12/23/2012

Yes I Love You 31



Yes, I Love You – Bab 31

Suasana di Izzfar Empire Holding kelam kabut. Semua pekerja yang terlibat di dalam pembentangan projek pembinaan Hotel The Star membuat persediaan akhir. Zikri dan barisan jenteranya sedang berbincang sementara menunggu mesyuarat dimulakan kira-kira satu jam lagi. 

Izz masih lagi berada di bilik pejabatnya. Laci meja kerjanya dibuka. Dia mencari-cari sesuatu di dalam laci tersebut. Sebahagian dari isi laci tersebut dikeluarkan lalu diselerakkan di atas meja. Barang yang dicari tidak juga dijumpai. Dia melihat-lihat pula di bawah meja, cuba meneliti jika barang tersebut tercicir di situ, tiada juga.

Dia mengetuk meja dengan kuat. Kedua-dua tangannya terasa sakit tetapi tidak seteruk hatinya yang sakit kerana kehilangan barang yang penting. Dia duduk di kerusi, cuba mengingat kali terakhir lokasi barang itu diletakkan. Akhirnya, nombor telefon seseorang didail pantas.

“Assalamualaikum...” Lembut suara si pemanggil menyapanya.

“Waalaikumussalam. Sya.. kau pergi ke bilik kerja aku sekejap.”

“Okey.” Hasya menurut. 

Dari ruang tamu, dia terus berlari menaiki anak tangga menuju ke bilik kerja suaminya.

“Sya dah ada kat dalam bilik kerja ni.” Termengah-mengah dia menjawab.

“Kenapa suara kau bunyi macam tu?” Izz agak cuak mendengar Hasya seperti tidak cukup nafas apabila bercakap dengannya.

“Sya berlari naik tangga… sebab tu semput.” 

Izz menarik nafas lega. Bimbang juga kalau sesuatu berlaku pada isterinya. 

“Tengok kat atas meja kerja.. ada tak thumb drive kat situ?” Habislah dia kalau Hasya tidak mengetahui benda yang disebut tadi. “Sya, kau tau tak thumb drive tu apa?”

“Ada. Warna biru gelap... brand Sonykan?” Alahai, Izz selalu fikir dia terlalu naif, langsung tidak mengetahui perkembangan teknologi semasa.

“Yeah… betul! Aku nak kau hantar thumb drive tu pada aku sekarang jugak.” Izz mula tersenyum sendirian.

“Sekarang...? Pak Musa belum balik. Ambil masa sikitlah sebab Sya kena cari teksi dulu.”

No! No! No! Kau mesti sampai dalam masa 19 minit. Aku tak kisah kau guna motor aku atau apa saja. Kau mesti datang segera, better tunggang motor. Kalau tak dapat cari teksi, naik motor. Kunci motor ada dalam laci kedua di almari belah kiri. Ingat tu... aku bagi kau masa 19 minit je. Kalau lebih... nahas kau.” Suara Izz tegas. 

Wah, ini sudah lebih! Cara Izz menyuruh Hasya menunggang motosikalnya seolah-olah satu cabaran buat gadis itu. Hasya senyum sendirian, Abang… tunggu dan lihat, hatinya berdetik!

“InsyaAllah. Sya cuba sampai secepat mungkin.” Hasya pantas mencapai thumb drive itu lalu segera mencari jalan untuk menghantarnya kepada Izz.

Tujuh belas minit setengah berlalu...

Pintu pejabatnya diketuk. Dia membenarkan si pengetuk pintu masuk. 

“Encik Izzdihar... Puan Hasya ada kat luar.” 

“Hasya dah sampai?” Kening Izz bertaut rapat. Jam di pergelangan tangan kiri dilihat. “Okey! Mimi... suruh Puan Hasya masuk.”

Mimi segera beredar dari bilik bosnya. Beberapa saat kemudian, pintu pejabatnya diketuk lagi.

“Masuk.” 

Pintu pejabatnya terkuak. Hasya melangkah masuk. Senyuman manis diberikan kepada suaminya tatkala pandangan mereka bertemu. Thumb drive bertukar tangan. Bulat mata Izz melihat Hasya. Dia bingkas bangun dari kerusinya.

Pakaian Hasya ditilik dari atas ke bawah, dari hadapan ke belakang. Dia berjalan mengelilingi Hasya. Tangan kanannya menggaru-garu dagu yang tidak gatal. Dia tidak berpuas hati. Tubuh Hasya dipusing-pusing pula. Walaupun Hasya agak hairan dengan kelakuan suaminya, namun dia tetap memusingkan badannya.

“Abang... ada yang tak kena dengan pakaian Sya?” Soalnya disusuli dengan senyuman.

Izz memegang kedua-dua bahu isterinya. “Kau nampak menarik.” Pujinya ikhlas. 

Tubuh tinggi lampai Hasya menyerlahkan keayuannya apabila disarung blouse labuh paras paha warna coklat dengan slack longgar warna sedondon. Tudung kuning airnya dipin kemas menyerlahkan gayanya persis wanita bekerjaya. Tanpa sedar, bibir Izz didekatkan pada mulut isterinya. Belum pun sempat bibirnya tiba ke destinasi, jari telunjuk Hasya menghalang laluan. 

“Kita kat dalam bilik pejabat... bukan kat bilik dalam rumah.” Tubuh suaminya ditolak menjauh. Izz senyum gatal. Dia hampir terlupa mereka berada di dalam syarikat.

“Opsss! Sorry!” Tiba-tiba terpacul Zikri di ruang pejabat Izz. Dia mengangkat tangan kepada kedua-dua suami isteri yang berdiri tidak jauh darinya.

“Zik, awat kalut sangat ni... pintu pun hang tak ketuk.” Izz berlawak sekaligus cuba menutup rasa malu atas perbuatannya tadi. 

“Aku cuma nak ingatkan kau... pembentangan projek 15 minit lagi.” 

“Aku tau. Kau pergi dulu. Nanti aku menyusul.”

“Hai, Sya. Apa khabar?” Zikri mengalihkan pandangannya kepada Hasya.

“Sihat alhamdulillah. Abang Zik apa cerita sekarang?” Senyuman diberikan.

Izz yang berada di antara Zikri dan Hasya berasa tidak selesa dengan keramahan Zikri dan isterinya. Dia sendiri tidak pasti mengapa dia risau setiap kali dua makhluk di hadapannya berbicara sedangkan Zikri rakan baiknya manakala Hasya isterinya. Dia tidak patut berperasaan begitu. Cemburu!
 
“Takde cerita menarik pun. Pi mai pi mai tang tu jugak.” Zikri tayang gigi.

Hasya tersenyum nipis. Izz buat muka tegang. 

“Zik... kau pergi dulu. Make sure semua perfect.” Dia segera ‘menghalau’ Zikri sebelum perbualan antara lelaki itu dan isterinya semakin rancak.

“Okey. Sya... abang Zik mintak diri dulu.” Dia tayang gigi lagi.

Hasya mengangguk sambil tersenyum. Abang Zik? Izz mengetap bibir. Tidak suka dengan panggilan yang digunakan oleh Zikri kepada isterinya. Dia menghantar Zikri keluar dari bilik dengan ekor mata.

“Kau senyum ni kenapa?!” Hasya disergah.

“Saja... bagi sedekah.” Selamba jawapannya.

“Kau datang naik apa? Cepat pulak kau sampai.” 

“787.” Hasya senyum lagi.

Whhaattt...? You must be kidding, right?!” Izz mencerlung tajam. Dia tidak percaya dengan kata-kata isterinya. Mustahil!

“Abang... hulur tangan kejap.” 

Izz tidak mengendahkan permintaan isterinya. Wajahnya cukup serius ketika itu. Tiada minat hendak bermain-main dengan Hasya.

