4/21/2012

Yes I Love You 25

Yes, I Love You – Bab 25

Bawang merah, bawang putih, cili kering dan sedikit halia ditumbuk lumat. Dia mengalas lesung batu dengan kain. Bunyinya tidaklah bising sehingga mengganggu orang lain. Daging kerbau yang sudah direbus dialihkan ke dalam mangkuk besar.

Minyak masak dititik sedikit di dalam kuali rebusan daging tadi. Bahan-bahan yang telah ditumbuk dimasukkan ke dalam minyak yang sudah panas. Berdesir bunyinya apabila kesemuanya bersatu di dalam kuali.

Izz yang baru selesai solat Isyak menapak ke ruang tamu. Dia membuka televisyen. Dia menukar-nukar saluran. Tiada satu pun rancangan di televisyen percuma yang menarik minatnya. Walaupun Izz menawarkan untuk memasang Astro dan membayar bil bulanannya tetapi ibu mentuanya menolak. Alasannya dia hanya menonton rancangan tertentu manakala Alang pula bukan penggemar drama mahu pun hiburan.

Puan Fatimah keluar dari dapur dengan berjubah dan bertudung. Mungkin ada urusan di luar. Dia sudah mengarahkan Hasya memasak kerana dia tidak sempat menyediakan makanan buat mereka. Dia tersenyum ke arah menantunya.

“Izz, mak nak ke rumah kawan mak di kampung sebelah. Ada buat kenduri doa selamat sempena anak dia dapat sambung belajar di Mesir.”
 
“Biar Izz hantar mak.” Izz bangun dari kerusi, bersedia berkhidmat untuk ibu mentuanya.

“Tak usahlah, Izz. Kamu baru sampai, baik rehat hilangkan penat. Alang pun nak ikut sekali sebab budak tu kawan sekolah dia... cuma... dia lebih muda dari Alang.” 

Alang muncul di ruang tamu sebaik namanya disebut. Sepasang  baju melayu berwarna biru tua sudah lengkap tersarung di tubuhnya. Songkok dipakai di atas kepala.

“Jomlah mak. Kang lambat pulak!” Kunci motosikalnya yang disangkut di papan kunci berhampiran pintu utama dicapai.

“Alang, guna kereta Izz.” Pelawa Izz pula.

Alang tersengih. “Takpelah Izz. Rumah dorang tu dekat je... lagi pun kena lalu ikut jalan kampung. Tak muat nak redah dengan Caldina... lebih sesuai merempit dengan kapcai Alang.” 

Alang sudah berkira-kira hendak menggunakan jalan pintas yang hanya muat dilalui dengan motosikal berbanding jalan biasa. Tambahan pula, hanya 10 minit diperlukan untuk sampai jika menggunakan jalan pintas berbanding jalan biasa yang mengambil masa sehingga 25 minit.

Izz cuma ketawa kecil mendengarkan kata-kata Alang. Nampaknya niat baiknya tidak diperlukan malam ini. Dia mengekori langkah mak mentuanya dan Alang sehingga ke muka pintu. Sebaik motosikal Alang menghilang di dalam kegelapan malam, dia mengunci pintu.

Aroma dari dapur sangat wangi menerjah hidungnya. Aroma itu seakan menggamitnya ke dapur. Dia menutup televisyen lantas segera ke dapur. Semakin hampir, semakin kuat bau itu menusuk hidungnya. Izz terbersin beberapa kali kerana tidak tahan dengan bau cili.

“Sya... kau masak apa ni? Pedih hidung aku asyik bersin je.” Omelnya sebaik masuk ke dapur. Hidung ditutup dengan jari telunjuk kirinya.

Hasya tersenyum. “Daging masak merah. Nampak gayanya Sya kena sediakan topeng untuk abang masuk ke dapur.” 

Hasya mengusik. Izz mencebik. Kemudian, mereka sama-sama ketawa mengekek.

Jari-jemari Hasya lincah menumis. Setelah bahan yang ditumis garing, dia memasukkan daging yang telah siap direbus. Sedikit air panas dimasukkan untuk menghasilkan kuah. Daging itu dibiarkan mendidih sambil dia menghiris bawang besar bulat-bulat. Setelah daging hampir masak, barulah dia memasukkan bawang besar tersebut.

