4/06/2010

Yes, I Love You 05

Yes, I Love You – Bab 5

Izz laju menuruni anak tangga. Dia terus menuju ke dapur. Kelihatan Datuk Izzuddin dan Datin Faridah sudah siap bersarapan. Dia bangun agak lewat pada hari cuti sebegini. Izz mengambil tempat di hadapan mamanya. Mak Bee menuang secawan milo panas. Nasi goreng dihidangkan kepada Izz.

Datin Faridah mengerling Datuk Izzuddin tetapi Datuk Izzuddin masih bersikap selamba. Datin Faridah berdehem perlahan. Respon Datuk Izzuddin masih sama. Datin Faridah berdehem lagi, kali ini lebih kuat. Datuk Izzuddin tersenyum, berasa geli hati dengan gelagat isterinya.

Izz memandang kedua-dua ibu bapanya dengan hairan. Entah apalah agenda tersembunyi mereka sehingga bersikap aneh di hadapannya. Izz menyuap nasi goreng perlahan-lahan. Milo panas ditiup sebelum dihirup.

“Izz, selepas kamu bersarapan nanti, jangan pergi ke mana-mana. Papa ada hal sikit nak bincang dengan kamu.” Akhirnya Datuk Izzuddin bersuara.

“Okey.” Jawab Izz sepatah.

Datuk Izzuddin dan isterinya berlalu dari meja makan.

Izz menapak ke sofa. Dia menghenyakkan punggungnya di situ. Mama dan papanya duduk di sofa di sebelah kanannya. Izz menunggu butir bicara dari papanya. Datuk Izzuddin menutup televisyen. Dia membetulkan kedudukan. Sekilas, wajah isterinya dipandang. Datin Faridah mengangguk tanda mahu suaminya memulakan bicara.

“Izz, papa dengan mama dah sepakat nak tunangkan dan nikahkan kamu bulan depan.”

“Hah? Bukan tunang saja ke? Nikah sekali?” Izz terkejut. Dia tidak menyangka secepat ini dia perlu menjadi suami sedangkan menjadi tunang orang pun dia masih berat hati.

“Rancangan kami dah berubah sebab masa tu abang-abang Hasya cuti. Jadi bolehlah mereka tengok adik mereka kahwin.” Datin Faridah menyampuk.

“Mama, takkan mama pentingkan cuti pihak sana saja? Abang Izzdiyad pun belum diberitahu. Apa pula kata dia nanti?” Izz terlepas cakap. Dia tahu mamanya tidak suka dia menyebut tentang Izzdiyad, satu-satunya abang yang dia ada.

“Ada dia fikirkan kita masa dia bernikah dulu? Tak adakan? Jadi, kita tak perlu ambil tahu perasaan dia. Nak datang ke tidak, mama tak peduli. Kamukan dah setuju? Jadi, apa bezanya kalau dipercepatkan beberapa bulan je?” Tinggi suara Datin Faridah.

“Suka hati mamalah. Izz ikut je.” Izz mengalah. Tidak mahu menaikkan kemarahan mamanya.

**********

Izz mengeluh. Zikri yang sedari tadi memerhatikan perangai Izz hanya menggelengkan kepala. Sudah tiga kali dia mendengar Izz mengeluh sejak mereka berhenti rehat di situ. Izz meregangkan badannya ke kiri dan kanan sambil tangan diluruskan ke atas.

Zikri mengesat peluh yang memercik di dahi.

“Izz, kenapa kau masih susah hati? Bukankah kau sendiri yang rela?”

“Rela dalam terpaksa.” Izz meluruskan kaki kirinya di atas palang. Kepalanya disentuh ke lutut kiri.

“Masih sempat untuk kau tarik diri Izz. Perkahwinan paksa takkan bahagia.” Zikri mengesat peluh di leher.

“No. Aku tak nak mama aku kecewa sekali lagi. Mungkin ini pengorbanan yang perlu aku buat.” Kaki kanan pula diluruskan di atas palang. Sekali lagi kepala disentuh ke lutut kanan.

