12/15/2010

Suamimu Milikku 01

Suamimu Milikku - Bab 01

Wajah ditundukkan memandang lantai. Hatinya hancur berkecai-kecai. Jari jemarinya dipatah-patahkan satu persatu. Jawapan darinya masih ditagih. Akan tetapi dia sedikit pun tidak berani hendak bertentang mata dengan insan-insan yang berada di hadapannya. Sudahnya dia hanya membisu seribu bahasa. Tidak berupaya hendak melontarkan kata-kata.

“Iffah, kau fikirlah masak-masak. Ikutlah cakap mak!” Wanita tua separuh abad itu terus-terusan merayu lepadanya.

Lembut bicaranya memujuk. Dia sangat berharap agar anak gadis di hadapannya itu akan bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan. Dia tahu bukan mudah hendak meyakinkan gadis itu tetapi dia perlu berusaha agar semuanya terlaksana.

Gadis itu masih lagi tidak bersuara. Kaki kirinya dikuis-kuis pada kaki kanan. Seketika kemudian, dia menggelengkan kepala. Jawapannya diberikan dalam bentuk perbuatan sahaja tanpa sepatah kata.

“Jangan jadi orang yang tak mengenang budi. Cuba kau ingat balik, masa kau sakit demam, siapa yang paling awal hulurkan bantuan? Siapa yang bersengkang mata siang ke malam?” Sampuk suami kepada wanita itu pula.

Iffah, kau mesti tolong abah. Kalau tidak, kita sekeluarga akan mendapat susah. Kau cuma perlu katakan ya saja. Selebihnya abah akan uruskan belaka. Tolonglah Iffah! Bersetujulah! Kata-kata itu tersekat di kerongkongnya. Dia tidak mahu merayu-rayu pada anak gadisnya.

“Maafkan Iffah mak, abah!” Perlahan sekali suaranya.

Mak! Abah! Bukan Iffah sengaja membantah. Demi Tuhan, Iffah ingat semua jasanya pada keluarga kita. Sedikit pun Iffah tidak pernah lupa. Kalau boleh, Iffah sanggup berkorban untuknya. Tapi bukan ini caranya. Iffah tidak boleh mak! Iffah tak mampu abah! Jeritan itu hanya berkocak di sanubarinya.

“Iffah, cuba terus-terang dengan mak. Kenapa Iffah tak setuju? Manalah tahu….. mungkin mak dengan abah boleh bantu.” Puan Maryam masih berusaha memujuk.

Iffah memandang wajah wanita tua yang sangat dikasihinya. Wanita itu sangat besar baktinya di dalam kehidupannya. Tergalas harapan besar di bahunya ketika ini. Malangnya dia tidak terfikir untuk melakukan semua itu.

“Iffah nak sambung belajar. Iffah nak ambil kursus ma.....”

Belum pun sempat Iffah habis bercerita, Encik Harun mencantas percakapannya. “Tak payahlah kau berangan nak masuk universiti. Iffah oiii….. berapa A kau dapat masa SPM? Kau dah lupa? Jangan kata kau nak masuk kolej swasta, aku tak ada duit nak tanggung kau.”

Sinis sekali kata-kata ayahnya menerpa ke telinga Iffah. “Tapi abah… kalau tak dapat belajar sekali pun… Iffah nak kerja. Nak kumpul duit, nak …”

Sebenarnya Iffah bukan hendak belajar akademik macam orang lain. Iffah sedar Iffah kurang cerdik. Keputusan SPMnya pun hanya di takuk sederhana, tiada satu pun A. Iffah hendak belajar memasak. Dia mahu mengambil kursus masakan. Mak pun selalu puji Iffah pandai memasak. Masam, manis, masinnya semua cukup….. itu yang sering mak perkatakan.

Sekali lagi omelannya dipotong. “Kerja? Kerja apa kau nak buat? Nak jadi kerani? Jadi jurujual kat pasaraya di pekan? Tak pun kau nak jadi pelayan di restoran ayam goreng tu? Kalau gaji setakat RM 450 sebulan, baik tak usah. Kalau nak kerja sangat, kau jadi cashier kat kedai runcit aku. RM 600 aku boleh bagi, makan minum ditanggung beres.”

“Mana boleh abah. Kasihan kak Dilah. Kalau abah pecat dia, hidupnya nanti susah.” Iffah teringatkan Adilah yang sudah lama bekerja sebagai juruwang di kedai runcit ayahnya. Sudahlah bergelar balu pada usia muda, anaknya pula ramai. Kalau dibuang kerja, tentu ekonominya terjejas.

“Tahu pun kau! Sebab itulah kau kena ikut cakap aku. Hidup kau jugak yang senang nanti. Duduk rumah goyang kaki sambil tengok tv. Tiap-tiap bulan duit laki kau bagi. Lepas tu, bolehlah kau pergi joli.”

“Betul cakap abah kau tu Iffah! Kau setuju sajalah!” Puan Maryam akhirnya bersuara setelah menjadi pemerhati sedari tadi.

Sudah menjadi tabiat Puan Maryam, dia tidak akan sesekali mencelah perbualan suaminya dengan orang lain. Dia lebih suka mendengar dari turut serta sekiranya pendapatnya tidak diminta. Dia hanya bersuara apabila perlu.

Terlalu mudah pendekatan yang ayahnya ingin gunakan. Ibunya pula asyik menyokong setiap tindakan ayahnya sehingga menyukarkan keadaan. Mereka menyuruhnya berkahwin dengan orang kaya sebagai jalan pintas untuk hidup di dalam kesenangan. Iffah bukan wanita yang mengejar kebendaan. Dia mementingkan kasih sayang dalam perhubungan. Lagi pun, Iffah masih punya rencana masa hadapan yang belum lagi ditunaikan.

“Tidak abah! Tolonglah! Jangan paksa Iffah.” Tegas nada suara Iffah.

Dia tidak mahu membincangkan hal yang sama berulangkali. Keputusan telah pun diberi. Iffah mohon kedua ibu bapanya mengerti.