Izz memerhatikan isterinya memasak dengan penuh minat. Dia mengacau kuah daging tersebut dengan sudip. Seleranya terbuka sejak terbau aroma tadi, apatah lagi setelah melihat lauk yang hampir masak. Dia tidak sabar hendak makan.

“Sya, dah masak belum ni?” Dia mengambil beberapa ketul daging lalu diletakkan ke dalam piring. Dia meniup-niupnya sebelum dirasa seketul. “Tawar.”

Hasya tergelak kecil. “Memanglah tawar sebab Sya tak letak apa-apa pun lagi.” 

Izz menggaru kepalanya. Malu pada isterinya. Hasya memasukkan perencah masakan yang diperlukan dan sedikit air asam jawa. Dia menggaul-gaul semuanya supaya sebati. “Abang nak Sya goreng ikan?”

Izz menggeleng. Dia sudah tidak sabar hendak makan. “Tak payah. Lauk ni dah cukup.” 

Hasya menutup api dapur setelah merasa hasil masakannya. Lauk diceduk ke dalam mangkuk. Nasi putih diletakkan ke dalam dua biji pinggan. Hidangan sudah siap untuk dimakan. Dia membancuh pula sejag air sirap bandung.

Izz sudah duduk di kerusi. Tangan sudah dibasuh. Daging masak merah ditabur ke atas nasi. Kedua-duanya digaul bersama. Dengan lafaz basmalah, dia menyuap nasi ke mulut. Selepas suapan yang pertama, dia berhenti makan.

“Kenapa?” Soal Hasya. 

“Nasi panas, lauk pedas.” Izz tersengih. 

Hasya cuma menggelengkan kepala. Izz tidak habis-habis dengan sikap gelojohnya apabila lauk kegemarannya ada di hadapan mata. Air berwarna merah jambu dituang ke dalam gelas lalu diberikan kepada Izz.

Sekali hirup saja, licin air minumannya. “Segelas lagi.” 

Hasya hanya menurut kehendak Izz. Dia duduk bertentangan dengan Izz. Usai membaca doa makan, dia makan dengan sopan. Izz meneruskan suapannya yang terbantut. Berselera sungguh dia makan. 

Selesai makan, Izz bersandar kekenyangan di sofa. Hasya pula mengemas meja sebelum membawa semua bekas kotor ke sinki untuk dibasuh. Ketika dia membasuh pinggan mangkuk sambil mendengar lagu klasik dari radio, elektrik tiba-tiba terputus. Serentak dengan itu juga, kedengaran jeritan memanggil namanya.

“Syaaa...! Syaaa...! Syaaa...!” Cemas sekali bunyinya. 

“Ya...! Sya datang ni!” Hasya pantas ke arah suara itu.

Hasya berjalan di dalam rumah yang gelap gelita. Dia terlanggar dinding pemisah dapur dan ruang tamu akibat berjalan laju tetapi dia tidak mempedulikan pelipisnya yang sakit. Pemilik suara itu perlu didekati dengan segera. 

Sekali lagi Hasya terlanggar sesuatu. Kali ini sofa rotan pula, dia hampir tersungkur. Dia menjumpai orang yang dicarinya. Lantas tangan lelaki itu ditarik supaya mengekorinya. Dia bergerak ke pintu utama. Kunci dibuka lalu dia berjalan keluar dari rumah. 

“Hati-hati bang... ada tangga.” Hasya memijak anak tangga dengan berhati-hati. Izz turut melakukan perkara yang sama.

Sebaik tiba di luar, Hasya membawa Izz duduk di pangkin. Lampu jalan juga tidak menyala. Mujurlah bulan terang, cahayanya cukup untuk mencerahkan tanah. Tangan Izz di genggamannya terasa cukup sejuk.

Wajah Izz sudah merenik peluh walaupun cuaca tidak panas. Tubuhnya sedikit menggeletar. Nafasnya turun naik dengan laju. Hasya segera memeluk tubuh suaminya kuat-kuat. 

