6/20/2013

Yes I Love You 39



Yes, I Love You – Bab 39

Dia menguak pintu tingkap bilik seluas-luasnya. Satu persatu tingkap dibuka agar angin pagi yang dingin dapat menerobos masuk. Dia berpeluk tubuh  sambil membiarkan tubuhnya terus digigit angin yang berhembus lembut. Rambutnya beralun-alun apabila ditiup angin. 

Izz masih lena di tempat pembaringan. Sudah menjadi kelaziman bagi lelaki itu untuk tidur semula selepas solat Subuh, lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Namun, tidak bagi Hasya. Dia bangun sebelum muazzin melaungkan Azan. Sebaik melaksanakan perintah Tuhan, dia lebih gemar membuat kerja rumah dari menyambung tidur. Lagi pun, pintu rezeki terbuka luas pada awal pagi. Justeru, tiada ruginya jika dia mengorbankan masa tidurnya untuk sesuatu yang lebih berfaedah.

Baju T biru kundang berlengan panjang sedondon dengan seluar trek disarung ke tubuh. Rambut ikal mayangnya disanggul kemas. Tudung berwarna hitam dipakai. Hasya menuruni anak tangga untuk ke bawah. Stokin berwarna kelabu disarungkan ke kakinya. Kaki dimasukkan ke dalam kasut sukan yang agak lusuh tetapi masih boleh digunakan. Hasya membuka pintu utama banglo mewah Datuk Izzuddin. 

“Hoi, nak ke mana tu? Matahari pun belum bangun, kau dah nak merayap?” Sergahan kuat mengejutkan Hasya. 

“Astaghfirullahalazim.” Dadanya diurut-urut. Raut wajahnya jelas kelihatan terkejut. Dia berpaling ke arah suaminya. “Sya cuma nak bersenam kat laman depan. Boleh?”

“Kau belajar dari siapa ni? Buat dulu... baru mintak izin suami?” Izz bercekak pinggang. Dia bergegas ‘mandi kerbau’ sebaik Hasya keluar dari bilik tidur mereka.

“Maafkan Sya.” Hasya cuma tunduk. Tunduk memandang kasutnya sendiri. 

Sebelum ini, memang dia selalu bersenam di halaman hadapan banglo itu tetapi Izz tidak pernah pula memarahinya. Lagi pun, Izz pernah melihatnya bersenam di situ tetapi tiada pula berkata apa-apa. Kenapa hari ini semuanya berubah? Kenapa hari ini perlu marah? 

Izz sengih tepi tetapi cepat-cepat dia membuat muka serius kembali. “Aku melarang kau bersenam kat sini.”

Hasya mengangkat muka. Tersentap dengan amaran Izz. Entah apalah salahnya sehingga Izz membuat larangan itu. Peliknya, lelaki itu sendiri sudah lengkap berpakaian sukan. Mungkin dia hendak berjogging. Izz berjalan melepasi Hasya. Bahu isterinya sengaja dirempuh. Badan Hasya tergerak sedikit kerana rempuhan itu. 

Izz menuju ke arah motosikalnya. Sudah seminggu ‘isteri kedua’nya itu tidak ditunggang ekoran terlalu banyak kerja perlu dibereskan. Hari ini, dia mahu meluangkan masa cutinya yang ada dengan ‘isteri-isterinya’. 

Hasya hanya memandang Izz yang sudah memasukkan kunci motosikalnya. Dia ingin sekali mengekori suaminya keluar tetapi dia tidak berani bersuara. Sudahnya, Hasya berjalan masuk perlahan-lahan ke dalam rumah dengan wajah menunduk.

Izz yang menyaksikan situasi itu tersengih nipis. Suka benar dia kerana dapat mengusik Hasya. “Ikut aku. Hari ni kita bersenam kat taman rekreasi.” Izz sudah menghidupkan enjin motosikalnya. Menderum-derum bunyi enjinnya apabila tombol minyak dipulas-pulas.

