3/07/2010

Yes, I Love You 04

Yes, I Love You – Bab 4

Deruman enjin motosikal berkuasa tinggi milik Izz dan Zikri membelah kepekatan malam. Setelah lebih satu jam menunggang, mereka berpatah balik ke destinasi asal. Mereka singgah sebentar di sebuah restoran untuk membasahkan tekak. Izz menghentikan BMW K1200S kelabu biru miliknya. Seketika kemudian, Ducati 1098 berwarna hitam merah Zikri pula mengambil tempat di sebelah motornya.

“So, kau ikut parents kau pergi kampung budak tu?” Zikri memulakan soal siasat.

Hanya anggukkan sebagai jawapan dari Izz. Malas hendak bercerita pasal ‘budak’ itu.

“Amacam? Cun?”

Izz jongket bahu.

“Alah, cerita laa Izz. Aku belanja malam ni. Kau boleh order apa saja.” Zikri tersengih. Masih belum berputus asa untuk mendengar khabar tentang ‘budak’ itu.

“Amboi, nak rasuah aku ke? Tak berkat rezeki nanti tau.” Keras suara Izz tetapi masih dalam nada gurauan.

“Sejak bila pulak kau pandai berahsia ni? Okey, lain kali aku malas dah nak ambil tahu hal kau.” Zikri buat-buat merajuk.

“Kiranya kau merajuk laa ni? Aku takkan pujuk lelaki. Never! Kalau gadis, memang rela kupujuk.” Izz ketawa.

“Dah nak kahwin pun masih terserlah sifat Romeo kau ye?” Zikri turut ketawa.

“Bunyinya macam aku jahat sangat. Aku tak buat benda tak elok tau.”

“Sensitif pula kawan aku malam ni. Budak tu okey ke?”

“Gadis melayu tipikal.”

Zikri garu kepala. Sah, Izz malas hendak bercerita. Biarkan sajalah. Layan mee rebus lagi bagus.

**********

Hasya menyalami tangan ibunya. Tangan itu dikucup lama. Fatimah mengusap-usap kepala anaknya yang masih tersarung telekung sembahyang. Hasya mengangkat muka. Wajah ibunya dipandang.

“Adik, mak tak kisah kalau adik tak suka dengan perkahwinan ini. Adik berhak buat keputusan.” Jari jemari Hasya digenggam.

“Mak, kenapa cepat sangat mak nak lepaskan adik? Adik masih nak bermanja dengan mak.” Mata Hasya berkaca.

“Adik, ada tiga perkara kita perlu percepatkan apabila sampai masanya iaitu pengurusan jenazah, perkahwinan anak gadis dan hidangan untuk tetamu. Lagi pun adik tetap anak mak yang manja sampai bila-bila. Mak dah ajar adik cara nak membuat keputusankan?” Lembut suara Fatimah meyakinkan anaknya.

“Ya. Mak, adik tak sampai hati nak biarkan mak duduk sorang kat sini.”

“Adik jangan risaulah. Mak tahu jaga diri. Lagipun tak lama lagi Alang akan tamat praktikal. Bolehlah dia temankan mak pulak.”

“Boleh ke Alang jaga mak? Dia bukan reti masak pun. Baju dia pun tau basuh je. Lepas tu adik juga yang kena jemur.” Hasya mengomel.

“Orang lelaki ni jarang tunjuk sikap prihatin dia kalau ada orang lain yang boleh diharap. Tapi kalau dia sorang je yang ada, masa tu mungkin dia lebih mengambil berat berbanding perempuan.”

“Alang tu pelik sikit laa mak. Adik rasa dia memang tak tahu nak layan orang perempuan dalam kategori ibu atau adik ni. Kalau kategori lain tu, adik tak tau laa.” Hasya masih belum mahu kalah.

Fatimah tersenyum. “Agaknya perangai tu pun ada pada adik.” Usik Fatimah.

“Mak…. Adik lagi bagus dari Alang tau.”

“Ye ke? Kalau macam tu, adik kenalah buktikan.”

Hasya mendekatkan diri dengan ibunya. Bahu Fatimah dipeluk mesra. Kepalanya dirapatkan ke muka ibunya. Dia masih mahu bernaung di bawah kasih ibunya. Dia masih mahu merasai keenakan masakan ibunya. Dia masih mahu menemani ibunya saban hari. Dia masih terlalu muda untuk bergelar isteri apatah lagi pemuda itu langsung tidak dikenali hati budinya.

