10/18/2011

Yes, I Love You 17

Yes, I Love You – Bab 17

Suara orang ketawa dari dapur menarik perhatiannya. Dia menapak laju ke arah suara itu. Kelihatan Mak Bee sedang membancuh air minuman. Hasya pula sedang menghidangkan makanan di atas meja makan. Entah cerita apa yang dibualkan sampai kedua-duanya ketawa lucu.

“Selamat pagi.” Sapanya mesra.

“Selamat pagi. Hai kak, awalnya turun.” Dia kupas senyum.

“Dah lewat laa Sya. Ingatkan nak bantu korang buat sarapan tapi nampaknya dah siap terhidang.” Natalia mengambil teko berisi air nescafe yang baru dibancuh Mak Bee.

Mak Bee agak kekok hendak melayan menantu ‘baru’ majikannya. Apatah lagi wanita ini nampak agak moden berbanding Hasya.

“Puan, biarlah Mak Bee bawak.” Mak Bee kurang selesa. Dia cuba mengambil semula teko yang sudah berada di tangan wanita tersebut.

“Eh! Lupa pulak nak perkenalkan diri. Saya Natalia.” Natalia menghulurkan tangan kanannya sambil melemparkan sebuah senyuman. Huluran tangannya disambut malu-malu oleh Mak Bee.

“Puan Natalia duduklah. Biar Mak Bee je buat kerja dapur.”

“Biarlah. Saya pun nak tolong jugak.” Dia ketawa kecil.

Mak Bee mengalah, dia membiarkan wanita yang bernama Natalia itu membawa teko air ke meja makan. Mak Bee sekadar memerhati. Inilah ‘orangnya’ yang menimbulkan suasana kecoh semalam. Mak Bee cuma mengintai dari sebalik dapur, tidak berani pergi dekat ketika ‘perang mulut’ berlaku antara majikannya dengan perempuan ini.

Seketika kemudian, Izzdiyad sudah terpacul di dapur. “Mak Bee, lama tak jumpa. Mak Bee sihat?”

“Encik Yad. Mak Bee sihat seadanya. Macam yang Encik Yad tengok nilah.” Mak Bee senyum.

Lama benar dia tidak melihat wajah anak sulung majikannya ini. Izzdiyad masih sama seperti dulu. Masih suka mengusik Mak Bee di dapur. Susuk tubuhnya sahaja yang sedikit berubah, sedikit berisi berbanding dahulu. Namun, kacaknya tetap terserlah.

“Baguslah. Rindunya nak makan masakan Mak Bee. Tentu sedap macam dulu jugak.”

“Encik Yad ni… bab memuji nombor satu.” Mak Bee tersenyum malu. Perangai Izzdiyad tak banyak berubah. Masih ramah.

Izzdiyad ketawa besar. Datuk Izzuddin dan Datin Faridah menapak ke ruang makan. Datuk Izzuddin berdehem kuat. Tawa Izzdiyad mati terus.

“Hmmm... Macam biasa, semua orang dah ada kecuali Izz.” Datin Faridah mengeluh. Entah bilalah anaknya itu hendak berubah perangai

“Amboi mama, pagi-pagi lagi dah mengumpat Izz, ye.” Izz sudah duduk di kerusi. Dia memuncungkan mulutnya. Pura-pura merajuk.

“Elok sangatlah buat muncung macam tu. Senang sikit mama jentik.” Datin Faridah senyum segaris. Dia tidak perasan bila Izz turun.

Natalia menceduk nasi minyak untuk Datuk Izzuddin. Lelaki itu mencerlung tajam. Dia tidak mempedulikan cerlungan itu, tangannya terus bekerja.

“Idah, awak buat kenduri sambut menantu lama ke? Pagi-pagi dah hidang nasi minyak.” Perli Datuk Izzuddin.

Muka Datin Faridah kelat. Dia tidak suka gurauan suaminya pagi itu. Mana sempat dia menyuruh Mak Bee menyediakan nasi minyak untuk Izzdiyad sedangkan kedatangan anaknya itu di luar pengetahuannya.

“Taklah bang. Menu ni saya dah bagi kat Bee dua hari lepas lagi. Manalah tau ada orang nak datang.” Datin Faridah juga tidak suka dikaitkan dengan gadis itu.

