10/27/2011

Yes I Love You 19

Yes, I Love You – Bab 19

Akhbar The News Straits Times dibelek-belek. Beberapa helaian tentang politik semasa dilangkau. Malas hendak mengambil tahu situasi politik yang penuh dengan kepura-puraan. Matanya tertumpu pada beberapa ruangan berita dalam negeri. Matanya terbeliak tatkala membaca tajuk berita ‘Dad a nuisance to the family’.

"He is my father but we cannot live together because his presence only brings problems to my married life...” Berita itu dibacanya perlahan namun suaranya dapat ditangkap oleh seseorang. Belum pun sempat dia menghabiskan bacaannya, surat khabar di tangannya direntap kasar.

Lelaki tua itu membaca berita yang sama dibacanya tadi. Setelah dua perenggan dihabiskan, lelaki itu mendengus kuat. “Dasar anak kurang ajar!” Akhbar ditangan direnyuk-renyuk sebelum dicampak ke belakang.

“Morning pa, morning Izz.”

Akhbar itu terkena batang tubuh Izzdiyad yang kebetulan lalu di situ. “Kenapa newspaper jadi macam ni?” Dia membongkokkan badannya sedikit untuk mengambil akhbar yang sudah jatuh ke lantai.

“Morning Yad.” Izz yang duduk di situ cuba membuat isyarat mata agar Izzdiyad tidak menghampiri papanya. Namun lelaki itu tidak pula memahami bahasa yang cuba dihantar adiknya. Datuk Izzuddin yang membelakanginya didekati.

“Papa… Yad nak keluar kejap. Boleh Yad pinjam Kompressor papa?” Surat khabar yang diambilnya tadi dihulurkan kepada papanya.

Datuk Izzuddin bukan sahaja tidak mengambil surat khabar tersebut malah menepisnya dengan kasar. Dia bercekak pinggang. Izzdiyad direnung tajam. Penuh api kebencian di dalam renungan matanya.

“Kau berambus terus lagi bagus!” Melengking suara Datuk Izzuddin.

Izzdiyad terpinga-pinga. Dia sedikit terkejut kerana ditengking tanpa sebab. Dia tidak tahu apa masalah yang ditimbulkannya sehingga mood papanya berubah. Semalam papanya elok sahaja, tiba-tiba hari ini lain pula jadinya.

Datuk Izzuddin meninggalkan ruang tamu. Sebelum tangannya naik ke muka Izzdiyad, baik dia beredar. Berita tentang anak derhaka yang sempat dibacanya tadi benar- benar membuatkan dadanya terbakar. Hatinya panas. Marahnya berbahang!

Izz kasihan kepada abangnya. Surat khabar ditangan Izzdiyad diambil lalu dibetulkan semula. Halaman berita yang dibaca olehnya dan Datuk Izzuddin sebentar tadi ditunjukkan kepada Izzdiyad. “Papa mengamuk sebab berita ni.”

“Hmmm... Patutlah papa marah.” Izzdiyad mengeluh perlahan. Sofa di ruang tamu diisi. Izz turut duduk di sebelahnya.

“Sabarlah Yad. Nanti papa okey laa tu.” Paha abangnya ditepuk.

“Hmmm... Nampaknya payah aku nak berbaik dengan dorang, Izz. Papa dengan ragamnya. Mama pulak masih marah.” Satu keluhan lagi dilepaskan.

“Kau jangan putus asa. Tu yang paling penting. Air dicincang takkan putus.” Izz kupas senyum.

“Memang takkan putus tapi tetap terpercik. Air yang terpercik tu laa yang payah nak masuk balik dalam baldi.”

Ada nada lucu dalam kata-kata Izzdiyad membuatkan Izz ketawa kecil.

Izzdiyad memandang tajam ke arah Izz yang sedang ketawa. “I’m serious.”

“Okey... okey. Aku faham.”

“Apa lagi yang perlu aku buat?”

“Terus berusaha sampai berjaya.”

