3/06/2010

Yes, I Love You 02

Yes, I Love You – Bab 2

Izz mundar-mandir di dalam biliknya. Mindanya berserabut, hatinya kalut. Permintaan yang dilontarkan oleh wanita itu sebentar tadi ingin dilontar jauh dari kotak fikirnya. Akan tetapi, rasa ihsan yang bersarang di hati jauh lebih kuat mengatasi keengganannya untuk menunaikan permintaan yang cukup berat itu.

Pada orang lain mungkin peluang sebegitu sangat dinantikan tetapi tidak bagi dirinya. Peluang itu tidak diingini buat masa sekarang malah mungkin juga untuk lima tahun mendatang. Baginya peluang itu akan menjadi beban jika tidak dibuat pada masa yang sesuai.

Penat berulang alik di dalam bilik, dia merebahkan diri ke atas katil. Niat di hati ingin melelapkan mata sekaligus melupakan masalah itu. Mata dipejam rapat berharap agar lena segera bertandang malangnya mindanya masih memproses bicaranya sebentar tadi dengan wanita itu. Mata dibuka kembali.

“Izz, macam mana dengan budak tu? Sesuai tak?”

“Budak mana mama?” Mama cakap pasal siapa ni? Budak mana? Sesuai? Ada budak baru ke dalam rumah ni? Tapi bukan dia yang bawa balik. Izz mengerutkan dahinya. Cuba mengingati ‘budak’ yang dikatakan oleh mamanya itu.


“Alah, budak dalam gambar tu. Izz setuju kalau mama kahwinkan Izz dengan dia?” Datin Faridah tersenyum. Penuh pengharapan agar anak bujangnya itu bersetuju dengan permintaannya. Dia yakin gadis itu sesuai untuk anaknya.


Izz diam. Tidak memberi respon untuk cadangan ibunya. Sudah dua kali dia mengelak dari berbicara soal ini. Kali ini ibunya mengulangi hal yang sama. Entah apa lagi alasannya untuk mengelak. Jika dibantah ibunya akan berkecil hati tetapi jika dipersetujui, dia pula yang sakit hati.

“Izz ada pilihan lain? Kenalkan pada mama.” Datin Faridah masih memancing reaksi anaknya.


Ini yang dia lemah. Dia memang ada ramai kenalan wanita tapi tiada seorang pun yang layak untuk dibuat calon isteri. Semua ‘teman tapi mesra’ itu hanya untuk tujuan berseronok ketika tengok wayang, main bowling atau pun sekadar peneman di kala menikmati hidangan di restoran mewah. “Bukan macam tu, mama. Izz tak ada calon pun. Cuma…”


“Jadi, apa lagi masalahnya? Terima sahajalah niat baik mama kamu tu Izz. Nak harapkan kamu sendiri yang cari, entah muka je cantik tapi perangai buruk.” Datuk Izzuddin bersuara sedikit keras. Sudah bosan dengan gelagat anak bujangnya itu. Bukan dia tidak tahu perangai Izz yang suka keluar dengan perempuan cantik. Entah perangai siapa yang ditirunya.


Izz diam. Dia menolak pinggan yang berisi nasi putih. Sedikit pun tidak diusik. Lauk-pauk yang ada tidak diceduk langsung. Air oren dihirup rakus. Seleranya sudah hilang sejak dileteri ibu bapanya. Punggung segera diangkat untuk berlalu dari situ.


Mengingatkan peristiwa itu, dia mengeluh lagi.

**********

Nissan Murano Datuk Izzuddin meluncur gagah di jalan raya. Empat penghuni di dalamnya menuju ke destinasi yang sama. Tiga orang daripadanya memaparkan muka gembira manakala seorang anak muda membuat muka kelat. Lagaknya seperti peniaga yang rugi berniaga. Sejak masuk ke perut kereta, dia hanya membisu. Sedikit pun tidak berkutik.

Sesekali dia memandang Pak Musa yang sedang memandu. Lelaki tua itu kelihatan tenang mengendalikan kereta milik papanya. Seingatnya sejak dia kecil lagi, Pak Musa sudah menjadi pemandu papanya. Sungguh setia lelaki itu berkhidmat untuk papanya.

“Izz, mama nak beli buah untuk mereka. Izz nak apa-apa?”

Izz menggeleng. Dia hanya membuang pandang keluar. Melihat mama dan papanya memilih buah-buahan segar di tepi jalan. Tekaknya terasa haus tetapi dia malas hendak turun mencari air.