Natalia cuma diam walaupun hatinya sakit. Kali ini nasi minyak disendukkan buat Datin Faridah pula walaupun wanita itu juga memerlinya.

“Tak payah. Layan je suami kamu!” Pinggannya dialihkan. Tidak sudi menerima layanan baik menantunya itu. “Sya, tolong sendukkan nasi untuk mama.” Datin Faridah sengaja menyuruh Hasya yang sedang menuangkan air untuk Izz.

Izzdiyad mengetap bibir bawah dengan kuat. Bibirnya berdarah sedikit. Hatinya turut tercalar melihatkan Natalia yang sudah berwajah sayu. Dia lebih rela menanggung sindiran itu untuk isterinya. Natalia berlagak tenang tetapi hatinya bergayut bimbang.

“Papa suka makan paha ayam, kan?” Izzdiyad meletakkan seketul paha ayam goreng ke dalam pinggan papanya. Serentak dengan itu juga, Datuk Izzuddin menolak pinggan nasi minyaknya. “Patah selera aku!” Dia mendengus lalu meninggalkan meja makan.

Izzdiyad terkebil-kebil. Apa sahaja yang dia buat sudah nampak buruk di mata papanya. Harapan untuk berbaik semula dengan ibu bapanya kian tipis.

Dua pasang mata saling berpandangan. Sungguh mereka kasihan dengan pasangan itu. Namun, mereka mengharapkan Izzdiyad mahu pun Natalia terus bersabar. Mereka yakin usaha mereka akan berhasil jika pasangan itu mahu mengabaikan sikap berputus asa.
“Mama...” Izzdiyad bersuara perlahan.

Datin Faridah memandangnya sekilas. Kemudian, dia terus menyuap makanan ke dalam mulutnya. Hanya telinga dipasang lebar-lebar.

“Terima kasih sebab merayu untuk Yad semalam.” Kata-katanya dihabiskan.

Datin Faridah merenungnya tajam. “Kamu jangan ingat mama dah maafkan kamu.” Datin Faridah bangun dari kerusi. Dia berjalan ke sinki. Mulutnya dicuci. Dia bejalan semula ke ruang makan tetapi dia berhenti di hadapan Izzdiyad. “Satu lagi, bukan semudah tu untuk mama terima isteri kamu.” Natalia dijeling.

“Bee, kemaskan meja.” Menonong Mak Bee ke ruang makan apabila mendengar arahan majikannya.

Izzdiyad cuma mampu tertunduk. Natalia berlari keluar melalui pintu dapur. Hasya segera ke sinki untuk membasuh tangannya lalu mengejar Natalia. Izzdiyad cuma memerhati. Dia sendiri lemah lutut untuk mengejar isterinya.

“Yad, pergilah tengok isteri kau.” Izz geram melihat Izzdiyad masih terpaku di kerusi seolah-olah tiada apa yang berlaku. Izzdiyad cuma diam. Izz menarik kerusi Izzdiyad lalu didorong abangnya menjejaki langkah Natalia.

Natalia terjelepuk di tepi gazebo. Air matanya turun mencurah-curah. Saat itu mahu sahaja dia meninggalkan banglo tersebut dan terbang ke Brunei. Esak tangisnya kedengaran kuat. Hasya cuba membantunya bangun tetapi Natalia menepisnya. Hasya mengusap-usap perlahan belakang badan Natalia.

Sekali lagi Hasya cuba membantu birasnya tetapi Natalia tetap menepis tangannya. Hasya berhenti membantu apabila sepasang tangan sasa memapah tubuh Natalia lalu didudukkan di atas kerusi gazebo.

Tubuh Natalia dirangkul kemas. Dia membiarkan Natalia menangis di dadanya. Rambut isterinya diusap perlahan. Izz yang turut berada di dalam gazebo tersebut cuma memandang. Hasya mengesat air matanya dengan hujung lengan bajunya. Izz cuma menggelengkan kepala melihat reaksi isterinya. Orang lain kena marah, air mata dia pula yang meleleh. Cengeng sungguh!

“Abang, kita balik.” Dalam esak tangisnya Natalia bersuara.