Fatimah menepuk-nepuk lembut pipi Hasya yang bersentuhan dengan pipinya. Dia sendiri tidak menyangka anaknya itu menjadi perhatian Datin Faridah. Wanita berstatus tinggi tetapi bersifat merendah diri. Wanita yang sanggup datang ke ceruk kampung semata-mata untuk mendapatkan ilmu walhal di bandar terdapat banyak ustazah yang berkelayakan. Wanita yang tidak kekok bersimpuh di teratak usang ini.

Hasya merenggangkan pelukan apabila menyedari ibunya ingin menanggalkan telekung. Memberi sedikit ruang agar ibunya dapat melipat telekung tersebut. Hasya bangun. Dia berdiri semula di atas sejadah. Seketika kemudian, kelihatan Hasya mengangkat takbiratul ihram. Fatimah tersenyum. Dia maklum benar dengan rutin baru Hasya sejak akhir-akhir ini. Dia berjalan keluar dari bilik solat dengan perlahan. Dia tidak mahu mengganggu Hasya yang sedang beribadat.

**********

“Alhamdulillah, syukur.” Datin Faridah menadah tangan ke langit sebelum disapu ke muka. Keriangan jelas terbayang di wajah Datin Faridah sebaik talian telefon bimbitnya dimatikan.

“Kenapa ni Idah? Apa yang berlaku sampai awak tersenyum lebar macam tu?” Datuk Izzuddin yang baru masuk ke bilik pelik dengan kelakuan isterinya.

“Hajat kita bakal terlaksana, bang,” Senyuman masih tidak lekang di bibirnya.

“Hajat? Hajat apa?” Datuk Izzuddin menggaru dagu. Masih keliru dengan percakapan isterinya.

“Tadi, Fatimah call saya. Katanya Hasya bersetuju dengan pinangan kita.”

“Patutlah awak gembira sangat. Baguslah kalau macam tu. Elok kita segerakan saja pernikahan mereka berdua tu.”

“Saya pun fikir macam tuh jugak. Kita sekalikan saja pertunangan dengan pernikahan mereka. Biar jadi wedding of the year.” Datin Faridah mula memasang angan.

“Awak ingat anak kita tu artis ke? Mahu ke Hasya diraikan macam tu?”

“Kahwin ni sekali saja seumur hidup. Biarlah meriah, bang.”

“Meriah tapi ringkas. Lagi bagus, tak banyak keluar fulus.” Datuk Izzuddin mengusik isterinya. Sengaja hendak menjatuhkan tembok anganan yang sedang dibina isterinya.

“Iskkk! Abang ni kedekut betul laa. Izz tuh kan anak bongsu kita. Biarlah majlis kahwinnya jadi ingatan dalam kepala semua orang.” Datin Faridah menjeling.

“Bukan kedekut tapi berjimat. Manalah tahu kalau awak pun nak kita berdua ni bersanding sekali lagi dalam majlis kahwin Izz. Tak tahun ini, tahun depan kita dapat anak lagi.” Datuk Izzuddin ketawa besar.

“Abanggggg….” Datin Faridah menjerit geram. Satu cubitan dihadiahkan buat suaminya di lengan.

“Aduhhh! Sakitlah.” Muka Datuk Izzuddin cemberut menahan pedih. Tangan kanannya digosok-gosok pada lengan kirinya yang sedikit merah.

“Nasib badan, dapat isteri garang.”

“Tulah, sapa suruh abang gatal sangat?” Kali ini giliran Datin Faridah pula ketawa.

Yes, I Love You 03

Yes, I Love You – Bab 3

Hasya gugup. Terasa berat kakinya hendak melangkah. Dulang berisi teh panas dan sepiring karipap ayam kaku di tangannya. Dia berdiri di hadapan dinding pemisah antara ruang tamu dengan dapur. Fatimah tersenyum memerhatikan gelagat anak perempuan tunggalnya itu.

“Adik, apa lagi tercegat kat situ? Bawalah minuman tu ke dalam”.

