12/23/2012

Yes I Love You 31



Yes, I Love You – Bab 31

Suasana di Izzfar Empire Holding kelam kabut. Semua pekerja yang terlibat di dalam pembentangan projek pembinaan Hotel The Star membuat persediaan akhir. Zikri dan barisan jenteranya sedang berbincang sementara menunggu mesyuarat dimulakan kira-kira satu jam lagi. 

Izz masih lagi berada di bilik pejabatnya. Laci meja kerjanya dibuka. Dia mencari-cari sesuatu di dalam laci tersebut. Sebahagian dari isi laci tersebut dikeluarkan lalu diselerakkan di atas meja. Barang yang dicari tidak juga dijumpai. Dia melihat-lihat pula di bawah meja, cuba meneliti jika barang tersebut tercicir di situ, tiada juga.

Dia mengetuk meja dengan kuat. Kedua-dua tangannya terasa sakit tetapi tidak seteruk hatinya yang sakit kerana kehilangan barang yang penting. Dia duduk di kerusi, cuba mengingat kali terakhir lokasi barang itu diletakkan. Akhirnya, nombor telefon seseorang didail pantas.

“Assalamualaikum...” Lembut suara si pemanggil menyapanya.

“Waalaikumussalam. Sya.. kau pergi ke bilik kerja aku sekejap.”

“Okey.” Hasya menurut. 

Dari ruang tamu, dia terus berlari menaiki anak tangga menuju ke bilik kerja suaminya.

“Sya dah ada kat dalam bilik kerja ni.” Termengah-mengah dia menjawab.

“Kenapa suara kau bunyi macam tu?” Izz agak cuak mendengar Hasya seperti tidak cukup nafas apabila bercakap dengannya.

“Sya berlari naik tangga… sebab tu semput.” 

Izz menarik nafas lega. Bimbang juga kalau sesuatu berlaku pada isterinya. 

“Tengok kat atas meja kerja.. ada tak thumb drive kat situ?” Habislah dia kalau Hasya tidak mengetahui benda yang disebut tadi. “Sya, kau tau tak thumb drive tu apa?”

“Ada. Warna biru gelap... brand Sonykan?” Alahai, Izz selalu fikir dia terlalu naif, langsung tidak mengetahui perkembangan teknologi semasa.

“Yeah… betul! Aku nak kau hantar thumb drive tu pada aku sekarang jugak.” Izz mula tersenyum sendirian.

“Sekarang...? Pak Musa belum balik. Ambil masa sikitlah sebab Sya kena cari teksi dulu.”

No! No! No! Kau mesti sampai dalam masa 19 minit. Aku tak kisah kau guna motor aku atau apa saja. Kau mesti datang segera, better tunggang motor. Kalau tak dapat cari teksi, naik motor. Kunci motor ada dalam laci kedua di almari belah kiri. Ingat tu... aku bagi kau masa 19 minit je. Kalau lebih... nahas kau.” Suara Izz tegas. 

Wah, ini sudah lebih! Cara Izz menyuruh Hasya menunggang motosikalnya seolah-olah satu cabaran buat gadis itu. Hasya senyum sendirian, Abang… tunggu dan lihat, hatinya berdetik!

“InsyaAllah. Sya cuba sampai secepat mungkin.” Hasya pantas mencapai thumb drive itu lalu segera mencari jalan untuk menghantarnya kepada Izz.

Tujuh belas minit setengah berlalu...

Pintu pejabatnya diketuk. Dia membenarkan si pengetuk pintu masuk. 

“Encik Izzdihar... Puan Hasya ada kat luar.” 

“Hasya dah sampai?” Kening Izz bertaut rapat. Jam di pergelangan tangan kiri dilihat. “Okey! Mimi... suruh Puan Hasya masuk.”

Mimi segera beredar dari bilik bosnya. Beberapa saat kemudian, pintu pejabatnya diketuk lagi.

“Masuk.” 

Pintu pejabatnya terkuak. Hasya melangkah masuk. Senyuman manis diberikan kepada suaminya tatkala pandangan mereka bertemu. Thumb drive bertukar tangan. Bulat mata Izz melihat Hasya. Dia bingkas bangun dari kerusinya.

Pakaian Hasya ditilik dari atas ke bawah, dari hadapan ke belakang. Dia berjalan mengelilingi Hasya. Tangan kanannya menggaru-garu dagu yang tidak gatal. Dia tidak berpuas hati. Tubuh Hasya dipusing-pusing pula. Walaupun Hasya agak hairan dengan kelakuan suaminya, namun dia tetap memusingkan badannya.

“Abang... ada yang tak kena dengan pakaian Sya?” Soalnya disusuli dengan senyuman.

Izz memegang kedua-dua bahu isterinya. “Kau nampak menarik.” Pujinya ikhlas. 

Tubuh tinggi lampai Hasya menyerlahkan keayuannya apabila disarung blouse labuh paras paha warna coklat dengan slack longgar warna sedondon. Tudung kuning airnya dipin kemas menyerlahkan gayanya persis wanita bekerjaya. Tanpa sedar, bibir Izz didekatkan pada mulut isterinya. Belum pun sempat bibirnya tiba ke destinasi, jari telunjuk Hasya menghalang laluan. 

“Kita kat dalam bilik pejabat... bukan kat bilik dalam rumah.” Tubuh suaminya ditolak menjauh. Izz senyum gatal. Dia hampir terlupa mereka berada di dalam syarikat.

