10/25/2011

Yes I Love You 18

Yes, I Love You – Bab 18

Izzdiyad bingung. Tidak tahu apa lagi hendak dibuat. Natalia turut buntu bahkan sudah menangis. Pelbagai cara telah digunakan tetapi tidak juga berhasil. Sedari pukul 2.33 pagi, anaknya terjaga dari tidur lalu menangis.

Sebelas minit sudah berlalu, tangisan anak itu tidak menunjukkan tanda akan reda malah semakin kuat. Izzdiyad mendukung anaknya lalu dibawa berjalan ke luar bilik. Dia mengetuk pintu bilik sama seperti lagak A.R Tompel di dalam filem Ahmad Albab, manalah tahu kalau anaknya diam nanti.

Akan tetapi anaknya bukan Ahmad Albab dan dia bukan Mansur Al-Buaya. Ketukan pintu bilik sedikit pun tidak melenyapkan tangisan anaknya. Izzdiyad menelentangkan pula anaknya seperti Superman ingin terbang. Tubuh anak kecil itu dilayangkan ke kiri dan kanan seolah buaian yang berayun. Si kecil itu tidak juga diam.

Si kecil sudah berpindah dari dukungan papanya ke pangkuan mamanya pula. Mukanya sudah merah kerana terlalu lama menangis. Natalia mulai khuatir, Izzdiyad mundar-mandir sambil berfikir.

“Sayang, bersiap cepat. Kita ke hospital.” Hanya itu satu-satunya jalan penyelesaian yang terlintas di akal Izzdiyad.

Natalia tidak membantah. Dia meletakkan anaknya di atas katil sebelum bergegas menukar pakaian. Dia terus mencapai blouse dan jeans yang terhidang di depan mata lantas menyarungnya segera.

Datin Faridah membuka mata. Dia seperti mendengar tangisan bayi. Namun, dia tidak pasti sama ada suara itu benar-benar ada atau dia hanya bermimpi. Dia cuba melelapkan matanya semula tetapi tangisan itu masih kedengaran.

“Abang...” Suaminya dikejutkan.

“Ada apa Idah?” Datuk Izzuddin terpisat-pisat. Dia menguap.

“Ada dengar suara baby tak?”

Dalam keadaan mamai, Datuk Izzuddin cuba memasang telinga. “Tak ada pun. Dahlah, tidur.” Dia menarik selimut.

Seketika kemudian, tangisan bayi kedengaran lagi. “Yelah, memang ada bunyi baby menangis.” Datuk Izzuddin cuba mengamati bunyi itu sekali lagi. “Nak susu kot... tak pun pampers basah.”

“Tapi bang, dah lama sangat baby tu menangis. Tak sedap hati pulak saya.”

“Hmmm... kalau macam tu, jom kita jenguk.” Datuk Izzuddin bangun. Datin Faridah mengikutnya.

Tombol pintu bilik dipulas. Mereka melihat Hasya tercegat di hadapan bilik Izzdiyad. Pintu bilik itu terkuak sedikit. Tangisan bayi kedengaran semakin jelas.

Mereka mempercepatkan langkah menuju ke arah Hasya. “Ada apa ni, Sya?” Datin Faridah bersuara cemas.

“Baby ni menangis dari tadi lagi, tak tahu apa yang tak kena dengan dia.” Hasya menepuk-nepuk tubuh bayi yang didukung Natalia.

Datin Faridah masuk ke bilik Izzdiyad. Begitu juga suaminya. “Kenapa anak kamu menangis?” Tanya Datuk Izzuddin.

“Tak tahulah, pa. Tadi elok je dia tidur. Baru kejap dia terjaga. Lepas tu menangis tak henti-henti. Yad ingat nak bawak baby ke hospital.” Izzdiyad memberi penerangan.

“Hospital? Tunggu dulu. Idah, cuba awak ambil budak tu. Mana tau kot-kot dia diam nanti.”

