1/13/2013

Yes I Love You 32


Yes, I Love You – Bab 32

Dia bersiul riang sambil berjalan ke pintu pejabat. Beberapa orang pekerja yang masih belum pulang ditegurnya. Dia ramah seperti selalu. Mengusik dan bergurau senda dengan rakan sekerja perkara biasa baginya. Malah, dia antara ‘pelawak’ yang disenangi ramai di syarikat itu. Dia berhenti berjalan tatkala namanya dipanggil. Jantung berdegup kencang.

“Amar.”

“Encik Izzdihar.” Senyuman dikupas.

I nak pinjam helmet you.”

Biar betul? Dia tersalah dengarkah? “Boleh... tapi... helmet saya buruk. Mungkin tak sesuai untuk Encik Izzdihar pakai.” Amar menunjukkan topi keledar yang dikeleknya.

Bosnya langsung tidak memberi sebarang komen terhadap topi keledarnya yang buruk. Amar ragu-ragu hendak memberikan topi keledarnya kepada bosnya yang sudah menghulurkan tangan. Bosnya benar-benar serius, tidak main-main. Jaketnya yang disarung di bahagian hadapan badan dibetulkan setelah melurut ke lengan.

“Nah! Buat tambang balik.” Izz mengambil topi keledar Amar lalu memimpin tangan Hasya keluar dari pejabat. 

Amar menayangkan duit RM50 yang diberi oleh Izz. Dia tersenyum lebar. Kalaulah setiap hari dapat membuat perniagaan ‘sewa topi keledar’ kepada majikan seperti Izz, tentu dia cepat kaya. 

Setelah berpesan kepada pengawal keselamatan supaya menjaga keretanya dengan baik, Izz menghidupkan enjin motorsikalnya. Dia masih lagi kurang percaya, ‘harta’ kesayangannya itu ditunggang Hasya. Dia tidak pernah membenarkan sesiapa pun menunggang motorsikalnya sama ada Izzdiyad mahu pun Zikri.

Hasya mengambil topi keledar Amar lalu cuba dipakai tetapi Izz merampasnya. Tanpa sepatah kata, topi keledar mahalnya yang menutup muka dipakaikan kepada Hasya. Dia pula memakai topi keledar buruk Amar. Hasya tersengih.   

Izz mengambil selekoh tajam dengan berhati-hati. Kelajuannya dikurangkan sedikit. Hasya memeluk pinggangnya dengan kuat. Izz tersenyum senang. Sesekali Izz mencelah di lautan kenderaan yang bertali arus.  
Kini, mereka sudah keluar dari kesesakan kotaraya Kuala Lumpur. Petang sudah menjelang malam. Sebentar lagi matahari akan berwarna jingga sebelum bulan mengambil giliran menghiasi dada langit. Tunggangan dihalakan ke arah sebuah bukit. Dari atas bukit, beberapa bahagian bandaraya dapat dilihat dengan jelas.

Dia memberhentikan motosikalnya. Hasya turun dari motosikal. Dia terpukau melihat keindahan hutan batu yang tersaji di hadapannya. Kilauan lampu-lampu yang kelihatan berkelipan bak bintang menarik perhatiannya. Dia mendepakan tangan, udara segar dihirup dalam-dalam. 

Izz masih belum turun dari motorsikalnya. Dia duduk mengiring sambil memerhati gelagat isterinya. Di benaknya timbul seribu persoalan tentang isterinya. Semakin lama semakin dirasakan isterinya itu gadis yang misteri, penuh dengan rahsia. Sedikit demi sedikit rahsia isterinya terbongkar. Setiap kali rahsia itu berjaya dibuka, dia yang terkesima.

Hasya tersenyum meleret apabila tubuhnya didakap dari belakang. Dagu Izz berada di atas bahu kirinya. Setelah beberapa minit berada di dalam keadaan sedemikian, Izz meleraikan pelukannya. Tubuh Hasya dihadapkan ke arahnya. 

“Sya... siapa kau sebenarnya?” 

Hasya tergelak kecil. Soalan Izz terasa lucu di gegendang telinganya. 

“Aku serius. Siapa kau sebenarnya?” Wajah Izz tegang, sedikit pun tiada senyuman.

Gelak Hasya mati terus. “Soalan abang seolah-olah Sya ejen FBI yang menyamar.”

“Kalau kau bukan FBI... kau mungkin CIA, Interpol atau apa sahaja. Seperkara yang pasti, kau memang menyamar. Kau bukan Hasya yang aku kenali dulu.” 

Wajah Izz ditenung. Ada rasa hairan di dalam tenungannya. “Apa abang cakap ni? Sya masih sama macam dulu. Gadis kampung yang abang nikahi.”

No! Kau berbeza dengan Hasya yang kahwin dengan aku. Isteri aku tak tahu banyak benda... bukan macam kau.”