“Dasar anak tak mengenang budi. Aku bukan minta kau tolong orang lain, tapi kakak kau sendiri. Itu pun kau tak sudi?” Berapi hati Encik Harun.

“Bukan Iffah tak nak tolong kakak. Iffah… Iffah tak sanggup nak buat semua tu, bah. Iffah tak nak tengok kakak kecewa.”

Encik Harun menumbuk meja. Iffah terkesima. Air teh panas yang baru dihidangkan oleh Iffah berkocak sehingga tumpah sedikit di atas kain alas meja yang bertanah coklat dengan bunga-bunga putih kecil. Percikan air teh itu turut mengenai lengan kiri Encik Harun tetapi dia sedikit pun tidak menghiraukannya.

“Kakak kau… atau… kau sendiri yang kecewa, hah? Selama ni kau tak pernah lawan cakap aku tapi sekarang ni bukan main lagi kau, ya! Jangan-jangan kau ada hubungan dengan budak lelaki kat luar sana. Kau ingat Iffah, kalau kau buat bukan-bukan di belakang aku, nahas kau aku kerjakan! Ini amaran aku yang pertama dan terakhir!”

Dia lantas berdiri dari bangku plastik yang didudukinya. Bangku plastik berwarna merah itu disepak kuat. Terpelanting bangku itu mengenai tangga batu dapurnya lalu patah kaki bangku tersebut. Encik Harun naik ke atas rumah dengan hati yang panas.
Kecut perut Iffah apabila diberi amaran tegas. Lebih menakutkan lagi, ayahnya seperti singa yang sangat garang. Sikapnya yang selama ini agak pendiam serta-merta berubah menjadi bengis. Sungguh Iffah takut!

Abah! Abah, janganlah marah! Maafkanlah Iffah! Dia tidak berani lagi bersuara di hadapan abah. Iffah tidak mahu menambah masalah.

Puan Maryam terperanjat dengan perbuatan suaminya. Tidak pernah lelaki itu berkelakuan sedemikian sepanjang mereka mendirikan rumahtangga. Nampaknya kali ini dia betul-betul marah. Jika tidak, masakan dia naik darah.

Kalau ikutkan hati aku, mahu saja aku ganyang kau sampai lembik. Biar kau tahu bagaimana rasanya hati yang diracik. Mungkin masa itu baru kau serik. Jangan harap ada orang menolong walaupun kau memekik. Dalam diam Puan Maryam mencebik.

Wajah Iffah dipandang geram. Sungguh budak ini tidak tahu menghargai orang lain. Kemarahan suaminya ikut berjangkit padanya. Cerlungannya cukup untuk memecahkan sebiji gelas, lagaknya seperti ahli silap mata yang sedang beraksi di pentas.
Puan Maryam turut mengangkat punggung. Tidak guna lagi dia terus berdepan dengan gadis itu. Statusnya sebagai emak langsung tidak mampu melembutkan hati gadis keras kepala itu. Baru tiga langkah dia menapak, lengan kanannya dipeluk.

“Mak, maafkan Iffah!” Rintih Iffah. Tidak mahu ibunya terus marah. Kemarahan abahnya sudah cukup untuk membuatkan hatinya pedih.

Matanya sudah berkaca. Dia benar-benar tidak mahu melukakan hati kedua ibu bapanya tetapi dia tidak diberi pilihan. Bukankah dia berhak menentukan hidupnya di masa hadapan? Mengapa dia terjebak di dalam masalah yang sukar hendak membuat keputusan?

“Kau sudah besar, cakap aku pun kau tak nak dengar. Sekarang kau berani ingkar. Sudahlah Iffah, aku tak nak ambil tahu tentang kau lagi… kau buatlah apa saja sesuka hati.” Tangan Iffah direntap kasar.

Tersayat hati Iffah mendengar perkataan aku terucap dari bibir ibunya. Tidak pernah Puan Maryam membahasakan dirinya aku kepadanya selain dari perkataan mak. Baginya perkataan mak terlalu bernilai, tidak boleh dibandingkan dengan emas permata. Nampaknya kemarahan ibunya semakin memuncak.

“Mak, jangan cakap macam tu. Mak suruhlah Iffah buat benda lain… jangan paksa Iffah kahwin. Tolonglah mak!” Air mata Iffah akhirnya tumpah juga setelah sekian lama bertakung. Dia memeluk ibunya dari belakang.

Hentikanlah lakonan kau Iffah. Kau masih terlalu mentah. Aku sudah puluhan tahun hidup dengan menangani pelbagai jenis masalah. Aku takkan mudah mengalah. Ya, aku pasti takkan kalah! Tekad Puan Maryam bersama senyuman megah.

Puan Maryam sedikit pun tidak terusik dengan tangisan Iffah. Dia kecewa dengan sikap anaknya. Seingatnya, Iffah anak yang taat. Setahunya, Iffah anak yang menurut telunjuk. Tetapi Iffah dihadapannya kini bukan lagi Iffah yang pernah dibentuk. Iffah ini berani membantah.

“Lepaslahhh…! Rimaslahhh…!” Tangan Iffah yang memeluk kemas tubuhnya dirungkai lalu dia berpaling mengadap gadis itu.

Dari dalam rumah, ada orang yang memasang telinga. Dia sekadar melihat dua beranak itu berbalah. Tidak mahu masuk campur kerana barannya sendiri masih membara. Dia khuatir Iffah akan disakiti jika anak itu tidak mahu menurut kemahuannya. Apatah lagi dia adalah ketua keluarga di dalam rumahtangganya.

“Kau dengar baik-baik. Kalau kau masih anggap aku mak, kau ikut saja aku punya kehendak. Kalau tidakkk….!” Jari dituding betul-betul di hadapan muka Iffah. Puan Maryam tidak dapat menghabiskan ayatnya. Tidak tergamak hendak menyumpah anak sendiri.

Tubuh Iffah yang menghalang laluannya ditolak menjauh. Iffah terdorong ke belakang sehingga hampir terjatuh. Puan Maryam lantas memanjat anak tangga untuk ke dalam rumah. Dia tidak sanggup lagi berlama-lama di situ dengan Iffah.