Datin Faridah menurut perintah suaminya. Dia menghampiri Natalia yang sedang mendukung bayinya. Dia kasihan melihat cucunya menangis dengan teruk seperti itu.

“Kamu dah beri dia susu?” Datin Faridah menyoal.

“Dah. Pampers pun baru tukar masa baby terjaga.” Natalia menjawab.

“Bak sini mama tengok.” Buat pertama kalinya Datin Faridah menyentuh cucunya.

“Agaknya anak kamu kembung perut.” Datuk Faridah mencapai minyak Yu Yee yang terletak di atas meja kecil di sisi katil lalu mengusap-usap lembut perut bayi itu dengan minyak Yu Yee. Bayi itu tetap menangis.

“Alaaa... laa... laa... sayang. Janganlah nangis. Nenek tidurkan ye.” Tanpa disedari Datin Faridah membahasakan dirinya ‘nenek’.

“Petang tadi kamu ke mana?” Datuk Izzuddin bersuara lagi.

Datuk Izzuddin tahu mereka keluar kerana Izzdiyad meminta izin darinya untuk menggunakan kereta. Dia hanya melihat dengan ekor mata ketika pasangan muda itu dan anak mereka menaiki Mercedes Kompressor petang tadi.

“Beli barang baby kat pasaraya.” Jawab Natalia.

“Pukul berapa kamu balik?” Datuk Izzuddin terus bersuara.

“Hampir Maghrib.” Giliran Izzdiyad menjawab.

Datuk Izzuddin sudah dapat menangkap punca sebenar tangisan anak Izzdiyad berlarutan. Nampaknya dia perlu masuk campur. Agaknya dia terpaksa menunjukkan kepandaiannya yang jarang ditonjolkan.

“Haa... patutlah! Nilah sebabnya anak kamu menangis!” Datin Faridah mencelah. Suaranya ditinggikan sedikit.

Tiga pasang mata saling berpandangan sesama sendiri. Mereka kebingungan. Mereka diburu kemusykilan. Apa sebabnya?

“Lain kali kalau balik ke rumah waktu senja atau tengah malam, kamu buat macam ni. Sebelum masuk dalam rumah, ludah tiga kali kat depan pintu. Lepas tu sebut perlahan-lahan... kau balik tempat kau, aku nak masuk rumah aku, jangan kacau anak bini aku...” Datin Faridah memberi petua.

“Kena buat macam tu ke, ma? Yad tak tahu pulak.” Izzdiyad mengangguk tanda faham walaupun dia ragu-ragu kerana bunyi petua itu agak pelik. Takut syirik!

“Yelah. Barulah baby ni tak diganggu makhluk halus.” Datin Faridah geram. Budak-budak ni bukannya nak belajar ilmu keibubapaan. Bila dah jadi macam ni, barulah tak tentu arah.

“Nat pun baru tahu petua ni.” Natalia turut mendapat ilmu baru.

Hasya mendengar perbualan mereka dengan penuh minat. Namun, dia tidak menyampuk.

“Iskhhh awak ni Idah. Suka sangat percaya benda macam tu. Tak baik, boleh jadi syirik!” Tegur Datuk Izzuddin. Dia tidak suka isterinya terlibat dengan perkara tahyul.

Datin Faridah diam terus. Tidak berani membalas kata-kata suaminya.

“Lia, ambilkan papa sedikit air paip.” Datuk Izzuddin terlepas cakap. Dirinya dibahasakan sebagai ‘papa’ dan menantunya sebagai ‘Lia’.

Natalia menghilang ke bilik air. Segayung kecil air paip diambil lalu dihulurkan kepada Datuk Izzuddin.

Setelah membaca basmalah, Datuk Izzuddin terkumat-kamit mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran lalu dihembuskan beberapa kali pada air tersebut.

Izzdiyad sama sekali tidak menyangka papanya tahu ‘berubat’. Selama tinggal dengan papanya, tidak pernah pula papanya menunjukkan kepandaian yang sedemikian. Di dalam diam, Izzdiyad mengagumi pelbagai bakat yang ada pada papanya.