Hamburan kata-kata Izz cukup mengguris hati kecil Hasya. Mengapa dia sering dianggap naif sedangkan Izz tidak pernah pun bertanya. Mengapa dia sering dimarahi walaupun dia tidak bersalah? Mengapa dia perlu mengalah bila masalah mula menjengah? Pelbagai persoalan timbul di kotak fikirnya. 

“Sya tak faham. Apa sebenarnya yang berlaku?”

Izz merenungnya tajam. Dia keliru dengan personaliti isterinya sendiri. Dia sangsi dengan perwatakan isterinya. Dia curiga pada isterinya sendiri.

“Kau kenal Thaqif?”

Hasya mengangguk. “Kenal.” Dia menjawab tanpa ragu-ragu walaupun baru dua kali bertemu lelaki berkenaan. 

“Apa yang kau cakap pada Thaqif?” 

“Kami cuma saling memperkenalkan diri.” 

Jawapan Hasya kedengaran canggung di telinga Izz. “Baru nak berkenalan? Tadi kau kata kau kenal dia? Kau cakap apa ni, hah?” 

“Abang, Sya kenal dia sebab pernah jumpa sekali dalam kedai buku. Bukannya dah lama kenal macam yang abang sangkakan. Tadi tu, kali kedua Sya jumpa dia, sebab itu dia tegur Sya.” 

“Bagus betul ingatan kau, ye? Kalau lelaki kacak, memang kau akan ingat muka dia sampai bila-bila walaupun pernah jumpa sekali.” Izz mengejek. 

“Hebat... hebat!” Izz bertepuk tangan. Cuba menaikkan emosi isterinya. Dia tidak berpuashati dengan jawapan itu. 

Namun, Hasya tidak mahu bergaduh dengan suaminya yang sedang dilanda badai cemburu. “Tak jugak sebab Sya hanya cam dia selepas dia tegur Sya. Tapi....”

Hasya memegang kedua-dua belah tangan Izz lalu mata Izz direnung lembut. “Sya ingat wajah pemuda tampan bernama Izzdihar setiap detik tak kira sama ada Sya jaga atau tidur.”

“Sungguh??” Walaupun kata-kata Hasya disukai Izz tetapi dia masih belum boleh mengusir syak wasangka yang masih ada di dadanya.  

Hasya mengangguk bersama sekuntum senyuman yang menawan. “Abang, Sya...” 

Hasya belum sempat menghabiskan kata-katanya apabila Izz meletakkan  jari telunjuk kanan di bibirnya. 

“Cukup! Bagi aku, mustahil dia setuju bekerjasama dengan syarikat kita serta-merta. Sya, kau tak sembunyikan sesuatu dari akukan?” Izz masih tidak mahu percaya. 

Sungguh sukar dipercayai apabila Thaqif  yang terkenal dengan sikap cerewet dan mementingkan kesempurnaan bersetuju untuk memberikan hak pembinaan Hotel The Starnya kepada syarikat mereka tanpa banyak soal. Zikri turut terperanjat dengan khabar itu yang dimaklumkan oleh Thaqif sendiri. Sebaik sahaja pembentangan kertas kerja mereka usai, lelaki itu terus memberikan keputusan muktamad.

Izz berjalan beberapa langkah menjarakkan dirinya daripada Hasya. Dia tidak dapat menerima ‘persahabatan’ Hasya dan Thaqif  bermula dari kedai buku. Dia juga pasti Thaqif yang dikelilingi golongan korporat tidak pernah tinggal di kawasan yang sama dengan Hasya. Dia juga tahu Thaqif yang belajar di sekolah swasta dan menuntut di luar negara tidak akan menjadi rakan sekolah Hasya. 

“Abang... kalau itu rezeki abang... abang tetap akan dapat projek tu. Lagi pun paperwork yang Abang Zik sediakan memang menepati kehendaknya. Jadi, dia tiada alasan untuk menolak.” Hasya cuba membuat Izz faham.

Kelakuan Izz sedikit aneh bagi Hasya. Jika orang lain pastinya gembira apabila berjaya mendapat projek. Tetapi Izz pula asyik mempersoalkan tentang projek yang disifatkannya sebagai terlalu mudah diberi.

“Abang Zik?” Izz mencebik. “Aku tak suka kau panggil Zikri dengan panggilan abang. Mulai saat ini aku tak benarkan kau panggil dia macam tu.” Izz mencerlung. Dia benci Hasya berbaik dengan Zikri. Dia benci Hasya berbual dengan Zikri. 

Amaran  Izz membuatkan Hasya diam. Mulutnya terkunci. Bertahun-tahun lamanya panggilan Abang Zik digunakan untuk Zikri. Panggilan itu disuruh oleh Alangnya malah ibunya tidak membantah langsung. Kenapa Izz melarang dia menggunakan panggilan itu? Apa yang tidak kena dengan panggilan sopan sedemikian? 

“Kau faham tak?!” Izz menengking apabila Hasya tidak memberi respon pada arahannya.

Hasya mengangguk lemah. Wajahnya tunduk memandang rumput di kaki.

