6/20/2013

Yes I Love You 39



Yes, I Love You – Bab 39

Dia menguak pintu tingkap bilik seluas-luasnya. Satu persatu tingkap dibuka agar angin pagi yang dingin dapat menerobos masuk. Dia berpeluk tubuh  sambil membiarkan tubuhnya terus digigit angin yang berhembus lembut. Rambutnya beralun-alun apabila ditiup angin. 

Izz masih lena di tempat pembaringan. Sudah menjadi kelaziman bagi lelaki itu untuk tidur semula selepas solat Subuh, lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Namun, tidak bagi Hasya. Dia bangun sebelum muazzin melaungkan Azan. Sebaik melaksanakan perintah Tuhan, dia lebih gemar membuat kerja rumah dari menyambung tidur. Lagi pun, pintu rezeki terbuka luas pada awal pagi. Justeru, tiada ruginya jika dia mengorbankan masa tidurnya untuk sesuatu yang lebih berfaedah.

Baju T biru kundang berlengan panjang sedondon dengan seluar trek disarung ke tubuh. Rambut ikal mayangnya disanggul kemas. Tudung berwarna hitam dipakai. Hasya menuruni anak tangga untuk ke bawah. Stokin berwarna kelabu disarungkan ke kakinya. Kaki dimasukkan ke dalam kasut sukan yang agak lusuh tetapi masih boleh digunakan. Hasya membuka pintu utama banglo mewah Datuk Izzuddin. 

“Hoi, nak ke mana tu? Matahari pun belum bangun, kau dah nak merayap?” Sergahan kuat mengejutkan Hasya. 

“Astaghfirullahalazim.” Dadanya diurut-urut. Raut wajahnya jelas kelihatan terkejut. Dia berpaling ke arah suaminya. “Sya cuma nak bersenam kat laman depan. Boleh?”

“Kau belajar dari siapa ni? Buat dulu... baru mintak izin suami?” Izz bercekak pinggang. Dia bergegas ‘mandi kerbau’ sebaik Hasya keluar dari bilik tidur mereka.

“Maafkan Sya.” Hasya cuma tunduk. Tunduk memandang kasutnya sendiri. 

Sebelum ini, memang dia selalu bersenam di halaman hadapan banglo itu tetapi Izz tidak pernah pula memarahinya. Lagi pun, Izz pernah melihatnya bersenam di situ tetapi tiada pula berkata apa-apa. Kenapa hari ini semuanya berubah? Kenapa hari ini perlu marah? 

Izz sengih tepi tetapi cepat-cepat dia membuat muka serius kembali. “Aku melarang kau bersenam kat sini.”

Hasya mengangkat muka. Tersentap dengan amaran Izz. Entah apalah salahnya sehingga Izz membuat larangan itu. Peliknya, lelaki itu sendiri sudah lengkap berpakaian sukan. Mungkin dia hendak berjogging. Izz berjalan melepasi Hasya. Bahu isterinya sengaja dirempuh. Badan Hasya tergerak sedikit kerana rempuhan itu. 

Izz menuju ke arah motosikalnya. Sudah seminggu ‘isteri kedua’nya itu tidak ditunggang ekoran terlalu banyak kerja perlu dibereskan. Hari ini, dia mahu meluangkan masa cutinya yang ada dengan ‘isteri-isterinya’. 

Hasya hanya memandang Izz yang sudah memasukkan kunci motosikalnya. Dia ingin sekali mengekori suaminya keluar tetapi dia tidak berani bersuara. Sudahnya, Hasya berjalan masuk perlahan-lahan ke dalam rumah dengan wajah menunduk.

Izz yang menyaksikan situasi itu tersengih nipis. Suka benar dia kerana dapat mengusik Hasya. “Ikut aku. Hari ni kita bersenam kat taman rekreasi.” Izz sudah menghidupkan enjin motosikalnya. Menderum-derum bunyi enjinnya apabila tombol minyak dipulas-pulas.

Mendengarkan arahan itu, Hasya cepat-cepat berpaling. “Sungguh? Serius?” Wajah monyok Hasya sudah berubah ceria. Dia seakan tidak percaya hari ini dia berpeluang untuk bersenam di taman rekreasi. Sewaktu dia belum berkahwin, dia selalu berjogging dengan Alang di taman permainan kanak-kanak berhampiran dengan rumahnya. Kini, saat-saat itu akan berulang lagi walaupun pasangan dan tempatnya berlainan.

“Cepatlah! Kau lambat, aku tinggal!” Izz mengugut. Dia sudah naik ke atas motosikalnya. 

“Naik motor? Kenapa tak jogging je ke taman rekreasi tu?” Bukankah kebiasaannya Izz berjogging sahaja ke taman rekreasi tersebut. 

Kenapa pula bila diajak Hasya bersama, mereka perlu naik motosikal? Hasya bukannya tak larat hendak berlari ke tempat tersebut. 

“Suka hati akulah. Kau nak pergi ke tidak ni?” Izz mula bosan dengan soalan demi soalan dari isterinya.

“Nakkk...!” Hasya berlari ke arahnya. Gembira benar dia. Gembiranya seperti hendak melancong ke luar negara. 