“Idah, bawak baby ke sini.” Datin Faridah membawa cucunya lalu disuakan kepada suaminya. Datuk Izzuddin menyapu ubun-ubun dan muka cucunya dengan air tersebut.

“InsyaAllah, kejap lagi baby kamu ni dapat tidur lena.” Datuk Izzuddin mencium kedua-dua belah pipi cucunya sebelum menepuk-nepuk perlahan tubuh kecil yang didukung isterinya.

Tidak lama kemudian, tangisan bayi pun sudah semakin kurang dan akhirnya senyap terus. Bayi itu sudah tidur kembali. Nyenyak sekali!

“Lia, letak baby atas katil.” Datin Faridah memberikan cucunya kepada Natalia.

Natalia mengambil anaknya dari dukungan mama mentuanya lalu diletakkan dengan berhati-hati di atas katil. Hatinya lega melihat anaknya tidur lena.

“Tak tahulah apa kami nak buat kalau mama papa tak ada tadi.”

“Kamu ni pun satu. Kalau dah jadi ibu, kenalah tahu cara nak handle anak. Baby ni menangis banyak sebab. Mungkin dia lapar, pampers basah, perut kembung, sakit atau pun diganggu macam ni. Cuba cari punca dia menangis, bukannya kamu ikut menangis sama.” Datin Faridah mula membebel.

“Nat cemas tadi, tu pasal menangis.” Natalia senyum.

Entah mengapa Natalia berasa gembira walaupun dimarahi ibu mentuanya. Di dalam bebelan itu terkandung nasihat secara tidak langsung. Baginya bebelan itu jauh lebih baik dari perlian yang biasa diterimanya. Sekurangnya-kurangnya bebelan itu boleh disemat di dalam hati berbanding perlian yang lebih menyakitkan hati.

“Okeylah. Mari kita keluar. Dekat pukul 3 pagi dah ni.” Datuk Izzuddin berjalan keluar.

“Papa... mama...” Datuk Izzuddin dan Datin Faridah berpaling. “Terima kasih.” Izzdiyad senyum lebar. Papa dan mama, nampak keras di luar tapi sebenarnya lembut di dalam.

Kedua-duanya keluar dari bilik tanpa menjawab. Hanya Hasya yang melemparkan senyuman kepada Izzdiyad dan Natalia sambil menutup pintu bilik.

“Sya, pergi masuk bilik kamu.” Arah Datuk Izzuddin.

“Baik, pa.” Hasya patuh.

“Izz mana Sya? Mama tak nampak pun.” Soal Datin Faridah.

“Tidur. Sya tak kejutkan dia pun. Selamat malam papa, mama.” Hasya mengucup tangan mentuanya lalu masuk ke bilik tidur.

“Izz… Izz. Punyalah kuat baby menangis, dia sikit pun tak sedar. Teruk betul!” Bebel Datin Faridah lagi. Datuk Izzuddin cuma tersenyum nipis. Faham benar karenah anak bongsunya itu.

Di dalam bilik, Izz tidur lena di atas katil. Langsung tidak sedar apa yang baru berlaku.

4 comments

Riena October 25, 2011 at 1:35 PM

best nye dh ada sambungan..tp xpuas bace..heheh
harap2 sambungan berikutnye akan menyusul xlame lagi..
cpat2 sambung ye...
good luck.
cter nie mmg menarik n best

Eriyza October 25, 2011 at 2:36 PM

@Riena
Terima kaseh Riena kerana tidak putus-putus menyuntik semangat.

sue October 25, 2011 at 5:30 PM

betul tu terima kasih Sya ....
Tunggu Izz pula dapat anak macamana kalutnya..
sebab kuat tidur...hehehe

Eriyza October 25, 2011 at 11:31 PM

@sue
Amboi Sue, minat Izz kaa?? :p

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.