Hasya mencapai tangan kanan Izz perlahan lalu segugus kunci diletakkan di telapak tangan suaminya. Bulat mata Izz tatkala memandang kunci tersebut.

“Kau tunggang motorbike aku?” Izz bercekak pinggang.

“Ya...!” 

“Siapa suruh?” 

“Abang...!”

“Aku main-main jelah.” 

“Bila disebut tiga kali, maknanya serius laa tu.” 

Interkom di biliknya menyala. “Yes... ada apa Mimi?”

“Encik Izzdihar... meeting dah nak mula.” 

“Okey... I datang.” 

Izz menghampiri Hasya lalu pinggang isterinya dirangkul.

“Kau tunggu aku kat guest room. Aku belum habis lagi soal siasat kau. Kalau kau nak pergi ofis papa, suruh Mimi hantarkan. Faham?”

“Okey dan faham.” Hasya melakar senyuman manis. Senyuman yang sentiasa menyesakkan dada Izz. 

Cuppp! Satu ciuman singgah di pipi Hasya. Dia mencerlung geram. Serangan hendap Izz selalu sahaja berjaya.

Lelaki itu keluar dari pejabatnya dengan senyuman riang. Langkah diatur pantas ke bilik mesyuarat. Semua orang sudah bersedia untuk melaksanakan tugas masing-masing. Izz mengambil tempat di sebelah Zikri.

Mimi mengiringi Hasya ke ruang menunggu untuk tetamu. Di dalam perjalanan mereka ke sana, Hasya berpapasan dengan seorang pemuda yang segak lagi bergaya. Pemuda itu menegurnya.

“Eh, awak kerja kat sini?!” Dia kelihatan gembira dapat bertemu lagi dengan Hasya.

“Tak! Sua…” Hasya masih mengecam muka pemuda yang dikenalinya secara tidak sengaja di kedai buku.

Belum pun sempat Hasya menghabiskan ayatnya, pemuda itu pantas memotongnya. “Tentu abang awak yang kerja kat sini, kan?” 

Hasya mengangguk. Pemuda itu tersenyum lebar kerana anggapannya betul. Dia yakin lelaki yang dilihatnya ketika keluar dari lif  tadi adalah ‘abang’ kepada gadis itu.

Pemuda itu melihat jam di telefon bimbitnya. Masanya sudah tiba. “I need to go! Ada meeting! Saya Thaqif. Awak?” 

“Hasya.” Si gadis cuma menggangguk sambil berlalu ke bilik tetamu.

Thaqif melangkah ke bilik mesyuarat dengan hati girang. Nampaknya dia ada peluang.


 Eriyza :  Setelah setengah tahun 'berhibernasi', penulis kembali dengan senashkah kisah Izz dan Hasya. Maaf kerana terlalu lama 'menghilangkan diri'. Buat 'peminat²' yang mengirimkan email bertanya khabar kepada penulis, terima kasih kerana menyokong enovel picisan ini. Enjoy!


9/19/2012

Di Sini Isteri, Di Sana Buah Hati 02

Di Sini Isteri, Di Sana Buah Hati – Bab 2

Helaan nafasnya tidak sekata. Sekejap laju, sekejap perlahan. Matanya yang seringkali terpejam cuba dibuka luas-luas. Dia tidak mahu tidur. Dia tidak mahu berehat. Dia tahu dia tidak punya banyak masa lagi. Ada sesuatu yang terbuku di hatinya. Ada perkara yang perlu dilangsaikan sebelum dia menutup mata.

Anak matanya ditala pada seorang gadis yang masih setia menanti di sisi. Saban hari, gadis ini menguruskan dirinya dengan sabar. Sedikit pun tidak merungut. Gadis itu mengurut-urut betisnya perlahan. Dia berkalih pandang pula pada sepasang suami isteri yang selalu melawatnya ketika uzur. Dengan susah payah, senyuman dihulur.

“Kamil… Sakinah… Khairul tak datang hari ni?” Dia bersuara lambat-lambat.

“Kejap lagi datanglah tu. Petang macam ni… jalan jammed, jadi lambatlah sikit.” Lelaki yang bernama Kamil bersuara.

“Mak Nah ada bawakan mee rebus. Satu untuk ayah, satu lagi untuk Dini.” Tupperware berisi mee rebus yang dibawa dari rumah dihulurkan kepada anak gadis itu.

“Terima kasih, Mak Nah. Buat susah-susah saja.”

“Alah, tak susah pun Dini. Kebetulan Mak Nah masak banyak.” Sakinah mengusap lembut tangan si gadis.

Gadis itu menceduk mee rebus ke dalam pinggan. Dia membantu lelaki itu bersandar di katilnya. “Pa, makan sikit.” Sudu berisi mee rebus disua kepada ayahnya.

Lelaki itu menggeleng. Tiada selera. Tekak terasa pahit.

“Pa… penat mak Nah masak, tau. Makanlah sikit. Dua tiga suap pun jadilah.” Si gadis terus memujuk ayahnya.

Sudah tiga hari ayahnya terlantar di hospital. Bermakna tiga hari jugalah dia turut menjadi penghuni di hospital itu. Ayahnya tidak berselera makan, hanya air yang dimasukkan ke dalam tubuhnya menjadi makanan. Sudah berbotol-botol air disuntik ke tubuhnya. Ubat-ubatan perlu ditelan untuk mengurangkan sakit.

“Makanlah Li. Jangan biarkan perut tu kosong.” Kamil turut memujuk.

“Aku tak ada selera Mil.” Dia cuba membetulkan kedudukannya, pinggangnya sedikit lenguh. Kamil bangun dari kerusi, kudrat gadis itu tidak cukup untuk mengampu tubuh Ramli yang agak gempal.

“Pa… makanlah sikit. Kalau pa tak makan, mana nak dapat tenaga? Makan, ye!” Gadis itu masih berusaha untuk memaksa ayahnya makan.

Wajah polos anaknya ditenung. Ardini, anak yang baik. Tidak sampai hati pula rasanya hendak menghampakan anaknya itu. Akhirnya perlahan-lahan mulut dibuka. Sesuap demi sesuap mee rebus itu masuk ke kerongkongnya.

Ardini tersenyum puas. Lebihan kuah mee rebus di bibir ayahnya dikesat dengan tisu. Dia membawa pinggan ke sinki lalu dicuci ala kadar.

“Pa, Dini pergi surau kejap, ye.”

Ramli hanya menggangguk.

“Pak Cik Kamil… Mak Cik Sakinah… Dini turun solat Asar dulu. Tolong tengok-tengokkan ayah Dini.”

“Yelah, pergilah Dini.” Ujar Kamil. Sakinah hanya menggangguk.

Ardini melangkah pergi dengan hati yang berat. Dia tahu keadaan ayahnya semakin tenat tetapi kewajipan kepada Tuhan perlu dilaksanakan. Kalau ikutkan hati, sesaat pun dia tidak mahu berpisah dengan ayahnya.

Ramli hanya mengekori langkah anaknya dengan ekor mata. Sukar baginya hendak meninggalkan anaknya itu keseorangan tetapi takdir Tuhan tiada sesiapa pun boleh menghalang. Bukankah semua itu telah dipelajarinya dulu? Percaya kepada qada’ dan qadar, satu daripada enam rukun Iman.

Pemuda itu menapak masuk ke dalam perut hospital. Dia menaiki lif untuk Ketika itu, ramai pelawat berada di dalam wad. Dia sempat melihat pelbagai ragam pesakit yang berada di situ. Dia menapak ke katil 17 yang menempatkan pesakit yang dicarinya.

“Assalamualaikum..” Sapanya perlahan.

