2/06/2014

Yes I Love You 50



Yes, I Love You – Bab 50

Dia berteleku di tepi tingkap. Pagi yang mulanya cerah berubah mendung. Titisan-titisan hujan yang mula gugur ke laut menjadi santapan matanya. Jendela dibuka, bias-bias hujan mula menerobos masuk ke biliknya. Andai kata hujan turun membasahi lautan setahun sekali pun, air laut tidak pernah tawar. Tidak! Tidak sama sekali! 

Hujan yang mencurah turun sudah mulai reda. Seketika kemudian, muncul tujuh spektrum warna di laut. Pelangi! Ya, pelangi terbentuk selepas hujan apabila cahaya matahari dibiaskan oleh titisan air hujan.

“Merah, jingga, kuning, hijau, biru, indigo dan ungu.” Hasya masih ingat tujuh jalur warnanya. “Pelangi... muncul di waktu pagi.” Hasya sangat teruja melihat keindahan pelangi yang terpancar di lautan. Sungguh menarik! 

Tanpa sedar, dia sudah keluar dari bilik. Langkahnya dihayun ke arah pelangi. Belum pun sempat pelangi itu diamati sepuasnya, jaluran warna itu menghilang perlahan-lahan. Hanya awan gemawan yang kelihatan. Kecantikan pelangi sudah lenyap ditelan. Sama seperti perkahwinannya dan Izz, sinar bahagia hanya seketika. Kini rumahtangga mereka diselubungi debu derita.

“Aku panggil teksi, mungkin dah ada kat luar.” Izz memberitahu Hasya ketika gadis itu usai memasukkan pakaiannya ke dalam beg. Izz cuba membantu Hasya mengangkat beg pakaiannya tetapi Hasya menghalang.

Walaupun Izz tidak mahu menghantar Hasya pulang tetapi dia tidak betah membiarkan Hasya berjalan sendirian walaupun malam masih muda. Keselamatan Hasya tetap menjadi keutamaannya sebab itulah dia telah menelefon pemandu teksi yang boleh dipercayai.

“Takpe. Sya boleh bawak sendiri.” Beg bajunya dijinjing manakala sling begnya disandang. Dia menuruni anak tangga lambat-lambat, tidak seperti selalu. Anak tangga itu pernah menjadi tempat lariannya. Anak tangga itu juga pernah dihitung bilangannya.

Dia menyorot pandang pada setiap ruang di dalam rumah itu yang terjangkau dek penglihatan matanya. Dahulu, dia dialu-alukan di banglo ini tetapi kini dia diusir pergi. Entahkan akan kembali lagi, entahkan keluar selamanya dari sini, dia sendiri tidak pasti. 

Tombol pintu utama dipulas perlahan. Terasa lemah kakinya hendak melangkah. Hendak berdiri tegak pun dia tidak larat. Dia perlu berpura-pura kuat. Dia perlu nampak bersemangat. Biar Izz tahu dia seorang gadis yang hebat.

“Sya... tunggu!” Bahunya disentuh dari belakang. Dia berkalih pandang memaku wajah Izz. Seraut wajah milik lelaki itu ingin disimpan di dalam kotak mindanya agar tidak hilang. Dia tidak mahu melupakan wajah insan yang pernah ditumpahkan kasih sayang.

Hasya menunggu butiran perkataan dari si suami. Adakah Izz telah menukar fikiran? Adakah Izz tidak sampai hati membiarkan dia pergi? Adakah Izz sudah faham bahawa semua ini hanyalah suatu kesilapan?

Abang... cakaplah abang tak mahu Sya pergi dari sini. Rintih hatinya. Kata-kata itu tersekat di kerongkong Hasya. Dia tidak mampu merayu kepada suami sendiri. 

Izz mengeluarkan dompetnya. Sekeping kad berwarna hitam ditarik keluar. Kad itu diletakkan di atas telapak tangan kanan Hasya. “Ini kad debit aku... kau boleh ambil duit dalam tu. Passwordnya... tarikh kita kahwin.” 

Izz menyeluk poket seluar kirinya. Sejumlah wang dikeluarkan lalu diletakkan di atas kad debit tersebut. “Duit ni... untuk kau belanja.” Izz bersuara perlahan. Cuba menahan diri daripada berwajah sayu. Segaris senyuman perpisahan dihadiahkan buat Hasya.