“Kalau keputusannya macam tu jugak?”

“No! Jangan asyik fikir negatif. Aku percaya suatu hari nanti papa mama akan maafkan kau. Bila masanya aku tak tahu tapi harinya pasti akan tiba.”

“Hmmm...” Izzdiyad mengeluh panjang.

Kau tak buat masalah, jadi kau takkan rasa bersalah. Getus hati kecil Izzdiyad. Dia menyandarkan badannya ke kusyen sofa. Kedua-dua tangannya diletakkan di belakang kepala. Serabut memikirkan jalan penyelesaian untuk berdepan dengan papa dan mamanya.

“Kau nak pergi mana tadi? Guna jelah Caldina aku.” Izz menawarkan bantuan.

Izzdiyad berpaling ke arah Izz. Adiknya sudah banyak berubah sejak berumahtangga. Semakin bertimbangrasa, tidak lagi lokek. Kalau dulu, jangankan hendak diberi pinjam keretanya, menyentuhnya pun dilarang keras. Bahkan mereka pernah bergaduh gara-gara Izzdiyad memandu kereta Izz ketika dia tidur.

“Takpelah. Dah takde mood nak keluar.” Tadinya dia bercadang hendak ke bank untuk mengeluarkan wang tetapi niatnya sudah terbantut.

Pak Musa masuk ke dalam rumah. Dia menghampiri kedua-dua anak muda itu. Senyuman diberi sebelum dia menuturkan kata-kata.

“Encik Yad nak keluar? Datuk suruh Pak Musa hantarkan.”

“Papa mana Pak Musa?”

“Datuk dah keluar main tennis.”

“Pak Musa hantar?” Takkan cepat benar Pak Musa menghantar papanya ke gelanggang tennis. Orang tua ni merempit ke?

“Tak. Datuk nak bawak sendiri Nissan Murano hari ni.”

“Dah tu Pak Musa nak pandu kereta mana?” Izzdiyad semakin tidak faham dengan sikap papanya.

“Mercedes Kompressor.”

Lazimnya Datuk Izzuddin lebih suka memandu Kompressor daripada Murano tetapi hari ini kereta rasminya ke pejabat pula yang menjadi kereta peribadi. Lebih pelik, Izzdiyad tidak dibenarkan memandu kereta itu tetapi dibenarkan naik asalkan Pak Musa yang membawanya ke mana-mana sahaja.

Izzdiyad membuang pandang. Izz sudah tersengih panjang.

**********

“Encik Yad nak pergi mana ni?” Pak Musa menegur. Namun lelaki muda di sebelahnya tetap membisu. Pak Musa jadi keliru, tidak tahu arah hendak dituju. Sejak masuk ke perut kereta, lelaki itu cuma menyuruh dia memandu tetapi tidak pula diberitahu destinasi.

Sekali lagi dia bertanya, kali ini agak kuat. “Encik Yad, nak Pak Musa hantarkan ke mana?”

Izzdiyad berpaling. Dia bukannya tidak mendengar soalan Pak Musa cuma dia sendiri tidak pasti mahu ke mana.

“Pak Musa pernah bergaduh dengan anak?” Terpacul soalan itu dari mulutnya.

“Pernah jugak.” Pak Musa mengerti gelodak jiwa anak muda itu.

“Gaduh yang macam mana tu?”

“Budak-budak tu nakal. Pantang nampak motor, nak merempit saja kerjanya. Puas Pak Musa berleter tak jugak makan saman. Akhir sekali Pak Musa rotan, barulah berkesan. Sekarang ni dorang dah besar panjang. Berterabur cari makan di tempat orang.”

“Alangkah bagus kalau kesalahan Yad pun boleh dimaafkan dengan rotan tapi....” Ayat Izzdiyad berakhir di situ.

Pak Musa memandang wajah Izzdiyad. “Pak Musa faham perasaan Encik Yad.” Terbit rasa kasihan di hatinya. Peristiwa Izzdiyad keluar dari rumah dulu masih tergambar di matanya.