“Aaa…aaa.. adik segan, mak.” Hasya tunduk memandang dulang di tangannya.

Fatimah menghampiri anaknya. Kedua-dua bahu Hasya disentuh lembut. “Ramai wanita melalui detik ini, adik. Sekarang giliran adik. Jadi, adik kena hadapi juga. Kalau bukan sekarang, tentu akan datang. Jadi, tak ada bezanyakan?”

Hasya mengangkat muka. Wajah ibunya dipandang. Betapa si ibu sering memberikan perangsang ketika dia dihimpit kesukaran. Membuatkan semangatnya kembali hangat. Hasya tersenyum.

“Jomlah kita ke depan. Tak baik buat tetamu menunggu.”

Hasya mengangguk. Nafas ditarik dan dihembus kuat. Langkah ibunya dituruti. Perlahan-lahan dulang diletakkan di atas meja. Hasya menyalami tangan Datin Faridah. Dia tunduk mencium tangan wanita itu. Senyuman ikhlas dilemparkan kepada Datuk Izzuddin dan Izz sebelum dia mengambil tempat di sebelah ibunya.

“Inilah anak bongsu saya. Namanya Hasya.” Fatimah memperkenalkan anak gadisnya.

“Kebetulan Izzdihar pun bongsu jugak. Kami panggil Izz saja.” Datin Faridah menepuk bahu Izz. Dia yang ralit memerhatikan Hasya sedikit tersentak. Kemudian, dia tersenyum.

“Jemputlah makan buat alas perut dulu. Nanti makan tengahari kat sini ya.”

“Eh takpelah, Puan Fatimah. Kami datang sekejap je ni. Buat susah-susah saja.” Tokok Datuk Izzuddin.

“Tak susah pun Datuk. Dah memang memasak tu kerja orang perempuan.” Fatimah tersenyum.

**********

Izz kekenyangan. Berselera sungguh dia makan hidangan tengahari itu. Walaupun cuma disajikan lauk kampung, namun dia tidak mampu menolak bila disuakan nasi tambah. Menu ikan kembung panggang, sayur keladi, kangkung goreng, pucuk ubi dan sambal belacan benar-benar menambat selera semua orang.

Usai menunaikan solat Zohor berjemaah, Izz duduk di pangkin kayu di bawah pohon ciku yang rendang. Buah ciku yang masak ranum membuatkan dia terliur. Hendak meminta daripada tuan rumah, terasa malu pula.

Hasya tercegat di belakang Izz. Entah macam mana dia hendak menegur pemuda itu. Dia berdehem perlahan. Tiada respon. Sekali lagi dia berdehem, kali ini agak kuat. Izz berpaling. Hasya segera tunduk.

Lima belas saat berlalu. Kedua-duanya masih membisu. Kedua-duanya masih membatu.

“Hasya, marilah duduk kat sini.” Izz menepuk-nepuk ruang kosong di sebelahnya. Eh, apa aku buat ni? Takkanlah nak ajak anak dara orang duduk sebelah aku pula? Tapi dia bakal isteri aku, tak salah kot?

Hasya kaget. Selamba saja lelaki ini menyuruh dia duduk disisinya. Mana boleh. Selagi belum kahwin, tak boleh buat sesuka hati. “Mak awak cakap dorang tak jadi balik petang ni, dorang…”

“Eh, mama papa nak tidur kat sini ke?” Pantas Izz memotong ayat Hasya. Ada riak terkejut di wajahnya. Takkanlah mama dengan papa suka sangat dengan keluarga ni sampai tak nak balik.

“Bukan. Dorang nak balik malam nanti. Katanya ada hal nak dibincangkan.” Hasya tersenyum.

Izz merenung wajahnya. Rasa malu menyerbu dirinya. Tidak ingin bertentang mata dengan Izz. Hasya berpaling. Dia ingin segera pergi dari situ. Setapak dia melangkah, kedengaran suara Izz.

“Sya, boleh kita berbual tak?”

“Sekejap ye. Sya nak pergi ambil sesuatu. Nanti Sya datang balik.”

Lima minit berlalu, Hasya kembali sambil menatang sepinggan buah ciku yang telah dipotong.