“Sabarlah sayang. Ini baru permulaan.” Izzdiyad berusaha memujuk.

Natalia meleraikan pelukan Izzdiyad. “Tolonglah abang. Kita balik Brunei.”

“Sayang, kita perlu bersabar. Mana tahu nanti hati papa mama lembut. Masa tu, mereka akan maafkan kita. Terima kita.” Izzdiyad senyum. Senyuman yang sengaja dibuat untuk menyedapkan hati Natalia sedangkan dia sendiri tidak pasti cara itu akan berjaya atau tidak.

“Bila masa tu akan tiba? Bila bang? Kehadiran kita tidak dialu-alukan pun. Kita dah cuba tapi kita gagal, kan?” Natalia mengoncang-goncangkan tubuh suaminya. Dia mahu Izzdiyad mengerti. Sudah tiada gunanya mereka berada di situ. Mereka sudah berusaha meminta maaf tetapi tidak diendahkan. Justeru, serahkan sahaja padaNya.

“Sayang, bertenanglah. Kita duduk kat sini dulu. Kita cuba lagi sampai berjaya. Lagi pun sayang dah janji, kan? Nak bantu abang berbaik semula dengan mama dan papa.” Izzdiyad mematahkan kata-kata Natalia.

“Abang rasa berdosa sangat. Abang teringin balik. Abang nak mintak maaf dengan mama dan papa. Abang tak nak jadi anak derhaka lagi.” Izzdiyad benar-benar mahu kembali ke pangkuan ibu bapanya. Hatinya tidak pernah tenang sejak dia keluar dari banglo papanya dulu.

“Sayang akan bantu abang. Kita akan balik jumpa mama papa abang dan sama-sama mintak maaf. Kita akan berusaha sampai mereka sudi maafkan kita. Sayang janji.” Jari-jemari Izzdiyad digenggam erat. Dia pasti akan menemani suaminya menemui mentuanya. Dia akan sentiasa berada di sisi Izzdiyad.

“Betul? Sayang tak kisah kalau dorang halau kita?Sayang sanggup dengar caci maki dorang? Abang bimbang sayang tak tahan nanti.” Wajah Natalia direnung lama.

“Demi abang, sayang sanggup.” Natalia bersungguh-sungguh meyakinkan Izzdiyad. Lelaki yang berjaya menakluk hatinya. Dia mengahwini lelaki itu tanpa doa restu dari keluarga Izzdiyad. Mujurlah ibu bapa Natalia tidak membantah mereka hidup bersama.

“Kalau sayang belum bersedia, abang balik sorang dulu. Lepas tu, baru sayang menyusul. Abang sendiri tak tahu nasib abang nanti.” Duga Izzdiyad lagi. Balik sebagai anak terbuang takkan sama layanannya seperti anak pulang dari perantauan.

“Tak nak. Sayang nak ikut abang. Kita sekeluarga akan balik bersama.” Natalia tidak mahu berpisah dengan suaminya. Biarlah mereka mengharungi suka duka kehidupan bersama kerana mereka yang memilih jalan ini. Mahu atau tidak, terpaksa juga diredah.


Natalia terperangkap. Janji yang pernah dikatakannya dulu perlu dikota. Bukan dia mahu memungkiri janji, cuma dia tidak menyangka terlalu sukar untuk berdepan dengan orang tua Izzdiyad. Dia tidak tahu berapa lama dia mampu bertahan.

“Abang Yad, kak Nat. Kami akan sentiasa menyokong dari belakang”. Adik ipar Izzdiyad tidak berhenti-henti menyuntik semangat buat pasangan itu.

4 comments

Kak Sue October 18, 2011 at 3:49 PM

Sya memang terbaik buat Izz... berilah semangat buat Abang Yad dan isterinya...
kuatkan semangat....

Eriyza October 18, 2011 at 7:54 PM

@sue
Kita tunggu dan lihat apa peranan sebenar Hasya nanti. :)

Riena October 20, 2011 at 3:20 PM

xsabar2 nk tau y seterusnya...
cpt2 smbung ya..heheheh..

Eriyza October 22, 2011 at 10:32 AM

@Riena
Sabaq naa. :)

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.