5/05/2014

Yes I Love You 51



Yes, I Love You – Bab 51

Dia sampai di perkarangan banglo mewah itu kira-kira pukul 5.11 minit petang. Dari topi keledar bertutup penuh, dia melemparkan pandangan ke atas. Langit sedikit mendung. Angin bertiup agak kuat. Mata ditinjau pula pada halaman banglo. Caldina, Kompressor dan Murano tersusun elok di lot parkir. Kakinya digagahkan juga untuk menapak masuk ke banglo itu. Loceng ditekan tiga kali sebelum pintu pagar automatik akhirnya terbuka.

Zikri meletakkan topi keledarnya di atas motor. Pintu rumah terbuka luas seolah-olah sedia menerima kunjungannya. Sneakersnya ditanggalkan sebelum menapak masuk. Ruang tamu itu sunyi sepi, tiada susuk penghuninya kelihatan.

“Assalamualaikum...” Sapa Zikri. Dia meninjau-ninjau keadaan di dalam rumah. Susunan perabotnya dari jenama terkenal sudah melambangkan status pemiliknya. Sudah lama dia tidak bertandang ke rumah itu. Seingatnya, kali terakhir dia berkunjung ke banglo itu ketika majlis perkahwinan sahabat baiknya berlangsung.

“Waalaikumussalam...” Suara itu muncul di belakang Zikri. Berdiri sambil bercekak pinggang. Lagaknya seperti ingin beradu tenaga di gelanggang silat. Hanya menunggu lawan membuka langkah sebelum dia bertindakbalas.

“Izz, aku datang ni nak...” Dia berpaling mengadap tuan rumah.

“... Nak cari Sya? Dia tak ada kat rumah!” Pintas Izz. Sinis bunyinya.

“Bukan!” Sanggahnya. “Aku cari kau. We need to talk!” Semua salah faham perlu dipadam. Kebenaran perlu ditegakkan. Barangkali dia akan menerima sekali lagi tumbukan, dia tidak kisah itu semua asalkan hal yang sebenar dapat dihebahkan.

“Apa lagi kau nak cakapkan, hah? Tak serik lagi dengan tumbukan aku? Tak takut aku belasah kau?” Ugut Izz. Kedua-dua tangannya sudah dikepal. Dia tidak akan teragak-agak untuk beradu tenaga dengan lelaki itu andai amarahnya kembali memuncak.

“Izz, aku tak kisah kalau kau belasah aku... asalkan aku dapat ceritakan hal sebenarnya.” Zikri diam seketika. Dia menghela nafas. “Aku tahu kau marah pada aku.... atas sebab itulah aku ke sini... untuk menjelaskan segala-galanya.” Sambungnya lagi.

“Penjelasan konon!” Izz mencebik. “Zikri! Kau khianati aku. Kau ambil gambar kahwin aku, kemudian kau edit dengan membuang gambar aku sebelah Hasya, kau gantikan pula dengan gambar kau. Kenapa, hah?!” Tempik Izz. “Apa tujuan kau?” Matanya sudah dijegilkan. Zikri yang berada di hadapannya kelihatan semakin kecil.

Zikri masih bersikap tenang. Api tidak boleh disimbah dengan minyak. Dia tidak mahu menambahkan kelukaan di hati Izz. Dia mendiamkan diri buat seketika. Biar amarah Izz surut sedikit.

“Izz, kalau kau masih ingat... kau pernah tanya aku dulu. Kenapa aku tak ada girlfriend,kan?” Zikri menarik nafas dalam-dalam kemudian dilepaskan dengan kuat. “Kalau kau nak tahu... aku pernah jatuh cinta pada seorang budak perempuan semasa aku di Form 5 dulu.”

Budak perempuan? Pasti Zikri maksudkan Hasya. Ketawa Izz meledak secara tiba-tiba. “Jangan nak temberang! Masa kau Form 5, Hasya baru 12 tahun. Kau ingat aku akan percaya bini aku reti bercinta time tu?” Izz ketawa lagi. Tidak semudah itu Zikri boleh menipunya.