“Izz nak air mineral?”

Izz mengangguk. Sebotol air mineral dihulurkan oleh Datuk Izzuddin. Dia tahu anaknya haus. Sengaja dia membeli beberapa botol air mineral untuk membasahkan tekak sebelum sampai ke destinasi sebenar.

“Thanks pa.” Akhirnya keluar juga suara ‘mahal’ Izz. Sejak perjalanan bermula, pelbagai cerita dibualkan dek mama dan papanya tetapi dia langsung tidak mengambil bahagian. Malas hendak turut serta apabila moodnya buruk.

“Tahu pun bercakap. Papa ingat kamu dah bisu.” Bagaikan mengerti rasa hati anaknya, Datuk Izzuddin cuma membiarkan Izz melayan perasaannya sendiri sedari tadi. Dia tahu Izz tidak rela. Dia tahu Izz terpaksa. Namun anak itu tetap menurut tanpa sebarang bicara.

Izz tersengih. Sempat pula papanya buat lawak. Tak jadi dia nak melancarkan mogok bisu sampai semua rancangan mengarut ni selesai.

Izz memerhati sekeliling sewaktu mereka mula masuk ke kawasan kampung. Walaupun di kiri kanan jalan terdapat banyak belukar kecil, namun jalan ke kampung itu bertar. Sebuah jambatan kecil perlu dilalui sebelum mereka tiba di kampung Titian Kayu.

Setelah lebih satu jam lima belas minit perjalanan, tibalah mereka ke sebuah rumah kampung yang sederhana besar. Kelihatan seorang wanita berusia lebih kurang setengah abad menyambut mereka dengan senyuman di muka pintu.

“Assalamualaikum.” Sapa Datuk Izzuddin.

“Waalaikumussalam. Jemputlah masuk Datuk, Datin dan yang lain-lain.” Penuh hormat wanita itu meraikan tetamu.

"Ini ada buah tangan sikit." Datin Faridah menghulurkan buah-buahan yang dibelinya.

"Terima kasih, Datin. Buat susah-susah je." Buah-buahan bertukar tangan.

“Alah, buah-buahan je. Taklah susah nak bawak.” Datin Faridah ketawa kecil.

“Silakanlah duduk.”

Datuk Izzuddin, Datin Faridah dan Izz mengambil tempat duduk masing-masing di sofa buatan rotan. Pak Musa pula memarkir kereta di bawah pohon yang rendang. Izz memerhati sekeliling rumah papan itu. Hiasannya cukup ringkas tetapi disusun kemas.

Di ruang tamu itu hanya terdapat set sofa rotan yang sudah agak lama tetapi masih elok. Kabinet yang menempatkan televisyen terletak di hadapan Izz. Banyak trofi sukan dan akademik terdapat di atas kabinet itu. Di sudut sebelah kanan pula ada dua buah almari yang dimuatkan dengan pelbagai jenis buku ilmiah.

Dua bidang tikar Sarawak dihampar di lantai. Selesa kaki Izz memijaknya. Langsir di rumah itu berwarna putih dan biru lembut. Beberapa pasu bunga besar menghiasi sudut-sudut yang ada. Jendela yang terbuka luas menjemput angin masuk tanpa memerlukan khidmat kipas syiling.

Kedua ibu bapanya masih riuh bersembang dengan Puan Fatimah. Sekali sekala kedengaran gelak tawa mereka. Izz cuma tersenyum. Senyum plastik untuk menghormati tuan rumah. Matanya melilau mencari seraut wajah milik seorang gadis yang bakal menjadi suri hidupnya. Namun usahkan hendak melihat rupa parasnya, bayangnya pun belum kelihatan.

Takkanlah si gadis tidak tahu tentang kehadiran mereka ke sini? Mungkin juga si gadis tahu tetapi sengaja mahu menyembunyikan diri? Mungkin juga si gadis sedang mengintai di sebalik tirai kamar? Mungkin juga si gadis tidak mahu berkahwin dengannya lalu lari dari rumah?

Bermacam andaian bermain di kotak fikir Izz. Andaian itu jugalah yang membuatkan dia tidak senang duduk.

“Izz, kenapa ni?” Datin Faridah kehairanan dengan sikap Izz yang kelihatan resah.

“Takde apa-apa mama. Lapar je.” Izz tersengih nakal.

1 comments

R'anS July 30, 2010 at 8:08 PM

good~~

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.