6/18/2012

Yes I Love You 28

Yes, I Love You – Bab 28

Datuk Izzuddin meletakkan kaca matanya di atas meja kecil di tepi katil. Kitab Muhammad S.A.W Insan Teladan Sepanjang Zaman ditutup lalu diletakkan bersebelahan kaca matanya. Pangkal hidung diurut-urut. Datin Faridah masih duduk di sofa. Gayanya seperti sedang berfikir panjang. Datuk Izzuddin turun dari katil. Isterinya dihampiri.

“Idah..”

Sepi. Tiada jawapan dari isterinya.

“Idah...!” Dia memanggil sekali lagi. Kali ini agak kuat berbanding tadi.

“Ya…!” Perlahan suara isterinya menjawab.

Datin Faridah memandang muka suaminya sekilas sebelum pandangannya jatuh kembali pada sebuah buku. Datuk Izzuddin mengambil buku itu. Rupa-rupanya kad kemajuan Izzdiyad ketika berada di tahun enam. Kad kemajuan itu masih berkeadaan baik menunjukkan Datin Faridah menyimpannya di tempat yang elok.

“Idah, awak ni kenapa? Ada apa-apa yang berlaku dalam rumah ni yang abang tak tahu?”

Wajah muram isterinya membuatkan Datuk Izzuddin tertanya-tanya hal apakah yang sedang disembunyikan oleh isterinya. Jarang benar isterinya berkelakuan pelik seperti itu. Timbul gusar yang bukan sedikit di kalbunya.

Datin Faridah menggelengkan kepalanya. “Takde apa-apa, bang.”

“Habis tu, kenapa Idah termenung kat sini? Tak sihat?” Bahu isterinya dipegang dengan tangan kiri manakala tangan kanannya dilekapkan di dahi isterinya. Tak panas maknanya tak demam, fikirnya pula.

“Idah sihat...” Sekali lagi kepalanya digelengkan.

“Kalau macam tu, tentu hal berkaitan dengan Yad.”

Datin Faridah memandang wajah suaminya. Lelaki yang banyak berusaha untuk memastikan mereka sekeluarga hidup mewah. Lelaki yang mengisi masa mudanya dengan kerja keras. Lelaki yang berkongsi beban dan tanggungjawab bersamanya.

“Betul,kan?” Duga suaminya lagi.

“Abang...” Panggilnya perlahan.

“Ya. Cakaplah Idah. Abang sedia mendengar... sama seperti selalu.”

Datin Faridah menarik nafas lalu dihembus perlahan. “Abang masih marahkan Yad?”

“Hmmm...” Datuk Izzuddin memejamkan matanya seketika. “Kalau ikutkan hati... memang abang masih marah.”

“Abang tak kasihankan dorang ke?”

Datuk Izzuddin diam. Dia duduk di sebelah isterinya. Wanita itu terlalu dikasihinya. Bukan sedikit kasih sayangnya pada anak-anaknya namun itu tidak bererti anak-anaknya boleh membantah cakapnya sesuka hati mereka.

Melihatkan sikap berdiam diri suaminya, Datin Faridah bersuara lagi. “Abang ingat tak... Izzdiyad cemerlang dalam pelajarannya... sama seperti abang. Aktif bersukan... sama macam abang. Berjaya dalam perniagaan... pun macam abang.”

“Masakan abang lupa itu semua. Wajahnya pun banyak iras abang, kan?” Datuk Izzuddin tersenyum. Kad kemajuan Izzdiyad diperhatikan. Setiap penggal peperiksaan, Izzdiyad mendapat A untuk semua subjek.

Izzdiyad kelihatan biasa ketika menunggu giliran untuk mengambil keputusan UPSRnya. Ibu bapanya pula yang berdebar-debar menantikan keputusan yang dicapai olehnya.

Izzdiyad membawa slip peperiksaan menghampiri mama dan papanya. Sejak pagi lagi, kedua orang tuanya setia menunggunya di dewan sekolah.

“Dapat berapa Yad?” Tanya mamanya.

“Straight A’s.” Slip peperiksaan diunjukkan kepada mamanya. Muka Izzdiyad tidak beriak. Selamba sahaja dia menuturkannya seolah-olah UPSR peperiksaan biasa.

