Bagimu Perpisahan... Bagiku Penantian - Bab 01
Cuaca terik membahang. Tiada tanda-tanda mendung atau hujan akan turun. Peluh merenik di dahi diseka dengan belakang tapak tangan kiri. Sudah tiga kali dia berlegar-legar di kawasan itu, namun tempat yang ingin ditujunya belum juga ditemui. Sudah beberapa orang ditanya tetapi tiada satu pun yang tahu lokasi sebenar tempat yang dicarinya.
Alamak, macam mana ni!? Kenapa tak ada orang pun tahu kat mana tempat tu. Pekan sekecil ini pun, susah nak cari rumah orang. Garinglah aku kena goreng dengan si Qayyum nanti. Tak pasal-pasal projek besarnya tertangguh kerana aku. Sudahlah nombor telefon baru Qayyum tidak disalin ke dalam telefon bimbitnya, makin sukarlah pencariannya. Kalau tidak, boleh juga dia menyuruh Qayyum menunggunya. Ya Allah, berilah pertolongan kepada hambaMu ini. Doanya di dalam hati.
Puas melilau, tekaknya berasa haus. Dia menongkat motorsikalnya di luar sebuah kedai runcit. Papan tanda kedai itu dipandang sekilas, Pasar Mini Bahagia. Dia tersengih seketika. Apa sudah tak ada nama lain? Meskipun nama yang dipilih kelihatan positif, ia tetap tidak relevan baginya. Nampak tidak eksklusif.
Dia menapak ke peti minuman. Sebotol minuman isotonik dipilih. Dia bergerak pula ke rak makanan ringan, sebungkus Mr Potato berperisa Hot & Spicy ditarik. Kaunter bayaran dituju. Ada seorang budak lelaki di hadapannya sedang membuat bayaran. Sempat pula budak lelaki beramah mesra dengan juruwang tersebut. Apabila terpandangkan dia yang sedang beratur di belakang, juruwang itu membuat isyarat agar budak lelaki itu memberi ruang kepada pelanggannya berurusan. Budak lelaki itu melangkah ke tepi sedikit. Dia membayar harga barang-barang yang dibelinya.
"Awak tahu tak kat mana Dewan Sri Kembang?" soalnya.
Juruwang itu mengeleng. "Tak tahu."
Budak lelaki itu ketawa terbahak-bahak mendengar soalan pemuda disebelahnya. Kaunter bayaran diketuk- ketuk dengan kedua-dua tangannya. Dia dan juruwang saling berpandangan. Apa yang lucunya? Budak ini sewel ke?
"Hello brader, bukan Sri Kembang laaa... Sri Kiambang. Lagi satu, buat apa laa bazirkan air liur tanya pada cik kak ni. Dia bukannya tau tempat-tempat strategik dalam kampung ni. Dia cuma tau kat mana letaknya beras, susu bayi, Twisties dan segala mak nenek barang-barang dapur."
Juruwang itu menjegilkan matanya pada budak lelaki itu. Budak lelaki itu membalasnya dengan mengenyitkan mata.
"Kau tahu kat mana dewan tu?" tanya lelaki itu lagi.
"Tengok kaki laa brader." Keningnya diangkat-angkat.
Kalau ikutkan hati, mau saja aku sekeh budak ni. Tapi di saat-saat genting macam ni, baran perlu diketepikan. "Macam mana aku nak ke tempat tu?"
"Jalan kaki pun boleh tapi disarankan naik kenderaan seperti motor atau kereta. Beca pun relevan!"
"Hey budak, kau nak main-main dengan aku ya!?" Nada suaranya sedikit tinggi.
Juruwang sudah kecut perut tetapi budak lelaki itu masih sempat senyum.
"Main apa pulaknya? Jawapan bernas tu. Pia, kau ada kertas tak?"
"Tak ada. Kertas bungkus nasi lemak adalah." Juruwang yang dipanggil Pia menunjukkan bungkusan nasi lemak yang baru dihabiskannya.
"Itu pun dah cukup bagus. Bak sini."
Sofia memandang budak lelaki itu dengan pandangan pelik tetapi kertas nasi lemaknya tetap dihulurkan.
"Ada pen?" Soalnya lagi.
Sofia menggeleng.
"Apa punya sengkeklah kau ni, Pia. Brader ada pen?" Selamba saja bahasanya.
Pemuda itu turut mengeleng. Budak lelaki itu pergi ke rak peralatan sekolah. Sebentar kemudian, dia kembali dengan sebatang pen.
"Weh, kenapa kau guna pen tu? Berdosa tau jual barang yang dah dipakai." Larang Sofia apabila dilihatnya budak lelaki itu mula melakar sesuatu di atas kertas nasi lemaknya.
Syhhh! Hanya itu yang keluar dari bibir budak lelaki itu.
Pemuda itu melihat budak lelaki itu seperti melakar peta. Susunan jalannya begitu jelas, siap dengan lampu isyarat, simpang, dan juga nama-nama tempat tertentu.
"Okey. Dah siap pun peta harta karun. Tengok sini brader, ini simpang empat kat depan tu." Jari dituding pada simpang empat yang dapat dilihat jelas dari tempat mereka berdiri. Pemuda itu mengangguk.
"Pergi straight je, ikut arahan dalam peta ni. Rasanya jalan ni senang je tapi bila sampai dekat kawasan surau ni, ada banyak lorong kena masuk. Mula-mula masuk lorong kanan, lepas tu kiri, kanan, kanan, kiri. Lepas tu, dalam 100 meter lagi, nampak tersergamlah Dewan Sri Kembang. Ada faham?" Bersungguh-sungguh budak lelaki itu menerangkan peta yang telah dilukisnya.
"Macam mana aku nak ingat ni, banyak sangat kanan kirinya?" Pemuda itu agak keliru.
"Nak lagi senang, mudah je. Masa nak masuk lorong ni, brader baca bismillah. Lepas tu, hafal formula ni... kaki kaka kiri."
"Kaki kaka kiri?" Kaka mana pulak ni? Kalau Kaka pemain bola sepak itu, tahulah aku. Semakin bingung jadinya.
Budak lelaki itu tersenyum. "Ka untuk kanan dan ki untuk kiri. Kanan kiri kanan kanan kiri. Jadinya?"
Pemuda itu mengganguk tanda faham. Cerdik juga budak ini. Dia mengambil peta itu, masih kuat bau sambal bilis pada kertas coklat tersebut. Lantaklah kertas apa pun, asalkan destinasinya betul.
Dia segera beredar sebaik mengucapkan terima kasih.
"Brader, kot iye pun, bayarlah dulu pen ni. Barang dah dipakai, tak elok dijual pulak." Laung budak itu.
Pemuda itu berpatah balik dan menghulurkan wang bernilai lima ringgit. "Keep the change."
Budak itu dengan selambanya memasukkan pen berjenama Stabilo ke dalam jaket hitam pemuda tersebut. Pemuda itu terpinga-pinga tetapi budak lelaki tersebut terus berlalu begitu sahaja.
Dia semakin pelik dengan sikap budak tersebut. Pelik tapi baik.
0 comments
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.