Yes, I Love You – Bab 6
Zikri mengepalai rombongan pengantin lelaki dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi. Kira-kira 50 orang ahli kelab mereka turut serta berkonvoi. Riuh-rendah penduduk kampung berbual sesama sendiri yang tidak ingin melepaskan peluang menyaksikan konvoi pengantin itu.
“Aku terima nikahnya Hasya Binti Hisyam dengan mas kahwinnya RM300 tunai.” Serentak dengan itu, air mata Hasya mengalir laju. Secara automatik, Hasya sah menjadi milik kepada Izzdihar Bin Datuk Izzuddin. Dirinya kini bukan lagi hak ibunya, mengenangkan hal itu, makin deras air mata Hasya menuruni pipinya. Kini, suami harus ditaati melebihi ibunya sendiri.
Hasya ditemani rakan-rakan akrabnya di hadapan pelamin yang dihias cantik. Hasya tunduk memandang cincin platinum bertatah berlian di jari manisnya yang disarung Datin Faridah sebagai tanda pertunangan sejurus sebelum dia dinikahkan. Bertunang hanya satu jam sebelum statusnya bertukar menjadi isteri. Cincin di jarinya dipusing-pusing, cuba berfikir layakkah cincin semahal itu menghiasi jarinya?
Izz menghampiri Hasya yang duduk bersimpuh 3 meter di sebelah kanannya. Debaran di dada Hasya semakin kuat. Jantung Izz berdegup pantas. Seutas gelang tangan dipakaikan kepada isterinya. Hasya menyalami dan mencium tangan suaminya lama. Izz mencium dahi Hasya. Bergetar hatinya, terasa ada perasaan aneh menyelinap masuk. Perasaan apakah ini? Mengapakah ianya cukup menyesakkan jiwa?
Pasangan mempelai yang berpakaian sedondon berona putih disandingkan di atas pelamin nan indah. Senyuman tidak lekang di wajah kedua-duanya. Kerlipan flash dari kamera dan telefon bimbit profesional mahu pun amatur tidak putus-putus merakamkan gambar mereka. Pihak lelaki pula mengambil video sebagai kenangan.
**********
Izz dan Hasya menghantar rombongan pengantin lelaki ke kereta. Puan Fatimah dan anak-anaknya turut serta menghantar Datuk Izzuddin dan Datin Faridah.
“Fatimah, kami balik dulu. Ajarlah Izz cara nak jadi menantu yang baik. Kita jumpa lagi di KL minggu depan.” Erat Datin Faridah memeluk besannya.
“InsyaAllah kak Dah. Saya akan anggap Izz macam anak saya sendiri. Baiklah.” Fatimah meleraikan pelukannya.
Datuk Izzuddin bersalaman dengan kesemua abang Hasya.
Zikri menghampiri Izz dan Hasya. “Selamat pengantin baru, Izz.” Bahu Izz ditepuk-tepuk. Senyuman dilemparkan kepada Hasya.
“Terima kasih, Zik. Jalan elok-elok.” Izz menghulurkan tangan lalu disambut Zikri.
“Jumpa lagi Fiz. Ada masa nanti datanglah jumpa aku.” Zikri memeluk bahu Hafiz iaitu Alang kepada Hasya.
“Okey. Maybe lepas aku praktikal. Aku call kau nanti.” Hafiz tersenyum.
Izz dan Hasya berpandangan sesama sendiri. Mereka agak keliru dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh kedua-dua lelaki itu.
“Adik ingat lagi tak kawan Alang yang selalu ikut Alang balik rumah masa Alang belajar kat Dungun dulu?”
“Kawan Alang? Balik rumah? Dungun?” Hasya cuba berfikir. “Abang Zikri?” Hasya sedikit menjerit. Ada riak gembira di wajahnya.
Zikri mengangguk sambil tersengih. Mujurlah Hasya masih ingat siapa dirinya. Meskipun dia turut riang dengan pernikahan Izz tetapi hatinya rawan apabila mengetahui Hasya yang menjadi pasangan temannya itu.
Izz berwajah kelat apabila melihat wajah ceria Hasya. Dia sedikit tersentak apabila ditegur oleh Hanif yang merupakan Along kepada Hasya.
“Pengantin baru pergilah salin baju. Periuk belanga dah menunggu tu.” Hanif tersengih.