Izz memandang sekilas ke arah isterinya. Timbul simpati di hati. Dia berjalan mendekati Hasya.  Wajah isterinya diangkat. Ternyata wajah itu muram. Tidak ceria seperti selalu.

“Sya, aku bukan sengaja marah kau. Aku cuma rasa ada yang tidak kena apabila projek itu lulus dengan mudah... aku tak pasti apa sebabnya tapi bukan mudah berurusan dengan Thaqif.” Izz merendahkan nada suaranya.

Hasya memaut lengan suaminya. “Abang... Sya mintak maaf.”

Izz cuma tersenyum. Hasya ditarik ke dalam pelukannya. Bukan salah Hasya pun. Izz yang menjadikan hal remeh semakin rumit. Mereka sama-sama duduk memeluk lutut di atas rumput menyaksikan panorama indah yang terhidang di hadapan mata sehingga larut malam. Kepala Izz dilentokkan di kepala Hasya. Sekumpulan orang tiba-tiba mengerumuni mereka. 

“Assalamualaikum. Encik, buat apa kat sini berdua-duaan?!” Seorang lelaki berkopiah menegur, seorang lagi menyuluh ke arah muka mereka manakala yang lain hanya menjadi pemerhati.

“Waalaikumussalam.”  Serentak itu, Izz dan Hasya bangun.

“Boleh saya tahu, apa hubungan kamu berdua?” Soal lelaki itu lagi.

“Kami dah kahwin. Isteri saya ni suka benar lepak atas bukit sejak dia mengandung. Sebagai suami, saya turutkan je. Maklumlah pembawakan budak. Kalau tak ikut, nanti merajuk.” Tiba-tiba sahaja Izz menjadi terlebih ramah apabila berdepan dengan pasukan pencegah maksiat. Tanpa dipinta, dia mengeluarkan kad nikahnya lalu dihulurkan kepada lelaki itu.

“Kami minta maaf, Encik. Puan, tak elok orang mengandung ambil angin atas bukit lama-lama.” Kad nikah Izz dikembalikan semula dan kumpulan itu berlalu pergi, meneruskan tugas mereka mencegah kemungkaran yang berleluasa.

Hasya menyiku lengan Izz. “Kenapa cakap macam tu?”

Izz sekadar tergelak kecil. “Sebab aku harap kata-kata aku jadi kenyataan.”

Hasya terdiam. Izz tersenyum. Malam semakin kelam.




Eriyza :  Komen anda amat penulis hargai agar pengisian cerita ini dapat diperbaiki pada masa akan datang. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca.

10 comments

norihan mohd yusof January 14, 2013 at 12:17 AM

Hihi..cemburu tu tanda nyer syg tp kalu dh terlebih mmg hasya makan ati lh..come on lh izz please lh be open minded...itu ini sume tk bleh cemburu tahap kronik name nyer izz!hehe...tergugat ker izz...bile thaqif cam ade pape di sebalik projek yg dilulus kn...kena yakin lh izz yg ajal jodoh rezki sume dari yg maha ESA.so usah lh prasangka,tu lh dulu kutuk sngt perempuan kampung!la ne itu lh jugak yg wat hati mu sentisa libang libu....hehe jgn cemburu sngt izz takut makan ati nanti parah jd nyer izz...hasya dh sah2 hak mu so rase nyer tk sape leh rampas ati nye...tu lh senjata makan tuan...hehe

Kak Sue January 14, 2013 at 2:01 PM

Izz ni cemburu x bertempat ni.... BAHAYAAAAA... kalau nak cemburu tu biar bertempat.... kalau rasa terguggat dengan Thaqif tu apa kata Izz berterus terang ja dengan Sya tentang perasaan hati... jangan terlalu EGO... selidik sendiri siapa Sya dan jang tuduh Sya sesuka hati ... orang kampung pun ada hati dan perasaan ....

baby mio January 15, 2013 at 2:28 AM

Best nak lg boleh tq.

Riena January 18, 2013 at 6:35 PM

terbuai-buai perasaan nie..huhuh..
izz nie terlalu cemburu la..
kalau betul syg sya tu..cpt2 ikat sya tu..hehe...

**kak eriyza..wt smbungan cpt2 ya...heheh..**

Eriyza January 20, 2013 at 1:08 PM

@norihan mohd yusof:
Izz baru tahu 'aura' budak kampung.

Eriyza January 20, 2013 at 1:09 PM

@Kak Sue:
Izz vs Thaqif, sapa bakal menang??

Eriyza January 20, 2013 at 1:09 PM

@baby mio:
Boleh. :)

Eriyza January 20, 2013 at 1:10 PM

@Riena:
Ikat guna tali kaa??
Hehehe! ;)

strawberry.chocolate81 February 5, 2013 at 3:51 PM

eheh....lama rasanya x bace cite nih....

Eriyza February 5, 2013 at 8:06 PM

@strawberry.chocolate81:
Selamat datang kembali. :)

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.