4/05/2012

Yes I Love You 23

Yes, I Love You – Bab 23

Kereta dipandu masuk ke dalam garaj khas yang telah disediakan. Caldinanya diparkir di antara tapak parkir Murano dan Kompressor. Kedua-dua kereta tersebut tiada di situ. Izz menapak perlahan masuk ke dalam rumah. Briefcase dicampak atas sofa lalu punggungnya dihenyak kasar di atas sofa yang sama. Tali leher kosong berwarna biru gelap dari jenama Versace dilonggarkan sedikit ikatannya dari kolar kemeja biru cair berbelang halus putih berjenama Snails.

Mata dipejam rapat. Pangkal hidungnya diurut-urut perlahan dengan ibu jari dan jari telunjuk kiri. Hasya terkocoh-kocoh menuruni anak tangga sebaik terpandang suaminya bersandar di sofa.

“Abang, dah lama balik?? Maaf sebab Sya tak perasan tadi.” Ucap Hasya sambil menghulurkan tangan.

Biasanya, Hasya sudah terpacak di hadapan pintu utama ketika Izz pulang dari kerja tetapi hari ini suaminya itu pulang lebih awal dari jangkaannya. Maka, terlepaslah rutin hariannya sebagai isteri yang menanti suami di muka pintu.

Sebaik mendengar suara Hasya, Izz membuka sebelah matanya tetapi jari kiri masih tidak lepas dari hidung.

“Hmm...!” Acuh tak acuh sahaja jawapan Izz. Tangan kanannya dihulurkan sebelum dicium lembut oleh isterinya.

Hasya tahu suaminya penat bekerja. Mungkin Izz baru balik dari tapak projek kerana ada sedikit kesan debu pada kaki seluarnya.

Hasya segera beredar ke dapur. Sebentar kemudian, dia kembali dengan dulang yang berisi segelas jus oren dan air kosong.

“Jemput minum, bang.” Pelawa Hasya.

“Hiyarghhh!!!” Izz menggeliat kecil sebelum membetulkan kedudukannya. Kedua-dua tangannya yang diangkat ke atas lalu dibawa ke kanan hampir mengenai wajah Hasya yang sedang menunduk menghidangkan air.

Persis pahlawan silat zaman Hang Tuah, Hasya menepis kuat tangan Izz sehingga lelaki itu terbaring di sofa. Tindak balas spontan Hasya menyebabkan tangan kanan Izz sakit apabila terhantuk briefcasenya yang keras.

“Aduhhh!” Izz menggosok-gosokkan tangan kanannya sambil mengetap bibir menahan marah.

“Maafkan Sya, bang. Sya... Sya tak sengaja.” Hasya segera duduk di sisi Izz. Tangan kanan Izz segera dicapainya lalu ditiup-tiup lembut sambil digosok-gosok belakang tapak tangan Izz yang sakit.

Izz tidak jadi marah. Perbuatan Hasya yang memujuknya seperti anak kecil cukup menyenangkan hatinya. Dia sudah terlalu penat untuk bertekak dengan wanita itu. Sepetang berada di tapak projek dengan pencemaran debu dan bunyi bising mesin sudah cukup memenatkannya. Dia membiarkan sahaja jari-jemari lembut itu merawat tangannya.

Suasana sunyi seketika. Izz menghirup jus orennya perlahan-lahan. Hasya masih berada di sisinya. Menanti Izz menghabiskan 2 gelas minuman sebelum membawanya semula ke dapur untuk dibasuh. Perkara biasa yang dilakukan oleh Hasya sejak mereka berkahwin.

“Sya, air apa ni?” Soal Izz sebaik terpandang dua gelas air di dalam dulang yang dihidangkan oleh isterinya.

“Ini jus oren... air kegemaran abang.” Jus oren dihulurkan kepada Izz lalu gelas bertukar tuan.

“Aku tahulah. Air oren ni memang aku kenal sangat.” Seteguk air oren sudah masuk ke kerongkong Izz. “Aku tanya air yang satu lagi ni?” Izz memuncungkan mulutnya ke arah gelas yang lagi satu.

“Laa, ini air masak. Takkan abang tak tahu kot?” Hasya buat muka terkejut.
“Air siapa ni?? Kau?”

Hasya menggeleng. “Untuk abang.”

“Aku tak order pun. Entah-entah air jampi. Tak naklah aku!” Izz menjarakkan gelas air masak dari gelas jus orennya.

Hasya ketawa kecil. Sungguh dangkal pemikiran Izz. “Abang ni suka fikir bukan-bukan... adalah sebabnya Sya sediakan air masak.”

“Baik kau mengaku. Kau nak mandrem akukan?” Izz masih tidak berpuas hati. Sekali lagi gelas air masak ditolak menjauh sehingga ke hujung meja.