“Pergi ambil helmet.” Sewaktu dia hendak memanjat naik motor, Izz memberi arahan. 

“Nak buat apa? Taman rekreasi tu dekat je. Bukannya ada polis pun.” 

“Ambil jelah. Kau ni... banyak sungguh objection!” Izz sudah marah.

Hasya sempat tersengih sebelum berlari mengambil helmet untuk mereka. Sebaik Hasya duduk di kerusi penumpang, Izz terus memecut motosikalnya. Gadis itu terpaksa memeluk pinggang Izz erat. Izz tersenyum meleret di sebalik helmet yang menutup keseluruhan mukanya. Seronok dipeluk sedemikian rupa. Lagi pun, halal. 

Ketika mereka sampai di taman rekreasi tersebut, pengunjung belum ramai. Mungkin kerana hari masih terlalu pagi, suasana pun masih gelap. Hasya menghirup udara pagi yang nyaman sepuasnya. Dia mendepakan tangan, udara disedut dalam-dalam dengan kaki sedikit terjingkit. Kemudian, tangan diluruskan ke bawah, nafas dihembus lalu kaki diratakan ke tanah. Hampir lapan kali dia melakukan perkara yang sama.

Izz yang memandang perbuatan isterinya turut serta di dalam acara itu. Kemudian, mereka memanaskan badan seketika sebelum melakukan aktiviti selanjutnya. 

“Aku biasa jogging mengelilingi taman. Memandangkan taman ni agak besar, mungkin kau tak larat nak menghabiskan satu pusingan. Kat sini ada banyak kerusi, kalau kau penat... duduk dulu. Kita jumpa kat sini nanti. Okey?” Izz memberi sedikit pesanan sebelum memulakan larian.

“Okey.” Hasya tersenyum nipis. Jom kita tengok siapa yang penat dulu. Dia atau Izz?  

“Lagi satu... aku tak tunggu orang. Kau lambat, aku tinggal. Faham?” Izz sudah pun memulakan lariannya.

Hasya mengangguk. Dia sengaja membiarkan Izz meninggalkannya kira-kira 50 meter sebelum dia turut mengorak langkah. Larian Hasya sederhana tetapi konsisten. 

Izz masih mendahului di hadapan. Lariannya sekejap laju, kemudian perlahan. Dia tidak memandang ke belakang tetapi hatinya meronta-ronta ingin tahu di mana isterinya beristirehat. Pada sangkaannya, tentu Hasya sudah penat lalu berehat di kerusi yang telah disediakan. Dia tidak sabar-sabar ingin menghabiskan pusingan joggingnya.

“Lagi 100 meter, tamat pusingan pertama. Apa kata kita jogging satu pusingan lagi?” Entah dari mana munculnya, Hasya sudah menyaingi larian Izz. 

Izz terkebil-kebil memandang Hasya. Selama ini dia hanya berjogging satu pusingan sahaja. Kemudian, dia akan beralih ke peralatan senaman lain atau pulang ke rumah. Dia sudah letih. Peluh pun sudah membasahi bajunya.

“Kau larat ke? Aku no hal.” Izz mempertahankan egonya. Peluh yang membasahi hidung diseka dengan belakang tangan kiri.

Senyuman menguntum di bibir Hasya. Dia masih bersemangat berjogging, tiada tanda-tanda penat terpamer di wajahnya. 

Baru sahaja 75 meter jogging di pusingan kedua, Izz sudah tidak mampu bertahan. Dia perlu berehat untuk melepaskan lelah. Dia mula mencari helah. 

“Aduhhh...!” Jeritnya tiba-tiba. Dia memegang perut dengan kedua-dua tangannya sambil menunduk. Mukanya berkerut menahan sakit.

Hasya cemas. Lariannya terhenti. Dia segera mendapatkan Izz. Bahu Izz dipegang. “Abang... kenapa ni? Kat mana sakit?” 

“Aku sakit perut.” Izz masih lagi memegang perutnya.

Hasya memapah Izz ke kerusi batu yang berhampiran. Izz didudukkan di situ. “Kita pergi klinik.” Usul Hasya.

Izz menggelengkan kepalanya laju. “Tak nak. Aku cuma perlu rehat sekejap.”

“Nanti kalau melarat, susah pulak. Jomlah... kita pergi klinik.” Pujuk Hasya lagi.

Izz merenungnya tajam. “Kau tak dengar ke? Aku cakap tak nak. Lepas rehat nanti, aku okeylah.” 

Hasya malas hendak memujuk lagi. Susah hendak berkomunikasi dengan orang yang berperangai macam Izz. Nasihat Hasya tidak mahu didengar langsung. 

Izz bersandar kelegaan di kerusi batu tersebut. Penatnya sudah hilang sedikit. Pengunjung sudah ramai memenuhi taman rekreasi itu. Kebanyakannya datang dengan tujuan untuk beriadah sama ada dengan teman atau keluarga.