Izz menelan air liur. Macam mana si Hasya ni boleh tahu dia terliur nak makan buah ciku ni? Ada juga rezekinya. Ingatkan dah kempunan tadi. Izz pantas mengambil buah ciku lalu ditelan rakus tetapi dia sedikit tersentak kerana buah itu sejuk. Rupa-rupanya Hasya meletakkannya ke dalam peti ais sebelum dihidang.

Hasya senyum melihat aksi gelojoh Izz. Senyumannya terhenti tatkala mata Izz merenung wajahnya. Pandangannya ditundukkan ke bawah.

“Tak makan sekali?” Izz mempelawa Hasya makan setelah hampir separuh buah ciku itu dihabiskannya.

“Takpe, awak makanlah. Sya dah selalu sangat makan.”

“Mak kau kata kau anak bongsu tapi aku tak nampak pun adik beradik kau yang lain. Mana dorang semua?” Izz cuba mengorek rahsia.

“Along ada kat Penang. Angah pulak kat Sarawak. Alang tengah praktikal kat sekitar Selangor nih je.”

“Owhhh! Jadi kau tinggal dengan mak kau jelah?” Kedua-dua kaki diangkat naik ke atas pangkin. Dia memeluk lutut.

“Lebih kurang macam tulah. Kalau hari minggu, Alang selalu balik sini.”

“Dorang kerja apa?”

“Along pensyarah kat USM. Angah kerja tukang rumah je.” Hasya tersenyum kecil.

“Tukang rumah? Takpelah, janji halal.” Bakal abang ipar Izz tukang rumah? Sungguh Izz tak dapat membayangkan kalaulah dia yang berada di tempat itu. Membancuh simen, menggergaji kayu, plaster dinding dan macam-macam lagi. Aduh, sungguh dia tak sanggup. “Rumah kau ni dia pernah renovate ke? Maksud aku ubahsuai?”

“Tak. Dia banyak bina bangunan pencakar langit.” Kali ini senyuman Hasya lebih lebar.

“Wah, hebat jugak Angah kau!” Izz dapat merasakan betapa kecutnya perut kalau terpaksa membuat kerja pembinaan di bangunan berpuluh tingkat. Dahlah panas, berpeluh pulak.

“Dia tukang rumah biasa je atau dalam bahasa lebih sedap didengar disebut arkitek.” Hasya sudah ketawa.

“Owhhh! Arkitek?” Izz menggangguk. Hah? Arkitek? Anggukannya bertukar dengan jegilan mata. Baru tersedar dirinya dipermainkan. Hasya terus ketawa. Mungkin gembira dapat menyakat Izz.

Suasana senyap seketika. Masing-masing memandang halaman rumah Hasya.

“Aku tanya sesuatu boleh tak?” Izz tersengih nakal.

Hasya kembali menghadap Izz tetapi pandangannya dilarikan ke arah lain.

“Boleh, silakan.” Hasya duduk di atas buaian kayu yang digantung pada sebuah pokok besar yang rendang.

“Kau nak kahwin dengan aku tak?”

Mendengarkan soalan itu, Hasya bingkas bangun lalu menapak ke dalam rumah. Wajahnya sudah berona merah. Malulah tu. Izz ketawa sendirian. Buah ciku di pinggan dihabiskan. Padan muka, tadi Hasya permainkannya. Sekarang giliran dia pula untuk membalas dendam.

Ketawa Izz masih kedengaran dan Hasya terus berjalan ke rumah tanpa berpaling ke belakang. Dia menggigit bibir bawah. Aduhhh!

3/06/2010

Yes, I Love You 02

Yes, I Love You – Bab 2

Izz mundar-mandir di dalam biliknya. Mindanya berserabut, hatinya kalut. Permintaan yang dilontarkan oleh wanita itu sebentar tadi ingin dilontar jauh dari kotak fikirnya. Akan tetapi, rasa ihsan yang bersarang di hati jauh lebih kuat mengatasi keengganannya untuk menunaikan permintaan yang cukup berat itu.

Pada orang lain mungkin peluang sebegitu sangat dinantikan tetapi tidak bagi dirinya. Peluang itu tidak diingini buat masa sekarang malah mungkin juga untuk lima tahun mendatang. Baginya peluang itu akan menjadi beban jika tidak dibuat pada masa yang sesuai.

