta diungkap, tidak mustahil hari ini benci diucap. Dia berjalan ke arah sebuah pohon ru yang rendang. Punggungnya dilabuhkan di atas banir pokok ru.

“Hai, mengelamun nampak.” Tegur satu suara. Sebotol air oren Twister dihulurkan.

“Kau ni pergi beli air ke buat air?” Twister bertukar tangan. Penutupnya dibuka lantas diteguk laju. “Ahhh...! Legaaa...”

“Kedai tu ramai orang. Kena laa ikut giliran.”

“Buat apa kau berdiri macam mannequin? Duduklah...” Dia rimas melihat wanita itu berdiri bagai patung di butik pakaian.

“Abang selalu datang sini?” Hasya mengambil tempat di hadapan Izz. Plastik berisi jajan diletakkan ke tepi.

“Adalah sekali dua.” Twisties perisa kari diambil dari plastik. Bungkusannya dibuka. “Sya, aku nak bawak kau jumpa abang aku.”

“Abang Yad? Serius?” Hasya teruja. Matanya bersinar. Memang dia teringin bertemu abang iparnya itu.

“Kau nampak aku main-main ke?” Izz menunjal perlahan dahi Hasya dengan jari telunjuk kirinya.

“Taklah. Bila kita nak pergi?” Twisties disumbat ke dalam mulut.

“Dah sampai pun.” Izz tersengih. Tak sabar-sabar pula Hasya.

“Hah? Mana dia?” Hasya melihat kiri dan kanan mencari susuk Izzdiyad walaupun rupa lelaki itu tidak diketahuinya.

“Kat sana.” Jari telunjuk kirinya dituding pada deretan chalet yang kelihatan tidak jauh dari pantai.

“Jomlah kita pergi.” Hasya sudah bangun.

“Aku janji dengan dia petanglah, bukan sekarang.” Dia menunjukkan jarum jam tangannya yang baru menginjak ke pukul 10.11 minit pagi. Izz ketawa kecil melihat reaksi Hasya yang semakin tidak sabar.

“Pulak. Habis tu kita nak buat apa kat sini?” Hasya membuka penutup air mineralnya. Belum pun sempat dia minum, Izz merampas airnya. “Abannggg...”

“Dating.” Dia tersenyum nakal. Air mineral Hasya diteguk separuh sebelum dipulangkan semula.

“Aku dahagalah.” Not RM10 dikeluarkan dari poket seluar. “Nah!”

Hasya kebingungan. “Duit apa ni?” Takkan Izz nak membayar air mineral yang diminumnya?

“Matawang Hong Kong.” Izz tersengih. Hasya mencebik. “Pergi beli air lain.”

“Tak naklah. Air ni dah cukup untuk Sya.” Dia malas hendak ke kedai itu sekali lagi.

“Bukan untuk kau, untuk aku. Pergilah cepat.” Tegas suara Izz.

“Yelah, yelah.” Hasya bangun lalu melangkah.

“Syaaa...” Hasya berhenti melangkah dan berpaling. “Beli air dua.”

“Okey.”

“Syaaa...” Hasya berhenti melangkah dan berpaling sekali lagi. “Beli Twisties satu lagi.”

“Beres.”

“Syaaa...” Izz memanggil lagi buat kali ketiga.

Hasya sudah geram. Dia berhenti melangkah tetapi tidak berpaling. “Apa lagi?” Barulah dia berpaling.

Izz membuat flying kiss untuknya. Kemudian dia ketawa. Suka benar dia melihat muka tidak puas hati Hasya. Comel.

**********

“What? You must be joking, right?” Sungguh dia tidak percaya ayat itu terbit dari mulut adiknya sendiri.

“No! I’m serious! That is the only best way to win back their heart.”

“Izz, listen to me. This is ridiculous.” Bahu Izz digoncang kuat. Dia cuba menyedarkan Izz bercakap tidak semudah untuk melakukannya.

“I’m still serious about it. Not just talk. You got to take the risk.” Kali ini Izz pula yang memegang tangan Izzdiyad. Kuat dan kemas semacam memberi semangat.

“How come kami nak tinggal kat rumah? Kau pun tahu papa mama masih marah.”

“Trust me. It is worth it to adopt it.”

Izzdiyad terduduk di kerusi. Kedua-dua tangannya memegang kepala sambil tunduk memandang lantai.

Hasya dan Natalia hanya memerhatikan perbincangan kedua adik-beradik itu. Tidak mahu masuk campur urusan suami mereka. Biarlah mereka sahaja yang mencari jalan penyelesaian terbaik. Mereka cuma berharap kekusutan yang sekian lama melanda keluarga itu kembali terurai. Jika boleh biarlah ia tidak tersimpul lagi kerana banyak jiwa yang merana akibat konflik sebegitu.

“Nat...” Izz membuat isyarat mata mengarahkan Natalia memujuk suaminya. Izz berjalan ke jendela. Angin yang menderu masuk dinikmatinya. Seketika, dia berpaling semula ke arah Izzdiyad yang masih tunduk. Natalia duduk di sisi suaminya sambil mengenggam erat kedua-dua tangan suaminya.

“Yad...” Izz menarik nafas lalu dilepaskan perlahan. “Kita balik rumah ye?”