“Alhamdulillah. Well done... Yad.” Bahunya ditepuk papanya .

“Thanks, pa!” Izzdiyad cuma tersenyum nipis.

“Yad nak hadiah apa? Nanti mama dengan papa ikhtiarkan.” Soal papanya lagi.

“Yad nak tengok Tembok Besar China, boleh?” Sudah lama Izzdiyad hendak menjejakkan kakinya ke kawasan yang pernah diiktiraf sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban di dunia.

“Sure! Cuti sekolah nanti… kita pergi.” Janji terpatri antara ayah dan anak.

“Yad nak pergi jumpa kawan kejap.” Izzdiyad bergerak ke arah sekumpulan rakan-rakannya yang sedang menyambut kejayaan dengan linangan air mata. Tidak sepertinya. Cool!

“Kenapa Yad nampak biasa saja bang? Tak excited macam kawan-kawannya?” Si ibu agak bingung melihatkan reaksi si anak.

“Agaknya sebab dia dah biasa sangat dapat A dalam semua subjek. Jadi, keputusan yang sama bukan lagi perkara yang menggembirakan buatnya. Kalau satu subjek dapat B, barulah melalak agaknya. Boleh banjir sekolah nanti.” Andaian si bapa pula.

“Iskkk abang ni... ke situ pulak fikirnya. Yad tu cerdik sebab mewarisi kepandaian abang. Idah harap Izz pun cerdik macam papanya.” Izz yang berada di atas ribanya dipeluk manja.


Datuk Izzuddin mengeluh panjang mengingatkan peristiwa lama.

“Abang... boleh abang maafkan Yad dan Lia?” Lembut suara itu menerjah gegendang telinganya.

Dia memusingkan badan menghadap isterinya. “Idah... Idah dah lupa apa yang Yad pernah buat? Idah sakit sebab Yad. Idah terpaksa menebalkan muka pergi ke rumah Haji Fadzil untuk memutuskan pertunangan Yad dengan Faiqah. Idah menanggung malu diperli saudara mara sebab Yad kahwin lari. Semuanya kerana Yad. Idah dah lupa ye? Biar abang ingatkan!” Nada suaranya agak kuat.

Datin Faridah tidak dapat mengawal emosinya. “Idah tak lupa bang... tapi... Idah tak mahu kita terus hidup dalam kenangan lalu. Idah... Idah mahu keluarga kita bersatu.”

“Idah... abang bukan mahu berlaku zalim.. cuma... abang mahu memberi pengajaran kepada Yad. Biar dia berfikir panjang sebelum buat keputusan. Ibu bapa tidak boleh dipermainkan.” Kali ini suara suaminya sudah kendur.

“Abang... dalam masa sebulan ni... Idah tengok dorang sungguh-sungguh mahu berbaik dengan kita. Walaupun dorang ditengking, diperli tapi dorang tetap cuba sedaya upaya mengambil hati kita supaya kita dapat memaafkan dorang.” Air matanya sudah tidak dapat ditahan lagi.

“Abang tahu. Walaupun abang tak layan Yad... tapi... dia tetap pergi ke court tennis. Setiap minggu dia menemani abang main tennis... malah... kami dalam regu yang sama. Gandingan kami sukar ditewaskan... perkara yang selalu kami buat bersama dulu. Lia tu pun selalu cari peluang berborak dengan abang sampai abang tak larat nak marah dia lagi.”

Datuk Izzuddin sibuk mengalihkan pasu bunga. Dia ingin menukar pasu-pasu bunga kecil itu dengan pasu-pasu bunga yang lebih besar.

“Boleh Lia tolong?”

Datuk Izzuddin memandang sekilas wajah menantunya. “Kalau kau nak tolong... pergi jauh sikit. Jangan ganggu aku buat kerja.”

“Tanah-tanah ni semua nak letak dalam pasu besar, kan?” Natalia sudah mencangkung. Dia meneruskan niatnya untuk membantu walaupun dilarang oleh bapa mentuanya. Tanah-tanah itu dibuka dari beg plastik lalu dimasukkan ke dalam pasu.

“Pakailah sarung tangan... nanti tangan kau tu kotor. Kejap lagi nak main dengan baby pulak.” Datuk Izzuddin membebel.

