2/23/2012

Yes I Love You 21

Yes, I Love You – Bab 21

Matanya meliar memerhati sekitar kawasan itu. Dia memandu perlahan sambil cuba mencari arah ke rumah ibu mentuanya. Dia sedikit keliru apabila tiba di satu simpang tiga. Dia cuba mengingat sama ada perlu membelok ke kiri atau mengambil laluan kanan. Dia berhenti beberapa minit sambil berfikir.

Bunyi hon mengejutkan Izz. Dia tersedar yang dia sudah menghalang laluan kenderaan lain. Dia memandang cermin pandang belakang. Hanya ada sebuah motosikal. Takkanlah penunggang motosikal itu tidak lepas hendak lalu. Mungkinkah samseng? Mungkinkah mat rempit?

Cermin tingkap keretanya diketuk. Dia mula tidak sedap hati. Jika penunggang motosikal itu hendak mencari pasal, dia bertekad untuk membalas balik. Dia menurunkan cermin tingkap keretanya. Pemuda yang bermotosikal itu membuka penutup muka topi keledarnya.

“Hai adik ipar.. nak ke mana ni?” Alang bersalaman dengan Izz.

Izz kelegaan. Mujurlah sangkaannya tersasar sama sekali.

“Nak ke rumah tapi tak ingat jalan.” Izz tersengih.

“Adik tak ikut?”

“Tak. Izz dari tapak projek tadi.”

“Owhhh! Jomlah.”

Alang memberi isyarat ke kanan. Izz mengikutnya dari belakang. Tidak lama kemudian, mereka sampai ke rumah pusaka Puan Fatimah.

“Naiklah Izz. Mak ada kat atas.”

Kasut dibuka lalu diletakkan di atas tangga. Izz masuk ke dalam rumah.

“Mak... tengoklah siapa datang ni.” Alang memanggil Puan Fatimah.

Wanita itu yang sedang menyiapkan minum petang di dapur keluar ke ruang tamu. Sebaik melihat ibu mentuanya, Izz segera menyalami tangan wanita itu.

“Apa khabar, mak?”

“Alhamdulillah... sihat. Izz sorang je? Sya tak datang?” Puan Fatimah cuba mencari kelibat anak gadisnya.

“Aha... sorang je mak. Lain kali Izz bawak Sya. Kebetulan Izz dari tempat kerja. Sebab dah ada dekat sini, Izz singgahlah kejap.” Izz menghenyakkan punggungnya ke kerusi.

“Izz buat kerja kat mana?”

Sejuk hati Puan Fatimah apabila menantunya yang kaya sudi datang menjenguk dirinya walaupun berseorangan. Sekurang-kurangnya dia tetap singgah walaupun isterinya tiada bersama. Anak muda ini banyak mewarisi perwatakan ibunya.

“Masjid baru dekat dengan Taman Cemara tu.”

“Projek masjid tu syarikat Izz yang handle?” Alang menyampuk.

“Macam tulah. Kebetulan papa dapat projek tu. Jadi, Izz yang uruskan.”

“Elok sangatlah tu. Nanti bolehlah singgah makan kat rumah mak. Tak usahlah makan kat kedai.” Puan Fatimah tersenyum.

“Takpelah mak. Izz pun pantau projek tu sekali sekala.”

“Alah... datang jelah makan, rugi tau kalau Izz tak rasa masakan mak sebab mak masak best. Sekali makan.. nak lagi.” Alang membuat tanda bagus dengan ibu jarinya.

“Kamu jangan dengar Alang merepek. Tak usah malu, datang je makan kat rumah mak.” Puan Fatimah memukul paha Alang menyebabkan Alang mengaduh sakit.

“Baiklah mak.” Izz ketawa. Terhibur dengan telatah ibu mentua dan abang iparnya.

“Sya kata Alang dah habis praktikal. Alang buat apa sekarang?”

“Alang tolong kawan kat cyber cafe.”

“Kenapa Alang tak kerja terus dengan company tempat Alang buat praktikal tu?” Izz sedikit terkejut kerana Alang menolak kerja yang bagus sebaliknya memilih menjaga cyber cafe.

“Alah, adik takleh simpan rahsia langsung!” Alang tepuk dahi. “Memang dorang offer Alang kerja tetap tapi Alang nak relaks dulu. Lagi pun Alang tak grad lagi.”

Izz ketawa kecil. Alang memang begitu. “Kalau Alang tak kisah, kerja dengan company Izz pun boleh.” Pelawa Izz pula. Ikhlas!

“Takpelah Izz, biarlah Alang cari pengalaman dulu. Biar dia rasa susah senang alam pekerjaan, barulah dia menghargai duit yang dia dapat. Ini tidak, asyik main-main je.” Bantah Puan Fatimah. Dia tidak mahu orang lain beranggapan buruk kalau Alang bekerja dengan menantunya.

“Mak ni… jatuhkan saham Alang pulak. Lepas Alang grad nanti, mesti banyak company besar nak ambil Alang kerja sebab Alang boleh buat dorang untung jutaan ringgit.” Alang berseloroh. Dia tidak mahu Izz berkecil hati kerana dia sebenarnya tidak berminat hendak menumpang kesenangan Izz, cukuplah adiknya seorang yang merasai semua itu. Dia mahu berdikari.

Izz cuma ketawa. Gurauan Alang seringkali mencuit hati.