Izzdiyad menggeleng perlahan. Dia mengangkat mukanya. Genggaman tangan Natalia dilepaskan. “I’m so sorry Izz. Aku anak terbuang. Muka aku pun dorang tak ingin pandang.” Ada nada sayu di situ.

“Takkan kau tak nak anak kau kenal atuk dengan nenek dia? Takkan kau tak boleh hadapi semua ni? Come on Yad, beranilah sikit.” Suara Izz sedikit tinggi. Dia sudah mula naik angin.

“Aku sanggup balik minta maaf tapi aku tak sanggup nak tinggal dalam rumah tu.” Perlahan jawapan yang dikeluarkan.

“Sejak bila kau jadi penakut? Sejak bila kau...” Hasya segera merapati Izz. Dia membuat isyarat mata agar Izz tidak meneruskan kata-kata yang boleh menikam perasaan Izzdiyad.

Izz diam. Dia berhenti berbicara. Dia sedar kata-katanya agak keras. Dia tidak sepatutnya berkasar.

Hasya melemparkan senyuman kepada Izz. Senyuman itu lebih kepada ucapan terima kasih kerana Izz mematuhi bahasa matanya tadi.

Hasya berjalan tujuh tapak ke arah suami isteri itu. “Abang Yad, Kak Nat...” Hasya tersenyum kepada mereka. “Kalau belum bersedia, tak perlu paksa diri. Tapi Sya percaya papa mama pun teringin nak bertemu cucu sendiri. Abang dengan kakak takkan hampakan dorangkan?”

Yes, I Love You 14

Yes, I Love You – Bab 14

Hasya mengesan bunyi sesuatu. Namun dia tidak mengetahui dari mana arah bunyi itu. Dari ruang tamu dia cuba mencari bunyi tersebut. Namun, bunyi itu kurang jelas. Dia menapak lagi. Kali ini dia berada di hadapan dua buah bilik. Dia tidak pasti bilik-bilik itu bilik apa.

Dia melekapkan telinganya di pintu bilik pertama, bunyi itu kedengaran tetapi kurang jelas. Dia menghampiri pintu bilik kedua pula, cuba mendengar bunyi yang sama. Pintu tersebut tidak bertutup rapat. Hasya melihat dari celah pintu, komputer terpasang dengan video yang tidak dia ketahui jenis ceritanya. Bunyinya pun agak kuat.

Kelihatan seseorang sedang menonton video tersebut. Dia mengetuk pintu bilik. “Mama, Sya ni.”

“Masuklah.” Datin Faridah mengawal nada suaranya.

Hasya menutup pintu lalu menghampiri ibu mentuanya. Ada banyak rak buku di dalam bilik itu. Pelbagai jenis bahan bacaan tersusun kemas dengan tag namanya sekali. Jelaslah bilik itu adalah perpustakaan mini keluarga mentuanya.

Ada sebuah meja panjang tersedia di situ. Ia mampu memuatkan dua puluh orang sekaligus dalam masa yang sama. Hasya menarik sebuah kerusi lalu duduk berhampiran Datin Faridah. Mata Datin Faridah masih melekat pada video. Kelihatan dua orang kanak-kanak sedang berkejaran di taman permainan kanak-kanak. Kehadiran Hasya sedikit pun tidak diendahkan.

“Mama, kenapa ni? Mama tak sihat?” Hasya pelik melihat wajah sayu mamanya. Ada sisa air mata di pipinya. Jelaslah wanita itu menangis sebelum dia masuk.

“Tak ada apa-apa, Sya. Mama okey.” Matanya masih fokus pada video. Kali ini kanak-kanak itu sedang menyambut hari lahir. Kedua-duanya meniup lilin dan memotong kek.

“Siapa ni mama?” Hasya menunjukkan jarinya ke arah budak kecil yang comel. Budak itu sedang menyuap kek kepada seorang lagi budak yang lebih besar darinya.

“Suami kamu.”

“Comel jugak dia masa kecik. Sorang lagi tu siapa?”

Datin Faridah diam. Soalan Hasya dibiarkan sepi. Hanya tangisannya yang kedengaran. Alamak, mama menangis!

Hasya risau. “Sya salah cakap ke? Sya mintak maaf, mama.”

Datin Faridah berpaling mengadap muka Hasya. Dia teringin berkongsi kisah dukanya dengan gadis itu. Sebelum ini, beban itu cuma dibiarkan terbuku di hati. Kini sudah sampai masanya untuk dia membebaskan segala-galanya. “Izzdiyad. Abang Izz.”

Hasya mengangguk faham. “Dia ada kat mana sekarang mama?”

Sekali lagi air mata menjadi jawapan kepada soalan Hasya. Gadis itu jadi keliru. Kenapa soalannya sering membuatkan ibu mentuanya menangis. Adakah dia tersilap cakap lagi?

Datin Faridah mengesat air matanya. Hidungnya dikesat dengan tisu. Lambakan tisu kelihatan di dalam bakul sampah. Dia mendiamkan diri agak lama. Teragak-agak untuk bercerita sejarah silam yang cukup perit.

Dia menarik nafas agak dalam lalu dihembus kuat. “Panjang ceritanya Sya.”

Kening Datin Faridah berkerut. Datuk Izzuddin berwajah cemberut. Izz sudah kecut perut. Akan tetapi Izzdiyad sedikit pun tidak terkejut dengan wajah-wajah di depannya yang berserabut.