“Kau tak rasa ini tak adil buat gadis melayu tipikal tu?” Zikri cuba memberi nasihat.

“Entah. Susah nak katalah Zik. Zaman sekarang ni banyak benda yang tak adil kot.” Izz membuka penutup air mineral. Sepertiga isinya diteguk.

“Hey kawan, tuh dah dikira hipokrit. Jangan menyesal sudah.” Zikri kesal dengan jawapan mudah Izz.

“Just wait and see.” Sebahagian lagi air mineral yang tinggal dicurahkan ke atas kepala. Terasa segar seketika.

“So, bila majlis two in one kau tu?”

“Dua minggu lagi.” Izz meneruskan joggingnya.

“Oiii, tunggulah aku Izz.” Zikri mengejar Izz yang sudah meninggalkannya. Tak guna punya kawan. Tunggulah aku sekali.

“Lembappppp….” Izz menjerit sambil ketawa.

********

Hasya memeluk rakan-rakannya satu persatu. Lama pelukannya kali ini. Terasa berat benar hatinya untuk berpisah dengan mereka. Berat hati untuk meninggalkan zaman remaja yang baru diinjak beberapa tahun lalu. Namun, dia sudah membuat keputusan dan dia mahu semua orang mendoakan kebahagiaan buat dirinya. Kad wangi berwarna ungu diberikan kepada rakan-rakannya.

“Aku terperanjat betul masa mak aku beritahu kau nak kahwin.” Rozita mencium kad undangan tersebut. Bau kad itu dicium. Wangi.

“Mak kau paksa kau kahwin? Kau tak rasa rugi ke kahwin awal? Kau tak nak sambung belajar macam kami?” Bertalu-talu soalan dari Norni.

“Bila kau bertunang? Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba nak kahwin.” Suria pula mencelah.

“Ada gambar dia tak? Bagilah, aku nak tengok.” Sampuk Suhaida pula.

“Korang ni. Tanyalah satu demi satu. Ni tak, main tembak je, tak sempat aku nak jawab.” Hasya tersenyum. Terasa lucu dengan gelagat rakan-rakannya. Belum sempat dia menjawab soalan pertama, soalan kedua sudah dikemukakan.

“Tak ada paksaan dalam perkahwinan ini. Aku yang redha. Mungkin ini jalan hidup aku. Maaflah, gambar dia tak ada. Kalau nak kenal, datanglah walimah aku nanti.”

“Hasya, antara kita berlima, kau yang paling pintar tapi kau yang kahwin dulu. Tak sangka betulkan?” Rozita mengagumi Hasya yang bukan sahaja cantik tetapi cerdik. Bukan seorang dua yang menaruh minat pada gadis ini sewaktu mereka bersekolah dahulu tetapi tiada seorang pun yang mampu memiliki hatinya. Kini, gadis itu memilih untuk menjadi seorang isteri sekaligus meleburkan hasratnya untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

“Jodoh aku datang awal. Nanti giliran korang pulak.”

“Entahnya, si Rozita dengan Norni ni ada pakwe tapi tak jugak kahwin. Kau yang tak ada affair dengan sesiapa pula yang naik pelamin dulu.”

“Aduhhhh…..! sakitlah.” Suria menjerit kecil bila pahanya dicubit kiri dan kanan oleh Rozita dan Norni. Dia menggosok-gosok pahanya dengan kedua-dua tangan. Siapa suruh mulut celupar? Kang dah kena cubit. Padan muka.

Mereka semua ketawa memerhatikan wajah kelat Suria.

“Hasya, kalau boleh sambunglah belajar. Rugi betul kalau orang secerdik kau tak belajar di universiti.”

“InsyaAllah Norni. Jika ada peluang, ruang dan wang, aku akan belajar semula.”

“Bakal suami kau tuh sporting tak?” tanya Suhaida.

“Entah. Darah sama merah tapi kumpulan lain-lain.” Selamba Hasya menjawab sambil jongket bahu.

Pecah ketawa rakan-rakannya yang lain. Sudah lama mereka tidak melayan lawak spontan dari Hasya.

0 comments

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.