“Apa yang perlu Yad buat Pak Musa?”

Umur Pak Musa tidak banyak beza dengan papanya. Pada hemat Izzdiyad, tentu ada sesuatu dapat dipelajari dari Pak Musa untuk menyelami hati papanya nanti. Lagipun, Pak Musa selalu berdamping dengan papanya, pasti dia dapat melihat perwatakan sebenar Datuk Izzuddin.

“Pak Musa pun tak tahu tapi Datuk tu baik sebenarnya. Biasalah bapak, takkan dia nak beralah dengan anak pulak. Jadi, Encik Yad kena usaha sungguh-sungguh untuk mintak maaf.”

“Papa baik? Maksud Pak Musa?” Izzdiyad berminat ingin tahu pandangan seorang pekerja terhadap majikannya.

Pak Musa memandang anak majikannya sekilas sebelum beralih ke jalan raya. “Datuk banyak jasa pada Pak Musa sekeluarga. Datuk layan kami dengan baik… terharu jugak rasanya. Jarang majikan sediakan rumah ada aircond untuk driver macam Pak Musa. Setiap 3 bulan, Datuk bagi kami cuti seminggu untuk balik kampung. Anak-anak Pak Musa pun selalu dapat hadiah dari Datuk. Tak terbalas rasanya budi Datuk.”

Izzdiyad mengakui kata-kata Pak Musa. Sejak dia kecil lagi, Pak Musa sekeluarga sudah tinggal di belakang rumahnya. Anak-anak Pak Musa tiga orang semuanya, dua lelaki dan seorang perempuan. Hanya dua orang dibawa tinggal bersama.

Seorang lagi di bawah jagaan neneknya di kampung. Pak Musa tidak sampai hati hendak mengambil anaknya itu kerana emaknya terlalu sayangkan anak sulung perempuannya. Pak Musa akan membawa anak perempuannya itu ke rumah mereka setiap kali cuti sekolah.

“Pak Musa rasa papa akan maafkan Yad?”

“InsyaAllah.” Pak Musa memberikan sedikit keyakinan.

Mereka kembali diam. Pak Musa terus memandu dan Izzdiyad membuang pandang. Hanya bunyi radio yang menemani mereka sepanjang perjalanan. Izzdiyad terus menerus berdoa agar hubungannya dengan kedua-dua ibu bapanya dapat dipulihkan semula.

“Ke mana kita?”

“Court tennis.”

Pak Musa tersenyum panjang. Dia segera menukar laluan dengan membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat. Izzdiyad cuma berharap kehadirannya walaupun tidak dialu-alukan tetapi sekurangnya-kurangnya janganlah diusir.

7 comments

Riena October 27, 2011 at 4:02 PM

wahhh...xsangka dh ada sambungannya..
best la..cian Izzdiyad..dugaan betul die tuk mendapatkan kemaafan dr papa die kn?mst Hasya y byk membantu n bagi kata semangat kt abg & kakak ipar die kn?
xsabar nk tunggu y seterusnye...

Kak Sue October 27, 2011 at 4:30 PM

Dugaan.... teruskan usaha Yad untuk meminta kemaafan...

Eriyza October 27, 2011 at 11:38 PM

@Riena
Sbb tu laa jgn derhaka
pada mak abah. Tuhan murka.

Eriyza October 27, 2011 at 11:38 PM

@sue
Yad tgh berusaha keras tu.

Unknown February 16, 2012 at 6:07 PM

salam.... macam mane saye nak dapt menghubungi akak??? saye ade soalan yg ingin disoal.... terima kasih...

Eriyza February 17, 2012 at 11:12 AM

@lilo stich:
Awak boleh emailkan kepada ladyqistina[@]gmail[.]com

Amy Faryhah March 7, 2019 at 8:27 PM

Abang & adik dlm cerita nma apa sebenarnya???Betul ke abg nama Izzdiyad?? Adk punya nma apa? Saya kurang fhm

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.