Izz menghenyakkan punggungnya ke sofa. Zikri sedikit pun tidak dipelawa duduk. Baginya, Zikri adalah tetamu yang tidak dijemput, jadi lelaki itu tidak perlu mendapat layanan yang baik dari tuan rumah.

Zikri mengetap bibir. Geram dengan Izz yang mempersendakan perasaan cintanya yang pernah bercambah buat Hasya. Dia cuba menyabarkan hatinya agar tidak meletus ‘rusuhan’ antara mereka berdua.

“Dengar dulu, Izz! Kami tak bercinta... aku yang suka kat Sya. Dia mungkin tak tahu makna cinta. Tapi kau jangan lupa... aku dah 17 tahun masa tu. Dah reti nak berkasih sayang. Dah tahu rindu dendam.” Akhirnya rahsia yang disimpan kukuh bertahun lamanya terbongkar juga.

“Owhhh...! Jadi, sekarang ni kau nak bertindaklah, ye? Nak sambung balik cinta kau yang tak kesampaian? Nak rampas Sya daripada aku, begitu?!” Izz masih tidak berpuas hati dengan penerangan Zikri. Dia hanya tahu Zikri cuba merosakkan hubungannya dengan Hasya. 

Zikri bertenggek di sebuah kerusi kayu jati. Kakinya sudah lenguh kerana berdiri terlalu lama. Tekaknya pun mulai haus kerana terlalu banyak bercakap. Tiada tanda-tanda tuan rumah ingin membuat air minuman, jauh sekali menghidangkan makanan ringan.

Sejak tadi, dia tidak melihat kelibat Hasya. Dia ingin sekali bertanya kepada Izz, namun dia bimbang lelaki itu berfikir yang bukan-bukan lagi. Lantas, soalan itu hanya dibiarkan bersarang di dadanya, langsung tidak dikemukakan.

Zikri beristighfar. Sukar untuk membuatkan Izz faham. “Aku tak berniat begitu, Izz. Ketika aku tahu dia pengantin kau pada hari kau menikah... aku dah redha. Sya bukan jodoh aku.” Perlahan Zikri menuturkan kata-katanya. Ada sedikit rasa pilu di hatinya.

“Redha konon!” Izz sengih tepi. “Habis, kenapa kau masih simpan semua gambar-gambar dia? Kenapa kau edit dengan Adobe Photoshop, print dan letak dalam sketch book? Kenapa kau buat semua tu?!” Izz masih ingat dengan jelas peristiwa di rumah Zikri, saat dia tersalah mengambil sketch book yang merungkai semua misteri tentang gadis pujaan Zikri.

Zikri memandang wajah Izz lama. Agak malu untuk meluahkan semua rasa yang pernah tercipta buat Hasya. Demi keharmonian rumahtangga Izz, dia sanggup tampil membuat pengakuan. “Aku akui kesilapan yang berlaku. Semua tu terjadi kerana cinta pertama sukar untuk dilupakan.” Dia beralih duduk di kerusi jati. Sakit punggungnya bertenggek di situ.

Zikri menyambung lagi bicaranya. “Semasa belajar di Dungun, setiap kali berpeluang balik kampung, aku lebih suka ikut Hafiz ke Terengganu. Satu-satunya adik perempuan yang dia ada berjaya menambat hati aku. Walaupun masih kanak-kanak tetapi Sya pandai menjaga diri. Cuba kau bayangkan... selama berada di rumahnya... sehelai rambutnya pun aku tak pernah nampak.”

Izz bersetuju dengan penilaian Zikri tentang peribadi Hasya. Gadis itu memang sangat menjaga auratnya. Pada mulanya, Izz sendiri menganggap isterinya cuma berpura-pura tetapi setelah beberapa bulan hidup bersama, dia mula akur dengan sifat isterinya itu.

“Kalau kau dah tergila-gilakan sangat kat Sya... kenapa kau tak suruh Mummy kau pinang dia? Kenapa kau mesti kacau dia selepas dia jadi isteri aku?!” Izz sudah bangun dari sofa. Hatinya panas mengenangkan sahabat baiknya sendiri sanggup mengganggu isterinya.

