Yes, I Love You – Bab 13
Dia bangun seawal pagi. Usai menunaikan solat Subuh dengan Izz, dia menuruni anak tangga menuju ke dapur. Ketika itu, Mak Bee baru sahaja keluar dari biliknya yang terletak berhampiran dapur.
“Puan, awalnya bangun.” Mak Bee cuba beramah mesra dengan ahli baru dalam keluarga majikannya.
“Dah biasa mak cik. Mata memang tak boleh lelap kalau tidur semula lepas Subuh.”
“Panggil saja Mak Bee. Puan nak apa-apa ke?” Mak Bee membuka peti sejuk. Bahan-bahan untuk memasak dikeluarkan.
“Tak payahlah panggil puan. Sya cukuplah. Mak Bee nak masak apa ni? Sya tolong ye?” Hasya merapati Mak Bee.
“Eh, janganlah Pu... errr Sya. Nanti Datin marah kalau nampak.” Mak Bee cemas. Gusar kalau tiba-tiba Datin Faridah muncul dan terlihat Hasya membantunya.
“Mak Bee tak payahlah risau. Nanti Sya cakap dengan mama. Sya tolong dengan rela, bukan Mak Bee dera.” Hasya ketawa kecil.
Mak Bee turut tersenyum. Terhibur dengan gelagat Hasya. “Sya ni muda lagi Mak Bee tengok. Sya tau ke buat kerja dapur?”
“Nak kata tau sangat tu tak adalah tapi bolehlah masak makanan yang mudah.” Hasya merendah diri.
“Mak Bee nak buat nasi lemak.” Mak Bee mula membasuh beras.
“Mesti sedap nasi lemak Mak Bee. Sambal sotong ye?” Hasya memanaskan kuali. Minyak masak dituang. Bawang yang telah dikisar ditumis.
“Sotong tu Mak Bee dah bersihkan. Mak Bee rendam sebelum ditoskan.” Tiga helai daun pandan disimpul lalu ditanak bersama nasi lemak.
“Sya dah toskan pun. Tinggal nak campak dalam kuah je ni.” Sebelum arahan diberi, Hasya sudah melaksanakannya.
“Mana pula timun yang Mak Bee letak kat sini?” Mak Bee mencari timun yang telah siap dicuci untuk dipotong.
“Kat sini.” Hasya memegang pinggan yang sudah terisi hirisan timun. Semasa Mak Bee keluar mengambil daun pandan, dia telah pun menghiris timun tersebut.
“Kalau macam tu, Mak Bee belah telur rebuslah.” Sekali lagi Mak Bee tidak menjumpai barang yang dicari.
“Taraaa...” Sebiji lagi pinggan disuakan kepada Mak Bee. Di dalamnya terhidang beberapa biji telur rebus yang telah dibelah dua.
“Cepatnya kamu buat kerja Sya. Tak terkejar Mak Bee dibuatnya.” Mak Bee tersenyum senang.
“Benda senang je ni Mak Bee. Nak goreng bilis tak?”
“Semua orang dalam rumah ni tak makan bilis.” Kedengaran suara yang membuatkan Mak Bee kecut perut. “Awalnya Sya bangun. Bee, kenapa suruh Hasya buat kerja dapur?”
“Ma... maa... maafkan....” Mak Bee tergagap akibat takut.
“Bukan salah Mak Bee. Sya sukarela nak bantu. Lagipun, Sya tak ada benda nak buat mama.” Pantas Hasya membantu Mak Bee membela diri. Kesian benar dia dengan wanita itu.
“Iskkk kamu ni Sya. Mama baru nak bantu Mak Bee kamu ni memasak. Sepatutnya mama yang memasak untuk sambut menantu baru. Ni kamu pulak yang memasak untuk kami.”
Datin Faridah memeluk bahu Hasya. “Izz mana?”
“Lepas Subuh tadi, dia tidur semula.” Hasya menguntum senyum.
“Dah masak ke sambal sotong ni?” Datin Faridah mengacau sambal sotong yang sedang menggelegak.
“Dah agaknya. Cubalah mama rasa.” Hasya menghulurkan piring kecil berisi sambal sotong kepada ibu mentuanya.
“Mmmm... sedapnya. Semua rasa ada. Mama bagi markah penuh.” Datin Faridah menunjukkan tanda bagus dengan ibu jarinya.
Hasya ketawa kecil.
**********
Izz mengeliat kecil. Dia meraba-raba tempat tidur di sebelah kirinya. Kosong. Tiada orang. Agaknya Hasya berada di bilik mandi. Dia bangun lalu bersila di atas katil.
Hasya memulas tombol pintu bilik. Dia menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat mata Izz masih terpejam walaupun dia sudah bersandar pada kepala katil. Suaminya dihampiri.
“Abang.” Paha Izz ditepuk lembut.
Tiada respon. Mata Izz masih terpejam rapat. Hasya menggoyang-goyangkan pula lengan kiri Izz. “Abang, bangunlah.”
Izz bergerak sedikit. Tangan kanannya menggaru pipi kiri. Namun mata masih juga bertutup rapat. Susah benar hendak mengejutkan lelaki ini.
Hasya mendekatkan mukanya ke telinga Izz. Dia tersengih nakal. Bersedia untuk melontarkan ayat keramat yang tidak digemari Izz. Belum pun sempat dia berbisik...
Cuppp! Bibir Izz mengenai pipi kanannya. Lelaki itu tersengih walaupun matanya belum dibuka. Jangan harap Hasya nak mengenakannya sekali lagi. Dia sengaja berpura-pura tidur ketika Hasya masuk ke bilik tadi.
Kulit muka Hasya sudah berubah warna. Dia terkesima sebentar dengan serangan hendap Izz. Dia segera bangun dari katil tetapi tangannya ditarik Izz menyebabkan dia jatuh di dada lelaki itu.
“Kau dari mana ni?”
“Dapur.” Hasya cuba bangun tetapi Izz menghalangnya.
“Aku ingatkan kau mandi. Sampai tertidur aku tunggu kau keluar dari bilik air.”
“Pergilah mandi. Mama ajak sarapan.” Hasya mencuba lagi untuk bangun.
“Owhhh, kau panggil aku sebab mama suruh? Kau sendiri takde inisiatif nak ajak aku sarapan?” Hidung Hasya ditarik perlahan.
“Aduhhh...!” Hasya menggosok-gosokkan hidungnya. “Samalah tu. Mama ajak, Sya datang panggil.” Hasya berjaya melepaskan diri.
“Tak samalah. Kalau kau panggil aku sebab kau memang berniat nak ajak aku sarapan, barulah ikhlas. Ada faham?”
Hasya mengangguk. “Cepatlah. Semua orang tunggu kita.” Hasya menarik tangan Izz lalu didorong ke bilik air.
Setibanya di depan pintu bilik air, Izz berpaling mengadap Hasya. “Sya, mama ada tanya kau dah mandi?”
Hasya hairan. “Tak ada pun. Kenapa?”
Izz ketawa nakal. Bibirnya didekatkan ke telinga Hasya, kemudian dia membisikkan sesuatu.
Hasya membulatkan matanya. “Abannggg...” Perut Izz dicubit.
“Sakitlahhh...! Garang jugak kau ni.” Perutnya digosok laju. Terasa pedih kesan dicubit dek isterinya.
“Tahu takpe. Tak tahu tanya.” Selamba Hasya menjawab.
1 comments
mana ending cerita ? hmmm...
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.