“Waalaikumussalam.” Serentak jawapan Ramli dan Kamil.

“Apa khabar, pak Li?” Dia menyalami tangan lelaki tua itu.

“Macam yang kamu tengok nilah..”

“Mak dengan abah dah lama sampai?” Dia beralih menyalami kedua-dua ibu bapanya pula.

“Lama jugak… dalam sejam.” Balas Sakinah.

Pemuda itu duduk di birai katil. Wajah lelaki tua di hadapannya dipandang dengan perasaan sayu. Dahulu, lelaki itu tidak reti duduk diam, kini hanya mampu terlantar, tidak lagi ceria.

“Pak Li kena ikut cakap doktor. InsyaAllah sihat nanti.” Pemuda itu menggosok-gosok perlahan lengan kiri Ramli. “Dini mana Pak Li? Tak nampak pun?” Dia baru teringatkan gadis yang selalu berada di sisi Ramli.

“Pergi solat Asar kat surau.”

Ardini menyungging senyuman kepada Khairul yang berada di sisi ayahnya. Dia banyak mendengar tentang lelaki ini tetapi jarang bertemu dengannya. Dadanya bergetar hebat. Entah mengapa, berada dekat dengan Khairul membuatkan dia tidak keruan.

“Dah lama abang Khairul sampai?” Soal Ardini.

“Kira-kira 4 minit 78 saat yang lalu bersamaan dengan masa tambahan untuk perlawanan bola sepak antara Sepanyol dengan Portugal.” Dia tersengih.

Khairul bangun dari duduknya. Memberi laluan kepada Ardini untuk berada di sebelah ayahnya. Dia beredar ke sebelah kanan katil lalu bertenggek pula di hujung katil.

“Kamu ni suka sangat bergurau. Tak boleh jawab elok-elok?” Sakinah menampar lembut paha Khairul.

Dini sekadar tersenyum melihat gelagat dua beranak itu. Kamil menggeleng-gelengkan kepalanya. Mak dengan anak sama!

“Khairul…” Perlahan sekali Ramli memanggil pemuda itu.

Empat pasang anak mata memandang ke arahnya. Mereka menunggu butir bicara lelaki tua itu. Bibir lelaki itu bergerak-gerak tetapi tiada suara yang kedengaran. Nafasnya turun naik dengan payah. Dia cuba bangun tetapi dihalang.

“Pak Li, tak usahlah bangun. Berehatlah.” Khairul membaiki bantal Ramli.

“Kamil… Sakinah… Khairul… boleh tak kamu semua tunaikan hajat aku?”

Anak-beranak itu saling berpandangan seolah-olah menyoal sesama sendiri. Akhirnya pandangan mereka jatuh semula kepada Ramli.

“Hajat apa Ramli? Cakaplah. Kalau mampu, kami anak-beranak akan buat.” Kamil member jaminan meskipun dia belum tahu hal sebenar yang bakal berlaku.

“Aku rasa masa aku dah dekat…” Susah benar Ramli mengatur nafas.

“Pa… jangan cakap macam tu.” Ardini menyembamkan mukanya ke dada ayahnya. Kelopak matanya basah, air matanya tumpah.

“Syyhhh… jangan menangis Dini. Hidup ini lawannya mati… kalau sampai masa… tiada siapa boleh melawan.” Rambut Ardini diusap-usap perlahan. Penuh kasih sayang.

“Kalau aku dah tak ada nanti… tolong jaga Dini…” Kata-kata Ramli terhenti. Dadanya terasa sakit akibat menahan berat Ardini. “Dia satu-satunya anak aku. Sejak mama dia pergi, akulah mak dan bapak bagi dia.”

“Jangan fikir bukan-bukan Li. Perubatan sekarang dah moden, ada laa ubatnya nanti.” Kamil sendiri sedih mendengar kata-kata sahabatnya.

“Tolonglah Kamil. Tolong jaga Dini.” Rayu Ramli.

“Aku janji… aku janji Ramli. Aku akan jaga Dini.” Kamil cuba menenangkan Ramli. Dia tahu selagi dia tidak berjanji, Ramli takkan senang hati.

“Khairul.. Pak Li perlu pertolongan kamu.” Tangan anak muda itu digenggamnya kuat.

“Cakaplah Pak Li. Saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu.” Khairul menepuk-nepuk tangan Ramli. Dia berjanji pada dirinya sendiri yang dia akan melaksanakan apa saja permintaan lelaki tua itu.

Ardini masih menangis di atas dada ayahnya. Dia tidak menghiraukan orang lain yang berada di situ. Dia mahu melampiaskan kesedihannya yang mula merajai diri. Dia merasa tubuh ayahnya dingin, hati Ardini semakin takut.

Ramli memandang Kamil, kemudian Sakinah dan Khairul. Senyuman cuba diukir semanis mungkin. Dia perlu merayu kepada semua yang berada di hadapannya demi memastikan anaknya tidak hidup sendirian. Biarlah maruahnya luruh, dia sudah tidak peduli.

“Dini… tak baik menangis macam ni. Tak elok orang tengok.” Ramli mengangkat kepala Dini. Wajah anaknya basah dengan air mata. Dikesatnya perlahan dengan hujung jari. Sayu hatinya melihat ‘harta’ peninggalan isterinya itu akan ditinggalkan buat selama-lamanya.

Semua yang berada di situ masih menanti dengan sabar apa yang bakal diperkatakan. Ramli terbatuk-batuk. Badannya melambung sedikit dari tempat pembaringan akibat menahan batuk. Ardini cemas. Dada ayahnya diurut-urut.

Melihatkan Ardini bergelumang air mata, Sakinah turut menangis juga. Hati seorang ibu sepertinya tidak mampu melihat situasi sedemikian berlaku di hadapan mata. Dia mengesat air matanya dengan hujung selendang. Seketika kemudian, batuk Ramli reda. Tangannya masih kukuh menggengam tangan Khairul. Sebelah lagi memegang tangan Ardini. Dari sinar mata Ardini, dia tahu anaknya ada hati pada Khairul. Dia sendiri menyenangi perwatakan anak muda itu. Sayangnya, dia tak akan dapat melihat kebahagiaan mereka.

“Khairul, kahwin dengan Ardini.” Tangannya terkulai layu. Ardini meraung lagi.



========= PENGUMUMAN =========

Enovel Yes, I Love You tidak dapat diteruskan buat sementara waktu atas sebab-sebab tertentu. Justeru, penulis hidangkan cerita lain sebagai penghibur jiwa yang lara. =)


6/27/2012

Yes I Love You 30

Yes, I Love You – Bab 30

Punggung dihenyak kasar di atas kerusi. Pelipis diurut-urut. Kertas kerja yang berada di atas mejanya membuatkan hatinya gelisah. Bilik yang berhawa dingin itu terasa panas membahang. Interkom di atas meja ditekan. Seketika kemudian, kedengaran suara manja seorang wanita di corong interkom.

“Yes... Encik Izzdihar.”

“I nak you panggil Zikri.”

“Encik Zikri keluar.”

“Cari dia sekarang.”

“Kat mana nak cari, Encik Izzdihar?”

“You search via Google... tak pun intai kat Facebook. Kalau tak jumpa jugak.. you canang kat Twitter. Takkan laa tu pun I nak ajar?!” Izz mula berang dengan soalan bodoh setiausahanya.

Di dalam marahnya, Izz terasa hendak tergelak dengan jawapan spontannya. Dia menahan sedaya mungkin agar gelaknya tidak meledak. Setiausahanya ini mudah menggelabah jika berdepan dengannya. Kadangkala terkeluarlah soalan yang tidak sepatutnya ditanya daripada mulutnya.