“Kalau nak jampi, tak payah guna air... Syaaa... tiup je macam ni!” Hasya menghembuskan nafasnya kuat ke muka Izz.

“Hasyaaa!” Izz menjerit marah! Terperanjat dengan kelakuan isterinya. Sedikit jus oren tumpah dari gelasnya.

Hasya ketawa. Suka hatinya dapat mengenakan Izz yang sering syak wasangka tidak tentu pasal.

“Itulah. Lain kali jangan cari pasal. Biar Sya jelaskan, tujuan air masak ni ada kat sini. Setiap hari, berapa gelas air masak abang minum?”

Izz tidak menjawab. Geramnya terhadap Hasya masih bersisa.

“Sarapan pagi, minum air manis... tengah hari pun mesti minum air manis jugakkan? Malam pun masih mintak air milo, manis juga tu. So, air masak yang Sya bagi tu tak cukup pun kuotanya 8 gelas sehari.”

“Mana kau tahu aku minum air masak sikit?” Soal Izz. Dia mulai faham tujuan Hasya menyediakan air kosong tersebut.

“Kalau dekat rumah, Sya tahu abang kurang minum air masak... abang lebih suka minum air pelbagai warna terutama yang warna oren, coklat ataupun hitam. Di luar rumah, Sya tak pasti abang minum air apa... tapi... tak salah kalau lebihkan minum air tanpa warna.” Terang Hasya lagi sambil meletakkan gelas air masak di atas tapak tangan kiri Izz.

“Betul ni bukan air jampi?” Izz masih ragu-ragu hendak minum air masak yang sudah berada di bibirnya walaupun sudah terfikir akan kata-kata isterinya. Tiada yang salah melainkan betul belaka.

Hasya mengangkat tangan kanannya seperti orang ingin bersumpah di dalam kandang saksi mahkamah. “Saya... Hasya Binti Hisyam... dengan ini mengaku bahawa air tanpa warna yang saya berikan kepada suami saya... Izzdihar Bin Izzuddin adalah air masak yang telah saya jerang terlebih dahulu.”

Ketawa Izz meletus sebaik Hasya menghabiskan ‘sumpahnya’.


“Abang, kenapa tiba-tiba je ketawa?” Hasya kehairanan melihat tawa Izz meledak tanpa sebarang perbualan atau perbuatan antara mereka. Apa sudah jadi?

Imbauan Izz pada peristiwa soal jawab air masak putus apabila pertanyaan Hasya menerjah gegendang telinganya.

“Lawak kau kelakar sangat.” Izz tersengih.

“Aik, masa bila pulak Sya buat lawak? Macam-macamlah abang ni.” Semakin bingung Hasya dibuatnya.

Izz masih tersengih. Dia membiarkan soalan Hasya berlalu begitu sahaja.

“Abang nak makan apa malam ni? Nanti Sya masak.”

“Mak Bee tak masak?”

“Tak. Lagi pun semua orang tak ada di rumah.”

Hmmm... Sebab itulah Murano dan Komporessor tiada dalam garaj. Bisik hati kecil Izz.

“Patutlah dari tadi senyap je. Mak Bee pergi mana?”

“Pak Musa bawak dating.”

“Yad?”

“Kak Lia ajak shopping.”

“Mama?”

“Ikut papa meeting.”

“Kalau macam tu, kau tak payah cooking. Lepas Maghrib nanti, kita pergi eating dekat clubbing.” Izz sengaja mencari ayat yang menyerupai ayat Hasya.

“What?! Sya tak nak pergi clubbing.” Hasya membantah keras.

Seumur hidupnya, Hasya tidak pernah menjejakkan kakinya ke tempat sedemikian. Dia tidak mahu kakinya menjadi saksi bahawa dia pernah ke tempat seperti itu.

“Aku tak peduli. Kau mesti ikut aku. Kita dancing sampai morning!” Izz meninggikan suaranya. Tidak suka arahannya dibantah. Gelas air masak dihentak kasar di atas meja walaupun Hasya sedang menunggu gelas tersebut diletakkan di dalam dulang yang dipegang bersama gelas jus oren yang sudah kosong.

Motorsikal dipacu santai melewati jalan yang sibuk. Izz membelok ke kanan sebelum motorsikalnya diparkir berhampiran sebuah pusat hiburan. Hasya masih membatu. Tidak mahu turun dari motorsikal berkuasa besar suaminya.

Bosan dengan gelagat Hasya, Izz menyikunya. “Turunlah weiii. Takkan kau nak jadi model motor ni pulak?”

“Tak nakkkk!” Hasya sengaja memeluk dada Izz dengan kemas.

Pelukan erat Hasya menyebabkan Izz kehilangan udara di dalam helmet full facenya. Meronta-ronta Izz cuba meleraikan pelukan Hasya. Visor topi keledarnya segera diangkat. Tercungap-cungap Izz menyedut oksigen yang bertebaran di sekelilingnya.