“Kamu jangan bergurau dengan mama, Yad. Soal nikah kahwin bukan boleh dibuat mainan.” Terperanjat besar Datin Faridah dengan perkhabaran yang dibawa pulang oleh anak sulungnya itu.

“Mama, Yad tak berniat pun nak buat macam tu. Dulu pun Yad setuju sebab Yad memang takde kekasih tapi sekarang Yad dah temui orang yang Yad cinta.” Izzdiyad cuba membuatkan mamanya faham.

“Habis tu, tunang kamu nak campak kat mana? Kamu ni memang sengaja cari masalah. Mama tak izinkan kamu kahwin dengan sesiapa pun selain Faiqah.” Datin Faridah tetap bertegas.

“Maafkan Yad, mama. Hanya Natalia pilihan Yad. Dia yang akan jadi isteri Yad.” Izzdiyad tetap tidak mahu kalah.

“Yad, kamu tak boleh malukan kami macam ni. Faiqah tu budak baik. Rugi kalau kamu lepaskan dia.” Datuk Izzuddin masih berusaha memujuk.

“Yad tahu dia baik papa. Sebab tulah Yad mahu pertunangan ni diputuskan cara beradat. Yad sanggup pergi mintak maaf kat mak ayah Faiqah.” Izzdiyad memujuk kembali hati papa dan mamanya.

“Kamu tetap dengan keputusan kamu? Ini pertanyaan terakhir papa. Fikir baik-baik sebelum jawab kerana ia penentu nasib kamu kelak.” Datuk Izzuddin semakin geram.

“Ya papa, Yad tetap nak putuskan pertunangan dengan Faiqah. Yad nak kahwin dengan Natalia.” Izzdiyad tidak berganjak dengan kehendak hatinya.

“Baik, ini pula keputusan papa. Mulai hari ini kamu boleh lepas bebas di luar sana. Kami tak perlukan anak macam kamu.” Datuk Izzuddin sudah hilang sabar.

Izzdiyad terdiam. Hanya matanya yang berkaca yang bersuara tanpa nada. Datin Faridah sudah tidak mampu berkata apa-apa. Hatinya sudah robek. Bajunya sudah lencun dengan air mata. Izz cuma kaku di sofa. Keluarga bahagianya hancur musnah dalam sekelip mata. Satu-satunya abang yang dia ada akan pergi menjauh daripadanya. Dia akan menjadi ‘anak tunggal’ selepas ini.


Hasya memeluk mamanya. Dia cuba mendamaikan hati mamanya yang tersayat pilu. Esak tangis mamanya berdendang semula. Malah lebih kuat dari tadi. Hasya juga turut serta dalam drama air mata ini. Namun air matanya yang tumpah belum dapat menandingi tangisan kecewa mamanya.

“Mama nampak dia dalam majlis kahwin kamu. Sampai hati dia tak nak jumpa mama.” Kolam matanya yang baru kering kembali basah. Dia berkecil hati dengan sikap anaknya itu.

“Agaknya dia takut mama masih marah kat dia.” Hasya cuba memujuk.

“Memang mama marah tapi takkan dia tak boleh mengalah? Masa Izz sebut nama Yazid tu mama dah tahu itu Yad. Masakan mama tak kenal anak mama sendiri walaupun cuma dari belakang?”

Datin Faridah berhenti melangkah, dia tidak jadi menghampiri Izz. Lelaki yang berbual dengan Izz bagaikan dikenali. Warna kulit yang sama, ketinggian yang sama dan lenggok badan yang sama, dia tahu itu anaknya yang telah lama lari meninggalkan rumah. Sudahnya, dia hanya memanggil Izz dari jauh.

Kemudian, dia pergi ke belakang rumah. Melalui rimbunan pokok bunga yang ada di situ, dia mengendap. Sah! Lelaki yang dilihatnya tadi adalah Izzdiyad. Lelaki itu kelihatan sedang berbual mesra dengan seorang wanita yang memangku anak sebelum mereka menaiki kereta Zikri lalu hilang dari pandangan. Dia terduduk di situ.


“Mama, jangan sedih ye. Sya yakin dia akan bawa isterinya jumpa mama nanti. Masa tu, keluarga kita akan lengkap semula.” Hasya mengusap belakang badan mamanya. “Kalau dorang datang nanti, mama sudi maafkan dorang tak?”

Datin Faridah memandang wajah Hasya agak lama. Gadis itu adalah menantu pilihan hatinya. Akan tetapi isteri Izzdiyad langsung tidak diketahui perilakunya. Malah dia sendiri tidak rela untuk mengakui perempuan itu sebagai menantu. Namun, dia tetap sayangkan Izzdiyad walaupun suaminya tidak mahu mengambil tahu lagi perihal anaknya itu.

“Mama hanya ada dua orang anak. Sebenarnya Izz lebih nakal kalau nak dibandingkan dengan abangnya. Yad ikut je apa yang mama perintah tapi Izz lebih suka membantah.” Dia tersenyum mengenangkan karenah anak-anaknya. “Siapa sangka keadaan jadi sebaliknya...” Dia kembali berwajah murung.

