11/11/2011

Suamimu Milikku 02

Suamimu Milikku - Bab 2

Rumah kampung itu tampak sunyi sepi. Hampir semua lampu di dalam rumah sudah dipadamkan kecuali lampu di halaman rumah dan juga lampu tidur di dalam sebuah bilik seorang anak gadis. Encik Harun sudah lena tidur dan Puan Maryam sedang diulit mimpi indah.

Iffah bangun dari pembaringannya. Sudah hampir satu jam dia cuba melelapkan mata, namun gagal. Tiada rasa kantuk yang singgah di pelupuk matanya. Perlahan-lahan dia bangun lalu menyandar di katil. Kakinya ditarik rapat ke dada. Kedua-dua belah tangannya erat memeluk lutut. Mukanya dibenamkan di kepala lutut.

Saat itu dia benar-benar berasa berada di dunia ini sendirian. Tanpa keluarga, tanpa kawan, yang ada hanyalah dirinya sendiri. Tiada sesiapa pun yang boleh dijadikan tempatnya meluahkan perasaan. Tiada sesiapa pun yang mahu memahami kehendak hatinya. Satu persatu titis-titis jernih menuruni pipinya lantas menjadi hujan yang cukup lebat bersama sedu-sedan yang panjang.

Iffah, jangan gundah! Jangan jadi lemah! Ingatlah pada Allah! Setiap yang berlaku pasti ada hikmah. Lagi pun, pernikahan itu sunnah Rasulullah. Bukankah kau mahu jadi anak yang soleh? Tidakkah kau mahu menjadi isteri solehah? Iffah, setujulah… jangan buat mak dan abah marah!

Iffah mengangkat muka. Kata-kata hatinya sukar untuk ditelan apatah lagi untuk direalisasikan begitu sahaja. Apakah dia yang harus mengaku kalah dalam setiap permainan kehidupan? Tidakkah dia harus diberi pilihan sama seperti orang lain?

Tidak! Aku tidak boleh terus membiarkan diriku dibuli oleh mereka sesuka hati. Aku bukan biji guli yang boleh digolek ke sana sini tanpa simpati. Aku harus menentukan haluan hidupku sendiri. Ya, aku pasti. Aku harus berani.

Aku tidak peduli lagi, aku mahu lari. Ya, aku harus menyelamatkan diriku sendiri. Tapi… ke mana aku harus pergi?? Aku tidak punya tujuan lokasi. Malah aku tiada teman untuk menumpang bermalam walaupun cuma sehari. Wang pun tiada, gaji jauh sekali. Ah, carilah kerja nanti! Bisik hatinya lagi.

Airmata di pipi diseka kasar. Iffah bingkas bangun, dia menuju ke almari kayu di sudut kanan biliknya. Sebuah beg pakaian berwarna hitam sederhana besar diambil di atas almari. Beberapa helai pakaian diambil secara rambang lalu disumbat ke dalam beg itu. Dia menarik laci almari soleknya, beberapa keping wang dengan nilai yang berbeza diambil dan disumbat ke dalam dompetnya.

Pintu bilik dibuka perlahan. Dia memerhatikan keadaan di luar. Suasana gelap gelita. Bertemankan cahaya dari telefon bimbitnya, dia berjalan keluar sambil menjinjit beg pakaian. Langkahnya diatur berhati-hati agar tidak menimbulkan bunyi bising. Selak pintu utama dibuka. Kaki kirinya sudah berada di luar rumah. Jika selangkah lagi kaki kanan turut diangkat, maka dia sudah sepenuhnya berada di luar rumah.

Iffah segera menuruni anak tangga rumah kayu itu. Dia berjalan tergopoh-gapah sambil menjinjit beg pakaiannya. Suasana sekeliling gelap pekat. Tiada lampu di sekitar kawasan itu, Iffah hanya berpandukan cahaya telefon bimbitnya. Semakin pintu pagar dihampiri, dia semakin cemas. Berkeriuk bunyi pintu pagar besi yang sudah usang itu apabila dibuka. Bimbang kedua orang tuanya terjaga, Iffah segera keluar dari halaman rumah itu. Pintu pagar dibiarkan terbuka.

Hampir 15 minit Iffah berlari-lari anak, dia berhenti melepaskan lelah. Dia duduk sebentar di atas sebatang pokok kayu besar yang tumbang akibat ribut minggu lepas. Angin bertiup perlahan. Iffah terasa kedinginan. Baju tidurnya yang nipis tidak mampu menahan kesejukan. Dia terlupa mengambil sweater ketika keluar tadi.

Hampir 7 minit berehat, Iffah bangun lalu meneruskan perjalanannya. Dia hanya perlu berjalan kira-kira 200 meter lagi sebelum tiba ke jalan utama. Di sana nanti, dia bolehlah menaiki bas untuk ke bandar. Destinasi seterusnya akan difikirkan di dalam bas. Dia sendiri tidak pasti ke mana hendak pergi.

Ketika melalui belukar kecil, Iffah mendengar seolah-olah namanya diseru. Iffah segera menoleh. Tiada kelibat sesiapa pun di situ. Matanya meliar memerhati sekeliling, yang ada hanyalah pepohon yang bergoyang-goyang ditiup angin malam. Bunyi cengkerik dan unggas lain saling bertingkah membuatkan keadaan semakin seram. Iffah memeluk beg pakaiannya kemas di dada.