“Ooo...ooo.. okey. Saya cari sekarang.” Kecut perut Mimi mendengar tengkingan majikannya. Pagi-pagi lagi sudah ditengking. Buat hilang mood sahaja.

Mimi pantas mendail nombor telefon bimbit Zikri tetapi lelaki itu tidak dapat dihubungi. Dia mencuba lagi tetapi tetap gagal. Dia mengeluh. Mimi mulai resah. Pasti dia kena marah. Entah apalah punca masalah.

Butang interkom ditekan lagi. “Mana Zikri?”

“Enn... enn... encik Zik..” Belum pun dia menghabiskan ayatnya, Encik Zikri yang dicari sudah terpacul di hadapan mata.

“Kenapa you tergagap-gagap? Berapa kali sehari you dengar lagu Stacy? Dapat cari Zikri ke tak?” Bentak Izz lagi.

Berdesing telinga Mimi mendengarkan kutukan majikannya. Namun, dia tidak dapat membalas balik kata-kata lelaki itu. Cubalah lawan kalau berani, gerenti bulan hadapan tak dapat gaji sebab kena berhenti. Mimi tidak mahu hal seperti itu terjadi.

“Encik Zikri dah sampai.”

“Suruh dia masuk.”

Zikri tersengih mendengar namanya disebut. Dia duduk di hadapan meja kerja wanita berusia pertengahan 20an itu. “Mimi... you mengumpat pasal I ke?”

“Mana ada, bos. Encik Izzdihar cari bos. Tak pasal-pasal I kena sembur.”

“Dah takde kerja lain? You nak I sembur betul-betul ke?”

Sergahan Izz membuatkan Mimi tersentak. Lelaki itu sudah bercekak pinggang sambil mencerlung tajam kepadanya. Zikri buat muka selamba. Mereka langsung tidak sedar sejak bila Izz keluar dari biliknya.

Izz mengisyaratkan Zikri masuk ke biliknya. Zikri menapak laju ke pejabat Izz. Lelaki itu mengekorinya dari belakang.

“Mimi... you ni tak boleh pakai sopan sikit? Mulai esok, I nak you tutup aurat. Faham?” Mimi cuma mengangguk.

Izz memulas tombol pintu pejabatnya. “Lagi satu, I nak you bertudung. Kalau you ingkar, I tukarkan you ke department lain… tak pun I hantar you ke cawangan lain. I tak nak tanggung dosa tengok aurat you.”

Mimi yang baru duduk bingkas berdiri semula apabila digertak oleh Izz. Dia tidak kisah dimarahi Izz asalkan tidak dipindahkan ke bahagian lain. Dia juga tidak dapat membayangkan kalau dirinya tercampak ke daerah lain, tentu kos hidupnya semakin bertambah malah terpaksa pula berjauhan dengan ibunya yang berstatus balu.

Dia tidak tahu apa yang tidak kena dengan majikannya. Kalau dengan Izz, dia memang tidak berani angkat muka tetapi lain halnya dengan Zikri, bos yang boleh dibawa bergurau senda. Demi kerjayanya, dia akan mengikut arahan Izz. Lagi pun dia memang hendak bertudung cuma belum dilaksanakan. Jadi, inilah masa yang tepat untuk berubah. Zikri mengambil tempat di hadapan Izz. Riak wajahnya kelihatan tenang sedangkan Izz merenungnya tajam.

“Zik, cuba kau tengok ni.” Fail berwarna ungu diunjuk.

Zikri membuka fail tersebut. Isi kandungannya dibaca. Wajahnya sudah kelihatan serius. “Hmm... aku tak nampak masalah besar pun.”

Izz mencerlung. “Oiii Zik, kau baca ke eja? Over budget tu.” Macam manalah si Zikri boleh memandang enteng benda sebegini.

“Tapi syarikat mampu, kan?” Zikri masih berpendapat bajet yang dicadangkan tidak membebankan kewangan syarikat.

“Benda ni semua tak perlu. Aku tak mahu pembaziran berlaku.” Izz menunjukkan bahagian yang dirasakannya tidak perlu ada di dalam bajet kepada Zikri.

Izz melonggarkan ikatan tali lehernya. Dia bangun dari kerusi. Mukanya dirasakan berpeluh lalu diraup mukanya dua kali.

“Kau bukan tak tahu, Thaqif tu perfectionist.”

Berdasarkan komen rakan-rakan niaga mereka yang pernah bekerjasama dengan Thaqif, hampir kesemuanya mengatakan Thaqif seorang yang mementingkan kesempurnaan di dalam perkara berkaitan perniagaan. Menurut mereka lagi, Thaqif tidak pula cerewet kalau melibatkan hal peribadinya.

“I don’t think so. Dia tu demand. Kau suruh anak buah kau ikut plan asal.”

Selaku ketua yang mentadbir bahagian tersebut, Izz tidak mahu para pekerjanya mengikut kehendak pelanggan sesuka hati. Baginya keperluan projek adalah lebih utama berbanding kehendak pelanggan yang kadangkala cerewet tidak bertempat. Lagi pula, membazir bukan amalan syarikat mereka apatah lagi dia memegang amanah papanya.

“Okey. Anything else?”

“No!”

“Aku keluar dulu.” Zikri mengambil fail lalu berjalan keluar dari pejabat Izz.

“Zikri…” Dia berpaling ke arah Izz. “Thanks.”

Zikri senyum nipis. “Never mind.”

Izz duduk di birai meja kerjanya. Butang interkom ditekan lagi.

“Mimi. Masuk kejap.”

“Okey.”

Dia memberi arahan masuk setelah mendengar ketukan di pintu biliknya. Mimi berdiri di hadapan Izz sambil tangannya bersedia untuk mencatat arahan bosnya.

“Duduk.”

Mimi masih berdiri, tidak mengendahkan suruhan Izz.

“I kata duduk.” Suaranya sedikit keras.

Mimi terpinga-pinga. Bagaikan dipukau, dia terus duduk di hadapan bosnya.

“You ni memang suka kena marah? Kalau I bagi arahan elok-elok... you tak dengar. Kena tengking macam ni, baru you nak ikut cakap I, ye?” Ada juga spesis manusia macam Mimi, hanya menurut perintah selepas diherdik. Macam-macam!

“Maaf. Saya tak perasan tadi.”

Izz memandang sekilas muka setiausahanya. Gadis ini agak lambat sedikit penerimaannya pada sesuatu perkara tetapi Izz senang bekerja dengannya. Walaupun sering menjadi mangsa tengkingan Izz, namun gadis ini tidak pernah pula berniat untuk berhenti kerja. Sebenarnya Izz sendiri tidak suka marah tidak tentu pasal kepada orang-orang bawahannya.

“Mimi... I nak tanya you sesuatu.”

“Saya tak tahu... Encik Izzdihar. Bukan saya yang buat.” Wajah Mimi nampak cemas.

Izz pelik. Dia belum pun menyoal, Mimi sudah menafikan. Entah apa yang ada di dalam fikiran gadis ini. Lebih baik digali keluar.

“Apa yang you buat sampai you tak tahu?” Izz cuba memutarbelitkan soalan.

“Betul... memang bukan saya yang buat. Saya tak tahu menahu pun.” Air mata Mimi sudah bergenang.

“Habis tu siapa yang buat kalau bukan you?” Izz semakin keliru. Entah apa yang ‘dibuat’ dan ‘siapa’ yang membuat pun dia tidak pasti.

“Encik Zikri dan discussion groupnya.”

Izz ketawa tiba-tiba. “You mean paperwork untuk projek Thaqif tu?”

“Ya!” Mimi yang sedang ketakutan memandangnya kehairanan. Hal serius pun boleh dibantainya gelak? Tak faham betul, kutuk Mimi di dalam hati.