“Mama, kadangkala anak melukakan hati ibu bapa tetapi jauh di sanubari, mereka tetap menyayangi orang tua mereka. Dalam hati mama, abang Yad tetap anak yang baikkan? Dia masih ada peluangkan?” Hasya mengesat air mata mamanya dengan ibu jari.
Tanpa sedar, Datin Faridah mengangguk perlahan.

Di sebalik daun pintu yang sengaja dibuka sedikit, seseorang mengukir senyuman.

“Thanks Sya.” Ucapnya walaupun dia tahu Hasya tidak mendengar.

5/05/2010

Yes, I Love You 13

Yes, I Love You – Bab 13

Dia bangun seawal pagi. Usai menunaikan solat Subuh dengan Izz, dia menuruni anak tangga menuju ke dapur. Ketika itu, Mak Bee baru sahaja keluar dari biliknya yang terletak berhampiran dapur.

“Puan, awalnya bangun.” Mak Bee cuba beramah mesra dengan ahli baru dalam keluarga majikannya.

“Dah biasa mak cik. Mata memang tak boleh lelap kalau tidur semula lepas Subuh.”

“Panggil saja Mak Bee. Puan nak apa-apa ke?” Mak Bee membuka peti sejuk. Bahan-bahan untuk memasak dikeluarkan.

“Tak payahlah panggil puan. Sya cukuplah. Mak Bee nak masak apa ni? Sya tolong ye?” Hasya merapati Mak Bee.

“Eh, janganlah Pu... errr Sya. Nanti Datin marah kalau nampak.” Mak Bee cemas. Gusar kalau tiba-tiba Datin Faridah muncul dan terlihat Hasya membantunya.

“Mak Bee tak payahlah risau. Nanti Sya cakap dengan mama. Sya tolong dengan rela, bukan Mak Bee dera.” Hasya ketawa kecil.

Mak Bee turut tersenyum. Terhibur dengan gelagat Hasya. “Sya ni muda lagi Mak Bee tengok. Sya tau ke buat kerja dapur?”

“Nak kata tau sangat tu tak adalah tapi bolehlah masak makanan yang mudah.” Hasya merendah diri.

“Mak Bee nak buat nasi lemak.” Mak Bee mula membasuh beras.

“Mesti sedap nasi lemak Mak Bee. Sambal sotong ye?” Hasya memanaskan kuali. Minyak masak dituang. Bawang yang telah dikisar ditumis.

“Sotong tu Mak Bee dah bersihkan. Mak Bee rendam sebelum ditoskan.” Tiga helai daun pandan disimpul lalu ditanak bersama nasi lemak.

“Sya dah toskan pun. Tinggal nak campak dalam kuah je ni.” Sebelum arahan diberi, Hasya sudah melaksanakannya.

“Mana pula timun yang Mak Bee letak kat sini?” Mak Bee mencari timun yang telah siap dicuci untuk dipotong.

“Kat sini.” Hasya memegang pinggan yang sudah terisi hirisan timun. Semasa Mak Bee keluar mengambil daun pandan, dia telah pun menghiris timun tersebut.

“Kalau macam tu, Mak Bee belah telur rebuslah.” Sekali lagi Mak Bee tidak menjumpai barang yang dicari.

“Taraaa...” Sebiji lagi pinggan disuakan kepada Mak Bee. Di dalamnya terhidang beberapa biji telur rebus yang telah dibelah dua.

“Cepatnya kamu buat kerja Sya. Tak terkejar Mak Bee dibuatnya.” Mak Bee tersenyum senang.

“Benda senang je ni Mak Bee. Nak goreng bilis tak?”

“Semua orang dalam rumah ni tak makan bilis.” Kedengaran suara yang membuatkan Mak Bee kecut perut. “Awalnya Sya bangun. Bee, kenapa suruh Hasya buat kerja dapur?”

“Ma... maa... maafkan....” Mak Bee tergagap akibat takut.

“Bukan salah Mak Bee. Sya sukarela nak bantu. Lagipun, Sya tak ada benda nak buat mama.” Pantas Hasya membantu Mak Bee membela diri. Kesian benar dia dengan wanita itu.

“Iskkk kamu ni Sya. Mama baru nak bantu Mak Bee kamu ni memasak. Sepatutnya mama yang memasak untuk sambut menantu baru. Ni kamu pulak yang memasak untuk kami.”

Datin Faridah memeluk bahu Hasya. “Izz mana?”

“Lepas Subuh tadi, dia tidur semula.” Hasya menguntum senyum.

“Dah masak ke sambal sotong ni?” Datin Faridah mengacau sambal sotong yang sedang menggelegak.

“Dah agaknya. Cubalah mama rasa.” Hasya menghulurkan piring kecil berisi sambal sotong kepada ibu mentuanya.

“Mmmm... sedapnya. Semua rasa ada. Mama bagi markah penuh.” Datin Faridah menunjukkan tanda bagus dengan ibu jarinya.

Hasya ketawa kecil.

**********

Izz mengeliat kecil. Dia meraba-raba tempat tidur di sebelah kirinya. Kosong. Tiada orang. Agaknya Hasya berada di bilik mandi. Dia bangun lalu bersila di atas katil.

Hasya memulas tombol pintu bilik. Dia menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat mata Izz masih terpejam walaupun dia sudah bersandar pada kepala katil. Suaminya dihampiri.

“Abang.” Paha Izz ditepuk lembut.