Penat berulang alik di dalam bilik, dia merebahkan diri ke atas katil. Niat di hati ingin melelapkan mata sekaligus melupakan masalah itu. Mata dipejam rapat berharap agar lena segera bertandang malangnya mindanya masih memproses bicaranya sebentar tadi dengan wanita itu. Mata dibuka kembali.

“Izz, macam mana dengan budak tu? Sesuai tak?”

“Budak mana mama?” Mama cakap pasal siapa ni? Budak mana? Sesuai? Ada budak baru ke dalam rumah ni? Tapi bukan dia yang bawa balik. Izz mengerutkan dahinya. Cuba mengingati ‘budak’ yang dikatakan oleh mamanya itu.


“Alah, budak dalam gambar tu. Izz setuju kalau mama kahwinkan Izz dengan dia?” Datin Faridah tersenyum. Penuh pengharapan agar anak bujangnya itu bersetuju dengan permintaannya. Dia yakin gadis itu sesuai untuk anaknya.


Izz diam. Tidak memberi respon untuk cadangan ibunya. Sudah dua kali dia mengelak dari berbicara soal ini. Kali ini ibunya mengulangi hal yang sama. Entah apa lagi alasannya untuk mengelak. Jika dibantah ibunya akan berkecil hati tetapi jika dipersetujui, dia pula yang sakit hati.

“Izz ada pilihan lain? Kenalkan pada mama.” Datin Faridah masih memancing reaksi anaknya.


Ini yang dia lemah. Dia memang ada ramai kenalan wanita tapi tiada seorang pun yang layak untuk dibuat calon isteri. Semua ‘teman tapi mesra’ itu hanya untuk tujuan berseronok ketika tengok wayang, main bowling atau pun sekadar peneman di kala menikmati hidangan di restoran mewah. “Bukan macam tu, mama. Izz tak ada calon pun. Cuma…”


“Jadi, apa lagi masalahnya? Terima sahajalah niat baik mama kamu tu Izz. Nak harapkan kamu sendiri yang cari, entah muka je cantik tapi perangai buruk.” Datuk Izzuddin bersuara sedikit keras. Sudah bosan dengan gelagat anak bujangnya itu. Bukan dia tidak tahu perangai Izz yang suka keluar dengan perempuan cantik. Entah perangai siapa yang ditirunya.


Izz diam. Dia menolak pinggan yang berisi nasi putih. Sedikit pun tidak diusik. Lauk-pauk yang ada tidak diceduk langsung. Air oren dihirup rakus. Seleranya sudah hilang sejak dileteri ibu bapanya. Punggung segera diangkat untuk berlalu dari situ.


Mengingatkan peristiwa itu, dia mengeluh lagi.

**********

Nissan Murano Datuk Izzuddin meluncur gagah di jalan raya. Empat penghuni di dalamnya menuju ke destinasi yang sama. Tiga orang daripadanya memaparkan muka gembira manakala seorang anak muda membuat muka kelat. Lagaknya seperti peniaga yang rugi berniaga. Sejak masuk ke perut kereta, dia hanya membisu. Sedikit pun tidak berkutik.

Sesekali dia memandang Pak Musa yang sedang memandu. Lelaki tua itu kelihatan tenang mengendalikan kereta milik papanya. Seingatnya sejak dia kecil lagi, Pak Musa sudah menjadi pemandu papanya. Sungguh setia lelaki itu berkhidmat untuk papanya.

“Izz, mama nak beli buah untuk mereka. Izz nak apa-apa?”

Izz menggeleng. Dia hanya membuang pandang keluar. Melihat mama dan papanya memilih buah-buahan segar di tepi jalan. Tekaknya terasa haus tetapi dia malas hendak turun mencari air.

“Izz nak air mineral?”

Izz mengangguk. Sebotol air mineral dihulurkan oleh Datuk Izzuddin. Dia tahu anaknya haus. Sengaja dia membeli beberapa botol air mineral untuk membasahkan tekak sebelum sampai ke destinasi sebenar.

“Thanks pa.” Akhirnya keluar juga suara ‘mahal’ Izz. Sejak perjalanan bermula, pelbagai cerita dibualkan dek mama dan papanya tetapi dia langsung tidak mengambil bahagian. Malas hendak turut serta apabila moodnya buruk.