“Malas mak layan loyar buruk kamu, Alang. Mak tengah siapkan bubur kacang tadi. Mak nak pergi tengok... dah masak agaknya. Nanti kita makan sama-sama, ye.” Puan Fatimah berlalu ke dapur.

“Yelah mak. Izz pun nak tumpang solat Asar.”

“Kalau nak mandi, ambil tuala dalam almari Hasya. Kain pelikat pun ada dalam almari tu.” Puan Fatimah melaung dari sebalik dinding pemisah dapur dan ruang tamu.

“Takpelah mak. Izz pinjam kain pelikat Alang.” Balas Izz.

Izz berasa segan untuk masuk ke bilik Hasya memandangkan isterinya tiada bersama ketika itu. Walaupun dia berada di rumah ibu mentuanya tetapi dia masih kekok hendak berkelakuan bebas.

“Sopan sungguh menantu mak ni. Nak masuk bilik isteri sendiri pun tak berani.” Alang mengusik. Dia menolak Izz ke hadapan bilik Hasya.

Mahu atau tidak, Izz terpaksa juga masuk ke bilik itu. Seusai membersihkan diri dan solat Asar, dia duduk di birai katil. Dia memerhatikan keadaan sekitar bilik itu.

Tidak banyak yang berubah malah susun atur barang-barang di dalamnya juga masih sama. Dia mengambil beberapa keping album yang tersusun kemas di dalam almari perhiasan. Satu persatu album itu dibelek-belek. Dia tersenyum melihat Hasya di dalam setiap gambar.

“Izz, dah siap solat? Mak ajak minum petang.” Ketukan Alang di pintu bilik menyedarkannya yang sedang leka melihat gambar.

**********

“Nah!” Satu tupperware sederhana besar dihulurkan kepada Hasya.

“Apa ni, bang?” Tanya Hasya sambil membuka tudung tupperware.

Aroma bubur kacang menusuk ke hidungnya. “Bubur kacang. Bestnya. Abang beli kat mana ni?” Hasya sungguh gembira dengan pemberian Izz. Sudah lama benar dia tidak merasa keenakkan bubur kacang.

“Ada orang bagi. Jangan bawak ke dapur. Makan kat sini!” Izz melarang keras. Langkah Hasya mati.

“Makan dalam bilik? Kenapa?” Dia sedikit pelik. Dia meletakkan bubur kacang di atas meja.

“Kau ni banyak songeh betul. Ikut jelah cakap aku. Pergi ambil sudu.” Nada suara Izz semakin keras. Hasya tidak berani membantah. Dia tetap ke dapur. Bukan untuk makan, hanya untuk mengambil sudu.

Hasya kembali semula ke dalam bilik dengan membawa sudu dan mangkuk. Dia menuangkan bubur kacang ke dalam mangkuk lalu dihulurkan kepada Izz.

“Aku dah makan. Kau makanlah.” Izz menolak mangkuk itu kepada Hasya kembali.

“Betul abang tak nak? Jemput makan, bang.” Hasya mula menyuap bubur kacang ke dalam mulutnya. Bubur kacang dinikmati dengan hati yang senang.

Izz menggeleng. Badannya dilayangkan di atas settee. Dia mahu rehat sebentar sebelum mandi. Badannya terasa penat.

“Izz, nanti bawak balik bubur kacang untuk Hasya. Mak dah letak dalam tupperware… tapi… sikit je ni. Mak tak tahu Izz nak datang, kalau tidak mak buat lebih. Boleh jugak kirim untuk mama Izz.”

“Baiklah mak. Nanti Izz ambil.” Senyuman dikupas.

Bubur kacang terus disuap. Benar kata Alang, ibu mentuanya memang pandai memasak. Bubur kacang buatannya cukup sedap. Tidak terlalu manis dan tidak terlajak tawar. Tidak terlalu pekat dan tidak terlajak cair. Rasanya memang menepati citarasa Izz.

“Bubur kacang ni memang favourite adik. Kalau dia nak tapi mak tak buat, boleh merajuk tau.” Alang ketawa kecil.

“Kadang-kadang disimpannya dalam peti ais untuk dimakan hari esok.” Tambah Puan Fatimah pula. Dia turut ketawa.

“Suka benar Hasya dengan bubur kacang?” Izz ketawa kecil.

“Bukan setakat suka je Izz tapi obses kot. Adik siap buat aiskrim bubur kacang. Sebab tulah mak sugul je masa buat bubur kacang tadi sebab tukang makan takde.” Alang bercerita.

“Nasib baik Izz datang. Ada jugak rezeki Hasya.” Puan Fatimah ketawa.


Izz tersenyum melihat Hasya makan bubur kacang. Berselera sungguh nampaknya isterinya itu sehingga ditambah semangkuk lagi. Tidak sia-sia dia membawa balik bubur kacang itu untuk Hasya.

“Abang...” Izz memandang muka Hasya. “Terima kasih.” Hasya mengangkat mangkuk bubur kacang, sekaligus membawa maksud yang difahami Izz.

Izz buat muka selamba tetapi di dalam hatinya dia ketawa.



Eriyza : Sudah 'patah hati' dengan Yes, I Love You ini. Mungkin penulis tidak berbakat untuk menterjemahkan sebuah karya ke dalam bentuk novel. Maaf atas kekhilafan yang ada.