Natalia cuma tersenyum. Dia tahu Datuk Izzuddin sebenarnya penyayang walaupun garang.

“Pasu bunga ni nak letak kat mana? Kat tempat asal?” Natalia cuba mengangkat pasu bunga yang sudah siap diisi tanah dan pokok bunga.

“Jangannn... berat tu. Nanti papa tolong.” Datuk Izzuddin menjerit. Dia bangun lalu membantu Natalia mengalihkan pasu bunga tersebut ke tempat asalnya.

“Bunga ni semua papa yang tanam?” Soal Natalia sambil menyiram pokok-pokok bunga yang sudah siap disusun.

“Yelah tapi bukan semua. Ada jugak papa beli yang dah besar... cuma... kena rajin siram. Lepas tu letak baja.” Datuk Izzuddin membasuh tangannya dengan sabun.

“Patutlah pokok-pokok ni subur. Papa memang hebat.” Natalia membuat tanda bagus dengan ibu jarinya.

Datuk Izzuddin cuma ketawa apabila dibodek oleh Natalia.


Dia tersenyum nipis mengenangkan Natalia, menantu yang tidak dihargai sebelum ini.

Datin Faridah menggenggam tangan suaminya. “Idah lupa nak cakap dengan abang. Idah ajar Lia buat bubur untuk baby. Abang tahu tak... dorang namakan baby dengan nama Insyirah.”

Datin Faridah mengajar Natalia membuat bubur untuk anaknya di dapur. Hasya turut berada di situ sambil memangku anak saudaranya.

“Dah siap. Lia... cuba suap bubur ni pada baby. Suap sikit-sikit.”

“Insyirah... hari ni Insyirah makan bubur ye, sayang.” Natalia mengambil anaknya dari Hasya.

Datin Faridah terkujat mendengarkan nama itu. “Siapa nama baby kamu?”

“Insyirah” Natalia tersenyum. “Yad kata itu nama kegemaran mama untuk anak perempuan.”


Datuk Izzuddin mengerutkan kening. “Baguslah. Kita takde rezeki anak perempuan nak dinamakan Insyirah... tapi... ada cucu dengan nama yang sama.”

“Abang... kita lupakan cerita lama. Kita maafkan dorang, ye? Kita hidup dalam suasana gembira... macam yang selalu kita impikan. Ada anak.. menantu... cucu.”

Datuk Izzuddin tersenyum nipis. Air mata di pipi isterinya diseka dengan hujung jari. Perlahan-lahan isterinya diraih ke dalam pelukannya.




Eriyza : Penulis memerlukan bantuan 'kemanusiaan' untuk menulis adegan di pejabat. Oleh kerana bidang kerja penulis bukan dalam pejabat, maka agar sukar untuk menghasilkan 'skripnya'. Ada sesiapa mahu bantu??

8 comments

Kak Sue June 18, 2012 at 5:01 PM

Lepaskanlah sejarah lama demi kebahagian sekelurga... susah senang kita x ada siapa tolong... Rindu Izz dan Sya....

Eriyza June 18, 2012 at 7:54 PM

@sue:
Rindu dgn komen Sue... :)

strawberry.chocolate81 June 19, 2012 at 7:24 AM

suasana kerja yg cam ne? kalo sy, sy lebih byk deal dgn bank utk rental,loan,lelongan n bbrp kes len.terkadang bz kejar deadline, berurusan dgn newspaper also utk tujuan pengiklanan n byk lagi la

Eriyza June 19, 2012 at 11:34 AM

@strawberry.chocolate81:
Mungkin masalah dlm bidang hartanah.
Misalnya tender, budget, kertas kerja.... Bolehkah anda bantu??

Riena June 21, 2012 at 5:35 PM

papa & mama Izz so romantik...
harap2 dp laki cam papa Izz la..hehehe
xsabar2 nak tunggu seterusnya lagi...

Eriyza June 21, 2012 at 9:24 PM

@Riena:
Moga dapat suami idaman kamu.
Amin. :)

strawberry.chocolate81 June 22, 2012 at 7:56 AM

yang 2 kene mintak tulun ngan owang yang lebih pakar...kite x pakar ihihiihihi

Eriyza June 23, 2012 at 3:06 PM

@strawberry.chocolate81:
Sedihhh :((

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.