“Mimi... Mimi...” Izz menggelengkan kepalanya. “You ingat I nak soal siasat you pasal projek tu ke?” Dia berasa lucu dengan sikap gadis itu.

Mimi mengangguk. Kalau bukan pasal projek Thaqif, pasal apa lagi? Kenapa dia dimarahi sepanjang pagi ini? Sungguh Mimi kurang mengerti.

“I panggil you sebab nak mintak tips.” Suara Izz semakin kendur.

“Tips apa?” Mimi mulai ceria.

“Errr... you suka shopping, kan? Kalau nak buat surprise untuk perempuan, barangan apa yang sesuai?” Izz bertanya malu-malu.

Mimi mulai faham. Mimi mengukir senyuman. Wajah bos besar sudah merah padam.





Eriyza : Bab ini dibuat mengikut pengetahuan penulis yang sangat cetek tentang hal ehwal pejabat. Jika ada babak yang tidak tepat, tegurlah ye! Terima kasih.

6/21/2012

Yes I Love You 29

Yes, I Love You – Bab 29

Natalia mengeluarkan susu yang telah dipam dari peti sejuk. Izzdiyad sedang bersiap di dalam bilik. Dia mengambil beg bayi yang telah disiapkan oleh Natalia. Dia menuruni anak tangga. Belum pun habis anak tangga dipijak, dia berpatah balik ke tingkat atas. Baby sling yang tersangkut di dinding diambil.

“Mama mana?”

“Tak taulah... tak nampak pun dari tadi.”

“Papa...?”

“Tak nampak jugak.” Botol susu diberikan kepada Izzdiyad.

“Kalau macam tu, beritahu Sya jelah.” Lelaki itu segera memasukkan botol susu anaknya ke dalam beg bayi.

Dia keluar dari dapur mencari Hasya. Gadis itu sedang menyusun majalah yang telah habis dibacanya.

“Sya... mama dengan papa mana?”

Hasya senyum. “Dorang keluar... pergi rumah Datuk Zaki. Dia buat kenduri doa selamat sebab nak tunaikan umrah.”

“Abang Yad dengan kak Nat nak pergi hospital. Kawan lama kami masa belajar dulu baru bersalin. Kami nak pergi jenguk.”

“Okey.” Hasya menghampiri Natalia yang sedang mengambil anaknya dari buaian.

“Kak nak bawak baby sekali?”

“Ya. Kenapa Sya?” Soalan Hasya agak pelik kedengaran.

“Tak elok bawak baby ke hospital. Maklumlah kat hospital ada pelbagai jenis penyakit.”

Natalia berfikir sebentar. Ada betulnya juga nasihat Hasya. “Tapi... kalau akak tinggalkan baby... sapa nak jaga?”

Hasya ketawa kecil. “Laa akak ni... Sya ada. Biar Sya jaga baby.”

“Betul ni?” Natalia masih ragu-ragu. “Mungkin akak pergi lama... nanti susahkan Sya pulak kalau baby meragam.”

“Kak... janganlah..” Belum pun sempat Hasya menghabiskan kata-katanya, ada suara lain yang memintasnya.

“Nat... jangan risau. Kalau Sya tak mampu nak handle... Izz ada.” Entah dari mana munculnya, Izz sudah pun terpacak di tepi Hasya. Tangannya diletakkan di atas bahu Hasya.

Hasya tidak selesa apabila Izz mula menggatal. Dia malu dipandang oleh abang ipar dan birasnya. Izz ditenung tajam. Lelaki itu cuma tersenyum tepi.

“Sayang... nampaknya Izz dah beri jaminan... kita patut tinggalkan baby dalam jagaan dorang. Biar dorang jadi parents, kita jadi pengantin baru.” Izzdiyad yang tadinya diam menyampuk.

Mereka semua ketawa serentak. Natalia menyerahkan anaknya kepada Hasya. Dia dan Izzdiyad berlalu pergi.

Hasya duduk bersila di atas sofa. Bayi itu dipeluk manja lalu dicium pipinya kiri dan kanan bertalu-talu. Si kecil didirikan di atas ribaannya. Bayi itu ketawa mengekek apabila Hasya mencium perutnya beberapa kali.

Izz menyandarkan tubuhnya di dinding. Dia tidak bercadang hendak keluar petang itu. Dia cukup terhibur melihatkan aksi mesra isteri dan anak saudaranya. Dia dapat merasakan kebahagiaan di dalam perhubungan sebegitu.

“Baby sayang... Acik Sya nak ajar selawat. Nanti baby dah besar, baby kena rajin berselawat ke atas nabi, tau.” Hasya terus berselawat berulang kali.

Izz cuma memerhatikan Hasya melayan anak buahnya sambil berpeluk tubuh. Dia terasa begitu tenang mendengarkan alunan selawat yang dilafazkan isterinya. Wajah Hasya yang kelihatan cukup riang bermain dengan anak kecil itu diperhatikan agak lama. Terpancar keikhlasan dari wajah itu. Senyuman yang terpamer di bibirnya cukup manis.

Berdiri agak lama membuatkan kakinya lenguh. Dia menghampiri Hasya yang langsung tidak mengendahkan kehadirannya di situ. Dia masih lagi bergelak ketawa dengan si kecil itu. Dia berdiri di hadapan Hasya dengan perasaan tidak puas hati.

“Amboi, sejak ada anak... suami pun dah lupa, ye?” Izz tarik muka sedih.

Hasya mendongak memandang wajah suaminya yang sudah masam. Dia gelak buat seketika. “Abang.. duduklah kat sini.”

Izz buat-buat tidak dengar. Dia tetap terpacak seperti tiang lampu jalan di hadapan isterinya. Hasya tersengih melihat gelagat suaminya. Tangan Izz ditarik perlahan. Izz akhirnya duduk rapat di sisi Hasya.

“Abang ni... dengan anak saudara sendiri pun nak jeles?” Dia tersenyum manis.

Entah mengapa jantung Izz berdegup kencang melihatkan senyuman isterinya. Senyuman sedemikian sering disajikan kepadanya tetapi kali ini senyuman itu cukup membuatkan dadanya berombak pantas. “Macam mana aku tak jeles... kau asyik main dengan baby je. Aku... kau tak layan langsung.”

Hasya tersenyum lagi. Dia segera mengalihkan pandangan matanya ke arah televisyen. Tidak sanggup melihat senyuman Hasya yang semakin membuatkan dia tidak keruan. Jiwanya terus jadi tak tenang.

“Abang... tolong pegang baby kejap.” Hasya meletakkan bayi itu di atas riba Izz.

Dia bangun. Tangannya ditarik Izz. “Kau nak ke mana ni?” Izz cuak. Hasya merajuk? Sepatutnya dia yang merajuk, bukannya Hasya.

“Nak ke dapur. Bancuh minuman untuk encik suami.” Hasya tergelak kecil lalu menghilangkan diri ke dapur.

Izz tersenyum sendirian. Tersenyum kerana andaiannya tadi melencong jauh dari situasi sebenar. Sya… kerana kau, aku menjadi nanar. Bisikan itu bergema di tangkai hatinya.

“Baby... bila baby dah jadi dewasa nanti... baby kena ikut perangai Aunty Sya tau. Baik... cantik... cerdik.” Izz menasihatkan anak saudaranya seolah-olah bayi itu faham apa yang diperkatakannya.

“Lagi satu... baby kena berpakaian macam Aunty Sya jugak. Masa kecik ni je boleh pakai seksi ye.. bila besar nanti... kena tutup aurat. Tutup dengan sempurna. Baby faham tak?” Izz terus memberi panduan hidup kepada bayi yang dipangkunya.

Hasya ketawa besar mendengarkan kata-kata keramat Izz. “Sepatutnya Acik Izz kena ajar baby tutup aurat dari kecik... bukannya tutup aurat waktu besar je.”