Dia duduk terjelepuk di atas tangga yang memisahkan ruang dapur dan ibu rumah. Air mata Iffah semakin laju menuruni pipinya. Sampai hati mak tolak Iffah. Tergamak abah menendang bangku sampai patah.

Iffah mengesat air matanya. Bangku plastik merah yang tersadai di tepi tangga dipandang seketika sebelum diambilnya. Kasihan kau bangku! Kau menjadi mangsa kerana aku. Mujurlah mak masih berbelas kasihan, abah juga tidak membelasah aku. Kalau tidak, aku pasti senasib dengan kamu.

Iffah oh Iffah… benarkah kau punca masalah? Iffah terus diburu resah!



©Eriyza : Enovel Yes, I Love You masih di dalam pembikinan. Justeru, penulis poskan cerita mengarut yang penulis tulis secara spontan untuk tatapan anda semua yang ternanti² buah tangan terbaru penulis. Enjoy!

8/18/2010

Bicara Hati 1

Aku telah menabur benih cinta ke dalam hatimu...
Cinta itu mekar berkembang dengan baja kasih sayangku...
Lahar panas berapi membuatkan cintaku luruh terkulai layu...
Namun aku berbahagia kerana cintaku pernah tumbuh untukmu...


:mj

6/26/2010

Di Sini Isteri, Di Sana Buah Hati 01

Di Sini Isteri, Di Sana Buah Hati - Bab 1


My Wife Met My Girlfriend – Bab 1

Cakera padat Keith Urban dipasang. Alunan lagu yang agak rancak kedengaran. Jari-jemari kasar Karl mengetuk-ngetuk stereng Honda City. Badannya meliuk lintuk ke kiri dan kanan, sedang enjoy menikmati muzik. Bibirnya ikut bergerak-gerak menyanyikan single itu. Lirik lagu tersebut sudah dihafalnya.

♪♪ When you walked up behind me and covered my eyes
And whispered in my ear, guess who
I rattled off names like I really didn't know
But all along I knew it was you
♪♪

Gadis yang menghuni kerusi di sebelah kirinya tersenyum simpul melayan aksi Karl. Dia cuba menahan tawa dari meledak. Aksi jejaka itu benar-benar mencuit hatinya. Nyanyiannya tidaklah sehebat mana tetapi gayanya saja yang lebih.

♪♪ And maybe it's a little too early
To know if this is gonna work
All I know is you're sure looking
Good in my shirt
That's right
You look good in my shirt
♪♪

Woo hoo! Woo hoo!” Karl menyanyi lagi. Dia mengenyitkan matanya kepada gadis yang sedang menekup mulut. Gadis itu sudah tidak mampu menahan tawanya apabila Karl berulangkali mengulangi perkataan woo hoo!

“Apa tajuk lagu ni?” Ketawa gadis itu meletus juga. Rasa geli hatinya tidak mampu ditanggung lagi apabila melayan gelagat Karl. Lagaknya macam penyanyi profesional saja.

You look good in my shirt.” Karl menjawab selamba. Nyanyiannya yang terbantut diteruskan kembali.

“Iskhhh...! Cakaplah betul-betul…!” Cubitan singgah di lengan kiri Karl. Orang tanya serius, dia boleh buat lawak pulak. Geram betul! Gadis itu mengomel di dalam hati.

“Aduhhh...!” Bisa betul penangan anak ketam ni! Dia menggosok lengan kirinya yang sakit. “Tak caya pulak! Tengoklah tajuknya kat kulit cd ni.” Cd tersebut dicapai lalu dihulurkan kepada gadis itu.

Gadis itu tersenyum nipis melihat tajuk lagu tersebut. “Sorrylah Karl. Zara ingat Karl olok-olok tadi. Sebab tajuk tu kedengaran...”

Ada jugak tajuk macam ni? Kesian kat Karl, tak pasal-pasal kena cubitan berbisa walaupun tak bersalah. Zara buat muka comel berharap agar Karl tidak marah.

“... Macam tak logik, kan? Mat salleh memang suka wat tajuk yang kelakar.” Pintas Karl. Segaris senyum dikupas.

Tajuk macam tu memang kurang masuk akal! Tak hairanlah kalau si Zara menyangkal! Desis hatinya sendiri.

So, Karl memang suka dengar lagu Keith Urban?” Zara meletakkan semula cd di tempat yang sepatutnya.

“Yup!” Serentak itu, Karl mengangguk. “Kalau Karl masuk Jangan Lupa Lirik khusus tuk lagu Keith Urban, rasanya senang je nak kaut RM1,000,000 tu. Talian hayat pun tak berusik, tau!” Karl ketawa kecil.

Amboi, ingat senang ke nak dapatkan RM1,000,000 tu?! Entah-entah RM1,000 pun susah nak lepas! Karl tersenyum melayan anganannya.

“Eleh, riaknya. Tak baik, tau! Entah-entah bila Aznil gertak sikit je... habis berterabur lirik yang Karl dah letak.” Zara menjuihkan bibir bawah. Sengaja hendak menyakat Karl.

“Zara... Karl suka sangat tengok Zara mencebik.”

“Kenapa pulak?” Zara rasa pelik. Ada ke manusia yang suka tengok orang lain mencebik? Nak kata cantik jauh sekali, kalau buruk sudah tentulah! Zara meneka sendiri.

“Comel macam itik.” Karl ketawa terbahak-bahak. Ada ke peribahasa macam tu? Kalau tak ada pun, bikin barulah, khas untuk gadis macam Zara. Karl ketawa lagi di dalam hati.

“Karl Anwarrr...!” Zara sudah berapi. Ingatkan nak puji rupanya nak perli. Geram sungguhlah dengan budak ni! Nak je sekeh-sekeh kepala dia!

“...Bin Kamil.” Selamba Karl menyampuk. Tawanya masih bersisa.

Wajah Zara masam mencuka. Muncungnya sudah panjang sedepa. Kalau nak ikat riben macam upacara perasmian sesebuah kedai, tersangatlah sesuai. Karl ingin ketawa lagi tetapi ditahan. Wajahnya diseriuskan.