Zikri bengang dituduh sebagai pengacau. Sejak Hasya berkahwin dengan Izz, dia tidak pernah bertemu dengan gadis itu berdua-duaan. Walaupun hatinya sakit setiap kali melihat Hasya bersama Izz tetapi tidak terdetik di hatinya untuk memisahkan mereka berdua.

“Kalau aku tahu Sya akan kahwin dalam usia semuda ni... dah lama aku pinang dia!” Suara Zikri agak tinggi. “Tapi... dah tertulis dia hak kau. Walau bertahun lamanya aku mencari dia... tetap tak jumpa.” Zikri mengeluh kuat.

“Apa maksud kau? Kau kan dah biasa pergi rumah dia... macam mana pulak boleh tak jumpa? Takkan alamat hilang kot?!” Perli Izz lagi. Alasan lapuk!

“Selepas tamat SPM, aku ada pergi ke rumah Sya di Terengganu... tapi... mereka dah berpindah. Bila aku tanya jiran-jiran dorang... mereka pun tak tahu alamat baru keluarga Sya. Aku cari Hafiz kat Dungun... dia pun dah tukar sekolah. Aku kehilangan arah. Puas aku cuba cari dorang... namun usaha aku sia-sia.” Wajah Zikri sugul.

Izz berlalu ke dapur. Dia meninggalkan Zikri seorang diri di ruang tamu. Seketika kemudian, dia kembali semula dengan membawa dua tin Kickapoo. Tekaknya berasa haus kerana terlalu lama bertengkar dengan Zikri. Mungkin lelaki itu juga sudah dahaga. Setin Kickapoo dilempar kepada Zikri. Kemas tangkapan tangan kanan Zikri.

Thanks.” Ucap Zikri sepatah.

Tell me more...” Izz membuka penutup air tinnya. Dia semakin berminat hendak tahu kisah cinta Zikri yang tidak kesampaian. Sepanjang mengenali Zikri, lelaki itu tidak pernah bercerita tentang gadis idamannya, jauh sekali untuk dikaitkan dengan mana-mana perempuan.

Zikri meneguk airnya, membasahkan tekak sebelum kembali bercerita. “Lama jugak aku berusaha menjejaki dorang... tapi... tetap gagal. Akhir sekali, aku jumpa Hafiz masa hari pernikahan kau. Masa tu, aku terlalu gembira... tak sabar-sabar aku nak tanya berita tentang Sya. Tapi...” Tiba-tiba air mata Zikri menitis.

Izz tergamam. Tidak pernah dia melihat Zikri menangis. Terlalu mahal nilai air mata seorang lelaki seperti Zikri. Zikri menekup mukanya dengan tangan kanan. Tangan kirinya masih memegang air tin. Izz membiarkan Zikri melampiaskan kesedihannya. Dia sekadar memandang.

Zikri mengesat air matanya. Ceritanya diteruskan. “Kegembiraan bertukar menjadi kedukaan bila aku nampak dia di hari pernikahan kau. Selama ini... aku mencintai Sya sepenuh hati. Malah... aku nak jadikan dia isteri. Kau lebih bertuah Izz kerana takdir menentukan dia milik kau.”

“Zik, semuanya dah musnah... tiada lagi tuah. Hasya sudah keluar dari rumah.” Tanpa sedar, kata-kata itu terluncur juga dari mulut Izz.

Zikri melongo. “Jangan kata kau halau dia sebab... aku.” Ada rasa kesal bermukim di hati Zikri.

No! Bukan kau penyebab utamanya... tapi... Thaqif!” Izz menggenggam kuat tin Kickapoo sehingga kemek.

“Thaqif?” Terlucut tin Kickapoo dari genggaman Zikri. Tin itu bergolek sehingga ke kaki Izz. Mujurlah airnya sudah dihabiskan.

Izz cuma mengangguk. Malas hendak membuka cerita tentang lelaki yang membuat onar di dalam kehidupannya.

“Aku balik dulu, Izz. Kau mungkin tak percaya pada aku... tapi... kau patut percaya kepada isteri kau.” Zikri menepuk bahu Izz sebelum berlalu meninggalkan banglo mewah itu.