Tiada respon. Mata Izz masih terpejam rapat. Hasya menggoyang-goyangkan pula lengan kiri Izz. “Abang, bangunlah.”

Izz bergerak sedikit. Tangan kanannya menggaru pipi kiri. Namun mata masih juga bertutup rapat. Susah benar hendak mengejutkan lelaki ini.

Hasya mendekatkan mukanya ke telinga Izz. Dia tersengih nakal. Bersedia untuk melontarkan ayat keramat yang tidak digemari Izz. Belum pun sempat dia berbisik...

Cuppp! Bibir Izz mengenai pipi kanannya. Lelaki itu tersengih walaupun matanya belum dibuka. Jangan harap Hasya nak mengenakannya sekali lagi. Dia sengaja berpura-pura tidur ketika Hasya masuk ke bilik tadi.

Kulit muka Hasya sudah berubah warna. Dia terkesima sebentar dengan serangan hendap Izz. Dia segera bangun dari katil tetapi tangannya ditarik Izz menyebabkan dia jatuh di dada lelaki itu.

“Kau dari mana ni?”

“Dapur.” Hasya cuba bangun tetapi Izz menghalangnya.

“Aku ingatkan kau mandi. Sampai tertidur aku tunggu kau keluar dari bilik air.”

“Pergilah mandi. Mama ajak sarapan.” Hasya mencuba lagi untuk bangun.

“Owhhh, kau panggil aku sebab mama suruh? Kau sendiri takde inisiatif nak ajak aku sarapan?” Hidung Hasya ditarik perlahan.

“Aduhhh...!” Hasya menggosok-gosokkan hidungnya. “Samalah tu. Mama ajak, Sya datang panggil.” Hasya berjaya melepaskan diri.

“Tak samalah. Kalau kau panggil aku sebab kau memang berniat nak ajak aku sarapan, barulah ikhlas. Ada faham?”

Hasya mengangguk. “Cepatlah. Semua orang tunggu kita.” Hasya menarik tangan Izz lalu didorong ke bilik air.

Setibanya di depan pintu bilik air, Izz berpaling mengadap Hasya. “Sya, mama ada tanya kau dah mandi?”

Hasya hairan. “Tak ada pun. Kenapa?”

Izz ketawa nakal. Bibirnya didekatkan ke telinga Hasya, kemudian dia membisikkan sesuatu.

Hasya membulatkan matanya. “Abannggg...” Perut Izz dicubit.

“Sakitlahhh...! Garang jugak kau ni.” Perutnya digosok laju. Terasa pedih kesan dicubit dek isterinya.

“Tahu takpe. Tak tahu tanya.” Selamba Hasya menjawab.

Yes, I Love You 12

Yes, I Love You – Bab 12

Hasya terpacak di tengah pintu bilik tidur yang masih terbuka. Bagasi yang dibawa naik ke bilik masih terus dipegang. Bilik pengantinnya dihias mewah, sesuai dengan status pemiliknya. Hasya memerhati sekeliling bilik itu. Terdapat almari pasang siap yang berwarna hitam putih yang cantik. Di satu sudut, terdapat meja solek dari rona serupa. Beberapa lukisan menghiasi dinding. Ada juga bunga di sudut tertentu yang memberi aura ceria. Bilik tidur itu luas, mungkin dua kali ganda luas dari bilik tidurnya di kampung. Matanya asyik memerhatikan sekitar bilik itu.

“Kau buat apa lagi tu? Nak jadi jaga?” Hasya tersentak. Matanya dapat menangkap susuk tubuh Izz yang baru keluar dari bilik air. Lelaki itu sudah siap mandi. Dia hanya bertuala. Rambutnya yang basah dikesat dengan tuala kering.

“Masuklah!” Pintu ditutup kasar. Tanpa diduga, Izz mendorong Hasya masuk ke dalam. Bagasi di tangan Hasya diambil lalu dimasukkan ke dalam almari. Dia geram dengan sikap Hasya yang membatu di depan pintu.

Kali ini Hasya tercegat pula di depan katil. Izz yang sedang menyarung baju tidur sedikit pun tidak dipedulikannya. Entah apa yang difikirkannya pun tidak diketahui.

“Hey! Kau nak aku mandikan kau ke?” Sekali lagi Hasya tersentak. Izz sudah berdiri di hadapannya sambil bercekak pinggang. “Aku okey je kalau kau nak.” Tangan lelaki itu mula membuka tudung yang dipakai Hasya.

“Takpe. Sya boleh mandi sendiri.” Hasya bagaikan baru tersedar dari mimpi yang panjang. Tudungnya sudah Izz campak ke atas katil. Rambutnya yang disanggul selamat dirungkai dek lelaki itu. Hasya mula tidak selesa apabila Izz mengelus-elus rambutnya.

“Sya nak mandi.” Hasya mahu menjauhi Izz. Namun, dia tidak boleh melangkah kerana lelaki itu berdiri terlalu rapat dengannya. Hendak mengundur tidak dapat kerana dihalang dek meja kecil di tepi katil. Izz tidak mengendahkan percakapan Hasya. Rambut ikal isterinya terus dielus.

“Abang, Sya nak mandi ni.” Kali ini Sya menolak sedikit tubuh Izz. Namun, lelaki itu mengeraskan badannnya. Sya menolak tubuh Izz lebih kuat dari tadi. Izz terdorong sedikit ke belakang.

