2/20/2013

Yes I Love You 35


Yes, I Love You – Bab 35

Dia menonong ke dapur. Izzdiyad yang sedang menonton Berita TV9 di ruang tamu langsung tidak ditegur. Kabinet dapur terus dituju. Dia membuka salah satu tingkat atas kabinet dapur tersebut. Susunan barang-barang di dalam kabinet itu telah berubah. Barang yang disimpan juga telah hilang. 

“Mak Bee..!” 

Wanita yang sedang membasuh di sinki itu terkocoh-terkocoh mendapatkannya. 

“Ada apa, Izz?” Sejak Hasya melarang Mak Bee memanggilnya Puan Hasya, Izz turut tidak membenarkan pembantu rumahnya memanggilnya Encik Izz.  

“Mak Bee ada nampak kotak warna merah tak dalam kabinet atas tu?” Jari dituding pada kabinet atas yang masih belum ditutup pintunya.

“Kotak? Tak ada pulak. Lagi pun, Mak Bee tak bukak kabinet tu tadi.” Mak Bee mengesat tangannya yang masih basah dengan tuala.

Izz menggaru dagunya. “Hmmm...! Petang tadi Izz simpan kotak kat atas ni. Bila nak ambil balik, kotak tu dah takde. Susunan barang dalam ni pun berubah.”

“Cuba Izz tengok kat kabinet sebelah pulak. Mana tau Izz tersalah letak. Biar Mak Bee tengok kat kabinet bawah.” Mak Bee mula membuka pintu kabinet bahagian bawah.

“Dah check tadi... tapi... takde jugak.” Izz mula cuak. Bukan mudah dia hendak mendapatkan barang di dalam kotak tersebut. 

“Ada apa ni? Kecoh semacam je. Dahlah Izz selongkar kabinet atas, Mak Bee pulak duk terjenguk-jenguk kabinet bawah.” 

Mak Bee senyum. “Ni haa, barang Izz hilang. Mak Bee tolong carikan.”

“Owhhh...! Takpe, Mak Bee pergilah buat kerja. Biar Yad carikan.” Izzdiyad tersenyum. Izz dipandang sekilas tetapi lelaki itu buat muka selamba. 

Mak Bee segera berlalu meninggalkan dua beradik itu.

“Cuba cakap dengan aku, barang apa yang hilang?” 

“Takde apalah. Barang murah je.” Izz masih berdalih. Tidak mahu abangnya mentertawakannya kalau mengetahui cerita sebenar.

“Murah? Betul ke? Kalau barang dalam kotak tu, aku rasa harganya ribuan ringgit.” Izzdiyad sengih tepi. Peti ais dibuka. Dua biji epal hijau diambil. Sebiji dilontar ke arah Izz.

Izz mencerlung. Nampak gayanya seperti Izzdiyad tahu sesuatu. “Kau nampak kotak tu?”

Izzdiyad tersengih. Epal hijau di tangan digigit. Soalan Izz dibiarkan sepi.

Izz geram apabila soalannya tidak dijawab. Pintu kabinet atas ditutup kasar. Epal hijau diletakkan di atas kabinet sebelum berlalu pergi.

“Izz... kotak tu aku letak dalam bilik.” Epal hijau terus dikunyah.

Izz berhenti melangkah. “Kenapa kau alih? Aku letak sementara je kat sini!” Izz bengang. Buat penat saja dia menyelongkar setiap kabinet sedangkan kotak tersebut sudah berpindah tempat.

“Semalam mama suruh aku ambil balang dalam kabinet atas. Dia nak isi buah pauh yang dah dijeruk. Bila aku bukak kabinet, aku nampak kotak tu. Aku tau... tu kotak suprise kau. So, aku tolong simpankan. Kau ni... dari dulu sampai sekarang, selalu cuai. Barang harga mahal macam tu kau letak merata-rata. Nasib baik aku yang jumpa, kalau dibuatnya pencuri masuk, macam mana?” Epal yang diletakkan oleh Izz di atas kabinet diambil.

“Tadi aku dah kata, aku letak sementara je. Bukan nak simpan kat sini pun. Pergilah ambil kotak tu, aku nak guna.” Izz mendesak.

“Kalau ye pun, makanlah epal ni dulu. Kejap lagi aku bagi kotak tu.” Epal ditangannya dilontar semula kepada Izz. 