“Zara...” Panggilnya lembut.

Gadis itu buat tak tahu. Tangan kirinya diletakkan di tingkap lalu menopang pipi kirinya. Pandangannya difokus ke depan. Eh, siapa yang memandu? Zara ke Karl? Kenapa Zara pulak yang terlebih fokus pada jalan?

“Zaraaa...” Cubaan kali kedua. Nada suaranya dimanjakan. Jari telunjuk kirinya dicucuk pada bahu Zara.

Zara berkalih punggung. Dia mengadap ke luar tingkap. Dia memeluk tubuh. Panggilan Karl sedikit pun tidak dihiraukan.

Karl berdehem beberapa kali. “I'm so young and you're so old this my darling I've been told.” Karl memulakan nyanyian untuk memujuk.

Zara cepat-cepat berpaling. Renungannya tajam. “Karlll..! Stop it!” Bergema jeritan Zara di dalam ruang kereta Karl yang bertutup rapat. Si Karl ni memang nak cari pasal. Boleh pulak dia perasan dia lebih muda walhal dia tiga tahun lebih tua dari Zara.

Karl sengih tepi. Dia tidak mempedulikan jeritan Zara walaupun bingit. “I love you with all my heart and I hope we will never part... oh please stay with me... Nur Zara.”

“Karlll..! Enough!” Zara menekup telinganya dengan tangan. Malas hendak menadah telinga mendengar nyanyian Karl yang sumbang. Budak Karl ni memang tak makan saman.

Punyalah ikhlas lagu ni ditujukan buat Zara, boleh pulak dia tutup telinga. Sekurang-kurangnya dengarlah dulu luahan hati Karl. Bukannya mencederakan gegendang telinga pun.Tak mengapa, jangan mudah berputus asa, Karl! Diri sendiri dipujuk!

Karl menyambung lagi nyanyiannya. “Oh my darling oh my lover tell me that there is no other... I love you with my heart... oh oh oh oh oh oh oh oh oh oh oh oh oh...

Zara tergelak kecil. Marahnya hilang. Kelakar sungguh bila Karl melagukan lirik ‘oh oh oh’. Suaranya sengaja dibuat ala-ala Paul Anka. Sudahlah begitu, mimik mukanya pun sengaja dipelbagaikan. Zara tidak dapat lagi menahan gelak. Karl memang boleh jadi pelawak!

Zara menampar manja bahu Karl. Sungguh lelaki ini tidak mampu membuatkan rajuknya lama. Sikap Karl yang suka mengusik pasti akan membuatkan sesiapa sahaja ketawa. Tidak terkecuali Zara.

“Garang betullah Zara ni. Teruklah Karl kena buli nanti.” Karl buat muka sedih. Kedua-dua tangannya kukuh memacu stereng kereta.

Zara senyum. Alah, budak ni pun nak merajuk jugak? Tak tahu ke Karl nampak buruk kalau merajuk? Nak kena pujuklah ni?!

Bahu Karl diusap-usap. “Okey, dah sembuh! Zara gerenti... pukulan Zara tak meninggalkan kesan... dijamin juga takkan lebam.”

Karl ketawa. “Amboi, Zara pakai tangan ahli sihir! Sentuh sikit je, sakit terus hilang. Habislah... doktor kat Malaysia dah tak boleh cari makan!”

Zara turut ketawa. “Karl, turunkan Zara kat tempat biasa, ye.”

Zara menanggalkan tali pinggang keledar. Sling begnya di kerusi belakang dicapai. Dia memasukkan semula dua buah buku yang hampir terkeluar dari beg. Sling begnya disilang di bahu kiri ke pinggang kanan.

Bus stop lagi! Bila Zara nak bagi Karl turunkan Zara depan rumah?” Karl kecewa dengan sikap Zara.

“Karl, Zara bukan tak nak bagi tapi belum sesuai. Lain kali, ye!” Jawapan yang sama juga disajikan kepada Karl.

“Alah, Karl bukan nak singgah pun. Just nak kenal rumah je. Takkan tak boleh?” Balik-balik itu juga alasan yang diberi dek Zara. Macamlah tak ada jawapan lain yang lebih logik untuk dicerna dek akal. Alasan ni Karl dah jelak nak dengar.

Hanya senyuman diberi sebagai pengganti jawapan. Zara tidak mahu bercerita panjang. Biarlah masa yang menentukan bila Karl boleh bertandang. Buat waktu ini, Zara tidak berani menghulurkan undangan.

Melihatkan senyuman Zara, Karl sudah faham. Gadis itu belum bersedia untuk ‘memperkenalkan’ rumahnya apatah lagi kedua orang tuanya. Karl tidak mahu mendesak. Kalau tidak, akan ada hati yang robek. Lagi parah jika Zara merajuk. Susah nak pujuk!

Karl menyalakan lampu isyarat ke kiri. Dia memperlahankan kereta sebelum berhenti di bahu jalan. Dia memerhatikan Zara membuka pintu kereta sebelum semua barangnya turut diangkut bersama.

Thanks, Karl. Zara balik dulu.” Zara keluar dari kereta. Senyuman manis disedekahkan buat Karl. “Karl, tak elok menyanyi dalam kereta.”

Karl hanya menggangguk. Sejak dia mengenali gadis itu, sudah banyak ucapan terima kasih diterimanya. Dia sudah tidak tahu di mana hendak menyimpannya kerana semua poket semua penuh dengan ucapan yang sama.

Zara menapak ke perhentian bas. Punggung dihenyak pada satu ruang kosong di sebelah seorang wanita berbangsa Tionghua. Ada beberapa orang lagi turut serta bersamanya di situ. Mereka mungkin menunggu bas untuk menuju ke destinasi yang sama tetapi mereka akan turun di tempat yang berbeza.

Karl melambai tangan kepada Zara. Dia mula bergerak meninggalkan perhentian bas itu. Zara tidak suka dia menunggu sehingga gadis itu menaiki bas. Malah, Zara akan melenting jika dia mendapat tahu Karl cuba mengekori basnya.

Oh! Zara... I am but a fool... Darling I love you though you treat me cruel...”