“Tahu pun bercakap. Papa ingat kamu dah bisu.” Bagaikan mengerti rasa hati anaknya, Datuk Izzuddin cuma membiarkan Izz melayan perasaannya sendiri sedari tadi. Dia tahu Izz tidak rela. Dia tahu Izz terpaksa. Namun anak itu tetap menurut tanpa sebarang bicara.

Izz tersengih. Sempat pula papanya buat lawak. Tak jadi dia nak melancarkan mogok bisu sampai semua rancangan mengarut ni selesai.

Izz memerhati sekeliling sewaktu mereka mula masuk ke kawasan kampung. Walaupun di kiri kanan jalan terdapat banyak belukar kecil, namun jalan ke kampung itu bertar. Sebuah jambatan kecil perlu dilalui sebelum mereka tiba di kampung Titian Kayu.

Setelah lebih satu jam lima belas minit perjalanan, tibalah mereka ke sebuah rumah kampung yang sederhana besar. Kelihatan seorang wanita berusia lebih kurang setengah abad menyambut mereka dengan senyuman di muka pintu.

“Assalamualaikum.” Sapa Datuk Izzuddin.

“Waalaikumussalam. Jemputlah masuk Datuk, Datin dan yang lain-lain.” Penuh hormat wanita itu meraikan tetamu.

"Ini ada buah tangan sikit." Datin Faridah menghulurkan buah-buahan yang dibelinya.

"Terima kasih, Datin. Buat susah-susah je." Buah-buahan bertukar tangan.

“Alah, buah-buahan je. Taklah susah nak bawak.” Datin Faridah ketawa kecil.

“Silakanlah duduk.”

Datuk Izzuddin, Datin Faridah dan Izz mengambil tempat duduk masing-masing di sofa buatan rotan. Pak Musa pula memarkir kereta di bawah pohon yang rendang. Izz memerhati sekeliling rumah papan itu. Hiasannya cukup ringkas tetapi disusun kemas.

Di ruang tamu itu hanya terdapat set sofa rotan yang sudah agak lama tetapi masih elok. Kabinet yang menempatkan televisyen terletak di hadapan Izz. Banyak trofi sukan dan akademik terdapat di atas kabinet itu. Di sudut sebelah kanan pula ada dua buah almari yang dimuatkan dengan pelbagai jenis buku ilmiah.

Dua bidang tikar Sarawak dihampar di lantai. Selesa kaki Izz memijaknya. Langsir di rumah itu berwarna putih dan biru lembut. Beberapa pasu bunga besar menghiasi sudut-sudut yang ada. Jendela yang terbuka luas menjemput angin masuk tanpa memerlukan khidmat kipas syiling.

Kedua ibu bapanya masih riuh bersembang dengan Puan Fatimah. Sekali sekala kedengaran gelak tawa mereka. Izz cuma tersenyum. Senyum plastik untuk menghormati tuan rumah. Matanya melilau mencari seraut wajah milik seorang gadis yang bakal menjadi suri hidupnya. Namun usahkan hendak melihat rupa parasnya, bayangnya pun belum kelihatan.

Takkanlah si gadis tidak tahu tentang kehadiran mereka ke sini? Mungkin juga si gadis tahu tetapi sengaja mahu menyembunyikan diri? Mungkin juga si gadis sedang mengintai di sebalik tirai kamar? Mungkin juga si gadis tidak mahu berkahwin dengannya lalu lari dari rumah?

Bermacam andaian bermain di kotak fikir Izz. Andaian itu jugalah yang membuatkan dia tidak senang duduk.

“Izz, kenapa ni?” Datin Faridah kehairanan dengan sikap Izz yang kelihatan resah.

“Takde apa-apa mama. Lapar je.” Izz tersengih nakal.

Yes, I Love You 01

Yes, I Love You – Bab 1

Izz merenung kosong sekeping gambar seorang gadis yang diberi oleh ibunya. Langsung tidak punya perasaan apabila melihatnya. Gadis itu kelihatan biasa padanya, tiada keistimewaan. Malah, dia sempat tersengih sewaktu mengamati pakaian gadis itu.