“Opsss! Sorry!” Tiba-tiba terpacul Zikri di ruang pejabat Izz. Dia mengangkat tangan kepada kedua-dua suami isteri yang berdiri tidak jauh darinya.

“Zik, awat kalut sangat ni... pintu pun hang tak ketuk.” Izz berlawak sekaligus cuba menutup rasa malu atas perbuatannya tadi. 

“Aku cuma nak ingatkan kau... pembentangan projek 15 minit lagi.” 

“Aku tau. Kau pergi dulu. Nanti aku menyusul.”

“Hai, Sya. Apa khabar?” Zikri mengalihkan pandangannya kepada Hasya.

“Sihat alhamdulillah. Abang Zik apa cerita sekarang?” Senyuman diberikan.

Izz yang berada di antara Zikri dan Hasya berasa tidak selesa dengan keramahan Zikri dan isterinya. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia risau setiap kali dua makhluk di hadapannya berbicara sedangkan Zikri rakan baiknya manakala Hasya isterinya. Dia tidak patut berperasaan begitu. Cemburu!
 
“Takde cerita menarik pun. Pi mai pi mai tang tu jugak.” Zikri tayang gigi.

Hasya tersenyum nipis. Izz buat muka tegang. 

“Zik... kau pergi dulu. Make sure semua perfect.” Dia segera ‘menghalau’ Zikri sebelum perbualan antara lelaki itu dan isterinya semakin rancak.

“Okey. Sya... abang Zik mintak diri dulu.” Dia tayang gigi lagi.

Hasya mengangguk sambil tersenyum. Abang Zik? Izz mengetap bibir. Tidak suka dengan panggilan yang digunakan oleh Zikri kepada isterinya. Dia menghantar Zikri keluar dari bilik dengan ekor mata.

“Kau senyum ni kenapa?!” Hasya disergah.

“Saja... bagi sedekah.” Selamba jawapannya.

“Kau datang naik apa? Cepat pulak kau sampai.” 

“787.” Hasya senyum lagi.

Whhaattt...? You must be kidding, right?!” Izz mencerlung tajam. Dia tidak percaya dengan kata-kata isterinya. Mustahil!

“Abang... hulur tangan kejap.” 

Izz tidak mengendahkan permintaan isterinya. Wajahnya cukup serius ketika itu. Tiada minat hendak bermain-main dengan Hasya.

Hasya mencapai tangan kanan Izz perlahan lalu segugus kunci diletakkan di telapak tangan suaminya. Bulat mata Izz tatkala memandang kunci tersebut.

“Kau tunggang motorbike aku?” Izz bercekak pinggang.

“Ya...!” 

“Siapa suruh?” 

“Abang...!”

“Aku main-main jelah.” 

“Bila disebut tiga kali, maknanya serius laa tu.” 

Interkom di biliknya menyala. “Yes... ada apa Mimi?”

“Encik Izzdihar... meeting dah nak mula.” 

“Okey... I datang.” 

Izz menghampiri Hasya lalu pinggang isterinya dirangkul.

“Kau tunggu aku kat guest room. Aku belum habis lagi soal siasat kau. Kalau kau nak pergi ofis papa, suruh Mimi hantarkan. Faham?”

“Okey dan faham.” Hasya melakar senyuman manis. Senyuman yang sentiasa menyesakkan dada Izz. 

Cuppp! Satu ciuman singgah di pipi Hasya. Dia mencerlung geram. Serangan hendap Izz selalu sahaja berjaya.

Lelaki itu keluar dari pejabatnya dengan senyuman riang. Langkah diatur pantas ke bilik mesyuarat. Semua orang sudah bersedia untuk melaksanakan tugas masing-masing. Izz mengambil tempat di sebelah Zikri.

Mimi mengiringi Hasya ke ruang menunggu untuk tetamu. Di dalam perjalanan mereka ke sana, Hasya berpapasan dengan seorang pemuda yang segak lagi bergaya. Pemuda itu menegurnya.

“Eh, awak kerja kat sini?!” Dia kelihatan gembira dapat bertemu lagi dengan Hasya.

“Tak! Sua…” Hasya masih mengecam muka pemuda yang dikenalinya secara tidak sengaja di kedai buku.

Belum pun sempat Hasya menghabiskan ayatnya, pemuda itu pantas memotongnya. “Tentu abang awak yang kerja kat sini, kan?” 

Hasya mengangguk. Pemuda itu tersenyum lebar kerana anggapannya betul. Dia yakin lelaki yang dilihatnya ketika keluar dari lif  tadi adalah ‘abang’ kepada gadis itu.

Pemuda itu melihat jam di telefon bimbitnya. Masanya sudah tiba. “I need to go! Ada meeting! Saya Thaqif. Awak?” 

“Hasya.” Si gadis cuma menggangguk sambil berlalu ke bilik tetamu.

Thaqif melangkah ke bilik mesyuarat dengan hati girang. Nampaknya dia ada peluang.


 Eriyza :  Setelah setengah tahun 'berhibernasi', penulis kembali dengan senashkah kisah Izz dan Hasya. Maaf kerana terlalu lama 'menghilangkan diri'. Buat 'peminat²' yang mengirimkan email bertanya khabar kepada penulis, terima kasih kerana menyokong enovel picisan ini. Enjoy!