“Aku maksudkan seksi sebelum akil baligh laa. Lepas tu, dia kenalah memakai pakaian yang menutup aurat. Kau tu yang salah tafsir kata-kata aku!”

“Okey, macam ni. Katakanlah budak ni akil baligh masa umur dia 12 tahun. Maknanya 11 tahun lebih dia dah terbiasa dengan pakaian yang seksi. Kalau masa tu kita nak ubah cara dia berpakaian… mungkin payah sikit. Nanti timbullah macam-macam alasan… contohnya panaslah… kolotlah. Jadi, baik kita dedahkan dia dengan pakaian mengikut acuan Islam semasa dia kecik, senang nak didik.” Ketawanya meledak lagi.

Izz memandangnya tajam. Dia tidak suka Hasya mentertawakannya. Hasya segera mematikan tawanya, tidak mahu membangkitkan kemarahan Izz.

“Jemput minum... bang.” Mug diletakkan atas meja di hadapan Izz.

“Kau ingat aku guna perut gergasi?” Izz terbeliak melihat mug besar berisi kopi panas yang dihidangkan untuknya. Hasya memang sengaja hendak membuat darahnya mendidih. Namun, dia tetap menghirup kopi tersebut. Tidak elok membazir.

“Kopi ni untuk dua orang... sebab tu kena buat dalam mug besar.” Hasya mengambil mug dari tangan Izz lalu dengan selambanya dia meminum kopi tersebut di bekas mulut Izz.

“Syaaa... kenapa kau minum air aku? Lain kali buatlah dua mug!” Nada suaranya tinggi.

“Alah abang ni... Rasulullah pun kongsi minuman dengan isterinya Aisyah di dalam gelas yang sama. Jadi... tak salah kalau Sya minum kopi abang, kan?” Hasya tersenyum manja.

Izz diam. Dia malas hendak berbalah dengan Hasya. Kebenaran memang berpihak kepada isterinya. Justeru, dia tidak mahu bertekak pada perkara yang tidak perlu.

Puas bermain dengan Hasya, mata si kecil sudah layu. Hasya memberikan susu yang telah direndam di dalam air panas sebelum bayi itu dimasukkan ke dalam buaian. Dia bersimpuh di lantai. Dia mengalunkan selawat syifa’ berulangkali sambil buaian bayi dihayun perlahan.

Izz terbuai-buai dengan alunan selawat syifa’ yang begitu indah dan mendamaikan hati. Di matanya kini, Hasya bukan lagi anak gadis yang baru menjejaki usia dewasa tetapi seorang wanita yang sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab lebih berat. Sedikit demi sedikit keistimewaan isterinya terserlah sehingga dia tidak mampu menafikan lagi bahawa isterinya telah berjaya mengetuk pintu hatinya.

Setelah memastikan bayi tidur lena, Hasya kembali duduk di sisi suaminya. Air kopi yang masih berbaki sedikit diambil lalu diminum. Izz tidak berkelip memerhatikan isterinya. Hasya perasan wajahnya dipandang.

Dia berpaling menatapi pandangan mata Izz. Dua pasang mata saling berbalas renungan. Lama juga mereka berkeadaan begitu bagaikan mata mereka berbicara tanpa sebarang bahasa. Lagak mereka umpama sedang bertanding dalam permainan pandang dan menang.

Senyuman Hasya membuatkan Izz berkelip. Dia mengalah.

“Yesss... Sya menang.” Hasya tergelak kecil.

“Sya... kau nak anak?” Izz buat muka serius.

Gelak Hasya mati terus. Degupan jantungnya semakin pantas. Wajahnya sudah berona merah. Pandangan ditundukkan ke bawah.

Izz tersenyum melihat reaksi isterinya. Dia tahu Hasya segan. Wajah Hasya diangkat perlahan dengan jari jemarinya. “Sya... kau nak anak?” Soalnya kali kedua dengan nada lebih lembut.

Hasya menggangguk perlahan setelah beberapa saat berlalu. Sungguh dia malu.




Eriyza : Khabarnya ada orang 'rindu' pada pasangan Izz ♥ Sya. Nah, penulis pertontonkan bab seterusnya untuk kalian yang merindui mereka berdua.

6/18/2012

Yes I Love You 28

Yes, I Love You – Bab 28

Datuk Izzuddin meletakkan kaca matanya di atas meja kecil di tepi katil. Kitab Muhammad S.A.W Insan Teladan Sepanjang Zaman ditutup lalu diletakkan bersebelahan kaca matanya. Pangkal hidung diurut-urut. Datin Faridah masih duduk di sofa. Gayanya seperti sedang berfikir panjang. Datuk Izzuddin turun dari katil. Isterinya dihampiri.

“Idah..”

Sepi. Tiada jawapan dari isterinya.

“Idah...!” Dia memanggil sekali lagi. Kali ini agak kuat berbanding tadi.

“Ya…!” Perlahan suara isterinya menjawab.

Datin Faridah memandang muka suaminya sekilas sebelum pandangannya jatuh kembali pada sebuah buku. Datuk Izzuddin mengambil buku itu. Rupa-rupanya kad kemajuan Izzdiyad ketika berada di tahun enam. Kad kemajuan itu masih berkeadaan baik menunjukkan Datin Faridah menyimpannya di tempat yang elok.

“Idah, awak ni kenapa? Ada apa-apa yang berlaku dalam rumah ni yang abang tak tahu?”

Wajah muram isterinya membuatkan Datuk Izzuddin tertanya-tanya hal apakah yang sedang disembunyikan oleh isterinya. Jarang benar isterinya berkelakuan pelik seperti itu. Timbul gusar yang bukan sedikit di kalbunya.

Datin Faridah menggelengkan kepalanya. “Takde apa-apa, bang.”

“Habis tu, kenapa Idah termenung kat sini? Tak sihat?” Bahu isterinya dipegang dengan tangan kiri manakala tangan kanannya dilekapkan di dahi isterinya. Tak panas maknanya tak demam, fikirnya pula.

“Idah sihat...” Sekali lagi kepalanya digelengkan.

“Kalau macam tu, tentu hal berkaitan dengan Yad.”

Datin Faridah memandang wajah suaminya. Lelaki yang banyak berusaha untuk memastikan mereka sekeluarga hidup mewah. Lelaki yang mengisi masa mudanya dengan kerja keras. Lelaki yang berkongsi beban dan tanggungjawab bersamanya.

“Betul,kan?” Duga suaminya lagi.

“Abang...” Panggilnya perlahan.

“Ya. Cakaplah Idah. Abang sedia mendengar... sama seperti selalu.”

Datin Faridah menarik nafas lalu dihembus perlahan. “Abang masih marahkan Yad?”

“Hmmm...” Datuk Izzuddin memejamkan matanya seketika. “Kalau ikutkan hati... memang abang masih marah.”

“Abang tak kasihankan dorang ke?”

Datuk Izzuddin diam. Dia duduk di sebelah isterinya. Wanita itu terlalu dikasihinya. Bukan sedikit kasih sayangnya pada anak-anaknya namun itu tidak bererti anak-anaknya boleh membantah cakapnya sesuka hati mereka.

Melihatkan sikap berdiam diri suaminya, Datin Faridah bersuara lagi. “Abang ingat tak... Izzdiyad cemerlang dalam pelajarannya... sama seperti abang. Aktif bersukan... sama macam abang. Berjaya dalam perniagaan... pun macam abang.”

“Masakan abang lupa itu semua. Wajahnya pun banyak iras abang, kan?” Datuk Izzuddin tersenyum. Kad kemajuan Izzdiyad diperhatikan. Setiap penggal peperiksaan, Izzdiyad mendapat A untuk semua subjek.