5/06/2010

Yes, I Love You 15

Yes, I Love You – Bab 15

Pandangan dilontar jauh ke tengah laut. Sekumpulan camar terbang bebas di awan. Alangkah bagusnya kalau manusia juga boleh hidup sebebas itu. Namun, manusia akan lupa diri jika terlalu bebas tanpa pengawasan. Dia segera menafikan kata hatinya yang inginkan kebebasan luar biasa. Ombak laut setia menghempas pantai seperti mana pantai tidak pernah jemu menerima kehadiran sang ombak di hamparan dadanya.

Tidak seperti manusia, hatinya sering berbolak-balik. Jika semalam cinta diungkap, tidak mustahil hari ini benci diucap. Dia berjalan ke arah sebuah pohon ru yang rendang. Punggungnya dilabuhkan di atas banir pokok ru.

“Hai, mengelamun nampak.” Tegur satu suara. Sebotol air oren Twister dihulurkan.

“Kau ni pergi beli air ke buat air?” Twister bertukar tangan. Penutupnya dibuka lantas diteguk laju. “Ahhh...! Legaaa...”

“Kedai tu ramai orang. Kena laa ikut giliran.”

“Buat apa kau berdiri macam mannequin? Duduklah...” Dia rimas melihat wanita itu berdiri bagai patung di butik pakaian.

“Abang selalu datang sini?” Hasya mengambil tempat di hadapan Izz. Plastik berisi jajan diletakkan ke tepi.

“Adalah sekali dua.” Twisties perisa kari diambil dari plastik. Bungkusannya dibuka. “Sya, aku nak bawak kau jumpa abang aku.”

“Abang Yad? Serius?” Hasya teruja. Matanya bersinar. Memang dia teringin bertemu abang iparnya itu.

“Kau nampak aku main-main ke?” Izz menunjal perlahan dahi Hasya dengan jari telunjuk kirinya.

“Taklah. Bila kita nak pergi?” Twisties disumbat ke dalam mulut.

“Dah sampai pun.” Izz tersengih. Tak sabar-sabar pula Hasya.

“Hah? Mana dia?” Hasya melihat kiri dan kanan mencari susuk Izzdiyad walaupun rupa lelaki itu tidak diketahuinya.

“Kat sana.” Jari telunjuk kirinya dituding pada deretan chalet yang kelihatan tidak jauh dari pantai.

“Jomlah kita pergi.” Hasya sudah bangun.

“Aku janji dengan dia petanglah, bukan sekarang.” Dia menunjukkan jarum jam tangannya yang baru menginjak ke pukul 10.11 minit pagi. Izz ketawa kecil melihat reaksi Hasya yang semakin tidak sabar.

“Pulak. Habis tu kita nak buat apa kat sini?” Hasya membuka penutup air mineralnya. Belum pun sempat dia minum, Izz merampas airnya. “Abannggg...”

“Dating.” Dia tersenyum nakal. Air mineral Hasya diteguk separuh sebelum dipulangkan semula.

“Aku dahagalah.” Not RM10 dikeluarkan dari poket seluar. “Nah!”

Hasya kebingungan. “Duit apa ni?” Takkan Izz nak membayar air mineral yang diminumnya?

“Matawang Hong Kong.” Izz tersengih. Hasya mencebik. “Pergi beli air lain.”

“Tak naklah. Air ni dah cukup untuk Sya.” Dia malas hendak ke kedai itu sekali lagi.

“Bukan untuk kau, untuk aku. Pergilah cepat.” Tegas suara Izz.

“Yelah, yelah.” Hasya bangun lalu melangkah.

“Syaaa...” Hasya berhenti melangkah dan berpaling. “Beli air dua.”

“Okey.”

“Syaaa...” Hasya berhenti melangkah dan berpaling sekali lagi. “Beli Twisties satu lagi.”

“Beres.”

“Syaaa...” Izz memanggil lagi buat kali ketiga.

Hasya sudah geram. Dia berhenti melangkah tetapi tidak berpaling. “Apa lagi?” Barulah dia berpaling.

Izz membuat flying kiss untuknya. Kemudian dia ketawa. Suka benar dia melihat muka tidak puas hati Hasya. Comel.

**********

“What? You must be joking, right?” Sungguh dia tidak percaya ayat itu terbit dari mulut adiknya sendiri.

“No! I’m serious! That is the only best way to win back their heart.”

“Izz, listen to me. This is ridiculous.” Bahu Izz digoncang kuat. Dia cuba menyedarkan Izz bercakap tidak semudah untuk melakukannya.

“I’m still serious about it. Not just talk. You got to take the risk.” Kali ini Izz pula yang memegang tangan Izzdiyad. Kuat dan kemas semacam memberi semangat.

“How come kami nak tinggal kat rumah? Kau pun tahu papa mama masih marah.”

“Trust me. It is worth it to adopt it.”

Izzdiyad terduduk di kerusi. Kedua-dua tangannya memegang kepala sambil tunduk memandang lantai.

Hasya dan Natalia hanya memerhatikan perbincangan kedua adik-beradik itu. Tidak mahu masuk campur urusan suami mereka. Biarlah mereka sahaja yang mencari jalan penyelesaian terbaik. Mereka cuma berharap kekusutan yang sekian lama melanda keluarga itu kembali terurai. Jika boleh biarlah ia tidak tersimpul lagi kerana banyak jiwa yang merana akibat konflik sebegitu.

“Nat...” Izz membuat isyarat mata mengarahkan Natalia memujuk suaminya. Izz berjalan ke jendela. Angin yang menderu masuk dinikmatinya. Seketika, dia berpaling semula ke arah Izzdiyad yang masih tunduk. Natalia duduk di sisi suaminya sambil mengenggam erat kedua-dua tangan suaminya.

“Yad...” Izz menarik nafas lalu dilepaskan perlahan. “Kita balik rumah ye?”

Izzdiyad menggeleng perlahan. Dia mengangkat mukanya. Genggaman tangan Natalia dilepaskan. “I’m so sorry Izz. Aku anak terbuang. Muka aku pun dorang tak ingin pandang.” Ada nada sayu di situ.