Bagaikan patung di Tugu Peringatan Negara, Hasya sedikit pun tidak berkutik. Hatinya hancur lebur dijirik. Dia tidak mahu itu semua. Dia hanya mahu hubungan ini diselamatkan. Wang ringgit takkan mampu membeli keharmonian pernikahan mereka. Harapannya semakin tipis. Impiannya semakin nipis. 

“Pergilah...” Suara Izz semakin serak. Dadanya dihimpit sebak. Perasaannya kian hebat berkocak. Namun, yang terpamer di hadapan Hasya hanyalah wajah Izz tanpa riak.

Hasya mengatur langkah longlai. Tiba-tiba dia berpaling dan memeluk Izz. Baju Izz lencun dengan air mata Hasya. Dia tidak pula melarang Hasya memeluknya. Dia tidak juga membalas pelukan itu. 

Rasa simpati Izz menggunung tinggi. Namun, dia perlu bertegas kali ini. Dia tidak boleh berlembut lagi. Di luar pagar, hon telah berbunyi. Mungkin pemandu teksi sudah letih menanti. Mungkin juga dia masih perlu mencari penumpang lain demi sesuap nasi.

Hasya merungkai pelukannya. Masanya untuk pergi sudah tiba. Tempat itu perlu ditinggalkan dengan segera. Tangan kanan Izz dicapai lalu dicium seketika. Selepas ini, dia tidak akan berpeluang lagi untuk melakukan hal yang sama. 

“Abang... kalau Sya mati di dalam tempoh perpisahan ini... halalkanlah makan minum Sya. Ampunkan segala salah silap Sya. Kalau boleh, redhalah Sya sebagai isteri abang...” Sebaik menuturkan kata-kata tersebut, Hasya berlari masuk ke perut teksi. Teksi itu menghilang bersama kepekatan malam.

Hasya menangis lagi apabila mengingatkan kisah malam semalam. Sejak beberapa hari lalu, dunianya penuh dengan air mata, tiada lagi tawa ceria. Air mata menjadi teman setianya. Dia telah berubah menjadi gadis yang lemah, tidak lagi ‘gagah’ seperti dulu. Tragedi yang menimpanya terlalu berat untuk digalas. 

Hasya melahu menyusuri tepian pantai. Dataran pantai yang luas seakan menggamit pengunjung untuk berlabuh di dadanya. Deburan ombak bagaikan sebuah lagu bernada sayu. Nun jauh di tengah laut, tiga buah kapal nelayan sedang menuju ke laut dalam. Barangkali mencari rezeki yang bertebaran di bumi Tuhan. Di langit, sekawan burung berterbangan bebas. 

Sandalnya ditanggalkan lalu dipegang. Dia membiarkan busa-busa ombak yang memutih memukul-mukul jari-jemari kakinya. Air laut terasa begitu sejuk dan dingin, mungkin kerana air laut dan air hujan baru bersatu. Kulit-kulit kerang berselerakan di tepi pantai. Anak-anak ketam bermain-main di pasir sebelum hilang dilarikan ombak. 

Hasya berhenti berjalan apabila terpandang sebatang pohon kayu terdampar di antara air dan pasir. Akhirnya, dia duduk di situ. Pagi itu, belum ramai orang yang datang ke pantai. Hanya beberapa orang yang kelihatan di sekitar kawasan dia duduk. Mereka sibuk membuat hal masing-masing tanpa menghiraukan orang lain.

Dia merenung jauh ke laut. Dia ralit memerhatikan ombak-ombak yang bergulung sebelum menghempas pantai apabila tiba di tepian. Pantai tetap setia menerima kunjungan ombak walaupun ‘dirinya’ disakiti setiap masa. Ombak itu umpama masalah, ia akan sentiasa timbul di dalam kehidupan seseorang. Pantai pula umpama seorang makhluk Tuhan, perlu bersabar untuk menyelesaikan masalah yang ada.