“Abang, jangan takut. Sya ada.” Berulangkali Hasya mengulangi ayat tersebut. Tangannya lembut mengusap-usap belakang badan Izz. Kanan dan kiri pipi Izz diciumnya beberapa kali. Dia terpaksa membuang rasa segannya demi memastikan Izz kembali pulih.

Setelah 32 minit berlalu, Izz semakin tenang. Pelukan Hasya perlahan-lahan dileraikan. Peluhnya semakin kurang, getaran di badannya sudah tiada dan nafasnya semakin normal.

“Sya...! Mana kau tahu aku fobia pada gelap?” Izz merenung jauh ke dalam anak mata isterinya.

Hasya menggenggam tangan Izz erat. “Mama yang cakap. Mama kata takpe kalau Sya lambat tahu makanan kegemaran abang tapi perkara pertama Sya perlu tahu abang fobia pada suasana gelap. Jadi mama suruh Sya segera cari abang kalau berlaku blackout.”

“Takut pada gelap! Bunyinya kelakar, kan?” Izz rasa rendah diri dengan kelemahannya yang satu itu. Wajahnya dilarikan dari mata Hasya.

Hasya memahami perasaan suaminya. Wajah Izz dipalingkan semula ke arahnya dengan kedua-dua tangannya. “Tak! Tak kelakar langsung. Kalau abang tahu Sya takut pada apa, pasti abang akan ketawa.” 

“Kau takut pada apa?” Izz ingin tahu. Tangan Hasya dipegangnya.

“Anak kucing.” 

Izz ketawa kecil. Dia tidak menyangka isterinya itu fobia pada anak kucing walhal anak kucing menjadi haiwan peliharaan bagi orang lain.

Hasya tarik muka. “Tengok tu, abang pun gelakkan Sya.” 

Izz berhenti ketawa. Dia menarik Hasya ke dalam pelukannya. “Aku takkan benarkan anak kucing kacau kau. Perlukah aku peluk dan cium kau kalau terserempak dengan anak kucing?” 

“Taklah sampai macam tu... cuma abang kena alihkan anak kucing tu jauh-jauh dari Sya. Kalau tak...” Hasya berhenti bercakap.

“Kalau tak... apa akan berlaku?” Wajah Hasya diangkat ke arahnya.

“Mungkin Sya akan melompat sambil menjerit ketakutan.” Hasya tidak mahu mengingat lagi peristiwa dia berbuat demikian ketika dia tidak sedar anak kucing menghampirinya sewaktu dia pulang dari kelas menjahit. Mujurlah ada teman sekelasnya yang mengalih anak kucing itu ke tempat lain.

Izz tergelak. “Takpe. Lain kali kau lompat atas riba aku dan menjerit dalam pelukan aku. Sya, thanks sebab kau buat benda yang sepatutnya masa aku fobia tadi.” 

Hasya meleraikan pelukan Izz. “Never mind! Sebab tulah Sya tak rasa takut pada gelap tu kelakar. Mungkin ada orang lain yang fobia pada benda yang tak logik tapi itulah yang menjadikan seseorang tu unik.” 

Izz mengangguk. Mereka duduk di pangkin sambil menyaksikan bulan dipagari bintang sambil menanti cahaya elektrik kembali menyala.



Eriyza : Akhirnya sampai ke Bab 25. Maaf jika kurang menghiburkan kerana sudah penat memerah otak mencari idea. 

8 comments

nursya April 22, 2012 at 1:05 AM

best2...
next n3 plssss....

Eriyza April 22, 2012 at 9:58 AM

@nursya:
Hehehe. Sabo sabo! :)

Anor April 22, 2012 at 1:31 PM

best nak lagi... cepat sambung ye.

Eriyza April 22, 2012 at 3:14 PM

@Anor:
Okey. [*-*]

sue April 23, 2012 at 10:58 AM

hahaha... Izz dan Sya memang serasi kan....

Eriyza April 23, 2012 at 3:24 PM

@sue:
Asyik gaduh kira serasi kaa?? :p

Riena May 6, 2012 at 2:34 PM

Sukenye..best2...
cpt2 la wt sambungannya ye kak Eriyza..heheh..
good luck.

Eriyza May 6, 2012 at 10:59 PM

@Riena:
Lama tunggu Riena komen.
Nak sambung laa ni. :)

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.