Hasya masih setia menemaninya. Walaupun Izz menyuruhnya menyudahkan joggingnya tetapi dia berkeras untuk duduk di situ bersama Izz. Mungkin dia risau hendak meninggalkan lelaki itu seorang diri. Sudahlah sakit, degil pula. Akhirnya Hasya cuma membuat senaman ringan bersebelahan tempat duduk mereka. 

Izz memerhati penuh minat Hasya bergayut di palang. Satu demi satu palang-palang itu dipaut dengan tangannya sambil kaki berjuntai. Gayanya umpama tentera wanita yang sedang menjalani latihan. Belasan palang sepanjang tiga meter itu berjaya dilepasi. Izz sedikit kagum. Hasya mempunyai tubuh badan yang cergas dan stamina yang tinggi.

Hi guys! You all pun beriadah kat sini jugak?”

Izz mendongak. Wajah lelaki di hadapannya mengundang rasa walang di hati. Hasya melompat turun dari palang tempat dia berpaut. 

“Thaqif. You pun ada? Tahu pulak you tempat ni.” 

Hasya cuma membatu. Kehadiran Thaqif membuatkan dia kecut perut. 

“Zikri yang bawa I ke sini. Dia tengah cari tempat letak kereta. Apa kata kita jogging sama-sama?” Thaqif tersenyum. Dia sempat mengenyitkan matanya kepada Hasya. Mujurlah Izz tidak nampak.

“Lain kali sajalah. Kami pun dah nak balik ni. Sorry, ye.” Izz bangun dari kerusinya. Tangan Hasya ditarik lalu mereka berlalu meninggalkan Thaqif sendirian di situ. 

“Tapi... perut abang...” Hasya sedikit gusar apabila Izz yang sakit sebentar tadi terus bertenaga apabila ternampak Thaqif. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Dah baik! Jom balik!” Izz hampir terlupa dengan lakonannya. Namun, dia sudah tidak peduli dengan semua itu kerana dia perlu segera bawa isterinya lari dari situ.

Thaqif sekadar tersenyum. Dia tahu dia tidak boleh terburu-buru untuk ‘menjerat rusa’. Dia perlu menggunakan taktik yang betul. 

Zikri berpapasan dengan pasangan suami isteri itu ketika dia hendak masuk ke taman rekreasi. 

“Hi Izz.. Sya! Awal lagi ni, dah nak balik?” Tegur Zikri ramah.

Hasya tidak menjawab dengan perkataan, sebaliknya hanya dibalas dengan senyuman.

“Zik, dah takde tempat lain kau nak bawak si Thaqif tu jogging?” Tanpa menunggu jawapan Zikri, Izz terus memacu motorsikalnya meninggalkan taman rekreasi itu. 

Zikri terpinga-pinga. Dia menggaru-garu kepala. Tak pasal-pasal kena marah. Thaqif datang ke sini pun salah?

“Kenapa tu?” Soal Thaqif sebaik Zikri menghampirinya. 

“Entah.” Jawab Zikri sepatah. 

“Jomlah!” Zikri sudah bersedia hendak berlumba lari. 

“Tak ada mood nak jogging. Pekena roti tisu lagi bagus.” Thaqif bergerak ke tempat letak kereta.



Eriyza : Mood tengah berkobar-kobar nak menulis. Kali ini Encik Thaqif muncul lagi. Ada sesiapa suka Thaqif tak??

6/18/2013

Yes I Love You 38


Yes, I Love You – Bab 38

Panorama indah pada waktu malam bandaraya Kuala Lumpur kelihatan jelas dari bilik Hotel Hilton. Seorang lelaki berdiri di jendela sambil membuang pandang ke luar jendela. Hatinya menggebu rindu. Rindu pada si gadis yang baru dikenali. Hanya pernah ditemuinya beberapa kali. 
“Hasya. ...” Satu keluhan dilepaskan. Sejak akhir-akhir ini sepotong nama itu sentiasa meniti di bibirnya. Dia sendiri tidak mengerti mengapa gadis itu membawa debar yang bukan sedikit di hatinya setiap kali mata saling bertatapan. Dia tidak pernah merasai perasaan sedemikian pada mana-mana gadis lain walaupun hidupnya sering dikelilingi wanita cantik.

Dia berkira-kira untuk menyatakan hasrat hatinya semalam tetapi segala-galanya terbantut apabila Zikri membawa sekumpulan ‘penyanyi’ untuk meraikan ulangtahun kelahirannya. Jika tidak, pasti dia sudah meluahkan hasratnya untuk melamar gadis itu. Dia tertanya-tanya apa agaknya reaksi Hasya kalau rancangannya menjadi kenyataan.

“Hasya... “ Dia mengeluh lagi. 

Telefon bimbitnya berbunyi. True tone Falling For You dari Colbie Caillat membuai perasaannya. Dia mendengar lagu seketika sebelum menjawab panggilan tersebut.

 Hi... dad.” 
Hey... son. How are you?” Ceria suara si pemanggil di corong talian.

Fine. Daddy dengan mummy sihat?”

“Kami okey je. Mummy kamu dah bising. Dia tanya bila kamu nak balik?”