“Kau nak aku rebah ke?” Dia menjegilkan matanya.

“Maaf, bang.” Hasya tidak berani melawan pandangan mata Izz. Lebih menakutkan apabila lelaki itu kembali menghampirinya.

“Kau nak mandi?” Muka Izz hanya berada beberapa inci dari wajahnya. “Jom aku temankan.” Izz menarik tangan Hasya ke bilik air. Dia turut masuk ke bilik air.

Hasya sudah cuak. “Abang, tolonglah keluar.” Hasya menolak Izz keluar dari bilik air. Izz mengeraskan diri di situ. Hasya terus menolak tubuhnya tetapi dia memegang kuat pintu bilik air dengan kedua-dua tangannya. Hasya belum berputus asa. Dia mencuba taktik lain. Tangan yang menolak tubuh Izz digunakan pula untuk menggeletek pinggang lelaki itu. Izz yang kegelian terpeluk Hasya. Kedua-duanya kaku seketika.

“Aku keluar dulu.”

Hasya terduduk di tepi tab mandi. Masih terkujat dengan hal yang baru berlaku.

“Nah!” Sehelai tuala dihulurkan. Hasya terkejut apabila pintu bilik air terbuka secara tiba-tiba.

“Abang ni teruklah. Lain kali ketuklah pintu dulu.” Hasya tarik muncung.

“Dah merah jari aku ni ketuk pintu. Kau bukannya dengar kalau asyik berangan. Dah tu, pintu bilik air pun tak kunci.” Izz menunjukkan jari kirinya. Hasya tertunduk malu. Memang salah dia pun kerana tidak mengunci pintu bilik air.

Izz sudah melangkah keluar. “Abang, tolong ambilkan Sya kain batik dua helai.” Izz buat-buat tidak mendengar sambil berlalu pergi.

“Ambil ni.” Hasya menjerit kecil.. “Kau memang tak suka kunci pintukan?” Izz ketawa kerana berjaya mengusik Hasya.

“Sebab Sya nak ambil kain batiklah...eh ini kain pelikat.” Hasya membelek-belek kain yang diberi oleh Izz. Lain yang diminta, lain pula yang diberi.

“Aku malas nak selongkar beg kau, so aku ambil je kain pelikat aku.” Izz tersenyum nakal.

“Keluarlah.” Hasya geram melihat Izz yang masih berada di situ.

“Aku nak mandi sekali lagilah.” Pintu bilik air ditutup dan dikunci.

“Sya tak nak mandilah.” Hasya meluru keluar tetapi Izz sudah berdiri di pintu bilik air. Senang benar hatinya dapat mengusik Hasya.

“Okeylah, aku tak nak main lagi.” Pintu bilik air dibuka. Izz melangkah keluar sambil tersengih.

“Abang...”

“Apa? Nak mandi bersama?” Izz masih menyakat. Cepat-cepat Hasya menggelengkan kepala.

“Terima kasih.” Hasya menunjukkan tuala dan kain pelikat. Pintu bilik air ditutup tetapi dihalang oleh Izz.

“Kau nak buat apa kain sampai dua helai?” Izz agak hairan.

“Kain basahan dengan kain salinan.”

Izz mula faham. “Owhhh! Ingatkan nak ajak aku mandi sekali.” Dia ketawa besar.

“Abannggg!”

**********

Hasya sudah lengkap berpakaian tidur. Dia melilau mencari Izz di ruang bilik yang besar itu. Namun, susuk lelaki itu tidak kelihatan. Hasya menghampiri meja solek. Rambutnya disikat sebelum getah pengikat rambut dipakai.

“Jangan ikat, lepaskan je rambut tu.” Kedengaran satu suara melarang. Hasya tidak jadi mengikat rambut.

Hasya berpaling, mencari pemilik suara tersebut. Namun, tiada orang yang kelihatan. Mungkin itu hanya perasaannya sahaja. Sekali lagi, rambutnya cuba diikat.

“Jangan ikat, lepaskan je rambut tu.” Sekali lagi amaran itu berulang. Nada suara yang sama dengan ayat yang sama.

Getah pengikat diletakkan ke atas meja. Hasya bangun. Dia mencari di setiap sudut yang ada di dalam bilik itu.

“Kau cari aku?” Suara tanpa rupa itu kedengaran lagi. Hasya sedikit takut.

“Abang, keluarlah. Jangan main-main.” Hasya terus mencari.

“Aku ada kat sini.” Izz cuba menahan gelak.

“Kat mana? Sya tak nampak pun.” Entah kat mana dia bersembunyi.

“Dekat dengan kau.” Dia tersenyum nakal apabila Hasya sudah menghampiri tempatnya berdiri.

“Cakaplah kat mana?” Hasya geram apabila dipermainkan.

“Sini.” Satu pelukan singgah di badan Hasya. Hampir sahaja dia mahu menjerit. Mujurlah Izz sempat menekup mulutnya. Kalau tidak kecohlah jadinya.

“Kenapa abang sembunyi kat sini?” Hasya meleraikan pelukan Izz.

“Sembunyi apa pulak? Aku just bersantai je.” Izz bertenggek di palang balkoni.

“Tadi Sya tanya, tak jawab pun ada kat sini?” Hasya bersandar pada sliding door.