Gadis kampung macam ini yang mama mahu jadikan menantu? Mahu hidup bersama aku? Mahu jaga makan minum aku? Mahu menemani aku ke majlis tertentu? Mengarut betul. Izz mengutuk di dalam hati.

“Izz, kamu ni bukan muda lagi. Dah dewasa pun. Dah sepatutnya kamu hidup berteman. Dah sesuai sangat untuk kahwin.” Datin Faridah menyuarakan hasrat hatinya.

“Alah mama, rilekslah. Izz kan dah ada mama dengan papa sebagai teman. Tak perlu kahwin cepat. Izz nak enjoy dulu.”

“Lama mana lagi kamu nak enjoy? Tak puas lagi ke? Papa rasa kamu dah layak sangat jadi bapa budak.” Datuk Izzuddin menyokong isterinya.

“Izz mana ada calon. Lagipun…” belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Datin Faridah menyampuk.

“Mama ada calonnya. Budaknya cantik dan baik. Nah, tengoklah.” Sekeping gambar bertukar tangan.

Ketukan di pintu biliknya mematikan lamunan Izz.

**********

Hasya duduk di sisi ibunya. Dia menunggu butir bicara wanita tua itu. Ibunya menarik nafas dalam sebelum dihembus. Senyuman dihadiahkan buat anak gadis tunggalnya.

“Adik, tadi Datin Faridah datang.”

“Dah berapa juzuk dia belajar mak?” Hasya pelik. Datin Faridah memang selalu ke rumahnya kerana dia belajar mengaji dengan ibunya. Kenapa pula hari ini ibunya memberitahu tentang kehadiran wanita itu?

“Lagi lima juzuk tamatlah. Tapi tadi dia datang ada hajat lain, bukan setakat mengaji saja.”

“Hajat apa tu?”

“Dia tanya tentang adik.”

“Dia kan tahu adik pergi kelas menjahit. Dia nak apa mak?”

“Dia minta gambar adik.”

“Nak buat apa dengan gambar adik? Nak buat kenangan ke?” Hasya kebingungan.

Fatimah tersenyum. Terasa lucu dengan soalan anaknya. Wajah mulus itu dipandang. Tangannya mengusap lembut kedua-dua pipi Hasya. “Dia nak pinang adik untuk anaknya”.

“Hah! Betul ke ni mak?” Hasya terkujat. Mulutnya melopong. Kedua-dua tangannya memegang tangan ibunya. Dia tersalah dengarkah atau ibunya tersalah cakap? Mana satu yang betul atau salah semua?

Fatimah ketawa kecil. Reaksi Hasya sudah diduga. “Betul dik.”

Hasya terkebil-kebil memandang ibunya. Puan Fatimah ketawa lagi. Wajah anaknya dipandang lama. Sudah anak dara rupanya budak ini tetapi kadangkala sifat keanak-anakannya masih belum habis.

“Adik setuju?”

Hasya mengetap bibir.

**********

“What? Romeo terkenal KL kena kahwin paksa? Matchmaker lagi tu.” Zikri ketawa terbahak-bahak. Bagai digeletek hatinya apabila Izz memberitahu perihal gambar calon isteri pemberian ibunya.

“Oiii, suka betul kau gelakkan aku ya? Nanti mummy dengan daddy kau pun wat camtu, baru tau nasib kau.” Izz mencerlung.

“No way, kawan. Aku takkan kahwin dengan pilihan ibu bapa punya. Cari sendiri laa. Baru ada class.” Zikri menayangkan ibu jarinya sambil tersenyum. Nasib kau takkan sama dengan nasib aku Izz.

“Dahlah. Aku nak balik. Malas aku nak layan kau.” Izz mengangkat punggung.

“Balik? Kau ponteng ke?” Zikri gelihati dengan perangai Izz. Baru kena usik sikit, dah melenting.

“Balik opislah.” Apa dia fikir aku suka sangat ponteng kerja? Ini Izz, pekerja paling berdedikasi walaupun anak bos merangkap CEO syarikat.

“Izz, selamat bertunang.” Zikri menyakat lagi. Senyuman manis diberikan.

“Zikriiiiiiiiiiiiiiiiii.....”, jerit Izz dengan geram. Tak guna punya kawan. Bukan nak tolong selesaikan masalah, makin menokok tambah masalah adalah.

“Opsss! Sorry!”