Tombol pintu dipulas. Dia masuk dengan muka masam. Sedikit geram dengan leteran Izzdiyad tadi. Matanya melilau mencari susuk Hasya. Bilik air dibuka, balkoni diintai, namun jejak Hasya tiada. Dia mengeluh panjang.

Dia duduk bersila di atas katil. Kotak merah hati masih dipegang. Riben merah jambu yang dihias cantik membuatkan kotak itu kelihatan eksklusif. Dia mendengar tombol pintu diputar. Kotak itu disembunyikan di bawah bantal. Dia berbaring sambil berpura-pura tidur.

Hasya merapati katil. Dia sedikit gusar apabila melihat Izz tidur lebih awal dari biasa. Agaknya demam Izz belum kebah sepenuhnya. Hasya merangkak naik ke atas katil. Dahi Izz disentuh dengan tapak tangannya. Suhunya biasa saja, tidak panas.

“Abang...” Bahu Izz ditepuk perlahan. Tiada respon dari lelaki itu.

Hasya mengusap-usap lembut pipi suaminya. Wajah Izz nampak tenang ketika dia sedang tidur. Wajah itu direnung lama sebelum dia mengucup dahi dan kedua-dua belah pipi Izz. Dia berbaring di dada bidang lelaki itu. Tubuh Izz dipeluk erat. Dia senyum. Matanya dipejam.

Izz tersenyum nakal apabila Hasya memeluk tubuhnya. Dia sedaya-upaya menahan ketawanya dari meletus kerana berjaya mempermainkan Hasya. Dia berani bertaruh Hasya tidak akan berani memeluknya seerat itu jika Hasya tahu dia sebenarnya tidak tidur. Izz membiarkan Hasya bergembira buat seketika kerana dia ada rancangan untuk mengenakan isterinya. 

Hasya pantas membuka mata apabila terasa tubuhnya dirangkul kemas. Dia bingkas bangun. Izz memandangnya dengan renungan tajam. Hasya melarikan pandangannya, tidak berani menatap mata Izz. Rasa malu menyerbu ke seluruh dirinya. Lelaki itu bangun lalu bersandar di katil. Hasya ingin lari dari situ tetapi tubuhnya terlebih dahulu ditangkap oleh Izz.

“Kau nak ke mana, haa?” Keras nadanya.

“Errr... toilet.” Perlahan jawapannya.

“Owhhh! Lepas curi-curi cium aku, kau nak lari, ye?” Sinis soalan itu meniti di telinga Hasya. 

Wajah Hasya sudah berubah. Mukanya merah padam menahan malu kerana tingkah lakunya tadi sudah dikesan. Izz menahan gelak. Dia suka melihat wajah Hasya apabila malu.

“Sya ingatkan abang tidur.” Kepalanya tunduk ke bawah. 

“Jadi, kau fikir kau boleh buat apa saja masa aku tidur? Kau boleh peluk cium aku sesuka hati. Begitu?” Suara Izz masih tinggi.

Sindiran  Izz cukup membekas di hati Hasya. Air matanya sudah bergenang. Sedikit pun dia tidak menyangka perbuatannya sebentar tadi menimbulkan kemarahan suaminya. Salahkah menunjukkan kasih sayang dengan memberikan pelukan dan ciuman?

“Jangan ingat kau boleh sentuh tubuh badan aku tanpa izin aku. Faham?” Izz sengaja menekankan ayatnya yang terakhir. 

Air mata Hasya turun membuak-buak. Sungguh dia merasa terhina dengan kata-kata Izz. Perasaan yang cuba diekspresikan melalui perbuatannya telah dianggap menjengkelkan oleh suaminya. Bukan mudah untuknya menunjukkan kasih sayang dengan cara sedemikian.

Izz sengih tepi. Dia menunggu jawapan balas Hasya tetapi isterinya tetap menunduk. Rambut Hasya yang menutupi wajahnya diselak ke tepi telinga. Dagu isterinya diangkat. Wajah Hasya dipalingkan ke arahnya. 

Izz menganga. Dia langsung tidak menyangka lontaran kata-katanya membuatkan isterinya menangis. Niatnya cuma hendak mengusik. Teruk sangatkah gurauannya tadi? Dia mengetap bibir bawah. Geram dengan dirinya sendiri yang melukakan hati Hasya tanpa sedar. 

