2/20/2013

Yes I Love You 35


Yes, I Love You – Bab 35

Dia menonong ke dapur. Izzdiyad yang sedang menonton Berita TV9 di ruang tamu langsung tidak ditegur. Kabinet dapur terus dituju. Dia membuka salah satu tingkat atas kabinet dapur tersebut. Susunan barang-barang di dalam kabinet itu telah berubah. Barang yang disimpan juga telah hilang. 

“Mak Bee..!” 

Wanita yang sedang membasuh di sinki itu terkocoh-terkocoh mendapatkannya. 

“Ada apa, Izz?” Sejak Hasya melarang Mak Bee memanggilnya Puan Hasya, Izz turut tidak membenarkan pembantu rumahnya memanggilnya Encik Izz.  

“Mak Bee ada nampak kotak warna merah tak dalam kabinet atas tu?” Jari dituding pada kabinet atas yang masih belum ditutup pintunya.

“Kotak? Tak ada pulak. Lagi pun, Mak Bee tak bukak kabinet tu tadi.” Mak Bee mengesat tangannya yang masih basah dengan tuala.

Izz menggaru dagunya. “Hmmm...! Petang tadi Izz simpan kotak kat atas ni. Bila nak ambil balik, kotak tu dah takde. Susunan barang dalam ni pun berubah.”

“Cuba Izz tengok kat kabinet sebelah pulak. Mana tau Izz tersalah letak. Biar Mak Bee tengok kat kabinet bawah.” Mak Bee mula membuka pintu kabinet bahagian bawah.

“Dah check tadi... tapi... takde jugak.” Izz mula cuak. Bukan mudah dia hendak mendapatkan barang di dalam kotak tersebut. 

“Ada apa ni? Kecoh semacam je. Dahlah Izz selongkar kabinet atas, Mak Bee pulak duk terjenguk-jenguk kabinet bawah.” 

Mak Bee senyum. “Ni haa, barang Izz hilang. Mak Bee tolong carikan.”

“Owhhh...! Takpe, Mak Bee pergilah buat kerja. Biar Yad carikan.” Izzdiyad tersenyum. Izz dipandang sekilas tetapi lelaki itu buat muka selamba. 

Mak Bee segera berlalu meninggalkan dua beradik itu.

“Cuba cakap dengan aku, barang apa yang hilang?” 

“Takde apalah. Barang murah je.” Izz masih berdalih. Tidak mahu abangnya mentertawakannya kalau mengetahui cerita sebenar.

“Murah? Betul ke? Kalau barang dalam kotak tu, aku rasa harganya ribuan ringgit.” Izzdiyad sengih tepi. Peti ais dibuka. Dua biji epal hijau diambil. Sebiji dilontar ke arah Izz.

Izz mencerlung. Nampak gayanya seperti Izzdiyad tahu sesuatu. “Kau nampak kotak tu?”

Izzdiyad tersengih. Epal hijau di tangan digigit. Soalan Izz dibiarkan sepi.

Izz geram apabila soalannya tidak dijawab. Pintu kabinet atas ditutup kasar. Epal hijau diletakkan di atas kabinet sebelum berlalu pergi.

“Izz... kotak tu aku letak dalam bilik.” Epal hijau terus dikunyah.

Izz berhenti melangkah. “Kenapa kau alih? Aku letak sementara je kat sini!” Izz bengang. Buat penat saja dia menyelongkar setiap kabinet sedangkan kotak tersebut sudah berpindah tempat.

“Semalam mama suruh aku ambil balang dalam kabinet atas. Dia nak isi buah pauh yang dah dijeruk. Bila aku bukak kabinet, aku nampak kotak tu. Aku tau... tu kotak suprise kau. So, aku tolong simpankan. Kau ni... dari dulu sampai sekarang, selalu cuai. Barang harga mahal macam tu kau letak merata-rata. Nasib baik aku yang jumpa, kalau dibuatnya pencuri masuk, macam mana?” Epal yang diletakkan oleh Izz di atas kabinet diambil.

“Tadi aku dah kata, aku letak sementara je. Bukan nak simpan kat sini pun. Pergilah ambil kotak tu, aku nak guna.” Izz mendesak.

“Kalau ye pun, makanlah epal ni dulu. Kejap lagi aku bagi kotak tu.” Epal ditangannya dilontar semula kepada Izz. 

Tombol pintu dipulas. Dia masuk dengan muka masam. Sedikit geram dengan leteran Izzdiyad tadi. Matanya melilau mencari susuk Hasya. Bilik air dibuka, balkoni diintai, namun jejak Hasya tiada. Dia mengeluh panjang.

Dia duduk bersila di atas katil. Kotak merah hati masih dipegang. Riben merah jambu yang dihias cantik membuatkan kotak itu kelihatan eksklusif. Dia mendengar tombol pintu diputar. Kotak itu disembunyikan di bawah bantal. Dia berbaring sambil berpura-pura tidur.

Hasya merapati katil. Dia sedikit gusar apabila melihat Izz tidur lebih awal dari biasa. Agaknya demam Izz belum kebah sepenuhnya. Hasya merangkak naik ke atas katil. Dahi Izz disentuh dengan tapak tangannya. Suhunya biasa saja, tidak panas.