Mendengarkan arahan itu, Hasya cepat-cepat berpaling. “Sungguh? Serius?” Wajah monyok Hasya sudah berubah ceria. Dia seakan tidak percaya hari ini dia berpeluang untuk bersenam di taman rekreasi. Sewaktu dia belum berkahwin, dia selalu berjogging dengan Alang di taman permainan kanak-kanak berhampiran dengan rumahnya. Kini, saat-saat itu akan berulang lagi walaupun pasangan dan tempatnya berlainan.

“Cepatlah! Kau lambat, aku tinggal!” Izz mengugut. Dia sudah naik ke atas motosikalnya. 

“Naik motor? Kenapa tak jogging je ke taman rekreasi tu?” Bukankah kebiasaannya Izz berjogging sahaja ke taman rekreasi tersebut. 

Kenapa pula bila diajak Hasya bersama, mereka perlu naik motosikal? Hasya bukannya tak larat hendak berlari ke tempat tersebut. 

“Suka hati akulah. Kau nak pergi ke tidak ni?” Izz mula bosan dengan soalan demi soalan dari isterinya.

“Nakkk...!” Hasya berlari ke arahnya. Gembira benar dia. Gembiranya seperti hendak melancong ke luar negara. 

“Pergi ambil helmet.” Sewaktu dia hendak memanjat naik motor, Izz memberi arahan. 

“Nak buat apa? Taman rekreasi tu dekat je. Bukannya ada polis pun.” 

“Ambil jelah. Kau ni... banyak sungguh objection!” Izz sudah marah.

Hasya sempat tersengih sebelum berlari mengambil helmet untuk mereka. Sebaik Hasya duduk di kerusi penumpang, Izz terus memecut motosikalnya. Gadis itu terpaksa memeluk pinggang Izz erat. Izz tersenyum meleret di sebalik helmet yang menutup keseluruhan mukanya. Seronok dipeluk sedemikian rupa. Lagi pun, halal. 

Ketika mereka sampai di taman rekreasi tersebut, pengunjung belum ramai. Mungkin kerana hari masih terlalu pagi, suasana pun masih gelap. Hasya menghirup udara pagi yang nyaman sepuasnya. Dia mendepakan tangan, udara disedut dalam-dalam dengan kaki sedikit terjingkit. Kemudian, tangan diluruskan ke bawah, nafas dihembus lalu kaki diratakan ke tanah. Hampir lapan kali dia melakukan perkara yang sama.

Izz yang memandang perbuatan isterinya turut serta di dalam acara itu. Kemudian, mereka memanaskan badan seketika sebelum melakukan aktiviti selanjutnya. 

“Aku biasa jogging mengelilingi taman. Memandangkan taman ni agak besar, mungkin kau tak larat nak menghabiskan satu pusingan. Kat sini ada banyak kerusi, kalau kau penat... duduk dulu. Kita jumpa kat sini nanti. Okey?” Izz memberi sedikit pesanan sebelum memulakan larian.

“Okey.” Hasya tersenyum nipis. Jom kita tengok siapa yang penat dulu. Dia atau Izz?  

“Lagi satu... aku tak tunggu orang. Kau lambat, aku tinggal. Faham?” Izz sudah pun memulakan lariannya.

Hasya mengangguk. Dia sengaja membiarkan Izz meninggalkannya kira-kira 50 meter sebelum dia turut mengorak langkah. Larian Hasya sederhana tetapi konsisten. 

Izz masih mendahului di hadapan. Lariannya sekejap laju, kemudian perlahan. Dia tidak memandang ke belakang tetapi hatinya meronta-ronta ingin tahu di mana isterinya beristirehat. Pada sangkaannya, tentu Hasya sudah penat lalu berehat di kerusi yang telah disediakan. Dia tidak sabar-sabar ingin menghabiskan pusingan joggingnya.

“Lagi 100 meter, tamat pusingan pertama. Apa kata kita jogging satu pusingan lagi?” Entah dari mana munculnya, Hasya sudah menyaingi larian Izz. 