“Syhhh... jangan menangis. Aku bergurau je tadi.” Izz mengesat sisa air mata Hasya. Kelopak mata isterinya dikucup. Hasya ditarik rapat ke dadanya.

Hasya cuma diam. Sedikit pun tidak mengendahkan pujukan Izz. Kadang-kadang dia langsung tidak memahami rentak permainan Izz. Setelah memberi amaran keras, boleh pula dikatakan itu cuma gurauan semata-mata. 

“Sya... pandang aku.” Izz memegang pipi Hasya dengan kedua-dua belah tangannya. 

Hasya tetap tidak memandang wajah Izz. Matanya ditala ke bawah. Izz kehabisan akal. 

“Amboi, dah tak sudi pandang muka aku yang handsome ni?” Izz cuba berlawak.

Isterinya tetap membisu. Lawak Izz tidak menjadi. Izz menggaru kepalanya. Sejak bila Hasya pandai merajuk dengannya? Sudahlah dia tidak berapa pandai memujuk. 

“Syaaa... oh Syaaa...” Izz memanggilnya dengan nada manja.

Tiada respon juga. Keras hati betul budak Hasya.

Izz mengalah. Dia terpaksa menunjukkan bakatnya yang terpendam. Dia berdehem beberapa kali sebelum bibirnya mula menyanyi, bukan lagu pop rock kegemarannya tapi...

♪♪ Maafkan aku... maafkan aku...  maafkan aku...
Wahai cik Hasya jangan marah sangat
Sedangkan Nabi ampunkan umat
Kalau cik Hasya mukanya kelat
Ke lubang balkoni aku nak lompat
Nandung nandung dayang senandung
Wahai cik Hasya maafkan aku... ♪♪

Izz menyanyikan lagu yang diubahsuai dari lagu Maafkan Kami dendangan P. Ramlee, Aziz Sattar dan S. Shamsuddin dengan gayanya sendiri.  Mimik mukanya sengaja dipelbagaikan mengikut rentak lagu.

“Sumbang.” Akhirnya Hasya bersuara. Nyanyian Izz menggeletek tangkai hatinya. Tangisan sudah tiada lagi, hanya senyuman tersungging di bibir.

Izz ketawa kecil. Dia tiada bakat menyanyi lagu lama. Hatinya gembira walaupun Hasya mengutuk nyanyiannya. Senyuman Hasya sudah memadai baginya untuk turut tersenyum.

“Sya... aku ada sesuatu untuk kau.” Kotak berwarna merah hati dikeluarkan dari bawah bantal lalu dihulurkan kepada Hasya. Kotak bertukar tangan. Hasya membuka kotak itu dengan rasa ingin tahu.

“Untuk Sya?” Bulat mata Hasya memandang seutas rantai mutiara Rafflesia yang berkilau-kilauan di dalamnya. Cantik!

Izz mengangguk. Rantai mutiara itu diambil lalu dipakaikan ke leher isterinya. Cukup menarik apabila rantai itu menghiasi leher gadis kesayangannya. Tidak sia-sia tips yang diberi Mimi.

Perfect.” Izz  tersenyum lebar.

“Tapi... hari ni bukan hari lahir Sya.” 

Izz senyum lagi. Dia tahu apa yang Hasya fikirkan. Pasti isterinya keliru kerana dia memberikan sesuatu yang mahal tanpa sebarang kaitan dengan tarikh istimewa. “Aku tak perlukan hari tertentu untuk beri barang pada kau.... kerana kau isteri aku.”

“Terima kasih.” Hasya pura-pura gembira walaupun dia tidak suka barang kemas. Sedikit pun tidak teruja atas pemberian semahal itu tetapi dia menghargai hadiah dari suaminya.

“Aku terima kasih yang kau berikan.” Pipi disua seperti biasa dan Hasya mengucupnya tanpa rela.



Eriyza :  Fuhhh! Akhirnya siap juga bab ini. Maaflah wahai pembaca sekalian kerana idea kurang menyengat. Namun, penulis sudah memastikan bab ini ada kesinambungan dengan bab terdahulu. Jangan lupa komen ye!

2/16/2013

Yes I Love You


Cuba anda baca Yes I Love You 1 dalam gambar ini dan baca sekali lagi Yes I Love You 1 dalam blog ini. Anda pasti melihat perbezaan ayatnya kerana penulis telah menokok tambah cerita supaya lebih berperisa strawberi.