“Tak tau lagi. Maybe after semua benda settle.” Dia berdalih walhal semua kerja yang patut diuruskan di Kuala Lumpur sudah selesai.

So, how’s your job?” Bapa yang prihatin sentiasa mengikuti perkembangan kerjaya anaknya. Jatuh bangun sesebuah syarikat bergantung kepada cara penerajunya bekerja.

Everything going to be alright.” 

Si bapa kelegaan di hujung sana. Segala tunjuk ajar yang telah dicurahkan selama ini kepada anaknya berbaloi juga akhirnya.

Well done, son. Tak lama lagi bolehlah kamu ambil alih tempat daddy.” Ayahnya ketawa senang hati.
“Ishhh, daddy ni! Thaqif mana layak gantikan daddy. Lagi pun daddy masih diperlukan dalam syarikat kita.” 

“Sekarang memang laa tapi lepas kamu kahwin nanti, bolehlah pertimbangkan untuk terima jawatan tu.” Serius bunyi suara ayahnya kali ini.

Kahwin? Ayahnya seperti tahu-tahu sahaja Thaqif sedang dilamun cinta. Cinta pandang pertama pula. “Kalau macam tu... Thaqif fikir lepas kahwin sajalah."

“Kamu ni Tha...”

“Daddy cakap dengan siapa tu? Thaqif?” Kedengaran suara wanita di belakang suara si pemanggil. Bising jadinya apabila wanita itu mahu bercakap dengan anak tunggalnya. 

Thaqif hanya tersenyum menangkap ‘perbalahan’ daddy dan mummynya di corong telefon bimbit.

“Thaqif... baliklah. Dah lama sangat kamu kat sana.” Akhirnya telefon bimbit si daddy berjaya ‘dikuasai’ si mummy.

“Sabar ye, mummy. Nanti Thaqif balik laa.” Dia ketawa. Ibunya masih melayannya umpama seorang anak kecil sedangkan dia sudah dewasa. 

“Kerja kamu kat sana belum siap? Bukankah kamu sepatutnya pergi tiga hari je? Kenapa sampai seminggu pulak?” 

“Tinggal sikit lagi kerja yang belum beres. Thaqif nak pastikan semuanya sempurna sebelum balik Penang.” Thaqif memujuk ibunya. 

Sebetulnya ada ‘sesuatu’ di Kuala Lumpur yang menghalang Thaqif pulang lebih awal. Kalau boleh, Thaqif mahu tinggal lama di situ agar usahanya berhasil.

“Pastikan kamu terus balik ke sini selepas kerja siap. Jangan merayau tak tentu hala pulak.”

Thaqif hanya tersengih . 

“Thaqif, dengar tak pesan mummy?” Ibunya masih membebel apabila Thaqif tidak mengendahkan percakapannya.

“Ya! Thaqif dengar ni. Mummy janganlah risau.” 

 “Jangan dengar saja tapi tak ikut. Okeylah, mummy nak keluar dengan daddy ni... take care of yourself. Jangan lupa call mummy, tau.”

All right. Love you, mom.” Manja nada suara Thaqif.

Love you too, son. Waittt... make sure balik sebelum birthday kamu. Mummy dah buat preparation untuk raikannya.” 

Okey.” Thaqif menekan butang merah di telefon bimbitnya. 

Parti hari lahir? Sekali lagi? Dua kali dalam setahun? Dia senyum sendirian. Parti hari lahir tajaan ibunya sudah pasti meriah dan mewah. Namun, majlis hari lahir anjurannya sendiri jauh lebih bermakna kerana adanya seorang gadis yang istimewa.

Dia melabuhkan punggung di atas kerusi. Jam di skrin telefon bimbit dikerling. Ada tetamu  yang dinanti sejak pagi lagi. Hanya waktu malam  sahaja mereka dapat datang. Ketukan di pintu melahirkan segaris senyuman di bibirnya.

Pintu bilik dikuak. Dua orang lelaki berpakaian serba hitam masuk ke dalam. Keduanya-duanya berbadan tegap. Seorang daripadanya memakai topi lusuh biru berjenama Nike manakala seorang lagi memakai bandana merah di kepala.

“Macam mana? Dah siap?” Tanpa sebarang ucapan salam atau sapaan sopan, Thaqif terus menghamburkan soalan. 

“Sudah, bos.” Lelaki bertopi menghulurkan sekeping sampul surat besar bersaiz A4 yang berwarna coklat tua.

Thaqif pantas mencapainya. Dia terus duduk di atas katil. Isi dari sampul surat tersebut dikeluarkan lalu diselerakkannya di atas katil. Puluhan keping gambar yang terdampar di hadapan mata ditilik satu persatu.

“Bagus! Kerja korang memang bagus!” Dia tersenyum puas. 

Gambar-gambar candid Hasya dengan pelbagai aksi menarik kini menjadi miliknya. Separuh dari gambar itu memaparkan wajahnya dan Hasya. Mereka bagaikan pinang dibelah dua. Orang-orang suruhannya masih berdiri di situ.

“Tapi... takkan ini je?” Thaqif musykil. Seingatnya, dia mengarahkan lelaki-lelaki itu membuat dua perkara. Satu sudah diberi kepadanya, bermakna ada satu lagi tugasan yang belum diselesaikan.