“Abang...” Bahu Izz ditepuk perlahan. Tiada respon dari lelaki itu.

Hasya mengusap-usap lembut pipi suaminya. Wajah Izz nampak tenang ketika dia sedang tidur. Wajah itu direnung lama sebelum dia mengucup dahi dan kedua-dua belah pipi Izz. Dia berbaring di dada bidang lelaki itu. Tubuh Izz dipeluk erat. Dia senyum. Matanya dipejam.

Izz tersenyum nakal apabila Hasya memeluk tubuhnya. Dia sedaya-upaya menahan ketawanya dari meletus kerana berjaya mempermainkan Hasya. Dia berani bertaruh Hasya tidak akan berani memeluknya seerat itu jika Hasya tahu dia sebenarnya tidak tidur. Izz membiarkan Hasya bergembira buat seketika kerana dia ada rancangan untuk mengenakan isterinya. 

Hasya pantas membuka mata apabila terasa tubuhnya dirangkul kemas. Dia bingkas bangun. Izz memandangnya dengan renungan tajam. Hasya melarikan pandangannya, tidak berani menatap mata Izz. Rasa malu menyerbu ke seluruh dirinya. Lelaki itu bangun lalu bersandar di katil. Hasya ingin lari dari situ tetapi tubuhnya terlebih dahulu ditangkap oleh Izz.

“Kau nak ke mana, haa?” Keras nadanya.

“Errr... toilet.” Perlahan jawapannya.

“Owhhh! Lepas curi-curi cium aku, kau nak lari, ye?” Sinis soalan itu meniti di telinga Hasya. 

Wajah Hasya sudah berubah. Mukanya merah padam menahan malu kerana tingkah lakunya tadi sudah dikesan. Izz menahan gelak. Dia suka melihat wajah Hasya apabila malu.

“Sya ingatkan abang tidur.” Kepalanya tunduk ke bawah. 

“Jadi, kau fikir kau boleh buat apa saja masa aku tidur? Kau boleh peluk cium aku sesuka hati. Begitu?” Suara Izz masih tinggi.

Sindiran  Izz cukup membekas di hati Hasya. Air matanya sudah bergenang. Sedikit pun dia tidak menyangka perbuatannya sebentar tadi menimbulkan kemarahan suaminya. Salahkah menunjukkan kasih sayang dengan memberikan pelukan dan ciuman?

“Jangan ingat kau boleh sentuh tubuh badan aku tanpa izin aku. Faham?” Izz sengaja menekankan ayatnya yang terakhir. 

Air mata Hasya turun membuak-buak. Sungguh dia merasa terhina dengan kata-kata Izz. Perasaan yang cuba diekspresikan melalui perbuatannya telah dianggap menjengkelkan oleh suaminya. Bukan mudah untuknya menunjukkan kasih sayang dengan cara sedemikian.

Izz sengih tepi. Dia menunggu jawapan balas Hasya tetapi isterinya tetap menunduk. Rambut Hasya yang menutupi wajahnya diselak ke tepi telinga. Dagu isterinya diangkat. Wajah Hasya dipalingkan ke arahnya. 

Izz menganga. Dia langsung tidak menyangka lontaran kata-katanya membuatkan isterinya menangis. Niatnya cuma hendak mengusik. Teruk sangatkah gurauannya tadi? Dia mengetap bibir bawah. Geram dengan dirinya sendiri yang melukakan hati Hasya tanpa sedar. 

“Syhhh... jangan menangis. Aku bergurau je tadi.” Izz mengesat sisa air mata Hasya. Kelopak mata isterinya dikucup. Hasya ditarik rapat ke dadanya.

Hasya cuma diam. Sedikit pun tidak mengendahkan pujukan Izz. Kadang-kadang dia langsung tidak memahami rentak permainan Izz. Setelah memberi amaran keras, boleh pula dikatakan itu cuma gurauan semata-mata. 

“Sya... pandang aku.” Izz memegang pipi Hasya dengan kedua-dua belah tangannya. 

Hasya tetap tidak memandang wajah Izz. Matanya ditala ke bawah. Izz kehabisan akal. 

“Amboi, dah tak sudi pandang muka aku yang handsome ni?” Izz cuba berlawak.

Isterinya tetap membisu. Lawak Izz tidak menjadi. Izz menggaru kepalanya. Sejak bila Hasya pandai merajuk dengannya? Sudahlah dia tidak berapa pandai memujuk. 

“Syaaa... oh Syaaa...” Izz memanggilnya dengan nada manja.

Tiada respon juga. Keras hati betul budak Hasya.

Izz mengalah. Dia terpaksa menunjukkan bakatnya yang terpendam. Dia berdehem beberapa kali sebelum bibirnya mula menyanyi, bukan lagu pop rock kegemarannya tapi...