Eriyza :  Selamat membaca. Semoga terubat rindu kalian. 

2/06/2014

Yes I Love You 50



Yes, I Love You – Bab 50

Dia berteleku di tepi tingkap. Pagi yang mulanya cerah berubah mendung. Titisan-titisan hujan yang mula gugur ke laut menjadi santapan matanya. Jendela dibuka, bias-bias hujan mula menerobos masuk ke biliknya. Andai kata hujan turun membasahi lautan setahun sekali pun, air laut tidak pernah tawar. Tidak! Tidak sama sekali! 

Hujan yang mencurah turun sudah mulai reda. Seketika kemudian, muncul tujuh spektrum warna di laut. Pelangi! Ya, pelangi terbentuk selepas hujan apabila cahaya matahari dibiaskan oleh titisan air hujan.

“Merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu.” Hasya masih ingat tujuh jalur warnanya. “Pelangi... muncul di waktu pagi.” Hasya sangat teruja melihat keindahan pelangi yang terpancar di lautan. Sungguh menarik! 

Tanpa sedar, dia sudah keluar dari bilik. Langkahnya dihayun ke arah pelangi. Belum pun sempat pelangi itu diamati sepuasnya, jaluran warna itu menghilang perlahan-lahan. Hanya awan gemawan yang kelihatan. Kecantikan pelangi sudah lenyap ditelan. Sama seperti perkahwinannya dan Izz, sinar bahagia hanya seketika. Kini rumahtangga mereka diselubungi debu derita.

“Aku panggil teksi, mungkin dah ada kat luar.” Izz memberitahu Hasya ketika gadis itu usai memasukkan pakaiannya ke dalam beg. Izz cuba membantu Hasya mengangkat beg pakaiannya tetapi Hasya menghalang.

Walaupun Izz tidak mahu menghantar Hasya pulang tetapi dia tidak betah membiarkan Hasya berjalan sendirian walaupun malam masih muda. Keselamatan Hasya tetap menjadi keutamaannya sebab itulah dia telah menelefon pemandu teksi yang boleh dipercayai.

“Takpe. Sya boleh bawak sendiri.” Beg bajunya dijinjing manakala sling begnya disandang. Dia menuruni anak tangga lambat-lambat, tidak seperti selalu. Anak tangga itu pernah menjadi tempat lariannya. Anak tangga itu juga pernah dihitung bilangannya.

Dia menyorot pandang pada setiap ruang di dalam rumah itu yang terjangkau dek penglihatan matanya. Dahulu, dia dialu-alukan di banglo ini tetapi kini dia diusir pergi. Entahkan akan kembali lagi, entahkan keluar selamanya dari sini, dia sendiri tidak pasti. 

Tombol pintu utama dipulas perlahan. Terasa lemah kakinya hendak melangkah. Hendak berdiri tegak pun dia tidak larat. Dia perlu berpura-pura kuat. Dia perlu nampak bersemangat. Biar Izz tahu dia seorang gadis yang hebat.

“Sya... tunggu!” Bahunya disentuh dari belakang. Dia berkalih pandang memaku wajah Izz. Seraut wajah milik lelaki itu ingin disimpan di dalam kotak mindanya agar tidak hilang. Dia tidak mahu melupakan wajah insan yang pernah ditumpahkan kasih sayang.

Hasya menunggu butiran perkataan dari si suami. Adakah Izz telah menukar fikiran? Adakah Izz tidak sampai hati membiarkan dia pergi? Adakah Izz sudah faham bahawa semua ini hanyalah suatu kesilapan?

Abang... cakaplah abang tak mahu Sya pergi dari sini. Rintih hatinya. Kata-kata itu tersekat di kerongkong Hasya. Dia tidak mampu merayu kepada suami sendiri. 

Izz mengeluarkan dompetnya. Sekeping kad berwarna hitam ditarik keluar. Kad itu diletakkan di atas telapak tangan kanan Hasya. “Ini kad debit aku... kau boleh ambil duit dalam tu. Passwordnya... tarikh kita kahwin.” 