“Ada lagi, bos.” Lelaki yang memakai bandana tersengih. Sesuatu dikeluarkan dari poket seluarnya. “Benda ni semestinya ada.” Sekeping cakera padat dihulurkan. 

Senyuman Thaqif semakin lebar. Dia segera memasang cakera padat tersebut. Matanya cerah tatkala memandang dia dan si gadis tersenyum manis ketika duduk di meja utama. Detik-detik indah itu ingin dirakamkan di dalam memori ingatannya sampai bila-bila. Dia tidak mahu kenangan seistimewa itu berlalu pergi begitu sahaja.

Good job, guys!” Thaqif menunjukkan tanda bagus dengan kedua-dua ibu jarinya kepada kedua-dua lelaki yang berada di hadapannya. 

Kedua-dua lelaki itu hanya ketawa mendengarkan pujian dari bos mereka. Jika bos suka hasil kerja mereka, maka poket mereka juga akan membuahkan ‘hasil’ yang lumayan. Kalau kena gaya, selain upah, bonus juga menjadi habuan mereka.

“Ada apa-apa lagi yang bos nak kami buat?” Soal lelaki yang memakai topi. Lelaki yang memakai bandana hanya menunggu arahan seterusnya.
Thaqif mencapai remote control. Butang ditekan sekaligus mematikan pemain cakera padat tersebut. Dia berjalan semula ke jendela dengan memasukkan tangan kanannya ke dalam poket seluar. Tangan kiri pula terletak elok di atas belakang pinggang.

“Aku rasa...” Kata-kata Thaqif terhenti di situ.

Kedua-dua lelaki tersebut saling berpandangan sesama sendiri. Thaqif masih membelakangi mereka. Lelaki yang memakai bandana berjalan mendekati Thaqif. 

“Kenapa bos?” 

Thaqif masih memandang ke luar jendela. Satu keluhan dilepaskan. Dia seumpama menanggung beban yang berat. Ya! Memang berat menanggung beban yang bernama rindu. Apatah lagi apabila rindu semakin membuatkan dia tidak keruan.

Perlahan-lahan Thaqif memalingkan tubuhnya. “Melampau tak tindakan aku ni?”

“Taklah. Kuasa cinta, bos.” Lelaki yang bertopi tersenyum lebar sehingga menampakkan susunan giginya yang tidak teratur.

“Lagi pun bos tak menyakiti budak perempuan tu. Rasanya taklah teruk sangat taktik yang bos guna ni.” Lelaki berbandana pula menambah ‘perisa’ bagi menyokong kata-kata rakannya sebentar tadi.

Menyakiti budak perempuan? Thaqif tersentap. Wajah kedua-dua lelaki di hadapannya di pandang bersilih ganti. Bagaimanakah agaknya reaksi Hasya jika dia mengetahui Thaqif cuba mengoratnya dengan cara sebegitu? Akan sakitkah hati gadis itu? Akan bencikah gadis itu kepadanya? Tidak! Dia tidak mahu Hasya membencinya.

Thaqif meraup mukanya. Dia berjalan ke peti sejuk mini yang terdapat di sebelah kanan meja. Tiga kotak air minuman jambu batu dikeluarkan. “Sorry, air berkarbonat aku tak minum. Air kotak boleh?” 

“Boleh je, bos. Asalkan halal.” Lelaki bertopi melawak manakala rakannya sekadar tersengih, malas hendak menyampuk.

Dua daripada air kotak tersebut dilontarkan kepada kedua-dua lelaki yang berada tidak jauh darinya. Straw ditusuk ke dalam kotak. Air jambu batu dihirup sedikit.

 “Bos, nak kami carikan nombor telefon budak perempuan tu? Nak suruh cari rumah dia pun boleh.” Lelaki bertopi menawarkan khidmatnya. 

“Betul tu, bos! Bisa diatur.” Usul lelaki berbandana pula. Minumannya disedut habis. Tanpa segan silu, sekotak lagi air jambu batu diambil dari peti sejuk mini.

“Ambil dua lagi.” Thaqif bersuara. Tekaknya masih terasa haus. 

“Korang berdua tak perlu buat benda-benda tu semua. Aku akan mintak sendiri nanti. Kerja korang dah selesai. Lagi pun, tak lama lagi aku dah nak balik. Kalau ada apa-apa hal, aku cari korang.” Thaqif bersuara tegas. Kedua-dua lelaki itu mengangguk tanda faham.


Eriyza : Cerita pasal Thaqif laa pula. Selamat membaca.  Bab seterusnya akan disiarkan dalam masa terdekat, jangan lupa baca, tau.

6/11/2013

Yes I Love You 37

Yes, I Love You – Bab 37

Dia memandu perlahan. Dia memarkir Toyota Caldinanya di perkarangan Restoran Mesra Jingga. Pintu kereta dibuka lalu dia keluar. Dia menunggu seketika. Penumpang di sebelah kiri masih tidak berganjak. Tetap kaku di tempat duduknya.

