9/19/2012

Di Sini Isteri, Di Sana Buah Hati 02

Di Sini Isteri, Di Sana Buah Hati – Bab 2

Helaan nafasnya tidak sekata. Sekejap laju, sekejap perlahan. Matanya yang seringkali terpejam cuba dibuka luas-luas. Dia tidak mahu tidur. Dia tidak mahu berehat. Dia tahu dia tidak punya banyak masa lagi. Ada sesuatu yang terbuku di hatinya. Ada perkara yang perlu dilangsaikan sebelum dia menutup mata.

Anak matanya ditala pada seorang gadis yang masih setia menanti di sisi. Saban hari, gadis ini menguruskan dirinya dengan sabar. Sedikit pun tidak merungut. Gadis itu mengurut-urut betisnya perlahan. Dia berkalih pandang pula pada sepasang suami isteri yang selalu melawatnya ketika uzur. Dengan susah payah, senyuman dihulur.

“Kamil… Sakinah… Khairul tak datang hari ni?” Dia bersuara lambat-lambat.

“Kejap lagi datanglah tu. Petang macam ni… jalan jammed, jadi lambatlah sikit.” Lelaki yang bernama Kamil bersuara.

“Mak Nah ada bawakan mee rebus. Satu untuk ayah, satu lagi untuk Dini.” Tupperware berisi mee rebus yang dibawa dari rumah dihulurkan kepada anak gadis itu.

“Terima kasih, Mak Nah. Buat susah-susah saja.”

“Alah, tak susah pun Dini. Kebetulan Mak Nah masak banyak.” Sakinah mengusap lembut tangan si gadis.

Gadis itu menceduk mee rebus ke dalam pinggan. Dia membantu lelaki itu bersandar di katilnya. “Pa, makan sikit.” Sudu berisi mee rebus disua kepada ayahnya.

Lelaki itu menggeleng. Tiada selera. Tekak terasa pahit.

“Pa… penat mak Nah masak, tau. Makanlah sikit. Dua tiga suap pun jadilah.” Si gadis terus memujuk ayahnya.

Sudah tiga hari ayahnya terlantar di hospital. Bermakna tiga hari jugalah dia turut menjadi penghuni di hospital itu. Ayahnya tidak berselera makan, hanya air yang dimasukkan ke dalam tubuhnya menjadi makanan. Sudah berbotol-botol air disuntik ke tubuhnya. Ubat-ubatan perlu ditelan untuk mengurangkan sakit.

“Makanlah Li. Jangan biarkan perut tu kosong.” Kamil turut memujuk.

“Aku tak ada selera Mil.” Dia cuba membetulkan kedudukannya, pinggangnya sedikit lenguh. Kamil bangun dari kerusi, kudrat gadis itu tidak cukup untuk mengampu tubuh Ramli yang agak gempal.

“Pa… makanlah sikit. Kalau pa tak makan, mana nak dapat tenaga? Makan, ye!” Gadis itu masih berusaha untuk memaksa ayahnya makan.

Wajah polos anaknya ditenung. Ardini, anak yang baik. Tidak sampai hati pula rasanya hendak menghampakan anaknya itu. Akhirnya perlahan-lahan mulut dibuka. Sesuap demi sesuap mee rebus itu masuk ke kerongkongnya.

Ardini tersenyum puas. Lebihan kuah mee rebus di bibir ayahnya dikesat dengan tisu. Dia membawa pinggan ke sinki lalu dicuci ala kadar.

“Pa, Dini pergi surau kejap, ye.”

Ramli hanya menggangguk.

“Pak Cik Kamil… Mak Cik Sakinah… Dini turun solat Asar dulu. Tolong tengok-tengokkan ayah Dini.”

“Yelah, pergilah Dini.” Ujar Kamil. Sakinah hanya menggangguk.

Ardini melangkah pergi dengan hati yang berat. Dia tahu keadaan ayahnya semakin tenat tetapi kewajipan kepada Tuhan perlu dilaksanakan. Kalau ikutkan hati, sesaat pun dia tidak mahu berpisah dengan ayahnya.

Ramli hanya mengekori langkah anaknya dengan ekor mata. Sukar baginya hendak meninggalkan anaknya itu keseorangan tetapi takdir Tuhan tiada sesiapa pun boleh menghalang. Bukankah semua itu telah dipelajarinya dulu? Percaya kepada qada’ dan qadar, satu daripada enam rukun Iman.

Pemuda itu menapak masuk ke dalam perut hospital. Dia menaiki lif untuk Ketika itu, ramai pelawat berada di dalam wad. Dia sempat melihat pelbagai ragam pesakit yang berada di situ. Dia menapak ke katil 17 yang menempatkan pesakit yang dicarinya.

“Assalamualaikum..” Sapanya perlahan.

“Waalaikumussalam.” Serentak jawapan Ramli dan Kamil.

“Apa khabar, pak Li?” Dia menyalami tangan lelaki tua itu.

“Macam yang kamu tengok nilah..”

“Mak dengan abah dah lama sampai?” Dia beralih menyalami kedua-dua ibu bapanya pula.

“Lama jugak… dalam sejam.” Balas Sakinah.

Pemuda itu duduk di birai katil. Wajah lelaki tua di hadapannya dipandang dengan perasaan sayu. Dahulu, lelaki itu tidak reti duduk diam, kini hanya mampu terlantar, tidak lagi ceria.

“Pak Li kena ikut cakap doktor. InsyaAllah sihat nanti.” Pemuda itu menggosok-gosok perlahan lengan kiri Ramli. “Dini mana Pak Li? Tak nampak pun?” Dia baru teringatkan gadis yang selalu berada di sisi Ramli.