“Saja. Aku nak tengok skill kau mencari orang hilang... tapi kau fail.” Izz tersengih.

“Agaknya Sya tak bawak poket doraemon kot. Sebab tu tak jumpa abang.” Sya meletakkan jari telunjuknya ke pelipis kanan sambil mengetuk-ngetuk seolah-seolah sedang berfikir.

Izz ketawa. “Jom masuk. Tidur time.” Izz menarik tangan Hasya. Sliding door ditutup rapat.

Izz menghempaskan dirinya ke katil. Hasya cuma berdiri di tepi katil memerhatikan suaminya yang sudah bersedia untuk bermimpi. Dia mengambil bantal dan berlalu ke settee yang terletak tidak jauh dari sliding door.

“Kau nak ke mana tu?” Izz bangun dan bersila di atas katil.

“Nak tidur kat sana.” Sya menunjukkan ke arah settee tersebut.

“No. Kau tak boleh tidur kat sana.” Izz mengoyang-goyangkan jari telunjuk kirinya beberapa kali menandakan tidak memberi izin.

“Habis tu, Sya nak tidur kat mana?” Jangan suruh tidur dekat balkoni sudahlah.

“Tidur dengan aku.” Izz menepuk-nepuk ruang kosong di sebelahnya mengisyaratkan bahawa Hasya boleh tidur di situ.

“Abang tuan rumah, kena tidur atas katil. Sya tidur kat sini je.” Senyuman terukir di bibir.

“So, apa keputusannya ni?” Izz memeluk tubuh. Lampu bilik sudah terpasang kembali. “Macam ni jelah, disebabkan syiling tu dah hilang. Jadi, aku rasa kita berdua layak tidur atas katil. Apa kata kau?” Izz sudah mula duduk atas katil.

“Okey.” Hasya malas nak bertekak. Lagipun matanya sudah layu. Dia hanya mahu tidur.

“Kat rumah kau kita tidur sekatil, kat rumah aku pun sama. Jangan risau katil ni saiz king, kau takkan jatuh tergolek.” Izz tersengih mengingatkan adegan melempar syiling yang berakhir dengan keputusan sepakat antara mereka.

Yes, I Love You 11

Yes, I Love You – Bab 11

Majlis perkahwinan Izz dan Hasya berlangsung di dalam suasana meriah lagi mewah di rumah agam Datuk Izzuddin. Busana hitam putih menjadi pilihan pengantin atau lebih tepatnya tercetus hasil idea Izz. Ribuan tetamu menghadiri majlis perkahwinan yang julung-julung kalinya diadakan oleh ahli korporat tersohor Datuk Izzuddin dan isterinya, Datin Faridah. Pengantin tidak lekang dengan senyuman di bibir. Meskipun penat kerana bersanding dan melayan para tetamu yang hadir tetapi mereka tetap memberikan senyuman manis.

Akhirnya ‘penderitaan’ mereka tamat juga apabila majlis usai dengan jayanya. Izz mencari kelibat sepasang manusia. Di dalam keriuhan majlis itu, dia ternampak Zikri. Laju langkahnya dihayun menuju ke arah lelaki itu. Zikri ditarik ke satu sudut yang agak tersembunyi agar lebih mudah mereka bercakap tanpa gangguan.

“Zik, mana Yad?”

“Ada kat luar. Aku ajak dia masuk tadi tapi dia nak tengok dari luar je.”

“Aku nak jumpa dia. Jom.”

“Okey.”

Zikri berjalan ke luar rumah sambil diekori oleh Izz. Langkahnya mati apabila memandang seorang lelaki dan seorang wanita. Buat beberapa ketika dia cuba mengawal rasa rindunya tetapi akhirnya dia berlari mendapatkan lelaki itu. Lelaki itu dipeluk lama. Natalia yang berada di sisi cuma memerhatikan gelagat dua bersaudara itu.

“Kau makin gemuk.” Izz menumbuk manja perut abangnya.

“Senang hati sebab tu badan berisi. By the way, nilah your sister in law, Natalia and our baby.” Izzdiyad memeluk mesra bahu isterinya.

“Hi Nat. Welcome to our family.” Tangannya dihulur.

“Hello Izz. Thanks.” Salamnya bersambut. Wah, Cantiknya minah ni! Patutlah Yad sanggup kahwin tanpa izin mama dan papa. Wajah cantik, badan menarik, hati jadi tertarik. Izz terpegun dengan kecantikan kakak iparnya.

“Wah, cutenya baby girl, uncle!” Izz mencubit pipi anak saudaranya yang diletakkan di dalam baby stroller.

“Mana wife kau?” Izzdiyad memanjangkan kepalanya mencari wajah adik iparnya.

“Ada kat dalam. Jomlah masuk.”

Izzdiyad menggelengkan kepala. “Not now Izz.”

“Tapi sampai bila Yad? Kau sendiri kata sanggup berdepan dengan merekakan?” Izz menarik tangan abangnya.

“Betul, tapi sekarang bukan masa yang sesuai. Aku harap kau faham.” Yad melepaskan pegangan tangan Izz.