Cermin hitam keretanya diketuk. Tiada tindakbalas dari penumpang di dalamnya. Dia mulai naik marah. Pintu kereta dibuka kasar. Dia memandang isterinya dengan renungan tajam.

“Kenapa kau tak keluar? Nak aku heret kau masuk ke restoran tu?” Izz sudah bercekak pinggang.

Geram sungguh dia dengan perangai Hasya malam ini. Dari rumah lagi, isterinya menolak ajakannya untuk ke majlis hari lahir Thaqif. Seandainya Thaqif bukan klien terbesar syarikatnya buat masa ini, tentu sahaja dia tidak kisah jika Hasya tidak mahu ikut sekali. Sudahlah Thaqif memintanya membawa bersama ahli keluarga, bermakna kehadiran Hasya dinantikan lelaki itu.

Hasya menggeleng. “Abang... Sya tak nak masuk. Abang pergilah. Sya tunggu kat sini.” Hasya masih merayu.

Dia berharap agar Izz mengasihaninya. Dia tidak selesa berada di majlis seperti itu walaupun diberitahu hanya majlis hari jadi. Dia tidak mahu menjadi tatapan mata umum dengan pakaian seperti itu. Majlis anjuran ahli perniagaan terkenal seperti Thaqif tentunya eksklusif.

“Sya, apa masalah kau ni? Kau nak tunggu kat sini macam tunggul kayu? Baik kau ikut aku masuk. Bukan selalu kau dapat peluang ke majlis mewah macam ni!” Izz tidak faham. Susah sangatkah hendak menemaninya ke majlis tersebut? Bukan buat apa pun, sekadar duduk dan makan. Dia juga berdegil tidak akan masuk tanpa teman.

“Sya tak biasa dengan majlis macam ni. Lagi pun...”

“Stop! Aku tak nak dengar alasan. Kau nak keluar sendiri atau nak aku heret macam kaki buli? Kau cuma ada dua pilihan!” Pergelangan tangan Hasya sudah dicengkam. Wajahnya merah padam. Geram!

Hasya menanggapi cerlungan Izz dengan pandangan gerun. “Sya keluar sendiri.”

Dia tahu sama ada dia memilih pilihan pertama atau kedua, tiada satu pun yang memihak kepadanya. Dia perlu beralah jika tidak mahu menerima padah. Daripada ditarik keluar dengan terpaksa, baik dia pergi dengan rela. Mudah-mudahan kemarahan Izz reda sedikit, dia pula tidak mendapat sakit.

Akhirnya Hasya mengalah. Izz pula tersenyum megah. Mereka mula mengatur langkah menuju ke Restoran Mesra Jingga yang mewah.

Sebaik pasangan ‘merpati dua sejoli’ itu memasuki dewan berhawa dingin di restoran tersebut, banyak mata memaku wajah mereka. Bukan seorang dua yang menyaksikan mereka berjalan di karpet merah malah hampir kesemua orang yang ada di dalam dewan tersebut berbisik sesama sendiri. Sama cantik, sama padan!

Apa tidaknya, tuksedo kelabu bertali leher hitam rekaan Lord’s Tailor menyerlahkan lagi penampilan Izz sebagai ahli perniagaan muda yang berkarisma lagi berkeyakinan. Izz tidak perlu menggunakan sebarang aksesori untuk menyerlahkan gayanya kerana kekacakan wajahnya sudah cukup untuk membuatkan wanita menoleh acap kali. Aura maskulinnya tersebar ke seluruh dewan.

Pada majlis itu, Hasya kelihatan persis sang puteri apabila tampil memperagakan sepasang gaun malam yang elegan dan glamor. Gaun malam kelabu cerah dari fabrik sifon itu tampak hebat membalut tubuh Hasya. Tudung Ariani dengan warna sedondon dipakai kemas menutup auratnya. Tanpa kilauan berlian menghiasi dirinya dan hanya dengan solekan nipis, Hasya berjaya mencuri tumpuan sekelian yang hadir, terutamanya lelaki.

Hasya menyilangkan tangannya ke tangan Izz umpama mengulangi sejarah pernikahan mereka tidak lama dahulu. Mereka ibarat ‘watak utama’ majlis tersebut. Mereka terus menapak ke arah Thaqif yang sedang sibuk melayan para tetamunya.

Sebaik melihatkan Izz dan Hasya, lelaki itu meminta diri dari sahabatnya untuk meraikan tetamu yang baru hadir. Jejaka itu cukup tertawan dengan gaya anggun Hasya. Matanya tidak berkelip memandang wajah gadis itu.

Izz yang perasan dengan pandangan nakal Thaqif  berbisik ke telinga Hasya. “Aku tak benarkan kau cakap banyak malam ni. Kalau kau tak reti speaking, diam sudah.”

“Hi, Izz! Thanks for coming.” Sapa Thaqif mesra.

“Hello, Thaqif! My pleasure!” Izz berjabat tangan dengan jejaka tersebut.

“Kenalkan... ini...” Kata-kata Izz terhenti di situ apabila Thaqif terlebih dahulu menyapa Hasya.

