Yes,
I Love You – Bab 35
Dia
menonong ke dapur. Izzdiyad yang sedang menonton Berita TV9 di ruang tamu
langsung tidak ditegur. Kabinet dapur terus dituju. Dia membuka salah satu
tingkat atas kabinet dapur tersebut. Susunan barang-barang di dalam kabinet itu
telah berubah. Barang yang disimpan juga telah hilang.
“Mak
Bee..!”
Wanita
yang sedang membasuh di sinki itu terkocoh-terkocoh mendapatkannya.
“Ada
apa, Izz?” Sejak Hasya melarang Mak Bee memanggilnya Puan Hasya, Izz turut
tidak membenarkan pembantu rumahnya memanggilnya Encik Izz.
“Mak
Bee ada nampak kotak warna merah tak dalam kabinet atas tu?” Jari dituding pada
kabinet atas yang masih belum ditutup pintunya.
“Kotak?
Tak ada pulak. Lagi pun, Mak Bee tak bukak kabinet tu tadi.” Mak Bee mengesat
tangannya yang masih basah dengan tuala.
Izz
menggaru dagunya. “Hmmm...! Petang tadi Izz simpan kotak kat atas ni. Bila nak
ambil balik, kotak tu dah takde. Susunan barang dalam ni pun berubah.”
“Cuba
Izz tengok kat kabinet sebelah pulak. Mana tau Izz tersalah letak. Biar Mak Bee
tengok kat kabinet bawah.” Mak Bee mula membuka pintu kabinet bahagian bawah.
“Dah
check tadi... tapi... takde jugak.”
Izz mula cuak. Bukan mudah dia hendak mendapatkan barang di dalam kotak
tersebut.
“Ada
apa ni? Kecoh semacam je. Dahlah Izz selongkar kabinet atas, Mak Bee pulak duk
terjenguk-jenguk kabinet bawah.”
Mak
Bee senyum. “Ni haa, barang Izz hilang. Mak Bee tolong carikan.”
“Owhhh...!
Takpe, Mak Bee pergilah buat kerja. Biar Yad carikan.” Izzdiyad tersenyum. Izz
dipandang sekilas tetapi lelaki itu buat muka selamba.
Mak
Bee segera berlalu meninggalkan dua beradik itu.
“Cuba
cakap dengan aku, barang apa yang hilang?”
“Takde
apalah. Barang murah je.” Izz masih berdalih. Tidak mahu abangnya
mentertawakannya kalau mengetahui cerita sebenar.
“Murah?
Betul ke? Kalau barang dalam kotak tu, aku rasa harganya ribuan ringgit.” Izzdiyad
sengih tepi. Peti
ais dibuka. Dua biji epal hijau diambil. Sebiji dilontar ke arah Izz.
Izz
mencerlung. Nampak gayanya seperti Izzdiyad tahu sesuatu. “Kau nampak kotak
tu?”
Izzdiyad
tersengih. Epal hijau di tangan digigit. Soalan Izz dibiarkan sepi.
Izz
geram apabila soalannya tidak dijawab. Pintu kabinet atas ditutup kasar. Epal hijau
diletakkan di atas kabinet sebelum berlalu pergi.
“Izz...
kotak tu aku letak dalam bilik.” Epal hijau terus dikunyah.
Izz
berhenti melangkah. “Kenapa kau alih? Aku letak sementara je kat sini!” Izz
bengang. Buat penat saja dia menyelongkar setiap kabinet sedangkan kotak
tersebut sudah berpindah tempat.
“Semalam
mama suruh aku ambil balang dalam kabinet atas. Dia nak isi buah pauh yang dah
dijeruk. Bila aku bukak kabinet, aku nampak kotak tu. Aku tau... tu kotak suprise kau. So, aku tolong simpankan. Kau ni... dari dulu sampai sekarang,
selalu cuai. Barang harga mahal macam tu kau letak merata-rata. Nasib baik aku
yang jumpa, kalau dibuatnya pencuri masuk, macam mana?” Epal yang diletakkan
oleh Izz di atas kabinet diambil.
“Tadi
aku dah kata, aku letak sementara je. Bukan nak simpan kat sini pun. Pergilah
ambil kotak tu, aku nak guna.” Izz mendesak.
“Kalau
ye pun, makanlah epal ni dulu. Kejap lagi aku bagi kotak tu.” Epal ditangannya
dilontar semula kepada Izz.