Izzdiyad kelihatan biasa ketika menunggu giliran untuk mengambil keputusan UPSRnya. Ibu bapanya pula yang berdebar-debar menantikan keputusan yang dicapai olehnya.

Izzdiyad membawa slip peperiksaan menghampiri mama dan papanya. Sejak pagi lagi, kedua orang tuanya setia menunggunya di dewan sekolah.

“Dapat berapa Yad?” Tanya mamanya.

“Straight A’s.” Slip peperiksaan diunjukkan kepada mamanya. Muka Izzdiyad tidak beriak. Selamba sahaja dia menuturkannya seolah-olah UPSR peperiksaan biasa.

“Alhamdulillah. Well done... Yad.” Bahunya ditepuk papanya .

“Thanks, pa!” Izzdiyad cuma tersenyum nipis.

“Yad nak hadiah apa? Nanti mama dengan papa ikhtiarkan.” Soal papanya lagi.

“Yad nak tengok Tembok Besar China, boleh?” Sudah lama Izzdiyad hendak menjejakkan kakinya ke kawasan yang pernah diiktiraf sebagai salah satu daripada tujuh keajaiban di dunia.

“Sure! Cuti sekolah nanti… kita pergi.” Janji terpatri antara ayah dan anak.

“Yad nak pergi jumpa kawan kejap.” Izzdiyad bergerak ke arah sekumpulan rakan-rakannya yang sedang menyambut kejayaan dengan linangan air mata. Tidak sepertinya. Cool!

“Kenapa Yad nampak biasa saja bang? Tak excited macam kawan-kawannya?” Si ibu agak bingung melihatkan reaksi si anak.

“Agaknya sebab dia dah biasa sangat dapat A dalam semua subjek. Jadi, keputusan yang sama bukan lagi perkara yang menggembirakan buatnya. Kalau satu subjek dapat B, barulah melalak agaknya. Boleh banjir sekolah nanti.” Andaian si bapa pula.

“Iskkk abang ni... ke situ pulak fikirnya. Yad tu cerdik sebab mewarisi kepandaian abang. Idah harap Izz pun cerdik macam papanya.” Izz yang berada di atas ribanya dipeluk manja.


Datuk Izzuddin mengeluh panjang mengingatkan peristiwa lama.

“Abang... boleh abang maafkan Yad dan Lia?” Lembut suara itu menerjah gegendang telinganya.

Dia memusingkan badan menghadap isterinya. “Idah... Idah dah lupa apa yang Yad pernah buat? Idah sakit sebab Yad. Idah terpaksa menebalkan muka pergi ke rumah Haji Fadzil untuk memutuskan pertunangan Yad dengan Faiqah. Idah menanggung malu diperli saudara mara sebab Yad kahwin lari. Semuanya kerana Yad. Idah dah lupa ye? Biar abang ingatkan!” Nada suaranya agak kuat.

Datin Faridah tidak dapat mengawal emosinya. “Idah tak lupa bang... tapi... Idah tak mahu kita terus hidup dalam kenangan lalu. Idah... Idah mahu keluarga kita bersatu.”

“Idah... abang bukan mahu berlaku zalim.. cuma... abang mahu memberi pengajaran kepada Yad. Biar dia berfikir panjang sebelum buat keputusan. Ibu bapa tidak boleh dipermainkan.” Kali ini suara suaminya sudah kendur.

“Abang... dalam masa sebulan ni... Idah tengok dorang sungguh-sungguh mahu berbaik dengan kita. Walaupun dorang ditengking, diperli tapi dorang tetap cuba sedaya upaya mengambil hati kita supaya kita dapat memaafkan dorang.” Air matanya sudah tidak dapat ditahan lagi.

“Abang tahu. Walaupun abang tak layan Yad... tapi... dia tetap pergi ke court tennis. Setiap minggu dia menemani abang main tennis... malah... kami dalam regu yang sama. Gandingan kami sukar ditewaskan... perkara yang selalu kami buat bersama dulu. Lia tu pun selalu cari peluang berborak dengan abang sampai abang tak larat nak marah dia lagi.”

Datuk Izzuddin sibuk mengalihkan pasu bunga. Dia ingin menukar pasu-pasu bunga kecil itu dengan pasu-pasu bunga yang lebih besar.

“Boleh Lia tolong?”

Datuk Izzuddin memandang sekilas wajah menantunya. “Kalau kau nak tolong... pergi jauh sikit. Jangan ganggu aku buat kerja.”

“Tanah-tanah ni semua nak letak dalam pasu besar, kan?” Natalia sudah mencangkung. Dia meneruskan niatnya untuk membantu walaupun dilarang oleh bapa mentuanya. Tanah-tanah itu dibuka dari beg plastik lalu dimasukkan ke dalam pasu.

“Pakailah sarung tangan... nanti tangan kau tu kotor. Kejap lagi nak main dengan baby pulak.” Datuk Izzuddin membebel.

Natalia cuma tersenyum. Dia tahu Datuk Izzuddin sebenarnya penyayang walaupun garang.

“Pasu bunga ni nak letak kat mana? Kat tempat asal?” Natalia cuba mengangkat pasu bunga yang sudah siap diisi tanah dan pokok bunga.

“Jangannn... berat tu. Nanti papa tolong.” Datuk Izzuddin menjerit. Dia bangun lalu membantu Natalia mengalihkan pasu bunga tersebut ke tempat asalnya.

“Bunga ni semua papa yang tanam?” Soal Natalia sambil menyiram pokok-pokok bunga yang sudah siap disusun.

“Yelah tapi bukan semua. Ada jugak papa beli yang dah besar... cuma... kena rajin siram. Lepas tu letak baja.” Datuk Izzuddin membasuh tangannya dengan sabun.

“Patutlah pokok-pokok ni subur. Papa memang hebat.” Natalia membuat tanda bagus dengan ibu jarinya.

Datuk Izzuddin cuma ketawa apabila dibodek oleh Natalia.


Dia tersenyum nipis mengenangkan Natalia, menantu yang tidak dihargai sebelum ini.

Datin Faridah menggenggam tangan suaminya. “Idah lupa nak cakap dengan abang. Idah ajar Lia buat bubur untuk baby. Abang tahu tak... dorang namakan baby dengan nama Insyirah.”

Datin Faridah mengajar Natalia membuat bubur untuk anaknya di dapur. Hasya turut berada di situ sambil memangku anak saudaranya.

“Dah siap. Lia... cuba suap bubur ni pada baby. Suap sikit-sikit.”

“Insyirah... hari ni Insyirah makan bubur ye, sayang.” Natalia mengambil anaknya dari Hasya.

Datin Faridah terkujat mendengarkan nama itu. “Siapa nama baby kamu?”

“Insyirah” Natalia tersenyum. “Yad kata itu nama kegemaran mama untuk anak perempuan.”


Datuk Izzuddin mengerutkan kening. “Baguslah. Kita takde rezeki anak perempuan nak dinamakan Insyirah... tapi... ada cucu dengan nama yang sama.”

“Abang... kita lupakan cerita lama. Kita maafkan dorang, ye? Kita hidup dalam suasana gembira... macam yang selalu kita impikan. Ada anak.. menantu... cucu.”

Datuk Izzuddin tersenyum nipis. Air mata di pipi isterinya diseka dengan hujung jari. Perlahan-lahan isterinya diraih ke dalam pelukannya.




Eriyza : Penulis memerlukan bantuan 'kemanusiaan' untuk menulis adegan di pejabat. Oleh kerana bidang kerja penulis bukan dalam pejabat, maka agar sukar untuk menghasilkan 'skripnya'. Ada sesiapa mahu bantu??