Penulis paparkan sebahagian bab 1 Yes I Love You yang telah penulis edit. Dalam kepadatan masa yang ada, ada beberapa bab telah berjaya penulis tambah. Namun, ada juga bab yang tidak menjalani proses rombakan secara besar-besaran, hanya sipi-sipi sahaja. Semuanya bergantung kepada idea yang datang tanpa diundang.

Untuk bab 1 sahaja, ianya mengandungi 10 halaman bercetak dengan tulisan Times New Roman bersaiz 12 dan line spacing berukuran 1.15. Jika dijilidkan semua bab yang telah penulis paparkan di blog ini, tentu anda sendiri boleh hitung. Sebenarnya, bab bercetak ini hanyalah untuk koleksi peribadi sahaja agar boleh dibaca semula pada masa hadapan.

2/05/2013

Yes I Love You 34

Yes, I Love You – Bab 34

Dia berjalan terjingkit-jingkit. Dari pokok bunga kertas ke pohon bonsai, dia menyelinap agar bayangnya tidak dilihat. Di sebalik pohon bonsai yang diukir bulat-bulat umpama bola, dia mengintai kelibat suspeknya. Sebuah kotak segiempat tepat yang dipegang sedari tadi, disembunyikan di belakang badannya.

Suspek dilihatnya sedang bermain buaian sambil menyanyi riang. Lagu yang dibawanya tentulah lagu klasik, lagu yang menjadi kegemarannya. Dia terus mengendap suspek, mengamati agar suspek tidak menyedari kehadirannya nanti. 

Bahunya ditepuk dari belakang. “Oittt...!” Izzdiyad mencerlung garang.

“Astaghfirullahalazim. Terkejut aku.” Dia mengurut-urut dadanya. Sungguh dia terperanjat dengan kehadiran abangnya yang tidak diundang.

“Izz...?! Sorry laa. Aku ingatkan penyamun mana tadi. Nasib baik aku tak hempuk dengan boots ni, tau.” Izzdiyad menunjukkan boots jenama Sidi buatan Itali milik Izz yang berada di tangannya. Dia tersengih panjang.

“Weh, ada ke patut riding boots aku yang mahal tu kau nak buat senjata?” Izz membulatkan matanya. Tergamak Izzdiyad menggunakan kasut yang dia gunakan untuk menunggang motosikal sebagai bahan untuk memukul dirinya yang disangka orang jahat.

“Kau buat apa ni Izz? Terhendap-hendap macam pencuri, siap jalan berjingkit lagi.” Izzdiyad turut mengendap seperti Izz, cuba memandang apa yang dilihat oleh adiknya. Ada benda baguskah? 

“Laa... bini sendiri pun kau mengendap?” Izzdiyad sengih tepi. “Demam semalam buat kau jadi tak betul ke?” Izzdiyad  cuba menyentuh dahi adiknya.

Izz menepis tangan Izzdiyad. “Kau ni Yad, mulut takde insurans laa. Aku nak buat suprise tuk Sya... sebab tu laa aku intai dulu dia duk buat apa.” 

Kacau daun betul! Rosak rancangan aku! Hati Izz mendengus geram.

“Owhhh! Suprise? Adegan menarik ni. Bolehlah aku join sekali.” Izzdiyad mengusik adiknya. Kening diangkat sebelah.

“Aku cancel jelah. Kalau kau tengok, takdelah suprisenya lagi.” Mana boleh tengok, malulah dia nanti. Sudahlah ini kali pertama dia mahu membuat kejutan seperti ini. Izz berpeluk tubuh. Apa punya abanglah si Izzdiyad, tak bagi muka langsung.

Dia mengambil kotak tersebut lalu mahu menapak pergi. Izzdiyad tersengih memerhatikan rajuk si adik. Pantas tangannya menarik lengan Izz.

“Aku bagi chance. All the best, bro.” Dia menepuk-nepuk bahu Izz sambil ketawa lalu menghilang ke arah gazebo.

Izz mengendap sekali lagi. Cuba melihat kelibat si isteri tetapi malangnya isterinya sudah tiada di atas buaian.

“Alah, ke mana pulak si Hasya ni pergi?” Dia menepuk dahi. Geram kerana rancangannya gagal gara-gara terserempak dengan ‘pengawal keselamatan’. 