“Hasya... We know each other. Apa khabar?”

“Sihat alhamdulillah.” Hasya kupas senyum.

Izz tidak mengesyaki apa-apa apabila diberitahu isterinya dan Thaqif saling mengenali. Pasti Thaqif mengetahui status Hasya. Thaqif  mempelawa pasangan tersebut ke meja makan. Peluang yang ada ingin digunakan sepenuhnya untuk mengenali gadis bernama Hasya dengan lebih rapat. Izz dan isterinya bukan setakat duduk semeja dengan Thaqif  malah bersebelahan dengannya. Zikri turut ada di meja tersebut. Senyuman dilemparkan kepada suami isteri itu.

“Amboi, awal kau sampai Zik!” Izz mengambil tempat di sebelah Zikri.

“Taklah. Baru sampai jugak. Punggung pun belum panas lagi ni.” Dia ketawa. Mata ditala pada Hasya. Jantungnya berdegup kencang.

“Apa khabar, Sya?”

“Sihat.” Hanya sepatah jawapannya.

Hasya terpaksa duduk di sebelah Thaqif. Mata lelaki itu asyik menikam wajahnya.  Hasya tidak senang duduk. Izz pula asyik senyum sejak mereka mula duduk. Majlis malam itu sungguh eksklusif cuma Hasya tidak pasti mengapa ianya diadakan di sebuah restoran, tidak dibuat di hotel seperti yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang kaya yang lain.

Hatinya meronta-ronta ingin tahu tetapi siapalah dia untuk mengambil tahu hal ahli perniagaan sekaya itu. Seketika kemudian, lampu yang tadinya cerah bertukar malap. Pentas utama menyala dengan pelbagai kerlipan lampu berwarna-warni. Serentak itu, kedengaran lagu Happy Birthday dimainkan secara instrumental dengan piano. Beberapa orang membawa kek setinggi tujuh tingkat ke pentas utama.

Pengerusi majlis memberi ucapan sebelum mempersilakan Thaqif ke pentas utama. Thaqif berdiri. Tiba-tiba dia menghulurkan tangannya kepada Hasya. Dia mahu Hasya menemaninya ke pentas utama. Gadis itu terpinga-pinga. Izz pun terkujat juga. Hasya memandang Izz, meminta bantuan suaminya agar dia tidak perlu menjadi gadis pengiring. Izz tidak memberi sebarang reaksi. Dia membiarkan Hasya membuat keputusan sendiri.

Dalam keadaan serba salah, Hasya bangun  juga. Namun, huluran tangan itu tidak disambut. Thaqif  seakan memahami pendirian Hasya segera menjatuhkan tangannya. Dia segera menapak ke pentas utama. Hasya mengikut dengan rasa bersalah. Izz pura-pura tidak kisah walhal hatinya membara marah. Zikri pula yang resah apabila Izz buat tak endah.

“Izz, kenapa kau biarkan Hasya ikut Thaqif naik ke pentas?” Rasa tidak puas hatinya terluah juga apabila melihat Izz tidak bertindak.

“Dia sendiri yang nak, bukan aku suruh.” Jawapan mudah Izz.

Di atas pentas, Thaqif sudah pun memotong kek hari lahirnya. Senyuman lebar disungging kepada setiap tetamu yang hadir. Lagu Happy Birthday masih dimainkan. Para tetamu di bawah bertepuk tangan bagi memeriahkan majlis.

“Dia naik pun sebab hormatkan Thaqif. Kenapa kau tak bantah?” Zikri masih bengang dengan Izz. Lelaki itu seolah-olah tidak ambil peduli tentang isterinya.

Berdesing telinga Izz mendengarnya. Dia berpaling ke arah Zikri. “Kau sendiri cakap dia beri muka kepada Thaqif. Habis tu, kau nak aku buat apa? Marah Hasya? Tumbuk Thaqif?”

Kek yang telah dipotong disuap ke dalam mulutnya. Sejuring kek disudu lalu disua kepada Hasya. Terpempan seketika gadis itu, sudahlah naik ke pentas tidak dijangka, disua kek pun tidak diduga. Hasya mencari wajah Izz di bawah. Izz melarikan matanya apabila pandangan mereka bersatu. Hasya semakin gundah. Thaqif menunggu detik-detik indah.

“Kau tengok tu, makan kek bersuap pulak. Betul... kau sikit pun tak kisah?” Zikri semakin berang. Tergamak Izz membiarkan isterinya dibuli orang.

Zikri sudah bangun dari kerusinya. Dia tidak peduli, kalau Izz tidak mahu mempertahankan Hasya, dia bersedia untuk mengambil alih tugas tersebut. Baru setapak dia melangkah, tangannya ditarik Izz.

“Zik, kau tak perlu menyibuk. Duduk!” Izz menyinga. Dia bukan lelaki lemah untuk membiarkan isterinya dibela oleh orang lain. Izz tergesa-gesa ke pentas utama. Beberapa orang pelayan yang sedang membawa kek ke meja tetamu dirempuh kasar. Habis kek-kek tersebut terbarai ke lantai. Tanpa ucapan maaf, Izz memanjangkan langkahnya.