“Takkan kau tak nak anak kau kenal atuk dengan nenek dia? Takkan kau tak boleh hadapi semua ni? Come on Yad, beranilah sikit.” Suara Izz sedikit tinggi. Dia sudah mula naik angin.

“Aku sanggup balik minta maaf tapi aku tak sanggup nak tinggal dalam rumah tu.” Perlahan jawapan yang dikeluarkan.

“Sejak bila kau jadi penakut? Sejak bila kau...” Hasya segera merapati Izz. Dia membuat isyarat mata agar Izz tidak meneruskan kata-kata yang boleh menikam perasaan Izzdiyad.

Izz diam. Dia berhenti berbicara. Dia sedar kata-katanya agak keras. Dia tidak sepatutnya berkasar.

Hasya melemparkan senyuman kepada Izz. Senyuman itu lebih kepada ucapan terima kasih kerana Izz mematuhi bahasa matanya tadi.

Hasya berjalan tujuh tapak ke arah suami isteri itu. “Abang Yad, Kak Nat...” Hasya tersenyum kepada mereka. “Kalau belum bersedia, tak perlu paksa diri. Tapi Sya percaya papa mama pun teringin nak bertemu cucu sendiri. Abang dengan kakak takkan hampakan dorangkan?”

Yes, I Love You 14

Yes, I Love You – Bab 14

Hasya mengesan bunyi sesuatu. Namun dia tidak mengetahui dari mana arah bunyi itu. Dari ruang tamu dia cuba mencari bunyi tersebut. Namun, bunyi itu kurang jelas. Dia menapak lagi. Kali ini dia berada di hadapan dua buah bilik. Dia tidak pasti bilik-bilik itu bilik apa.

Dia melekapkan telinganya di pintu bilik pertama, bunyi itu kedengaran tetapi kurang jelas. Dia menghampiri pintu bilik kedua pula, cuba mendengar bunyi yang sama. Pintu tersebut tidak bertutup rapat. Hasya melihat dari celah pintu, komputer terpasang dengan video yang tidak dia ketahui jenis ceritanya. Bunyinya pun agak kuat.

Kelihatan seseorang sedang menonton video tersebut. Dia mengetuk pintu bilik. “Mama, Sya ni.”

“Masuklah.” Datin Faridah mengawal nada suaranya.

Hasya menutup pintu lalu menghampiri ibu mentuanya. Ada banyak rak buku di dalam bilik itu. Pelbagai jenis bahan bacaan tersusun kemas dengan tag namanya sekali. Jelaslah bilik itu adalah perpustakaan mini keluarga mentuanya.

Ada sebuah meja panjang tersedia di situ. Ia mampu memuatkan dua puluh orang sekaligus dalam masa yang sama. Hasya menarik sebuah kerusi lalu duduk berhampiran Datin Faridah. Mata Datin Faridah masih melekat pada video. Kelihatan dua orang kanak-kanak sedang berkejaran di taman permainan kanak-kanak. Kehadiran Hasya sedikit pun tidak diendahkan.

“Mama, kenapa ni? Mama tak sihat?” Hasya pelik melihat wajah sayu mamanya. Ada sisa air mata di pipinya. Jelaslah wanita itu menangis sebelum dia masuk.

“Tak ada apa-apa, Sya. Mama okey.” Matanya masih fokus pada video. Kali ini kanak-kanak itu sedang menyambut hari lahir. Kedua-duanya meniup lilin dan memotong kek.

“Siapa ni mama?” Hasya menunjukkan jarinya ke arah budak kecil yang comel. Budak itu sedang menyuap kek kepada seorang lagi budak yang lebih besar darinya.

“Suami kamu.”

“Comel jugak dia masa kecik. Sorang lagi tu siapa?”

Datin Faridah diam. Soalan Hasya dibiarkan sepi. Hanya tangisannya yang kedengaran. Alamak, mama menangis!

Hasya risau. “Sya salah cakap ke? Sya mintak maaf, mama.”

Datin Faridah berpaling mengadap muka Hasya. Dia teringin berkongsi kisah dukanya dengan gadis itu. Sebelum ini, beban itu cuma dibiarkan terbuku di hati. Kini sudah sampai masanya untuk dia membebaskan segala-galanya. “Izzdiyad. Abang Izz.”

Hasya mengangguk faham. “Dia ada kat mana sekarang mama?”

Sekali lagi air mata menjadi jawapan kepada soalan Hasya. Gadis itu jadi keliru. Kenapa soalannya sering membuatkan ibu mentuanya menangis. Adakah dia tersilap cakap lagi?

Datin Faridah mengesat air matanya. Hidungnya dikesat dengan tisu. Lambakan tisu kelihatan di dalam bakul sampah. Dia mendiamkan diri agak lama. Teragak-agak untuk bercerita sejarah silam yang cukup perit.

Dia menarik nafas agak dalam lalu dihembus kuat. “Panjang ceritanya Sya.”

Kening Datin Faridah berkerut. Datuk Izzuddin berwajah cemberut. Izz sudah kecut perut. Akan tetapi Izzdiyad sedikit pun tidak terkejut dengan wajah-wajah di depannya yang berserabut.

“Kamu jangan bergurau dengan mama, Yad. Soal nikah kahwin bukan boleh dibuat mainan.” Terperanjat besar Datin Faridah dengan perkhabaran yang dibawa pulang oleh anak sulungnya itu.

“Mama, Yad tak berniat pun nak buat macam tu. Dulu pun Yad setuju sebab Yad memang takde kekasih tapi sekarang Yad dah temui orang yang Yad cinta.” Izzdiyad cuba membuatkan mamanya faham.

“Habis tu, tunang kamu nak campak kat mana? Kamu ni memang sengaja cari masalah. Mama tak izinkan kamu kahwin dengan sesiapa pun selain Faiqah.” Datin Faridah tetap bertegas.

“Maafkan Yad, mama. Hanya Natalia pilihan Yad. Dia yang akan jadi isteri Yad.” Izzdiyad tetap tidak mahu kalah.

