4/11/2012

Yes I Love You 24

Yes, I Love You – Bab 24

Sudah dua hari Izz berada di Sri Aman. Dia ke sana atas tujuan perniagaan. Masih ada baki beberapa hari lagi untuk dia bermusafir di bumi Kenyalang sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Entah mengapa dia asyik teringatkan Hasya. Dalam jaga wajah Hasya terbayang, dalam lenanya juga gadis itu bertandang. Dia jadi bingung.

Izz tidak mengerti mengapa bayangan Hasya asyik mengganggunya. Rindukah dia pada gadis itu? Mana mungkin bersarang rindunya pada gadis yang tidak dicintainya. Dia terkenangkan Hasya kerana gadis itu sering menemaninya akhir-akhir itu. Dia telah terbiasa dengan kehadiran Hasya di sisi. Jadi, dia merasa kosong apabila gadis itu tidak dibawa bersama. Ya, itulah punca yang menyebabkan ingatannya pada Hasya sangat kuat. Izz bersetuju dengan kata hatinya.

Telefon pintarnya dicapai. Dia mencari-cari nama Hasya di dalam senarai nama telefon bimbitnya. Dahinya berkerut.

“Hanif.. Haziq... Hafiz.. mana nombor Hasya?” Dia tidak berpuas hati. Sekali lagi senarai nama dengan huruf H dicari tetapi hampa, yang ada cuma nama abang-abang iparnya sahaja. Barulah dia teringat yang dia tidak pernah meminta langsung nombor telefon bimbit isterinya. Dia mendengus geram.

Kedengaran ketukan di pintu biliknya. Dia hanya membiarkannya. Ketukan itu bertalu-talu lagi. Izz berjalan malas ke pintu bilik. Tombol pintu dipulas. Kelihatan seorang pemuda sedang tersengih memandangnya.

“Dah naik lenguh kaki aku berdiri depan pintu ni. Kau buat apa, hah? Punyalah lambat bukak pintu.” Tanpa dipelawa, tubuhnya sudah dibawa masuk ke dalam bilik.

“Kau nak gi mana ni?” Soalan dibalas dengan soalan. Malas hendak menjawab pertanyaan rakannya yang suka menyakat itu.

Punggungnya dihenyak di birai katil. Zikri terus duduk di kerusi yang tersedia di hadapan cermin solek. Rambutnya yang digayakan stail faux hawk mullet ala Cristiano Ronaldo disebak dengan jari. Wajahnya diperhati di cermin. Dia senyum. Tampan!

“Izz, jom keluar. Aku bosanlah dok terperap kat bilik hotel ni.”

“Aku malaslah. Takde mood.”

“Hey, betul ke apa yang aku dengar ni? Tak pernah Mr. Izz menolak kalau diajak cuci mata. Apa kes ni? Takde mood pulak.” Kening diangkat tiga kali. “Jangan cakap kau tengah rindu-rinduan sama mem kat rumah.” Zikri ketawa sinis.

Status sebagai seorang suami telah mempengaruhi kehidupan Izz. Di masa bujangnya, dia yang lazimnya mengajak Zikri keluar merambu tetapi sekarang dia pula yang malas bersiar-siar.

“Oiii... takde masa aku nak layan rindu dendam kat Sya tu.” Dia menjegilkan matanya. “Kau nak keluar tadikan? Okey... aku ikut... tapi kau kena belanja supper. Boleh?”

Lebih baik dia segera menafikan kebenaran kata-kata Zikri kerana jika terus dilayan, berkemungkinan besar dia akan mengakui yang dia sedang memikirkan akan isterinya.

“Bisa diatur, boss.” Zikri memberi tabik kepada Izz.

Izz ketawa senang hati. Malam ini dia mau ‘pow’ Zikri puas-puas. Setelah penat memerah otak menyiapkan kerja siang tadi, apa salahnya mereka meluangkan masa dengan berjalan-jalan di sekitar bandar Sri Aman atau dahulunya dikenali sebagai Simanggang. Antara tinggalan sejarah yang menarik ialah Kubu Alice yang dibina tanpa menggunakan sebatang paku pun.

Sri Aman terkenal dengan buaya lagenda Bujang Senang yang sering mengganas di Sungai Batang Lupar. Kononnya Bujang Senang adalah jelmaan seorang pahlawan Iban bernama Simalungun yang telah dibunuh. Dia bersumpah akan membunuh semua keturunan yang membunuhnya. Bujang Senang mempunyai jalur putih di bahagian belakang badannya. Sehingga kini, mitos tentang Bujang Senang masih menjadi misteri.