Kotak yang masih dipegang dipeluk ke dadanya. Dia menapak ke arah buaian tersebut. Matanya meliar mencari susuk Hasya tetapi bayangnya pun tiada. Dia naik ke atas buaian besi. Dia duduk di tempat yang baru ditinggalkan Hasya. 

Izz berbuai perlahan. Dia memejamkan matanya. Angin petang yang bertiup nyaman cukup membuatkan tubuhnya terasa segar. Dia mendengar derap kaki menuju ke arahnya. Matanya dibuka pantas. Kelihatan seseorang tersenyum simpul sedang menapak melalui buaian yang didudukinya. Kotak segera disembunyikan di belakang badannya.

“Izz, masih demam lagi?” 

“Alhamdulillah. Dah okey. Nak ke mana, Nat?” Izz menegur apabila melihat Natalia membawa dua buah mangkuk. Satu mangkuk besar dan satu lagi lebih kecil.

“Nak makan buah pauh kat gazebo. Come, join me.” 

“Eh, takpelah. Izz tak berapa gemar makan buah yang masam.” 

“Okey. Pergi dulu, ye.” Natalia berlalu pergi. “Izz...”

Izz berpaling ke arahnya. “Yes.

“Hasya pun ada kat sana.” Natalia seakan tahu yang Izz sedang mencari isterinya.

“Yad mana? Tak nampak pun?” Izz segera mengalih topik. 

“Kat sana jugak. Tengah tunggu buah pauh ni haa. Jomlah sekali.” Natalia mula menapak pergi.

Izz melompat turun dari buaian. Nampak gayanya kejutan yang telah dirancang terpaksa dibatalkan. Dia menapak ke dapur. Kotak itu dimasukkan sementara ke dalam salah sebuah kabinet dapur tingkat atas.

Gelak tawa sekumpulan manusia kedengaran sewaktu dia menghampiri gazebo. Kesemua ahli keluarganya berada di situ sedang menikmati minum petang. Menunya buah pauh dicicah bersama kicap yang dimasukkan cili api dan sedikit gula.

“Izz, kau pun nak join jugak acara makan buah pauh? Kau tak suka benda masam, kan?” Izzdiyad mengusik. Dia mahu melihat muka kelat adiknya.

Izz menjeling tajam pada Izzdiyad. Suka sangat cari pasal. Selipar ditanggalkan lalu dia menapak naik ke atas gazebo. Dia ingin duduk di sisi Hasya tetapi isterinya diapit oleh Natalia dan mamanya. Hanya ada satu tempat kosong di sebelah Izzdiyad. 

“Duduklah. Kenapa kamu tercegat kat situ?” Tegur Datuk Izzuddin.

“Rimas mama tengok kamu berdiri macam tu.” Datin Faridah memasukkan buah pauh ke dalam mulutnya. Sedap!

“Abang... ke sana sikit.” Arah Natalia kepada suaminya.

“Kenapa pulak? Izz, kau duduk sini jelah. Aku malas nak bergerak.” Izzdiyad mengarahkan Izz duduk di sebelahnya.

Hasya memandang suaminya dengan senyuman. Izz merenung tajam ke arahnya. Datuk Izzuddin sekadar menggeleng. Datin Faridah memandang ke arah Izzdiyad dengan membuat isyarat mata agar Izzdiyad mengalah. Izzdiyad tersenyum kerana dia hanya ingin mempermainkan Izz.

“Biar sayang sajalah beralih tempat.” Natalia baru hendak bangun apabila Izzdiyad mula mengengsot ke ruang kosong yang ada.

“Abang... mehlah duduk sini.” Hasya membuka mulut.

Izz mengambil tempat di sebelah Hasya. Suasana diam seketika. Hanya kunyahan buah pauh yang kedengaran. Izz cuma memandang orang lain makan. Dia sedikit pun tidak beminat hendak turut serta dalam acara makan buah pauh.

“Rasalah.” Hasya mengunjukkan bekas berisi buah pauh kepada Izz. Lelaki itu teragak-agak hendak merasa buah pauh yang semestinya masam. Dia mencicah buah pauh ke dalam kicap. Buah pauh dikunyah perlahan.

Belum pun habis buah pauh itu dikunyahnya, dia menjerit. “Pedasss...”