“Yad, kamu tak boleh malukan kami macam ni. Faiqah tu budak baik. Rugi kalau kamu lepaskan dia.” Datuk Izzuddin masih berusaha memujuk.

“Yad tahu dia baik papa. Sebab tulah Yad mahu pertunangan ni diputuskan cara beradat. Yad sanggup pergi mintak maaf kat mak ayah Faiqah.” Izzdiyad memujuk kembali hati papa dan mamanya.

“Kamu tetap dengan keputusan kamu? Ini pertanyaan terakhir papa. Fikir baik-baik sebelum jawab kerana ia penentu nasib kamu kelak.” Datuk Izzuddin semakin geram.

“Ya papa, Yad tetap nak putuskan pertunangan dengan Faiqah. Yad nak kahwin dengan Natalia.” Izzdiyad tidak berganjak dengan kehendak hatinya.

“Baik, ini pula keputusan papa. Mulai hari ini kamu boleh lepas bebas di luar sana. Kami tak perlukan anak macam kamu.” Datuk Izzuddin sudah hilang sabar.

Izzdiyad terdiam. Hanya matanya yang berkaca yang bersuara tanpa nada. Datin Faridah sudah tidak mampu berkata apa-apa. Hatinya sudah robek. Bajunya sudah lencun dengan air mata. Izz cuma kaku di sofa. Keluarga bahagianya hancur musnah dalam sekelip mata. Satu-satunya abang yang dia ada akan pergi menjauh daripadanya. Dia akan menjadi ‘anak tunggal’ selepas ini.


Hasya memeluk mamanya. Dia cuba mendamaikan hati mamanya yang tersayat pilu. Esak tangis mamanya berdendang semula. Malah lebih kuat dari tadi. Hasya juga turut serta dalam drama air mata ini. Namun air matanya yang tumpah belum dapat menandingi tangisan kecewa mamanya.

“Mama nampak dia dalam majlis kahwin kamu. Sampai hati dia tak nak jumpa mama.” Kolam matanya yang baru kering kembali basah. Dia berkecil hati dengan sikap anaknya itu.

“Agaknya dia takut mama masih marah kat dia.” Hasya cuba memujuk.

“Memang mama marah tapi takkan dia tak boleh mengalah? Masa Izz sebut nama Yazid tu mama dah tahu itu Yad. Masakan mama tak kenal anak mama sendiri walaupun cuma dari belakang?”

Datin Faridah berhenti melangkah, dia tidak jadi menghampiri Izz. Lelaki yang berbual dengan Izz bagaikan dikenali. Warna kulit yang sama, ketinggian yang sama dan lenggok badan yang sama, dia tahu itu anaknya yang telah lama lari meninggalkan rumah. Sudahnya, dia hanya memanggil Izz dari jauh.

Kemudian, dia pergi ke belakang rumah. Melalui rimbunan pokok bunga yang ada di situ, dia mengendap. Sah! Lelaki yang dilihatnya tadi adalah Izzdiyad. Lelaki itu kelihatan sedang berbual mesra dengan seorang wanita yang memangku anak sebelum mereka menaiki kereta Zikri lalu hilang dari pandangan. Dia terduduk di situ.


“Mama, jangan sedih ye. Sya yakin dia akan bawa isterinya jumpa mama nanti. Masa tu, keluarga kita akan lengkap semula.” Hasya mengusap belakang badan mamanya. “Kalau dorang datang nanti, mama sudi maafkan dorang tak?”

Datin Faridah memandang wajah Hasya agak lama. Gadis itu adalah menantu pilihan hatinya. Akan tetapi isteri Izzdiyad langsung tidak diketahui perilakunya. Malah dia sendiri tidak rela untuk mengakui perempuan itu sebagai menantu. Namun, dia tetap sayangkan Izzdiyad walaupun suaminya tidak mahu mengambil tahu lagi perihal anaknya itu.

“Mama hanya ada dua orang anak. Sebenarnya Izz lebih nakal kalau nak dibandingkan dengan abangnya. Yad ikut je apa yang mama perintah tapi Izz lebih suka membantah.” Dia tersenyum mengenangkan karenah anak-anaknya. “Siapa sangka keadaan jadi sebaliknya...” Dia kembali berwajah murung.

“Mama, kadangkala anak melukakan hati ibu bapa tetapi jauh di sanubari, mereka tetap menyayangi orang tua mereka. Dalam hati mama, abang Yad tetap anak yang baikkan? Dia masih ada peluangkan?” Hasya mengesat air mata mamanya dengan ibu jari.
Tanpa sedar, Datin Faridah mengangguk perlahan.

Di sebalik daun pintu yang sengaja dibuka sedikit, seseorang mengukir senyuman.

“Thanks Sya.” Ucapnya walaupun dia tahu Hasya tidak mendengar.

5/05/2010

Yes, I Love You 13

Yes, I Love You – Bab 13

Dia bangun seawal pagi. Usai menunaikan solat Subuh dengan Izz, dia menuruni anak tangga menuju ke dapur. Ketika itu, Mak Bee baru sahaja keluar dari biliknya yang terletak berhampiran dapur.

“Puan, awalnya bangun.” Mak Bee cuba beramah mesra dengan ahli baru dalam keluarga majikannya.

“Dah biasa mak cik. Mata memang tak boleh lelap kalau tidur semula lepas Subuh.”

“Panggil saja Mak Bee. Puan nak apa-apa ke?” Mak Bee membuka peti sejuk. Bahan-bahan untuk memasak dikeluarkan.

“Tak payahlah panggil puan. Sya cukuplah. Mak Bee nak masak apa ni? Sya tolong ye?” Hasya merapati Mak Bee.

“Eh, janganlah Pu... errr Sya. Nanti Datin marah kalau nampak.” Mak Bee cemas. Gusar kalau tiba-tiba Datin Faridah muncul dan terlihat Hasya membantunya.

“Mak Bee tak payahlah risau. Nanti Sya cakap dengan mama. Sya tolong dengan rela, bukan Mak Bee dera.” Hasya ketawa kecil.

Mak Bee turut tersenyum. Terhibur dengan gelagat Hasya. “Sya ni muda lagi Mak Bee tengok. Sya tau ke buat kerja dapur?”