Satu lagi keunikan Sri Aman ialah Benak atau ombak besar yang mengalun membawa air pasang dari laut ‘pecah’ apabila bertembung dengan pulau dan membentuk ombak yang menghala ke arah sungai dan berlaku 2 kali sehari di Sungai Batang Lupar. Kerajaan Sarawak telah mengkomersialkan Pesta Benak pada setiap tahun sekitar bulan Mei hingga Ogos, terutamanya ketika ombak benak berada pada paras tertinggi.

Selesai mengisi perut, mereka lepak di kawasan Tugu Merpati. Izz asyik memerhatikan replika merpati dua sejoli yang berdiri utuh di situ. Sekali lagi, fikirannya jauh menerawang. Seraut wajah milik Hasya memenuhi khayalannya. Dia gelisah, terasa ingin berada hampir dengan isterinya ketika ini.

“Weh Izz.” Jari dipetik dua kali di hadapan temannya itu.

Izz terpinga-pinga. Zikri dipandang geram. Kacau betul. Dia baru mula berangan tentang Hasya, si Zikri pula mematahkan anganan itu.

“Apa?” Suaranya sedikit marah.

“Amboi, garang nampak! Kau ni kenapa? Sejak tadi asyik layan blues je.”

Sudah letih Zikri bertanyakan soalan. Namun, tiada satu pun yang mendapat jawapan dari Izz. Dia hanya bercakap seorang diri. Lelaki di sebelahnya lebih banyak berkhayal. Tenggelam di dalam dunianya sendiri. Zikri bosan apabila dirinya tidak diendahkan oleh Izz. Baik balik tidur, terus berdengkur!

“Banyaklah kau punya blues gang. Aku okey je...macam biasa.”

Izz menghampiri Tugu Merpati. Dua ekor burung merpati putih itu direnung lama. Kalaulah Hasya ada bersamanya, tentu riuh mulutnya bertanyakan sejarah si merpati dua sejoli. Alangkah seronoknya kalau dapat bergambar dengan Hasya di sini.

“Kau tak okey. Izz, dari air muka kau, aku dah tau... kau tengah merinduuu.” Zikri sengih tepi. Dia sengaja memanjangkan perkataan merindu untuk melihat reaksi Izz.

“Zik, kau ni takde kerja lain? Baik kau fikirkan pasal projek kita esok.” Izz mencebik. Dia masih berdalih tentang perasaannya pada Hasya. Dia tidak mahu Zikri mentertawakannya.

“Macamlah kau tak kenal aku. Semua benda yang patut... dah settle... tinggal nak present je esok.” Dia sendiri tidak faham dengan perangai Izz. Sukar sangatkah hendak mengakui tentang rasa yang sedang menguasai diri? Susah betul berbicara dengan manusia yang egonya tinggi.

“Haa.. tu lagi bagus dari kau melalut tak tentu pasal. Jomlah balik... esok tak terjaga susah pulak.” Izz mula melangkah meninggalkan Tugu Merpati.

“Wah, sejak ada orang kejutkan setiap hari... kau memang tak boleh bangun sendiri, eh?” Zikri ketawa mengejek.

Izz memandang tajam ke arahnya. Dia melangkah semakin laju. Malas hendak melayan Zikri. Semakin dilayan, semakin menjadi-jadi. Zikri berlari-lari anak mengejar Izz. Panjang betul langkah si Izz, naik semput Zikri mengejarnya.

“Izz... kalau suka… cakap... jangan kau perap... nanti kumbang lain tangkap.” Zikri terus ketawa. Izz berhenti melangkah, sedikit tersentap dengan ayat Zikri manakala Zikri meneruskan langkahannya sambil ketawa besar.

Izz merebahkan diri ke katil. Tangan kanannya diletakkan di atas dahi. Berusaha untuk tidur lena tetapi tidak berdaya. Hatinya berasa pedih. Kata-kata Zikri terus kedengaran di telinganya bagaikan lagu yang diputarkan berulang-ulang.

Izz... kalau suka… cakap... jangan kau perap... nanti kumbang lain tangkap.

Telefon bimbitnya dikeluarkan dari poket seluar. Dia pantas mendail nombor seseorang. Dia menunggu beberapa saat tetapi talian tidak dijawab. Dia mendail lagi buat kali kedua. Seketika kemudian, kedengaranlah suara yang perlahan di hujung talian.

“Hello! Yad... boleh panggilkan Hasya kejap?”

“Amboi, salam tak bagi... terus cari Hasya, eh?” Kedengaran ketawa di hujung talian.