Iffah… Iffah… Iffah…

Panggilan itu kedengaran lagi. Iffah semakin takut. Dia melangkah beberapa tapak ke belakang. Tubuhnya menggigil ketakutan. Dia terus berjalan mengundur sehingga kakinya hampir tersadung akar pokok. Iffah tidak mahu terus berada di situ. Dia mengumpul tenaganya yang masih bersisa lalu berlari sekuat hatinya. Jika ketika ini Iffah sedang menyertai pertandingan larian di Sukan Olimpik, pasti dialah juara.

Akhirnya Iffah terjelepuk di tepi pintu utama rumahnya. Beg pakaiannya dicampak semula ke dalam rumah. Dia menangis semahunya di situ. Terhinggut-hinggut badannya menahan tangisan yang semakin menggila. Dalam permainan ini, kau takkan menang dengan mudah. Iffah, mengaku kalah sajalah!

Iffah oh Iffah... kau gagal lari dari rumah? Aku sangka kau gagah, rupa-rupanya kau perempuan lemah. Kau tidak boleh buat diri kau sendiri megah. Kau ingat Iffah, kalau kau berterusan berperangai begini, kau akan terus berada di bawah. Kau akan ditendang lalu rebah. Kau boleh dipijak dengan mudah. Bicara hati Iffah bertali arus memanah.

Puas menangis, Iffah bangun lalu menutup pintu utama. Pandangan sempat dilemparkan pada halaman rumahnya. Tiada cahaya terang, hanya kelam malam. Sekelam hidupnya sekarang. Mungkin itu juga kehidupan yang bakal dilaluinya pada masa hadapan. Iffah tidak punya jawapan untuk soalan yang diajukan. Takdir hidupnya ditentukan Tuhan.

Dia mengutip beg pakaiannya lalu menuju ke bilik tidur. Dia tidak terus tidur sebaliknya dia menghala ke bilik air. Tanpa menyalin pakaian, Iffah mandi. Bersama titis-titis air mandian, hujan air matanya turut bermula. Dia sendiri tidak pasti sudah berapa gelen air matanya tumpah malam itu.

Sepertiga malam yang terakhir, waktu yang sangat sesuai untuk solat Tahajud. Di atas sejadah, Iffah berteleku berdoa setelah usai menunaikan solat Tahajud. Penuh pengharapan, dia memohon agar Allah Taala memakbulkan doanya.

“Ya Allah, ampunilah dosaku... berikanlah aku petunjuk... berikanlah aku hidayah... berikanlah aku kekuatan... berikanlah aku keberanian...”

Selesai berdoa, Iffah mengaminkan doanya. Lama kedua-dua tapak tangannya singgah di wajah sebelum diraup perlahan ke bawah. Air mata yang masih bersisa di pipi dibiarkan kering sendiri. Biarlah air mata itu menjadi saksi betapa sukarnya keputusan yang telah diambil. Iffah telah nekad membuat keputusan. Keputusannya kali ini muktamad. Keputusannya tidak boleh lagi diganggu gugat. Keputusan yang terbit seusai siap beribadat.

Iffah menuju ke jendela. Pintu jendela dikuak seluas-luasnya. Dia membiarkan angin yang berhembus nyaman menyentuh tubuhnya. Telekung solat yang masih tersarung di tubuhnya bergerak-gerak ditiup angin. Pada bintang yang bertebaran di dada langit, Iffah melemparkan sekuntum senyuman. Tiada lagi titis-titis air di hujani dari pelupuk matanya. Iffah tidak mahu menangis lagi. Iffah tidak akan bersedih lagi. Iffah pasti akan bahagia nanti.

Kokokan ayam jantan saling bersahut-sahutan mulai memecah keheningan pagi. Iffah masih lagi termangu di jendela memerhatikan kegelapan alam yang akan beransur cerah apabila matahari muncul nanti. Iffah mulai mengantuk, dia menguap beberapa kali. Sepanjang malam dia tidak melelapkan mata sesudah cubaannya untuk lari dari rumah gagal.

Sayup-sayup berkumandang azan Subuh yang dilaungkan muazzin. Sayu dan syahdu nada suaranya memecah keheningan alam bagi mengajak para muslimin dan muslimat mendirikan solat, tanda mentaati Allah. Tidak jauh dari biliknya, kedengaran bunyi jam loceng berdering.

Tidak lama kemudian, jam loceng berhenti berbunyi. Hanya kedengaran suara Puan Maryam yang mengejutkan suaminya dari tidur. Beberapa minit berselang, ketukan bertalu-talu dari ibunya di pintu bilik.

“Iffah, bangunlah. Dah Subuh!” Suara Puan Maryam dari luar bilik tidur Iffah. Semarah mana pun dia pada Iffah, rutin hariannya untuk memastikan Iffah bangun menunaikan solat Subuh tidak pernah diabaikan.

Iffah tidak terus menjawab bagi mengelakkan syak wasangka dari ibunya. Dia membiarkan ketukan di pintu biliknya berterusan buat seketika.

“Iffah ooo Iffah... bangunlah.” Puan Maryam terus mengetuk pintu bilik tidurnya. Hai anak dara zaman sekarang, bukan main payah hendak bangun. Sampai hendak roboh pintu bilik aku ketuk, tidak juga terjaga. Omel Puan Maryam sendirian.

“Hmmm...!!!” Iffah sengaja membuat suara seperti orang baru bangun dari tidur. Sebentar kemudian, kedengaran derap kaki Puan Maryam beredar pergi. Iffah sangap lagi.