Izz terkebil-kebil memandang Hasya. Selama ini dia hanya berjogging satu pusingan sahaja. Kemudian, dia akan beralih ke peralatan senaman lain atau pulang ke rumah. Dia sudah letih. Peluh pun sudah membasahi bajunya.

“Kau larat ke? Aku no hal.” Izz mempertahankan egonya. Peluh yang membasahi hidung diseka dengan belakang tangan kiri.

Senyuman menguntum di bibir Hasya. Dia masih bersemangat berjogging, tiada tanda-tanda penat terpamer di wajahnya. 

Baru sahaja 75 meter jogging di pusingan kedua, Izz sudah tidak mampu bertahan. Dia perlu berehat untuk melepaskan lelah. Dia mula mencari helah. 

“Aduhhh...!” Jeritnya tiba-tiba. Dia memegang perut dengan kedua-dua tangannya sambil menunduk. Mukanya berkerut menahan sakit.

Hasya cemas. Lariannya terhenti. Dia segera mendapatkan Izz. Bahu Izz dipegang. “Abang... kenapa ni? Kat mana sakit?” 

“Aku sakit perut.” Izz masih lagi memegang perutnya.

Hasya memapah Izz ke kerusi batu yang berhampiran. Izz didudukkan di situ. “Kita pergi klinik.” Usul Hasya.

Izz menggelengkan kepalanya laju. “Tak nak. Aku cuma perlu rehat sekejap.”

“Nanti kalau melarat, susah pulak. Jomlah... kita pergi klinik.” Pujuk Hasya lagi.

Izz merenungnya tajam. “Kau tak dengar ke? Aku cakap tak nak. Lepas rehat nanti, aku okeylah.” 

Hasya malas hendak memujuk lagi. Susah hendak berkomunikasi dengan orang yang berperangai macam Izz. Nasihat Hasya tidak mahu didengar langsung. 

Izz bersandar kelegaan di kerusi batu tersebut. Penatnya sudah hilang sedikit. Pengunjung sudah ramai memenuhi taman rekreasi itu. Kebanyakannya datang dengan tujuan untuk beriadah sama ada dengan teman atau keluarga.

Hasya masih setia menemaninya. Walaupun Izz menyuruhnya menyudahkan joggingnya tetapi dia berkeras untuk duduk di situ bersama Izz. Mungkin dia risau hendak meninggalkan lelaki itu seorang diri. Sudahlah sakit, degil pula. Akhirnya Hasya cuma membuat senaman ringan bersebelahan tempat duduk mereka. 

Izz memerhati penuh minat Hasya bergayut di palang. Satu demi satu palang-palang itu dipaut dengan tangannya sambil kaki berjuntai. Gayanya umpama tentera wanita yang sedang menjalani latihan. Belasan palang sepanjang tiga meter itu berjaya dilepasi. Izz sedikit kagum. Hasya mempunyai tubuh badan yang cergas dan stamina yang tinggi.

Hi guys! You all pun beriadah kat sini jugak?”

Izz mendongak. Wajah lelaki di hadapannya mengundang rasa walang di hati. Hasya melompat turun dari palang tempat dia berpaut. 

“Thaqif. You pun ada? Tahu pulak you tempat ni.” 

Hasya cuma membatu. Kehadiran Thaqif membuatkan dia kecut perut. 

“Zikri yang bawa I ke sini. Dia tengah cari tempat letak kereta. Apa kata kita jogging sama-sama?” Thaqif tersenyum. Dia sempat mengenyitkan matanya kepada Hasya. Mujurlah Izz tidak nampak.

“Lain kali sajalah. Kami pun dah nak balik ni. Sorry, ye.” Izz bangun dari kerusinya. Tangan Hasya ditarik lalu mereka berlalu meninggalkan Thaqif sendirian di situ. 