“Assalamualaikum, abangku. Boleh panggilkan Hasyaku?” Izz membetulkan kesilapannya yang menyerbu Izzdiyad tanpa sebarang ucapan salam.

“Waalaikumussalam, adikku. Bukan abangmu tak nak memanggil isterimu tetapi malam sudah larut. Esok jelah.” Izzdiyad ketawa, gelihati dengan sikap Izz.

“Alah Yad, kau tolonglah kejutkan Hasya. Aku ada hal penting nak cakap dengan dia ni.” Izz separuh merayu di hujung talian.

“Kenapa kau tak call dia terus?” Pelik juga kelakuan Izz. Mahu bercakap dengan orang lain tetapi ditelefonnya orang lain. Tersalah dailkah?

“Errr... aku lupa nak ambil nombor telefon dia.” Izz berkata selamba walaupun malu.

Izzdiyad ketawa terbahak-bahak di hujung talian. “Hold on.”

Hasya terpisat-pisat bangun. Ketukan di pintu bilik mengganggu tidurnya. Dia mencapai tudung yang tersangkut di penyangkut baju. Dia memulas tombol pintu bilik lalu terpacaklah Izzdiyad di situ.

“Maaf ganggu Sya tengah malam macam ni... ada call untuk Sya.”

“Call...? Siapa..?”

“Kekasih Sya.” Izzdiyad menyerahkan telefon bimbitnya lalu beredar ke biliknya semula.

“Sya, handphone tu pulangkan esok jelah. Datinglah puas-puas.” Izzdiyad ketawa sambil menghilangkan diri ke dalam biliknya.

Kekasih? Siapalah buat panggilan palsu tengah malam macam ni? Mungkin salah nombor?

“Assalamualaikum.” Panggilan tetap dijawab walaupun dia sedikit was-was.

“Waalaikumussalam. Kenapa kau lambat sangat jawab?”

“Siapa ni? Abang ke?” Hasya kurang mengecam suara si pemanggil.

“Bukan abang… tapi adik. Kau dah tidur ke?” Izz sengaja menyakat Hasya.

“Dah. Abang sihat? Kenapa telefon guna nombor abang Yad?” Hasya cemas kerana Izz menelefonnya ketika jarum jam menginjak ke pukul 2.22 minit pagi.

“Suka hati akulah. Aku cuma nak suruh kau buat sesuatu je.” Izz tidak mahu mengaku yang dia tidak mempunyai nombor telefon Hasya. Dia tidak mahu Hasya tahu dia ‘rindu’ pada gadis itu.

“Buat apa?” Hasya mengantuk. Matanya dipejam rapat.

“Kiss me through the phone.”

“Hah?” Mata Hasya yang tadinya layu sudah terbuka luas.



Eriyza : Hari pertabalan Tuanku Sultan Abdul Halim. Buah tangan terbaru untuk kalian yang terus menyokong Izz dan Hasya. Semoga terhibur.

9 comments

Ziana Eunos April 11, 2012 at 2:08 PM

best2...tgok tjuk cm menarik trus bce smpai cptr 24...teruskn2...:))

Anor April 11, 2012 at 3:52 PM

best nak lagi... cepat sambung n3 baru ye...

nursya April 11, 2012 at 8:48 PM

wah berjaya gak ari nie wat marathon bc novel nie...
giler ego si izz nie..
tp btl gak kata si zikri tu...
klw pendam lama2 nti sya kena rembat ngn kumbang len baru tau...
huhuhu...

writer next n3 plzzz...

Eriyza April 11, 2012 at 11:08 PM

@Anor:
Sabar naaa. :)

Eriyza April 11, 2012 at 11:09 PM

@nursya:
Wah, bacaan marathon tu.
Mekaseh. InsyaAllah, sy sambung nanti.

Kak Sue April 12, 2012 at 11:20 AM

Betul kata Zikri...Izz... kalau suka… cakap... jangan kau perap... nanti kumbang lain tangkap...... tahu takut....
Kalau suka mengaku saja, jangan ego terlalu tinggi takut makan diri ok...
sambungggg.... Kak Sue Follow....

Eriyza April 12, 2012 at 12:22 PM

@sue:
Terima kasih kerana terus menyokong.
Sy sambung nanti, ye!

Riena April 16, 2012 at 5:33 PM

lepas rase rindu kat Izz ngn Hasya..huhuhu..
cepat2 sambung ye Eriyza...xsabar2 menunggu sambungan nye..heheh

Eriyza April 16, 2012 at 11:26 PM

@Riena:
Sabaq ye Riena.
Kena kutip idea dulu. :)

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.