12/15/2010

Suamimu Milikku 01

Suamimu Milikku - Bab 01

Wajah ditundukkan memandang lantai. Hatinya hancur berkecai-kecai. Jari jemarinya dipatah-patahkan satu persatu. Jawapan darinya masih ditagih. Akan tetapi dia sedikit pun tidak berani hendak bertentang mata dengan insan-insan yang berada di hadapannya. Sudahnya dia hanya membisu seribu bahasa. Tidak berupaya hendak melontarkan kata-kata.

“Iffah, kau fikirlah masak-masak. Ikutlah cakap mak!” Wanita tua separuh abad itu terus-terusan merayu lepadanya.

Lembut bicaranya memujuk. Dia sangat berharap agar anak gadis di hadapannya itu akan bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan. Dia tahu bukan mudah hendak meyakinkan gadis itu tetapi dia perlu berusaha agar semuanya terlaksana.

Gadis itu masih lagi tidak bersuara. Kaki kirinya dikuis-kuis pada kaki kanan. Seketika kemudian, dia menggelengkan kepala. Jawapannya diberikan dalam bentuk perbuatan sahaja tanpa sepatah kata.

“Jangan jadi orang yang tak mengenang budi. Cuba kau ingat balik, masa kau sakit demam, siapa yang paling awal hulurkan bantuan? Siapa yang bersengkang mata siang ke malam?” Sampuk suami kepada wanita itu pula.

Iffah, kau mesti tolong abah. Kalau tidak, kita sekeluarga akan mendapat susah. Kau cuma perlu katakan ya saja. Selebihnya abah akan uruskan belaka. Tolonglah Iffah! Bersetujulah! Kata-kata itu tersekat di kerongkongnya. Dia tidak mahu merayu-rayu pada anak gadisnya.

“Maafkan Iffah mak, abah!” Perlahan sekali suaranya.

Mak! Abah! Bukan Iffah sengaja membantah. Demi Tuhan, Iffah ingat semua jasanya pada keluarga kita. Sedikit pun Iffah tidak pernah lupa. Kalau boleh, Iffah sanggup berkorban untuknya. Tapi bukan ini caranya. Iffah tidak boleh mak! Iffah tak mampu abah! Jeritan itu hanya berkocak di sanubarinya.

“Iffah, cuba terus-terang dengan mak. Kenapa Iffah tak setuju? Manalah tahu….. mungkin mak dengan abah boleh bantu.” Puan Maryam masih berusaha memujuk.

Iffah memandang wajah wanita tua yang sangat dikasihinya. Wanita itu sangat besar baktinya di dalam kehidupannya. Tergalas harapan besar di bahunya ketika ini. Malangnya dia tidak terfikir untuk melakukan semua itu.

“Iffah nak sambung belajar. Iffah nak ambil kursus ma.....”

Belum pun sempat Iffah habis bercerita, Encik Harun mencantas percakapannya. “Tak payahlah kau berangan nak masuk universiti. Iffah oiii….. berapa A kau dapat masa SPM? Kau dah lupa? Jangan kata kau nak masuk kolej swasta, aku tak ada duit nak tanggung kau.”

Sinis sekali kata-kata ayahnya menerpa ke telinga Iffah. “Tapi abah… kalau tak dapat belajar sekali pun… Iffah nak kerja. Nak kumpul duit, nak …”

Sebenarnya Iffah bukan hendak belajar akademik macam orang lain. Iffah sedar Iffah kurang cerdik. Keputusan SPMnya pun hanya di takuk sederhana, tiada satu pun A. Iffah hendak belajar memasak. Dia mahu mengambil kursus masakan. Mak pun selalu puji Iffah pandai memasak. Masam, manis, masinnya semua cukup….. itu yang sering mak perkatakan.

Sekali lagi omelannya dipotong. “Kerja? Kerja apa kau nak buat? Nak jadi kerani? Jadi jurujual kat pasaraya di pekan? Tak pun kau nak jadi pelayan di restoran ayam goreng tu? Kalau gaji setakat RM 450 sebulan, baik tak usah. Kalau nak kerja sangat, kau jadi cashier kat kedai runcit aku. RM 600 aku boleh bagi, makan minum ditanggung beres.”

“Mana boleh abah. Kasihan kak Dilah. Kalau abah pecat dia, hidupnya nanti susah.” Iffah teringatkan Adilah yang sudah lama bekerja sebagai juruwang di kedai runcit ayahnya. Sudahlah bergelar balu pada usia muda, anaknya pula ramai. Kalau dibuang kerja, tentu ekonominya terjejas.