“Tapi... perut abang...” Hasya sedikit gusar apabila Izz yang sakit sebentar tadi terus bertenaga apabila ternampak Thaqif. Dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Dah baik! Jom balik!” Izz hampir terlupa dengan lakonannya. Namun, dia sudah tidak peduli dengan semua itu kerana dia perlu segera bawa isterinya lari dari situ.

Thaqif sekadar tersenyum. Dia tahu dia tidak boleh terburu-buru untuk ‘menjerat rusa’. Dia perlu menggunakan taktik yang betul. 

Zikri berpapasan dengan pasangan suami isteri itu ketika dia hendak masuk ke taman rekreasi. 

“Hi Izz.. Sya! Awal lagi ni, dah nak balik?” Tegur Zikri ramah.

Hasya tidak menjawab dengan perkataan, sebaliknya hanya dibalas dengan senyuman.

“Zik, dah takde tempat lain kau nak bawak si Thaqif tu jogging?” Tanpa menunggu jawapan Zikri, Izz terus memacu motorsikalnya meninggalkan taman rekreasi itu. 

Zikri terpinga-pinga. Dia menggaru-garu kepala. Tak pasal-pasal kena marah. Thaqif datang ke sini pun salah?

“Kenapa tu?” Soal Thaqif sebaik Zikri menghampirinya. 

“Entah.” Jawab Zikri sepatah. 

“Jomlah!” Zikri sudah bersedia hendak berlumba lari. 

“Tak ada mood nak jogging. Pekena roti tisu lagi bagus.” Thaqif bergerak ke tempat letak kereta.



Eriyza : Mood tengah berkobar-kobar nak menulis. Kali ini Encik Thaqif muncul lagi. Ada sesiapa suka Thaqif tak??

15 comments

norihan mohd yusof June 20, 2013 at 12:42 AM

haha...makin panas lh ati izz...cemburu tahap kronik...tergugat ko izz bile si isteri di intai jejaka terhangat....best sesngt my writer...hehe nk lg...tk puas...

Anonymous

Saya! Saya suke thakif :)

-nuyrah-

Kak Sue June 20, 2013 at 9:00 AM

Izz kalau nak ambil hati atau memulihkan keadaan cubalah jangan ego sangat...
mulakan dengan ubah panggilan bagi mesra alam sikit....
jangan sampai en Taqif ambil peluang yg terbuka luas .... masa tu jangan salah kan Sya ... salahkan diri sendiri yg x pandai menilai ...

Kak Sue June 20, 2013 at 9:03 AM

kalau boleh nak Taqif yg buka mata Izz tentang kelebihan Sya.... ok

baby mio June 20, 2013 at 5:03 PM

BEST NAK LAGI.

Riena June 23, 2013 at 5:10 PM

lagi lagi lagi dan nk lagi..hehehe..
rosak la mood si Izz 1 ari kan?heheh..

afida halida afis June 28, 2013 at 10:53 PM

wah excited na tau siapa hasya sbenarnya..bila la izz na hargai hasya..n pls jauh kan taqif tu..dont stop yek..pls sambungan lg..

Eriyza July 18, 2013 at 10:13 PM

@norihan mohd yusof:
Stay cool Izz.

Eriyza July 18, 2013 at 10:14 PM

@Anonymous:
Saya pun suka dia. :D

Eriyza July 18, 2013 at 10:14 PM

@Kak Sue:
Ubah panggilan eh?? :)

Eriyza July 18, 2013 at 10:15 PM

@baby mio:
Tungguuuu.....

Eriyza July 18, 2013 at 10:15 PM

@Riena:
Moody terus... :p

Eriyza July 18, 2013 at 10:15 PM

@afida halida afis:
Okey.

adeeba December 11, 2015 at 11:07 AM

sy suka watak thaqif..ada unsur kejutan ni sbb thaqif tak tau dia ngorat bini org..hahaha

adeeba December 11, 2015 at 11:08 AM

sy suka watak thaqif..ada unsur kejutan ni sbb thaqif tak tau dia ngorat bini org..hahaha

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.