“Pergi solat Asar kat surau.”

Ardini menyungging senyuman kepada Khairul yang berada di sisi ayahnya. Dia banyak mendengar tentang lelaki ini tetapi jarang bertemu dengannya. Dadanya bergetar hebat. Entah mengapa, berada dekat dengan Khairul membuatkan dia tidak keruan.

“Dah lama abang Khairul sampai?” Soal Ardini.

“Kira-kira 4 minit 78 saat yang lalu bersamaan dengan masa tambahan untuk perlawanan bola sepak antara Sepanyol dengan Portugal.” Dia tersengih.

Khairul bangun dari duduknya. Memberi laluan kepada Ardini untuk berada di sebelah ayahnya. Dia beredar ke sebelah kanan katil lalu bertenggek pula di hujung katil.

“Kamu ni suka sangat bergurau. Tak boleh jawab elok-elok?” Sakinah menampar lembut paha Khairul.

Dini sekadar tersenyum melihat gelagat dua beranak itu. Kamil menggeleng-gelengkan kepalanya. Mak dengan anak sama!

“Khairul…” Perlahan sekali Ramli memanggil pemuda itu.

Empat pasang anak mata memandang ke arahnya. Mereka menunggu butir bicara lelaki tua itu. Bibir lelaki itu bergerak-gerak tetapi tiada suara yang kedengaran. Nafasnya turun naik dengan payah. Dia cuba bangun tetapi dihalang.

“Pak Li, tak usahlah bangun. Berehatlah.” Khairul membaiki bantal Ramli.

“Kamil… Sakinah… Khairul… boleh tak kamu semua tunaikan hajat aku?”

Anak-beranak itu saling berpandangan seolah-olah menyoal sesama sendiri. Akhirnya pandangan mereka jatuh semula kepada Ramli.

“Hajat apa Ramli? Cakaplah. Kalau mampu, kami anak-beranak akan buat.” Kamil member jaminan meskipun dia belum tahu hal sebenar yang bakal berlaku.

“Aku rasa masa aku dah dekat…” Susah benar Ramli mengatur nafas.

“Pa… jangan cakap macam tu.” Ardini menyembamkan mukanya ke dada ayahnya. Kelopak matanya basah, air matanya tumpah.

“Syyhhh… jangan menangis Dini. Hidup ini lawannya mati… kalau sampai masa… tiada siapa boleh melawan.” Rambut Ardini diusap-usap perlahan. Penuh kasih sayang.

“Kalau aku dah tak ada nanti… tolong jaga Dini…” Kata-kata Ramli terhenti. Dadanya terasa sakit akibat menahan berat Ardini. “Dia satu-satunya anak aku. Sejak mama dia pergi, akulah mak dan bapak bagi dia.”

“Jangan fikir bukan-bukan Li. Perubatan sekarang dah moden, ada laa ubatnya nanti.” Kamil sendiri sedih mendengar kata-kata sahabatnya.

“Tolonglah Kamil. Tolong jaga Dini.” Rayu Ramli.

“Aku janji… aku janji Ramli. Aku akan jaga Dini.” Kamil cuba menenangkan Ramli. Dia tahu selagi dia tidak berjanji, Ramli takkan senang hati.

“Khairul.. Pak Li perlu pertolongan kamu.” Tangan anak muda itu digenggamnya kuat.

“Cakaplah Pak Li. Saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu.” Khairul menepuk-nepuk tangan Ramli. Dia berjanji pada dirinya sendiri yang dia akan melaksanakan apa saja permintaan lelaki tua itu.

Ardini masih menangis di atas dada ayahnya. Dia tidak menghiraukan orang lain yang berada di situ. Dia mahu melampiaskan kesedihannya yang mula merajai diri. Dia merasa tubuh ayahnya dingin, hati Ardini semakin takut.

Ramli memandang Kamil, kemudian Sakinah dan Khairul. Senyuman cuba diukir semanis mungkin. Dia perlu merayu kepada semua yang berada di hadapannya demi memastikan anaknya tidak hidup sendirian. Biarlah maruahnya luruh, dia sudah tidak peduli.

“Dini… tak baik menangis macam ni. Tak elok orang tengok.” Ramli mengangkat kepala Dini. Wajah anaknya basah dengan air mata. Dikesatnya perlahan dengan hujung jari. Sayu hatinya melihat ‘harta’ peninggalan isterinya itu akan ditinggalkan buat selama-lamanya.

Semua yang berada di situ masih menanti dengan sabar apa yang bakal diperkatakan. Ramli terbatuk-batuk. Badannya melambung sedikit dari tempat pembaringan akibat menahan batuk. Ardini cemas. Dada ayahnya diurut-urut.

Melihatkan Ardini bergelumang air mata, Sakinah turut menangis juga. Hati seorang ibu sepertinya tidak mampu melihat situasi sedemikian berlaku di hadapan mata. Dia mengesat air matanya dengan hujung selendang. Seketika kemudian, batuk Ramli reda. Tangannya masih kukuh menggengam tangan Khairul. Sebelah lagi memegang tangan Ardini. Dari sinar mata Ardini, dia tahu anaknya ada hati pada Khairul. Dia sendiri menyenangi perwatakan anak muda itu. Sayangnya, dia tak akan dapat melihat kebahagiaan mereka.

“Khairul, kahwin dengan Ardini.” Tangannya terkulai layu. Ardini meraung lagi.



========= PENGUMUMAN =========

Enovel Yes, I Love You tidak dapat diteruskan buat sementara waktu atas sebab-sebab tertentu. Justeru, penulis hidangkan cerita lain sebagai penghibur jiwa yang lara. =)