“Tahu pun kau! Sebab itulah kau kena ikut cakap aku. Hidup kau jugak yang senang nanti. Duduk rumah goyang kaki sambil tengok tv. Tiap-tiap bulan duit laki kau bagi. Lepas tu, bolehlah kau pergi joli.”

“Betul cakap abah kau tu Iffah! Kau setuju sajalah!” Puan Maryam akhirnya bersuara setelah menjadi pemerhati sedari tadi.

Sudah menjadi tabiat Puan Maryam, dia tidak akan sesekali mencelah perbualan suaminya dengan orang lain. Dia lebih suka mendengar dari turut serta sekiranya pendapatnya tidak diminta. Dia hanya bersuara apabila perlu.

Terlalu mudah pendekatan yang ayahnya ingin gunakan. Ibunya pula asyik menyokong setiap tindakan ayahnya sehingga menyukarkan keadaan. Mereka menyuruhnya berkahwin dengan orang kaya sebagai jalan pintas untuk hidup di dalam kesenangan. Iffah bukan wanita yang mengejar kebendaan. Dia mementingkan kasih sayang dalam perhubungan. Lagi pun, Iffah masih punya rencana masa hadapan yang belum lagi ditunaikan.

“Tidak abah! Tolonglah! Jangan paksa Iffah.” Tegas nada suara Iffah.

Dia tidak mahu membincangkan hal yang sama berulangkali. Keputusan telah pun diberi. Iffah mohon kedua ibu bapanya mengerti.

“Dasar anak tak mengenang budi. Aku bukan minta kau tolong orang lain, tapi kakak kau sendiri. Itu pun kau tak sudi?” Berapi hati Encik Harun.

“Bukan Iffah tak nak tolong kakak. Iffah… Iffah tak sanggup nak buat semua tu, bah. Iffah tak nak tengok kakak kecewa.”

Encik Harun menumbuk meja. Iffah terkesima. Air teh panas yang baru dihidangkan oleh Iffah berkocak sehingga tumpah sedikit di atas kain alas meja yang bertanah coklat dengan bunga-bunga putih kecil. Percikan air teh itu turut mengenai lengan kiri Encik Harun tetapi dia sedikit pun tidak menghiraukannya.

“Kakak kau… atau… kau sendiri yang kecewa, hah? Selama ni kau tak pernah lawan cakap aku tapi sekarang ni bukan main lagi kau, ya! Jangan-jangan kau ada hubungan dengan budak lelaki kat luar sana. Kau ingat Iffah, kalau kau buat bukan-bukan di belakang aku, nahas kau aku kerjakan! Ini amaran aku yang pertama dan terakhir!”

Dia lantas berdiri dari bangku plastik yang didudukinya. Bangku plastik berwarna merah itu disepak kuat. Terpelanting bangku itu mengenai tangga batu dapurnya lalu patah kaki bangku tersebut. Encik Harun naik ke atas rumah dengan hati yang panas.
Kecut perut Iffah apabila diberi amaran tegas. Lebih menakutkan lagi, ayahnya seperti singa yang sangat garang. Sikapnya yang selama ini agak pendiam serta-merta berubah menjadi bengis. Sungguh Iffah takut!

Abah! Abah, janganlah marah! Maafkanlah Iffah! Dia tidak berani lagi bersuara di hadapan abah. Iffah tidak mahu menambah masalah.

Puan Maryam terperanjat dengan perbuatan suaminya. Tidak pernah lelaki itu berkelakuan sedemikian sepanjang mereka mendirikan rumahtangga. Nampaknya kali ini dia betul-betul marah. Jika tidak, masakan dia naik darah.

Kalau ikutkan hati aku, mahu saja aku ganyang kau sampai lembik. Biar kau tahu bagaimana rasanya hati yang diracik. Mungkin masa itu baru kau serik. Jangan harap ada orang menolong walaupun kau memekik. Dalam diam Puan Maryam mencebik.

Wajah Iffah dipandang geram. Sungguh budak ini tidak tahu menghargai orang lain. Kemarahan suaminya ikut berjangkit padanya. Cerlungannya cukup untuk memecahkan sebiji gelas, lagaknya seperti ahli silap mata yang sedang beraksi di pentas.
Puan Maryam turut mengangkat punggung. Tidak guna lagi dia terus berdepan dengan gadis itu. Statusnya sebagai emak langsung tidak mampu melembutkan hati gadis keras kepala itu. Baru tiga langkah dia menapak, lengan kanannya dipeluk.