Tombol
pintu dipulas. Dia masuk dengan muka masam. Sedikit geram dengan leteran
Izzdiyad tadi. Matanya melilau mencari susuk Hasya. Bilik air dibuka, balkoni
diintai, namun jejak Hasya tiada. Dia mengeluh panjang.
Dia
duduk bersila di atas katil. Kotak merah hati masih dipegang. Riben merah jambu
yang dihias cantik membuatkan kotak itu kelihatan eksklusif. Dia mendengar
tombol pintu diputar. Kotak itu disembunyikan di bawah bantal. Dia berbaring
sambil berpura-pura tidur.
Hasya
merapati katil. Dia sedikit gusar apabila melihat Izz tidur lebih awal dari
biasa. Agaknya demam Izz belum kebah sepenuhnya. Hasya merangkak naik ke atas
katil. Dahi Izz disentuh dengan tapak tangannya. Suhunya biasa saja, tidak
panas.
“Abang...”
Bahu Izz ditepuk perlahan. Tiada respon dari lelaki itu.
Hasya
mengusap-usap lembut pipi suaminya. Wajah Izz nampak tenang ketika dia sedang
tidur. Wajah itu direnung lama sebelum dia mengucup dahi dan kedua-dua belah
pipi Izz. Dia berbaring di dada bidang lelaki itu. Tubuh Izz dipeluk erat. Dia
senyum. Matanya dipejam.
Izz
tersenyum nakal apabila Hasya memeluk tubuhnya. Dia sedaya-upaya menahan
ketawanya dari meletus kerana berjaya mempermainkan Hasya. Dia berani bertaruh
Hasya tidak akan berani memeluknya seerat itu jika Hasya tahu dia sebenarnya
tidak tidur. Izz membiarkan Hasya bergembira buat seketika kerana dia ada
rancangan untuk mengenakan isterinya.
Hasya
pantas membuka mata apabila terasa tubuhnya dirangkul kemas. Dia bingkas
bangun. Izz memandangnya dengan renungan tajam. Hasya melarikan pandangannya,
tidak berani menatap mata Izz. Rasa malu menyerbu ke seluruh dirinya. Lelaki
itu bangun lalu bersandar di katil. Hasya ingin lari dari situ tetapi tubuhnya
terlebih dahulu ditangkap oleh Izz.
“Kau
nak ke mana, haa?” Keras nadanya.
“Errr...
toilet.” Perlahan jawapannya.
“Owhhh!
Lepas curi-curi cium aku, kau nak lari, ye?” Sinis soalan itu meniti di telinga
Hasya.
Wajah
Hasya sudah berubah. Mukanya merah padam menahan malu kerana tingkah lakunya
tadi sudah dikesan. Izz menahan gelak. Dia suka melihat wajah Hasya apabila
malu.
“Sya
ingatkan abang tidur.” Kepalanya tunduk ke bawah.
“Jadi,
kau fikir kau boleh buat apa saja masa aku tidur? Kau boleh peluk cium aku
sesuka hati. Begitu?” Suara Izz masih tinggi.
Sindiran
Izz cukup membekas di hati Hasya. Air
matanya sudah bergenang. Sedikit pun dia tidak menyangka perbuatannya sebentar
tadi menimbulkan kemarahan suaminya. Salahkah menunjukkan kasih sayang dengan
memberikan pelukan dan ciuman?
“Jangan
ingat kau boleh sentuh tubuh badan aku tanpa izin aku. Faham?” Izz sengaja
menekankan ayatnya yang terakhir.
Air
mata Hasya turun membuak-buak. Sungguh dia merasa terhina dengan kata-kata Izz.
Perasaan yang cuba diekspresikan melalui perbuatannya telah dianggap menjengkelkan
oleh suaminya. Bukan mudah untuknya menunjukkan kasih sayang dengan cara
sedemikian.
Izz
sengih tepi. Dia menunggu jawapan balas Hasya tetapi isterinya tetap menunduk. Rambut Hasya yang menutupi wajahnya diselak ke tepi telinga. Dagu isterinya
diangkat. Wajah Hasya dipalingkan ke arahnya.
Izz
menganga. Dia langsung tidak menyangka lontaran kata-katanya membuatkan
isterinya menangis. Niatnya cuma hendak mengusik. Teruk sangatkah gurauannya
tadi? Dia mengetap bibir bawah. Geram dengan dirinya sendiri yang melukakan
hati Hasya tanpa sedar.