Menyedari kondisi Izz tidak menyenangkan, Hasya melepaskan pelukannya lalu bingkas turun. “Abang ok tak?” Hasya menepuk-nepuk belakang badan Izz perlahan.

Izz tidak menjawab, hanya menjeling tajam. Dia menongkat motorsikalnya lalu berjalan meninggalkan Hasya sendirian. Hasya menuruti jejak kaki Izz sambil menunduk. Dia menyedari pusat hiburan yang sepatutnya dikunjungi sudah pun Izz lewati tanpa masuk ke dalamnya.

Hasya tidak berani bersuara, dia terus melangkah sahaja. Dia sudah berada di sisi Izz yang sedang menunggu kereta lalu-lalang berkurangan sebelum menyeberangi jalan.

Hasya sedikit terdorong ke depan apabila lengannya pantas ditarik oleh Izz. Mereka dapat menyeberangi jalan setelah Izz mengangkat tangan meminta laluan dari kenderaan yang tidak pernah lengang.

“Lain kali pandang kiri kanan masa melintas, bukan tengok kaki sendiri. Faham?” Bebel Izz.

Hasya tersenyum. Gembira apabila mendengar suara Izz. Setibanya di seberang, Izz melepaskan lengan Hasya tetapi jari-jemarinya dan jari-jemari Hasya bertaut rapat.

Izz masih belum memandang wajah Hasya. Namun, ada senyuman dikuntumnya. Terasa bahagia berjalan berpegangan tangan dengan kekasih halalnya di khalayak ramai.

“Ohhh...! Abang nak bawak Sya pergi pasar malam... bukan kelab malam. Kalau Sya tahu, tak terjadilah tunjuk perasaan.” Hasya tersengih.

Sudah lama benar dia tidak menjejakkan kaki ke pasar malam. Lagi pula suasana pasar malam di kampungnya dan di bandar ini jauh bezanya.

“Buatlah lagi kalau kau mahu kelaparan. Jangan harap aku nak ajak perempuan garang datang lagi untuk merasa masakan pasar malam.” Ugut Izz walhal dia sendiri baru pertama kali mengenali tempat yang bernama pasar malam.

Hasya cuma ketawa. Tidak mahu memanjangkan lagi isu remeh-temeh sebegitu.

Hasya duduk bersimpuh di tengah padang. Izz masih menjadi pak pacak. Semua plastik makanan yang dibeli sudah diletakkan di tepi.

“Duduklah, takkan nak makan sambil berdiri?” Tanya Hasya.

Izz berpeluk tubuh. Tidak mahu turut serta dalam aktiviti makan masakan pasar malam di padang. Dia memerhati ke kanan, ramai orang sedang makan tanpa menghiraukannya. Dipaling pula ke kiri, sekumpulan remaja bercampur lelaki dan perempuan sedang menjamah makanan sambil bersembang.

Akhirnya, satu-satunya jejaka yang berpakaian bak pelumba motorsikal handalan mengalah setelah puas dipujuk isteri. Kalaulah ahli kelab motornya tahu, tentu malu.




Eriyza : Bab ini terus dipos setelah usai ditulis. Mungkin ada cacat celanya di mana-mana. :)

7 comments

Kak Sue April 5, 2012 at 11:02 AM

Apalah Izz tu kasar sangat dengan Sya ..... kalau nak ambil hati buatlah dengan lembut.... jangan samapi satu hari nanti hati Sya dah terluka baru nak sembuhkan..... luka dihati walaupun x nampak tapi kesannya mengambil masa yang lama untuk dipulihkan.... fikir-fikirkan lah.....

Eriyza April 5, 2012 at 12:29 PM

@sue:
Resam manusia, apabila ada di depan mata tidak dihargai. Sebaik sahaja hilang dari pandangan, baru gelabah nak ajak pulang.

Riena April 5, 2012 at 9:12 PM

hehehe...geli hati baca kisah Izz ngn Sya nie..
nampak cam sweet je..tp kalau realiti mst Sya da mkn hati berulam jantung kan?heheh...
Terhibur sangat2 ngn kisah nie...cpat2 sambung ye...
tp jgn la sampai Izz menyakiti hati Sya..cian kat Sya..heheh

Eriyza April 5, 2012 at 11:41 PM

@Riena:
Menyakitkan hati Hasya sememangnya kepakaran Izz. Gagaga! :p

Unknown September 19, 2012 at 10:04 PM

hehe suke tul kat couple cam izz ngan sya ne.....cam nak gelak je!dua2 kelakar hehe.dah terinlov kat sha kot izz ne!!!suke3

Anonymous


Lokas kt rumah aje ke

Eriyza July 18, 2013 at 10:22 PM

@Anonymous:
Aha, depa suka dok umah. :)

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.