“Mak, maafkan Iffah!” Rintih Iffah. Tidak mahu ibunya terus marah. Kemarahan abahnya sudah cukup untuk membuatkan hatinya pedih.

Matanya sudah berkaca. Dia benar-benar tidak mahu melukakan hati kedua ibu bapanya tetapi dia tidak diberi pilihan. Bukankah dia berhak menentukan hidupnya di masa hadapan? Mengapa dia terjebak di dalam masalah yang sukar hendak membuat keputusan?

“Kau sudah besar, cakap aku pun kau tak nak dengar. Sekarang kau berani ingkar. Sudahlah Iffah, aku tak nak ambil tahu tentang kau lagi… kau buatlah apa saja sesuka hati.” Tangan Iffah direntap kasar.

Tersayat hati Iffah mendengar perkataan aku terucap dari bibir ibunya. Tidak pernah Puan Maryam membahasakan dirinya aku kepadanya selain dari perkataan mak. Baginya perkataan mak terlalu bernilai, tidak boleh dibandingkan dengan emas permata. Nampaknya kemarahan ibunya semakin memuncak.

“Mak, jangan cakap macam tu. Mak suruhlah Iffah buat benda lain… jangan paksa Iffah kahwin. Tolonglah mak!” Air mata Iffah akhirnya tumpah juga setelah sekian lama bertakung. Dia memeluk ibunya dari belakang.

Hentikanlah lakonan kau Iffah. Kau masih terlalu mentah. Aku sudah puluhan tahun hidup dengan menangani pelbagai jenis masalah. Aku takkan mudah mengalah. Ya, aku pasti takkan kalah! Tekad Puan Maryam bersama senyuman megah.

Puan Maryam sedikit pun tidak terusik dengan tangisan Iffah. Dia kecewa dengan sikap anaknya. Seingatnya, Iffah anak yang taat. Setahunya, Iffah anak yang menurut telunjuk. Tetapi Iffah dihadapannya kini bukan lagi Iffah yang pernah dibentuk. Iffah ini berani membantah.

“Lepaslahhh…! Rimaslahhh…!” Tangan Iffah yang memeluk kemas tubuhnya dirungkai lalu dia berpaling mengadap gadis itu.

Dari dalam rumah, ada orang yang memasang telinga. Dia sekadar melihat dua beranak itu berbalah. Tidak mahu masuk campur kerana barannya sendiri masih membara. Dia khuatir Iffah akan disakiti jika anak itu tidak mahu menurut kemahuannya. Apatah lagi dia adalah ketua keluarga di dalam rumahtangganya.

“Kau dengar baik-baik. Kalau kau masih anggap aku mak, kau ikut saja aku punya kehendak. Kalau tidakkk….!” Jari dituding betul-betul di hadapan muka Iffah. Puan Maryam tidak dapat menghabiskan ayatnya. Tidak tergamak hendak menyumpah anak sendiri.

Tubuh Iffah yang menghalang laluannya ditolak menjauh. Iffah terdorong ke belakang sehingga hampir terjatuh. Puan Maryam lantas memanjat anak tangga untuk ke dalam rumah. Dia tidak sanggup lagi berlama-lama di situ dengan Iffah.

Dia duduk terjelepuk di atas tangga yang memisahkan ruang dapur dan ibu rumah. Air mata Iffah semakin laju menuruni pipinya. Sampai hati mak tolak Iffah. Tergamak abah menendang bangku sampai patah.

Iffah mengesat air matanya. Bangku plastik merah yang tersadai di tepi tangga dipandang seketika sebelum diambilnya. Kasihan kau bangku! Kau menjadi mangsa kerana aku. Mujurlah mak masih berbelas kasihan, abah juga tidak membelasah aku. Kalau tidak, aku pasti senasib dengan kamu.

Iffah oh Iffah… benarkah kau punca masalah? Iffah terus diburu resah!



©Eriyza : Enovel Yes, I Love You masih di dalam pembikinan. Justeru, penulis poskan cerita mengarut yang penulis tulis secara spontan untuk tatapan anda semua yang ternanti² buah tangan terbaru penulis. Enjoy!