“Dahlah Izz. Jangan paksa dorang. Lagi pun sekarang ramai orang, tak sesuai untuk pertemuan macam ni.” Zikri memegang bahu Izz. Dia berharap agar Izz tidak terlalu memaksa Izzdiyad. Dia tahu Izz mahukan pertermuan itu berlangsung segera tetapi keadaan Izzdiyad perlu diambil kira juga.

“Aku akan jumpa dorang nanti.”

“Okey Yad. Betul kau tak nak masuk?”

“Lain kali Izz.” Izzdiyad menggeleng lagi. “Izz, selamat pengantin baru. Nah!” Sebungkus kotak sederhana besar berbalut kertas hadiah berwarna putih dengan corak hati kecil dihulurkan.

“Thanks. Kehadiran kau ni hadiah paling best bagi aku.” Hadiah itu bertukar tangan.

Datin Faridah mencari Izz. Hanya Hasya yang kelihatan di situ tanpa anaknya. Dia mahu Izz bertemu dengan keluarga besannya sebelum mereka pulang. Dia berjalan keluar rumah. Akhirnya dia menemui Izz di celah-celah tetamu yang sedang menjamu selera.

“Izz. Jom masuk, mentua kamu dah nak balik.”

Jantung Izzdiyad berdegup kencang. Suara mamanya terasa hampir di telinga. Keadaannya yang membelakangi wanita itu ditambah lagi dengan tetamu yang masih ada menyebabkan kehadirannya tidak disedari. Dia berdoa agar mamanya tidak meneruskan langkahnya ke arah mereka.

“Kejap mama. Izz tengah bercakap dengan Yaaa...”

“Jangan sebut nama aku, please.” Pantas Izzdiyad memotong.

“Yaaa... Yazid. Nanti Izz masuk.”

“Jangan lambat sangat.” Datin Faridah masuk balik ke dalam rumah.

Izzdiyad menarik nafas lega. Dia menoleh ke arah ibunya. Mengekori langkah ibunya dengan anak mata tanpa berani bertentang muka. Maafkan Yad, mama. Nanti Yad akan ke sini lagi untuk memohon kemaafan mama dan papa. Masih adakah sisa kemaafan itu?

**********

Bibir mata Hasya sudah basah. Izz cuma memerhatikan isterinya memeluk mentua, abang-abang ipar dan birasnya. Pelukan Hasya paling lama singgah di tubuh Fatimah. Ada air mata yang tumpah di bahu wanita itu. Fatimah mengusap-usap perlahan belakang tubuh anaknya sebelum pelukan itu dileraikan.

Izz pula menyalami abang-abang iparnya. Setiap daripada mereka memeluknya erat. Izz dapat merasakan kemesraan wujud antara mereka semua.

“Kami kena pergi dulu. Nak hantar Angah ke airport. Izz, jaga Sya baik-baik ye.”

“Drive elok-elok. InsyaAllah Along.”

“Maaf Izz, Angah tak boleh singgah lama. Flight Angah petang ni. Kalau ada masa, datanglah ke rumah. Angah bawak korang ronda bandar Kuching.”

“Takpe. Okey jugak tu. Ada peluang nanti, Izz pergilah. ”

“Izz, boleh janji dengan Alang satu perkara? Maafkan Sya setiap kali dia buat salah.” Serius wajah Hafiz, mengharap agar hasratnya dipenuhi.

“Izz janji.” Berat permintaan itu tetapi Izz mengiyakan juga untuk menjaga hati Alang. Berbuat salah ada banyak kategori dan kesabaran juga boleh diuji.

Izz menghampiri mentuanya. Tangan wanita itu disalami dan dikucup.

“Izz, dulu Hasya tanggungjawab mak. Sekarang mak serahkan dia kepada Izz.” Fatimah berhenti berkata-kata untuk mengumpul kekuatan agar dirinya tabah. Melepaskan anak kesayangannya ke pangkuan keluarga Datuk Izzuddin bukan perkara mudah. “Walaupun Sya masih muda tapi mak percaya dia boleh dibentuk menjadi isteri yang baik. Mak harap sangat kamu boleh bertolak-ansur dengan dia dalam apa jua keadaan. Ingatkan dia kalau dia lupa pada suruhan Tuhan.” Fatimah mengukir senyuman.

“InsyaAllah mak. Izz akan cuba buat semua semua tu.” Sekali lagi Izz berjanji tanpa kerelaan hatinya tetapi sekadar mententeramkan hati ibu mentuanya. Masakan Izz mampu membuat janji sebagai seorang suami sedangkan Hasya tidak dilayan seumpama isteri.

Fatimah beralih kepada Hasya yang berada di sisi Izz. “Adik, taatilah suami. Jangan sesekali menderhaka pada Izz. Jaga diri dan maruah keluarga mentua sama seperti adik jaga keluarga kandung. Buat mentua seperti ibu bapa sendiri.” Akhirnya air mata Fatimah menitis juga.

“Adik janji mak. Adik janji.” Sekali lagi airmatanya mengalir laju. Mak, kalaulah mak tahu adik tidak akan gembira berada di sini, adakah mak akan bawa adik pulang? Adakah mak akan percaya bahawa perkahwinan ini hanya satu permainan bagi Izz. Mak, tolong adik. Hasya ingin meluahkan segala yang terbuku di dadanya tetapi suara itu hanya bergema di dalam hati. Mengenangkan hari-hari yang bakal dilaluinya nanti, makin laju airmatanya.