Izz menyeluk poket seluar kirinya. Sejumlah wang dikeluarkan lalu diletakkan di atas kad debit tersebut. “Duit ni... untuk kau belanja.” Izz bersuara perlahan. Cuba menahan diri daripada berwajah sayu. Segaris senyuman perpisahan dihadiahkan buat Hasya.

Bagaikan patung di Tugu Peringatan Negara, Hasya sedikit pun tidak berkutik. Hatinya hancur lebur dijirik. Dia tidak mahu itu semua. Dia hanya mahu hubungan ini diselamatkan. Wang ringgit takkan mampu membeli keharmonian pernikahan mereka. Harapannya semakin tipis. Impiannya semakin nipis. 

“Pergilah...” Suara Izz semakin serak. Dadanya dihimpit sebak. Perasaannya kian hebat berkocak. Namun, yang terpamer di hadapan Hasya hanyalah wajah Izz tanpa riak.

Hasya mengatur langkah longlai. Tiba-tiba dia berpaling dan memeluk Izz. Baju Izz lencun dengan air mata Hasya. Dia tidak pula melarang Hasya memeluknya. Dia tidak juga membalas pelukan itu. 

Rasa simpati Izz menggunung tinggi. Namun, dia perlu bertegas kali ini. Dia tidak boleh berlembut lagi. Di luar pagar, hon telah berbunyi. Mungkin pemandu teksi sudah letih menanti. Mungkin juga dia masih perlu mencari penumpang lain demi sesuap nasi.

Hasya merungkai pelukannya. Masanya untuk pergi sudah tiba. Tempat itu perlu ditinggalkan dengan segera. Tangan kanan Izz dicapai lalu dicium seketika. Selepas ini, dia tidak akan berpeluang lagi untuk melakukan hal yang sama. 

“Abang... kalau Sya mati di dalam tempoh perpisahan ini... halalkanlah makan minum Sya. Ampunkan segala salah silap Sya. Kalau boleh, redhalah Sya sebagai isteri abang...” Sebaik menuturkan kata-kata tersebut, Hasya berlari masuk ke perut teksi. Teksi itu menghilang bersama kepekatan malam.

Hasya menangis lagi apabila mengingatkan kisah malam semalam. Sejak beberapa hari lalu, dunianya penuh dengan air mata, tiada lagi tawa ceria. Air mata menjadi teman setianya. Dia telah berubah menjadi gadis yang lemah, tidak lagi ‘gagah’ seperti dulu. Tragedi yang menimpanya terlalu berat untuk digalas. 

Hasya melahu menyusuri tepian pantai. Dataran pantai yang luas seakan menggamit pengunjung untuk berlabuh di dadanya. Deburan ombak bagaikan sebuah lagu bernada sayu. Nun jauh di tengah laut, tiga buah kapal nelayan sedang menuju ke laut dalam. Barangkali mencari rezeki yang bertebaran di bumi Tuhan. Di langit, sekawan burung berterbangan bebas. 

Sandalnya ditanggalkan lalu dipegang. Dia membiarkan busa-busa ombak yang memutih memukul-mukul jari-jemari kakinya. Air laut terasa begitu sejuk dan dingin, mungkin kerana air laut dan air hujan baru bersatu. Kulit-kulit kerang berselerakan di tepi pantai. Anak-anak ketam bermain-main di pasir sebelum hilang dilarikan ombak. 

Hasya berhenti berjalan apabila terpandang sebatang pohon kayu terdampar di antara air dan pasir. Akhirnya, dia duduk di situ. Pagi itu, belum ramai orang yang datang ke pantai. Hanya beberapa orang yang kelihatan di sekitar kawasan dia duduk. Mereka sibuk membuat hal masing-masing tanpa menghiraukan orang lain.

Dia merenung jauh ke laut. Dia ralit memerhatikan ombak-ombak yang bergulung sebelum menghempas pantai apabila tiba di tepian. Pantai tetap setia menerima kunjungan ombak walaupun ‘dirinya’ disakiti setiap masa. Ombak itu umpama masalah, ia akan sentiasa timbul di dalam kehidupan seseorang. Pantai pula umpama seorang makhluk Tuhan, perlu bersabar untuk menyelesaikan masalah yang ada.