Datuk Izzuddin dan Datin Faridah saling berpandangan. Natalia sekadar tersenyum kecil. Izzdiyad terus mengunyah buah pauh tanpa mempedulikan jeritan Izz. Suasana di gazebo menjadi bising dengan suara Izz.

Hasya menghulurkan segelas air masak kepada Izz. Rakus Izz meneguk air tersebut. Air masak Hasya yang berbaki setengah gelas disambar lalu diminum sekaligus. Walaupun sudah satu setengah gelas air diteguk, dia masih kepedasan, cili api yang digigitnya cukup untuk membuatkan telinganya berasap. 

Izz berdiri. Dia mengipas-ngipaskan mulutnya. Matanya berair menahan pedas. 

“Tunggu, ye. Sya ambilkan yogurt dari peti ais.” Dia pantas turun dari gazebo. Izz turut mengekorinya. Dia sudah tidak boleh menunggu lama. Rasa pedasnya perlu dihilangkan segera. 

Sebaik Hasya membuka pintu peti sejuk, Izz terus mencapai sebotol air sejuk. Tanpa mengambil gelas, dia meneguk terus air itu dari botol. Sekelip mata, separuh air dari botol sudah habis diteguk. Rasa pedasnya hilang tetapi cuma seketika.

“Sya, pedas lagi ni.” Izz buat muka kasihan. Wajahnya sudah disimbahi peluh. Air mata sudah mengalir. 

Hasya cuma menggelengkan kepala melihat aksi Izz. Yogurt Liteyo berperisa blueberry diambil. Sudu dicapai. 

“Makan ni.” Yogurt sudah disudu, hanya menunggu Izz membuka mulut untuk disuap.

“Mana hilang pedas makan yogurt. Pergi ambil gula.” Izz masih berdegil.

“Abang... cubalah makan dulu.” Sudu berisi yogurt masih disua di hadapan Izz. Dia geram betul dengan suaminya yang tidak mahu mencuba petuanya.

Lambat-lambat lelaki itu menerima suapan yogurt dari isterinya. Dari satu suap ke beberapa suap, akhirnya yogurt itu dihabiskannya. Patutlah Hasya suka makan yogurt, rasanya sedap. 

Seketika kemudian, rasa pedas tiada lagi. “Sya, mana kau tahu yogurt boleh hilangkan pedas?”

“Sebab capsaicin perlu dilawan dengan kasein.” Selamba jawapan Hasya.

“Errr... aku tak faham. Maksudnya...?” Izz menggaru kepala.  

Entah apa bendalah Hasya mengarut. Masa belajar Sains dulu, tak ada pun disebut tentang benda-benda tersebut. Aku ada ponteng kelas Sainskah dulu? Izz terus berfikir.

Hasya senyum. “Tunas rasa tidak mengesan pedas. Deria kesakitan di lidah yang merangsang bahan kimia yang disebut capsaicin dalam makanan pedas seperti cili. Sebab itulah, rasa pedas boleh dirasa oleh tangan, esofagus dan perut. Untuk menghilangkannya, kita perlu ambil kasein yang terdapat dalam produk tenusu atau yogurt kerana ianya dapat melarutkan bahan kimia tersebut.”

Izz mengangguk. Seakan tidak percaya kata-kata itu keluar dari mulut Hasya. Teori yang boleh diterima pakai. 

“Lagi satu, pedas mewujudkan rasa terbakar. Jadi, secara automatik kita fikir air sejuk dapat menghilangkan rasa pedas tersebut. Sebenarnya, capsaicin tidak larut dalam air, maka ia hanya melegakan sementara sahaja.” Hasya tersenyum kecil sebelum kembali ke gazebo.

Wajah Izz sudah berubah rona. Bibir atas diketap perlahan. Dalam nasihat terpalit sindiran. 


©Eriyza : Mungkinkah ini penamat enovel Yes, I Love You?? Membaca dan mencari idea adalah 2 perkara yang sungguh besar bezanya. Penulis sedar karya ini tidak sehebat novel lain yang ada di pasaran. Sejujurnya, penulis tidak mahu muncul di khalayak sebagai seorang novelis. Justeru, terima kasih kepada anda yang sudi memberi komen pujian atau kritikan kerana ia menjadi penyuntik semangat untuk penulis melakar cerita Izz dan Hasya.