♪♪ Maafkan aku... maafkan aku...  maafkan aku...
Wahai cik Hasya jangan marah sangat
Sedangkan Nabi ampunkan umat
Kalau cik Hasya mukanya kelat
Ke lubang balkoni aku nak lompat
Nandung nandung dayang senandung
Wahai cik Hasya maafkan aku... ♪♪

Izz menyanyikan lagu yang diubahsuai dari lagu Maafkan Kami dendangan P. Ramlee, Aziz Sattar dan S. Shamsuddin dengan gayanya sendiri.  Mimik mukanya sengaja dipelbagaikan mengikut rentak lagu.

“Sumbang.” Akhirnya Hasya bersuara. Nyanyian Izz menggeletek tangkai hatinya. Tangisan sudah tiada lagi, hanya senyuman tersungging di bibir.

Izz ketawa kecil. Dia tiada bakat menyanyi lagu lama. Hatinya gembira walaupun Hasya mengutuk nyanyiannya. Senyuman Hasya sudah memadai baginya untuk turut tersenyum.

“Sya... aku ada sesuatu untuk kau.” Kotak berwarna merah hati dikeluarkan dari bawah bantal lalu dihulurkan kepada Hasya. Kotak bertukar tangan. Hasya membuka kotak itu dengan rasa ingin tahu.

“Untuk Sya?” Bulat mata Hasya memandang seutas rantai mutiara Rafflesia yang berkilau-kilauan di dalamnya. Cantik!

Izz mengangguk. Rantai mutiara itu diambil lalu dipakaikan ke leher isterinya. Cukup menarik apabila rantai itu menghiasi leher gadis kesayangannya. Tidak sia-sia tips yang diberi Mimi.

Perfect.” Izz  tersenyum lebar.

“Tapi... hari ni bukan hari lahir Sya.” 

Izz senyum lagi. Dia tahu apa yang Hasya fikirkan. Pasti isterinya keliru kerana dia memberikan sesuatu yang mahal tanpa sebarang kaitan dengan tarikh istimewa. “Aku tak perlukan hari tertentu untuk beri barang pada kau.... kerana kau isteri aku.”

“Terima kasih.” Hasya pura-pura gembira walaupun dia tidak suka barang kemas. Sedikit pun tidak teruja atas pemberian semahal itu tetapi dia menghargai hadiah dari suaminya.

“Aku terima kasih yang kau berikan.” Pipi disua seperti biasa dan Hasya mengucupnya tanpa rela.



Eriyza :  Fuhhh! Akhirnya siap juga bab ini. Maaflah wahai pembaca sekalian kerana idea kurang menyengat. Namun, penulis sudah memastikan bab ini ada kesinambungan dengan bab terdahulu. Jangan lupa komen ye!

21 comments

Anonymous

Best.entah apa2 je perangai izz.macam budak2

Anonymous

we want more.....pretty please...hehe
good job....

strawberry.chocolate81 February 20, 2013 at 12:10 PM

perghhhh....cam pendek je...nak lagi nak lagi ....nak lagi!!!!!!!!!!!!

Eriyza February 20, 2013 at 12:54 PM

@Anonymous:
Fizikal dewasa tapi minda kanak-kanak. :)

Eriyza February 20, 2013 at 12:54 PM

@Anonymous:
Akan diusahakan.

Eriyza February 20, 2013 at 12:55 PM

@strawberry.chocolate81:
Errr, pendek kaa??
Penat perah otak tau. :D

Unknown February 20, 2013 at 10:27 PM

best2 suker2...alahai dalam tk romantika nyer izz,terserlah gak sifat2 romantik tu bile dh pandai nk buat suprise n bagi2 hadiah....nape cam tk puas lg nih..heeheee...beribu ribu tq my writer couse ur n3 nih..nk ggggggg leh ker heeheee

Eriyza February 20, 2013 at 11:29 PM

@norihan mohd yusof:
Sama-sama.

Riena February 23, 2013 at 11:15 AM

rase xpuas bace..
nak lagi.. =)

Unknown February 25, 2013 at 6:58 AM

nak lagi..fuu

Anonymous

bila nk ada sambungan nye....

Unknown March 31, 2013 at 2:17 AM

bila nk smbg?:(

Akak Ninja April 21, 2013 at 12:21 AM

bile sambungannya?

Nurul Johari May 24, 2013 at 10:42 AM

wah dh abis bace dh dr bab 1 smp 35.... bile ada sambungan nye.. suke ngan watak izz ngan hasya.. sempoi

Anonymous

nak lagi.nak hasya.nak izz.nak!nk jugak.giler bapak best cite nie.masuk dlam novel jap

Eriyza June 1, 2013 at 2:19 PM

@Riena:
Terima kasih sbb selalu baca.

Eriyza June 1, 2013 at 2:20 PM

@fazi syah:
Sabar.

Eriyza June 1, 2013 at 2:21 PM

@Anonymous:
Akan disambung nanti.

Eriyza June 1, 2013 at 2:22 PM

@siti nurazzyyati:
Sabar, akan bersambung jua.

Eriyza June 1, 2013 at 2:22 PM

@Nurul Johari:
Terima kasih :)

Eriyza June 1, 2013 at 2:22 PM

@Anonymous:
Mereka pasti akan kembali lagi.

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.