“Nak kata tau sangat tu tak adalah tapi bolehlah masak makanan yang mudah.” Hasya merendah diri.

“Mak Bee nak buat nasi lemak.” Mak Bee mula membasuh beras.

“Mesti sedap nasi lemak Mak Bee. Sambal sotong ye?” Hasya memanaskan kuali. Minyak masak dituang. Bawang yang telah dikisar ditumis.

“Sotong tu Mak Bee dah bersihkan. Mak Bee rendam sebelum ditoskan.” Tiga helai daun pandan disimpul lalu ditanak bersama nasi lemak.

“Sya dah toskan pun. Tinggal nak campak dalam kuah je ni.” Sebelum arahan diberi, Hasya sudah melaksanakannya.

“Mana pula timun yang Mak Bee letak kat sini?” Mak Bee mencari timun yang telah siap dicuci untuk dipotong.

“Kat sini.” Hasya memegang pinggan yang sudah terisi hirisan timun. Semasa Mak Bee keluar mengambil daun pandan, dia telah pun menghiris timun tersebut.

“Kalau macam tu, Mak Bee belah telur rebuslah.” Sekali lagi Mak Bee tidak menjumpai barang yang dicari.

“Taraaa...” Sebiji lagi pinggan disuakan kepada Mak Bee. Di dalamnya terhidang beberapa biji telur rebus yang telah dibelah dua.

“Cepatnya kamu buat kerja Sya. Tak terkejar Mak Bee dibuatnya.” Mak Bee tersenyum senang.

“Benda senang je ni Mak Bee. Nak goreng bilis tak?”

“Semua orang dalam rumah ni tak makan bilis.” Kedengaran suara yang membuatkan Mak Bee kecut perut. “Awalnya Sya bangun. Bee, kenapa suruh Hasya buat kerja dapur?”

“Ma... maa... maafkan....” Mak Bee tergagap akibat takut.

“Bukan salah Mak Bee. Sya sukarela nak bantu. Lagipun, Sya tak ada benda nak buat mama.” Pantas Hasya membantu Mak Bee membela diri. Kesian benar dia dengan wanita itu.

“Iskkk kamu ni Sya. Mama baru nak bantu Mak Bee kamu ni memasak. Sepatutnya mama yang memasak untuk sambut menantu baru. Ni kamu pulak yang memasak untuk kami.”

Datin Faridah memeluk bahu Hasya. “Izz mana?”

“Lepas Subuh tadi, dia tidur semula.” Hasya menguntum senyum.

“Dah masak ke sambal sotong ni?” Datin Faridah mengacau sambal sotong yang sedang menggelegak.

“Dah agaknya. Cubalah mama rasa.” Hasya menghulurkan piring kecil berisi sambal sotong kepada ibu mentuanya.

“Mmmm... sedapnya. Semua rasa ada. Mama bagi markah penuh.” Datin Faridah menunjukkan tanda bagus dengan ibu jarinya.

Hasya ketawa kecil.

**********

Izz mengeliat kecil. Dia meraba-raba tempat tidur di sebelah kirinya. Kosong. Tiada orang. Agaknya Hasya berada di bilik mandi. Dia bangun lalu bersila di atas katil.

Hasya memulas tombol pintu bilik. Dia menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat mata Izz masih terpejam walaupun dia sudah bersandar pada kepala katil. Suaminya dihampiri.

“Abang.” Paha Izz ditepuk lembut.

Tiada respon. Mata Izz masih terpejam rapat. Hasya menggoyang-goyangkan pula lengan kiri Izz. “Abang, bangunlah.”

Izz bergerak sedikit. Tangan kanannya menggaru pipi kiri. Namun mata masih juga bertutup rapat. Susah benar hendak mengejutkan lelaki ini.

Hasya mendekatkan mukanya ke telinga Izz. Dia tersengih nakal. Bersedia untuk melontarkan ayat keramat yang tidak digemari Izz. Belum pun sempat dia berbisik...

Cuppp! Bibir Izz mengenai pipi kanannya. Lelaki itu tersengih walaupun matanya belum dibuka. Jangan harap Hasya nak mengenakannya sekali lagi. Dia sengaja berpura-pura tidur ketika Hasya masuk ke bilik tadi.

Kulit muka Hasya sudah berubah warna. Dia terkesima sebentar dengan serangan hendap Izz. Dia segera bangun dari katil tetapi tangannya ditarik Izz menyebabkan dia jatuh di dada lelaki itu.

“Kau dari mana ni?”

“Dapur.” Hasya cuba bangun tetapi Izz menghalangnya.

“Aku ingatkan kau mandi. Sampai tertidur aku tunggu kau keluar dari bilik air.”

“Pergilah mandi. Mama ajak sarapan.” Hasya mencuba lagi untuk bangun.

“Owhhh, kau panggil aku sebab mama suruh? Kau sendiri takde inisiatif nak ajak aku sarapan?” Hidung Hasya ditarik perlahan.

“Aduhhh...!” Hasya menggosok-gosokkan hidungnya. “Samalah tu. Mama ajak, Sya datang panggil.” Hasya berjaya melepaskan diri.

“Tak samalah. Kalau kau panggil aku sebab kau memang berniat nak ajak aku sarapan, barulah ikhlas. Ada faham?”

Hasya mengangguk. “Cepatlah. Semua orang tunggu kita.” Hasya menarik tangan Izz lalu didorong ke bilik air.

Setibanya di depan pintu bilik air, Izz berpaling mengadap Hasya. “Sya, mama ada tanya kau dah mandi?”

Hasya hairan. “Tak ada pun. Kenapa?”

Izz ketawa nakal. Bibirnya didekatkan ke telinga Hasya, kemudian dia membisikkan sesuatu.

Hasya membulatkan matanya. “Abannggg...” Perut Izz dicubit.

“Sakitlahhh...! Garang jugak kau ni.” Perutnya digosok laju. Terasa pedih kesan dicubit dek isterinya.

“Tahu takpe. Tak tahu tanya.” Selamba Hasya menjawab.