Zikri gelisah. Dia tidak boleh membiarkan Izz terus merosakkan majlis hari lahir Thaqif. Sudahlah kejadian kek yang jatuh itu membuatkan banyak mata tidak senang dengan perlakuan Izz. Lebih buruk lagi kalau barannya membahang, pasti lebam biji mata Thaqif dek tumbukan padu sahabatnya itu.

“Semua sekali, ikut Encik Izzdihar!” Arah Zikri tiba-tiba. Semua pekerjanya yang berada semeja dengannya tercengang. Mereka berpandangan sesama sendiri.

Zikri sudah mula melangkah. Dia menoleh sekilas. Pekerjanya masih belum berganjak.

“Cepatttt!!!” Zikri menaikkan nada suaranya.

Para pekerjanya bingkas bangun lalu segera mengekori Zikri.

Izz sungguh geram. Dia berhajat mau menarik sahaja tangan Hasya untuk diajak pulang. Dia tidak peduli sama ada Thaqif marah atau tidak, isterinya tidak perlu terus berada di situ. Sebaik dia memegang tangan Hasya, semua pekerjanya termasuk Zikri sudah berada di sekelilingnya. 

Tiba-tiba...

♫♫ Allah selamatkan kamu... ♫♫
♫♫ Allah selamatkan kamu... ♫♫

Dengan kuat Zikri menyanyikan lagu itu buat Thaqif sambil bertepuk tangan. Oleh kerana alunan piano masih bergema, Zikri telah menukar irama asal gubahan Tan Sri Dr P Ramlee kepada melodi piano berkenaan.

Serentak dengan itu, semua pekerjanya turut sama mengikut Zikri menyanyi. Zikri yang sedar suasana masih janggal, telah mengajak tetamu di bawah turut sama menyanyi bersama-sama dengan mereka. Majlis yang pada mulanya sedikit kecoh telah berubah menjadi meriah dengan kecerdikan Zikri menukar suasana.

♫♫ Allah selamatkan kamu... ♫♫
♫♫ Allah selamatkan kamu... ♫♫
♫♫ Allah selamatkan Ahmad Thaqif... ♫♫
♫♫ Allah selamatkan kamu... ♫♫

Thaqif yang pada mulanya terpinga-pinga dengan ‘persembahan koir’ yang tidak dijangka itu tersenyum lebar. Dia semakin gembira apabila para tetamunya turut bangun bertepuk tangan dan sama-sama mengambil bahagian dalam acara nyanyian hari lahirnya.

Dalam kemeriahan yang dicipta oleh Zikri, Izz mengambil peluang untuk menbawa isterinya keluar dari situ. Tangan Hasya ditarik laju. Selaju itu juga mereka menuruni tangga pentas sebelum menyusup di celah-celah tetamu yang masih lagi bersukaria.

Dari atas pentas, kelibat mereka berdua dilihat Thaqif. Dia hanya mampu memerhati dengan ekor mata. Sudu berisi kek di tangannya dicampak ke atas meja. Dia mengetap bibir bawah. Hajatnya untuk membuat kejutan kepada Hasya tergencat. Segala persediaan yang telah diatur rapi menjadi sia-sia.

Izz terus menarik tangan Hasya melintasi para tetamu yang lain tanpa menoleh ke belakang lagi. Tiada sesiapa pun yang menyedari ‘peperangan’ yang baru berlaku antara mereka dan Thaqif kerana Izz pandai bermain dengan situasi.

Mereka tidak kembali semula ke tempat duduk sebaliknya menghala ke pintu utama dewan. Seorang pelayan lelaki yang sedang menyaksikan aksi pasangan itu menyedari mereka tertinggal sesuatu. Beg tangan Hasya dicapai lalu dia menapak laju di sebalik meja-meja yang dipenuhi tetamu.

“Puan...” Beg tangan berjenama Louis Vuitton dihulurkan.

Gadis itu berhenti melangkah. Beg tangannya diambil dari pelayan itu.“Thanks.” Hasya kupas senyum.

Izz cuma memandang kosong. Langkahnya diatur kembali. Hasya hampir tersembam apabila Izz menarik lengannya. Mujurlah pelayan itu sempat membantunya. Jika tidak, tentu Hasya jatuh terjelepuk.

“Kau buat apa ni?” Refleks Izz menepis tangan pelayan yang mendarat di bahu isterinya. “Kau jangan menggatal dengan isteri aku kalau tak nak penumbuk ni singgah di pipi kau! Mengerti?!” Penumbuk kirinya disua kepada pelayan itu.

Tidak mahu berbalah, pelayan itu hanya mengangguk sebagai tanda faham. Sudahnya, dia hanya memerhatikan Hasya ditarik pergi oleh Izz dengan kasar seumpama tuan yang baru menangkap hambanya yang melarikan diri. Akhirnya, dia mengeluh sambil menggelengkan kepala. Simpati dengan nasib wanita itu.




Eriyza : Terus pos selepas kerja edit-mengedit dijalankan. Sila maklumkan jika ada 'lubang' di sana sini ye. Selamat membaca.