“Periuk belanga? Nak buat apa Along?” Izz kurang faham. Hasya di sebelah dikerling.
“Kena basuhlah.” Angah pula menyampuk. Nama Angah pula ialah Haziq.
“Kejap lagi kami basuhlah. Nak melaram dengan baju pengantin lama sikit pun tak boleh. Kacau daun betullah Along dengan Angah ni.” Hasya menjawab.
“Melaram apa lagi adik oiii? Pergi solat Asar dulu.” Alang pula mengarah.
“Yelah, yelah.” Hasya mula menapak ke atas rumah.
“Adik.” Panggil abang-abangnya serentak.
Hasya berpaling. “Apa lagi?”
“Ni Encik suami takkan tinggal kat sini? Ajaklah Izz sekali.”
Wajah Hasya berona merah. Alamak, lupalah pula pada Izz. Dia kembali mendapatkan Izz.
“Jom. Naik atas.” Pelawanya pada Izz.
Izz hanya menurut. Lima tapak mereka melangkah, kedengaran lagi suara ipar-iparnya.
“Cepat sikit turun. Periuk belanga dah lama tunggu.” Mereka ketawa.
Basuh periuk belanga? Izz telan air liur. Tidak dapat dibayangkan penderaan yang bakal dilaluinya sebentar lagi.
**********
Izz terkebil-kebil memandang lambakan periuk besar yang perlu dibasuh. Bukan sebuah malah enam buah periuk besar termasuk dua buah kuali yang ada di situ. Dia tercegat sambil bercekak pinggang. Tidak tahu hendak dimulakan dari mana atau lebih tepat lagi dia tidak pernah membuat kerja-kerja sebegini. Hasya keluar sambil membawa besen yang memuatkan serbuk pencuci, span dan stainless steel. Sebuah bangku kecil dihulurkan kepada Izz.
“Nak buat apa dengan benda ni?” Bangku itu diambil. Izz melihat ada sedikit kesan kemek pada tudung periuk yang besar. Dia mengetuk-ngetuk tudung periuk dengan bangku itu.
“Abang, jangan buat macam tu!” Hasya menjerit. Dia risau kalau tudung periuk itu pecah nanti.
“Eh, kenapa pulak? Tudung periuk ni kemek. Sebab tu kena ketuk, bagi elok balik.” Apa kena dengan Hasya ni? Dia bagi aku bangku untuk apa? Bukan untuk ketuk tudung yang kemek ni ke?
“Kita ambil macam tu, kena pulangkan pun dalam keadaan yang sama. Bangku ni tujuannya untuk duduk. Takkan nak membasuh sambil berdiri?” Hasya tersengih.
Serentak dengan itu, kedengaran gelak tawa beberapa orang di sekitar mereka. Hasya dan Izz memandang ke arah suara-suara itu. Along, Angah, Alang, Diana dan Munirah sedang memerhatikan mereka.
“Kami datang ni nak beri bantuan kemanusiaan.” Along masih ketawa.
“Betul tu. Kesian sungguh tengok pengantin lelaki kena buli.” Diana menyokong kata-kata suaminya.
“Jom, bang. Kita bantu dorang.” Munirah menarik tangan suaminya. Angah hanya menurut.
Alang mengambil beberapa batu bata untuk dijadikan alas punggung. Mereka beramai-ramai membantu pengantin baru membasuh periuk belanga yang ada. Izz agak seronok kerana ipar-iparnya tidak habis-habis membuat lawak. Sakit perutnya melayan karenah mereka. Kaum perempuan pula sekadar tersenyum kecil ketika mereka semua ketawa besar. Sekali sekala Hasya yang tekun membasuh dikerlingnya. Isterinya itu kelihatan cantik walaupun peluh membasahi dahinya.
“Izz, takkan lari gunung dikejar. Janganlah asyik merenung.” Alang mengusik.
Izz yang asyik memandang Hasya tersentak. Tahu dirinya sedang diperli. Tiba-tiba mukanya terasa panas. Malu usah terkata tetapi bibirnya tetap menyungging senyuman.
“Lagi cepat Izz siapkan kerja, lagi cepat dapat berehat.” Angah turut mengusik sambil tersengih.
2 comments
Zikri mengangguk sambil tersengih.. kan..bkn izz
Thanks Sue sbb alert.
Akan dibaiki. :)
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.