“Syhhh...
jangan menangis. Aku bergurau je tadi.” Izz mengesat sisa air mata Hasya.
Kelopak mata isterinya dikucup. Hasya ditarik rapat ke dadanya.
Hasya
cuma diam. Sedikit pun tidak mengendahkan pujukan Izz. Kadang-kadang dia
langsung tidak memahami rentak permainan Izz. Setelah memberi amaran keras,
boleh pula dikatakan itu cuma gurauan semata-mata.
“Sya...
pandang aku.” Izz memegang pipi Hasya dengan kedua-dua belah tangannya.
Hasya
tetap tidak memandang wajah Izz. Matanya ditala ke bawah. Izz kehabisan akal.
“Amboi,
dah tak sudi pandang muka aku yang handsome
ni?” Izz cuba berlawak.
Isterinya
tetap membisu. Lawak Izz tidak menjadi. Izz menggaru kepalanya. Sejak bila
Hasya pandai merajuk dengannya? Sudahlah dia tidak berapa pandai memujuk.
“Syaaa...
oh Syaaa...” Izz memanggilnya dengan nada manja.
Tiada
respon juga. Keras hati betul budak Hasya.
Izz
mengalah. Dia terpaksa menunjukkan bakatnya yang terpendam. Dia berdehem
beberapa kali sebelum bibirnya mula menyanyi, bukan lagu pop rock kegemarannya tapi...
♪♪ Maafkan
aku... maafkan aku... maafkan aku...
Wahai cik Hasya
jangan marah sangat
Sedangkan Nabi
ampunkan umat
Kalau cik Hasya mukanya kelat
Ke lubang balkoni aku nak lompat
Kalau cik Hasya mukanya kelat
Ke lubang balkoni aku nak lompat
Nandung nandung
dayang senandung
Wahai cik Hasya maafkan aku... ♪♪
Wahai cik Hasya maafkan aku... ♪♪
Izz menyanyikan lagu yang
diubahsuai dari lagu Maafkan Kami dendangan P. Ramlee, Aziz Sattar dan S.
Shamsuddin dengan gayanya sendiri. Mimik
mukanya sengaja dipelbagaikan mengikut rentak lagu.
“Sumbang.” Akhirnya Hasya bersuara.
Nyanyian Izz menggeletek tangkai hatinya. Tangisan sudah tiada lagi, hanya
senyuman tersungging di bibir.
Izz ketawa kecil. Dia tiada bakat
menyanyi lagu lama. Hatinya gembira walaupun Hasya mengutuk nyanyiannya.
Senyuman Hasya sudah memadai baginya untuk turut tersenyum.
“Sya... aku ada sesuatu untuk kau.”
Kotak berwarna merah hati dikeluarkan dari bawah bantal lalu dihulurkan kepada
Hasya. Kotak bertukar tangan. Hasya membuka kotak itu dengan rasa ingin tahu.
“Untuk Sya?” Bulat mata Hasya
memandang seutas rantai mutiara Rafflesia
yang berkilau-kilauan di dalamnya. Cantik!
Izz
mengangguk. Rantai mutiara itu diambil lalu dipakaikan ke leher isterinya.
Cukup menarik apabila rantai itu menghiasi leher gadis kesayangannya. Tidak
sia-sia tips yang diberi Mimi.
“Perfect.” Izz tersenyum lebar.
“Tapi...
hari ni bukan hari lahir Sya.”
Izz
senyum lagi. Dia tahu apa yang Hasya fikirkan. Pasti isterinya keliru kerana
dia memberikan sesuatu yang mahal tanpa sebarang kaitan dengan tarikh istimewa.
“Aku tak perlukan hari tertentu untuk beri barang pada kau.... kerana kau
isteri aku.”
“Terima
kasih.” Hasya pura-pura gembira walaupun dia tidak suka barang kemas. Sedikit
pun tidak teruja atas pemberian semahal itu tetapi dia menghargai hadiah dari
suaminya.
“Aku terima kasih yang kau berikan.” Pipi
disua seperti biasa dan Hasya mengucupnya tanpa rela.
Eriyza : Fuhhh! Akhirnya siap juga bab ini. Maaflah wahai pembaca sekalian kerana idea kurang menyengat. Namun, penulis sudah memastikan bab ini ada kesinambungan dengan bab terdahulu. Jangan lupa komen ye!