Seperti dirinya kini, ‘ombak’ membadai rumahtangganya. Malangnya ‘ombak’ yang mengamuk itu langsung tidak dapat disanggah. Dia mula memikirkan setiap kesalahan yang disabitkan dengan dirinya. Mengapa Thaqif mahu menganiayainya? Mengapa Zikri turut dikaitkan dengannya? Ah! Dia buntu! Semuanya tidak dapat dicerna dengan akal fikiran. 


Assalamualaikum Hasya,
Semua gambar-gambar ini dipulangkan sebagai permohonan maaf.
Gambar-gambar yang sama berserta video juga telah dibuang dari Facebook.
p/s : Hasya, don't be mad at me. I did it for good reasons. Please  forgive me.
With much love,
Thaqif


Ayat-ayat yang sempat dihadam mindanya sebelum direnyuk terimbas kembali. Padat dan ringkas ayat yang ditulis Thaqif di dalam suratnya. Surat yang tidak diundang itu telah menjahanamkan hubungannya dan Izz. Hasya mengetap bibir bawah. Geram!

Apa tujuan Thaqif? Apa Thaqif mahu? Apa dendam Thaqif padanya? Hasya berfikir lagi. Lelaki bernama Thaqif itu baru dikenali, bercakap pun jarang sekali. Lantas mengapa lelaki itu muncul sebagai watak antagonis di dalam sejarah hidupnya? Mengapa? Soalan hanya tinggal soalan!

Paling Hasya tidak mengerti, Zikri turut terkena tempiasnya. Seingatnya, dia langsung tidak berhubung dengan lelaki itu tanpa pengetahuan Izz. Malah, dia membuang ‘abang’ di pangkal nama Zikri gara-gara Izz tidak suka. 

“Kalau kau tak ada apa-apa dengan dia... kenapa gambar-gambar kau dia edit dengan cantik? Kenapa dia print dan letak dalam sketch book? Kenapa ada tulisan Zikri love Hasya? Baik kau mengaku, apa hubungan kau dengan Zikri?”

Tuduhan Izz menyengat cuping telinganya bila diingat kembali. Sungguh dia tidak tahu Zikri ada melakukan hal sedemikian. Dia menjadi mangsa di dalam kedua-dua kes yang dikenakan ke atasnya tetapi dia yang didakwa. Izz menghakiminya tanpa sebarang bukti kukuh, jauh sekali saksi. Tanpa perbicaraan! Tanpa peguambela!

Hasya mengambil sebatang kayu kecil yang dihanyutkan air. Dia menguis-guis pasir yang melekat di jari kakinya. Dia menghela nafas berkali-kali. Dia bangun berdiri. Dia tidak boleh mengalah lagi. Dia perlu berjuang untuk diri sendiri. Dia tidak boleh bersedih begini. Suntikan semangat terus diberi.

Sekian lama berduka lara di situ, sinar mentari semakin galak menggigit kulit. Mukanya terasa  semakin perit, Hasya memayungi wajahnya dengan tangan kanan. Hasya bergerak ke tempat penginapannya. Dia mahu melakukan aktiviti yang sering dibuatnya sejak zaman remajanya lagi. Berada di tempat asing tidak menghalangnya untuk terus mengamalkan gaya hidupnya.

Hasya menunaikan solat Dhuha. Menurut Ustaz Ghazali, waktu solat Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir, disunatkan pula ditakhirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik. Solat Dhuha adalah sunat awwabin yang menjadi amalan Rasulullah S.A.W kerana di dalamnya terkandung pelbagai ganjaran yang telah Allah janjikan.

“Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu , keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.”

Hasya berdoa panjang. Indahnya doa solat Dhuha kerana pelbagai hajat terangkum di dalamnya. Hasya ingin komited mengerjakannya sama seperti Abu Darda, Abu Hurairah dan Abu Zar al-Ghifari. Mereka adalah antara sahabat Rasulullah S.A.W yang kuat beribadat.


Eriyza : Maaf kerana lama tidak  mengepos sebarang berita tentang Izz + Hasya. Selamat membaca. Semoga terhibur.