Seperti dirinya kini, ‘ombak’ membadai rumahtangganya. Malangnya ‘ombak’ yang mengamuk itu langsung tidak dapat disanggah. Dia mula memikirkan setiap kesalahan yang disabitkan dengan dirinya. Mengapa Thaqif mahu menganiayainya? Mengapa Zikri turut dikaitkan dengannya? Ah! Dia buntu! Semuanya tidak dapat dicerna dengan akal fikiran. 


Assalamualaikum Hasya,
Semua gambar-gambar ini dipulangkan sebagai permohonan maaf.
Gambar-gambar yang sama berserta video juga telah dibuang dari Facebook.
p/s : Hasya, don't be mad at me. I did it for good reasons. Please  forgive me.
With much love,
Thaqif


Ayat-ayat yang sempat dihadam mindanya sebelum direnyuk terimbas kembali. Padat dan ringkas ayat yang ditulis Thaqif di dalam suratnya. Surat yang tidak diundang itu telah menjahanamkan hubungannya dan Izz. Hasya mengetap bibir bawah. Geram!

Apa tujuan Thaqif? Apa Thaqif mahu? Apa dendam Thaqif padanya? Hasya berfikir lagi. Lelaki bernama Thaqif itu baru dikenali, bercakap pun jarang sekali. Lantas mengapa lelaki itu muncul sebagai watak antagonis di dalam sejarah hidupnya? Mengapa? Soalan hanya tinggal soalan!

Paling Hasya tidak mengerti, Zikri turut terkena tempiasnya. Seingatnya, dia langsung tidak berhubung dengan lelaki itu tanpa pengetahuan Izz. Malah, dia membuang ‘abang’ di pangkal nama Zikri gara-gara Izz tidak suka. 

“Kalau kau tak ada apa-apa dengan dia... kenapa gambar-gambar kau dia edit dengan cantik? Kenapa dia print dan letak dalam sketch book? Kenapa ada tulisan Zikri love Hasya? Baik kau mengaku, apa hubungan kau dengan Zikri?”

Tuduhan Izz menyengat cuping telinganya bila diingat kembali. Sungguh dia tidak tahu Zikri ada melakukan hal sedemikian. Dia menjadi mangsa di dalam kedua-dua kes yang dikenakan ke atasnya tetapi dia yang didakwa. Izz menghakiminya tanpa sebarang bukti kukuh, jauh sekali saksi. Tanpa perbicaraan! Tanpa peguambela!

Hasya mengambil sebatang kayu kecil yang dihanyutkan air. Dia menguis-guis pasir yang melekat di jari kakinya. Dia menghela nafas berkali-kali. Dia bangun berdiri. Dia tidak boleh mengalah lagi. Dia perlu berjuang untuk diri sendiri. Dia tidak boleh bersedih begini. Suntikan semangat terus diberi.

Sekian lama berduka lara di situ, sinar mentari semakin galak menggigit kulit. Mukanya terasa  semakin perit, Hasya memayungi wajahnya dengan tangan kanan. Hasya bergerak ke tempat penginapannya. Dia mahu melakukan aktiviti yang sering dibuatnya sejak zaman remajanya lagi. Berada di tempat asing tidak menghalangnya untuk terus mengamalkan gaya hidupnya.

Hasya menunaikan solat Dhuha. Menurut Ustaz Ghazali, waktu solat Dhuha ialah dari naik matahari sampai sepenggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir, disunatkan pula ditakhirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik. Solat Dhuha adalah sunat awwabin yang menjadi amalan Rasulullah S.A.W kerana di dalamnya terkandung pelbagai ganjaran yang telah Allah janjikan.

“Ya Allah bahawasanya waktu dhuha itu waktu dhuhaMu, kecantikan itu ialah kecantikanMu , keindahan itu keindahanMu, kekuatan itu kekuatanMu, kekuasaan itu kekuasaanMu dan perlindungan itu perlindunganMu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah, jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanMu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambaMu yang soleh.”

Hasya berdoa panjang. Indahnya doa solat Dhuha kerana pelbagai hajat terangkum di dalamnya. Hasya ingin komited mengerjakannya sama seperti Abu Darda, Abu Hurairah dan Abu Zar al-Ghifari. Mereka adalah antara sahabat Rasulullah S.A.W yang kuat beribadat.


Eriyza : Maaf kerana lama tidak  mengepos sebarang berita tentang Izz + Hasya. Selamat membaca. Semoga terhibur.