6/10/2012

Yes I Love You 27

Yes, I Love You – Bab 27

Kereta diparkir di dalam porch. Dia mengambil beg plastik di tempat duduk penumpang sebelah kiri lalu keluar dari kereta. Dia pantas menuju ke dapur setelah kelibat si isteri tidak kelihatan di ruang tamu. Dia melangkah laju ke aras atas, cuba mencari isterinya di dalam bilik pula. Tiada juga. Dia belum kecewa, sekali lagi dia menuruni anak tangga sambil matanya meliar mencari susuk tubuh isterinya.

“Hasya... Sya...” Dia melaung.

“Encik Izz... Sya ada kat kolam ikan.” Mak Bee meleraikan kekusutannya.

“Okey.” Dia segera mengatur langkah ke tempat yang Mak Bee maksudkan.

♪♪ Wahai bondaku, bondaku, si ikan kaloi,
Timbullah bonda oiii timbullah, tunjukkan diri,
Nasi melukut dengan sayur keladi,
Nasi melukut, sayur keladi,
Untuk bondaku, di pagi hari,
Wahai bonda, ibu kandungku. ♪♪


Izz tergelak kecil. Lagu asli lagi. “Kau nak masuk pertandingan lagu klasik ke?”

Hasya berpaling ke arah suara yang menegurnya. Dia berhenti menabur makanan ikan ke dalam kolam. Dia meletakkan makanan ikan di tepi kolam lantas bangun.

“Taklah. Dah lama abang balik?” Tangan Izz disalami lalu dicium.

“Mana nak sedar aku balik... maklumlah kau tengah buat showkan?” Izz menyindir.

“Maaf. Sya tak perasan abang balik.” Hasya terasa bersalah kerana tidak menyambut suaminya sebagaimana biasa dilakukan.

“Sebab kau tak perasan... aku nak denda kau.” Izz menarik tangan Hasya. Laju langkah mereka melalui ruang tamu.

“Hai, nak ke mana ni? Siap berpimpin tangan.”

Soalan Izzdiyad dibiar sepi. Dia hanya mengenyitkan mata.

“Abang Yad tanya tu... kenapa abang tak jawab?”

Izz tetap diam. Mereka sudah meniti anak tangga.

“Izz... Sya. Kenapa ni?”

“Takde apa-apa... mama.” Izz tersenyum nakal. Hasya hanya mampu menjongket bahu yang membawa maksud dia pun tidak tahu apa yang berlaku.

Datin Faridah pelik dengan sikap pasangan muda itu tetapi dia tidak mahu bertanya lanjut. Sudahnya dia hanya menggelengkan kepala beberapa kali.

Daun pintu yang tidak ditutup rapat ditolak. Mereka sudah tiba di dalam bilik. Izz mendudukkan Hasya di atas sofa. Beg plastik yang ada di atas katil dicapai. Sebuah kotak dikeluarkan dari beg plastik tersebut.

“Untuk kau.” Kotak tersebut dihulurkan kepada isterinya.

Kotak itu bertukar tangan. Hasya terus membuka kotak itu tanpa menunggu lama. Barang di dalam kotak itu dikeluarkan dengan cermat.

“Wah, handphone...! Terima kasih, abang.” Samsung Galaxy S III ditilik. Buku panduan telefon tersebut dibelek-belek untuk mencari cara menggunakannya.

Izz duduk rapat di sebelah Hasya. “Kasih kau aku terima tapi...” Dia merampas buku panduan telefon yang sedang dibaca Hasya.

Hasya memandang suaminya dengan pandangan pelik. “Tapi apa?” Apa lagi yang tidak kena?

Izz menghulurkan pipinya. Hasya mengerti. Cuppp! Satu ciuman singgah di pipi Izz. Sudah menjadi kelaziman bagi Izz, setiap pemberiannya pada Hasya mesti dibalas dengan kucupan, bukan sekadar terima kasih sebagai ucapan.

“Sya... pipi kiri aku jeles.”

Hasya memanjangkan lehernya merentasi muka Izz. Cuppp! Selesai kucupan di pipi Izz yang lagi satu.

Izz mula tersengih nakal. “Sini pun jeles jugak.” Jari telunjuk kiri dihalakan pada bibirnya.

Hasya membulatkan matanya. Izz sengaja hendak mengenakannya. Dia meletakkan jari telunjuk dan jari hantu di bibirnya, kemudian jari yang sama dihalakan ke bibir Izz. Kemudian dia ketawa kerana seronok mengenakan Izz.

“Owhhh...! Kau main tipu ye?” Izz tidak berpuas hati. Dia berpeluk tubuh sambil berpura-pura merajuk. Dia berharap Hasya akan memujuk.

Hasya cuma tersenyum memerhatikan gelagat suaminya. “Kenapa abang belikan telefon baru untuk Sya? Telefon lama masih boleh digunakan. Tak elok membazir.”

Telefon ditangannya dilihat. Butang yang terdapat di situ ditekan. Hasya mengerutkan dahinya. “Eh, mana nombornya? Macam mana nak guna ni?”

Izz tersengih nakal. “Meh sini… aku ajar.” Tangannya meniti di atas jari jemari Hasya sambil mengajar cara-cara yang betul untuk menggunakan telefon itu.

“Handphone sekarang semakin hebat. Terror betul orang yang buat.” Hasya menaip mesej di telefonnya sambil tersengih. Hasya sudah pandai menggunakan telefonnya.

“Kau sms sape pulak tu?” Izz cuba mengintai mesej yang ditulis Hasya tetapi isterinya pantas menyorokkan telefonnya di belakang badan.

“3 jejaka pingitan.” Hasya menunjukkan 3 jarinya sambil ketawa kecil. Dia yakin Izz tidak tahu itu gelaran yang digunapakainya untuk Along, Angah dan Alang.

Kening Izz bertaut rapat, tidak dapat mengagak orang-orang yang dimaksudkan oleh Hasya. “Tunjuk cepat… aku nak tengok.” Dia menggagau telefon yang disembunyikan oleh Hasya di belakang badannya.

Hasya memegang dengan kemas telefonnya, Izz tidak dapat mengambilnya. Izz menggunakan tenaganya untuk mengalihkan tubuh Hasya, akhirnya gadis itu mengalah. Telefonnya terlepas juga ke tangan Izz. Dia ketawa kecil melihat muka kelat Izz.

Izz merenung wajah isterinya. Sejak mereka berkahwin, gadis ini tidak pernah meminta apa-apa jauh sekali mengajaknya keluar membeli-belah sepertimana yang dilakukan oleh wanita-wanita yang pernah di dampinginya. Mereka tidak melepaskan peluang untuk mengikis duit Izz apabila mengetahui dia anak Datuk yang semestinya berpoket tebal.

Akan tetapi isteri yang selayaknya membelanjakan wangnya tidak pula bersikap materialistik malah dia tidak suka membazir pada perkara yang tidak perlu. Izz kagum pada isterinya.

“Nokia sabun kau tu dah ketinggalan zaman. Boleh simpan dalam arkib buat kenangan.” Izz ketawa. Orang lain sibuk beli telefon canggih, Hasya tetap setia dengan Nokia 6600 miliknya.

“Secanggih mana pun sesuatu telefon tu... kebanyakan orang hanya menggunakan dua fungsi utamanya sahaja.” Wajah Hasya serius.

“Maksud kau?” Izz mahukan penjelasan lanjut.

Hasya bangun lalu mengambil telefon lamanya di atas meja solek. Dia kembali duduk di sisi Izz. “Bak sini telefon abang.” Tangannya dihulur.

“Kau nak buat apa? Nak spotcheck handphone aku?” Namun begitu, Samsung Galaxy Notenya tetap diletakkan di telapak tangan Hasya.

Hasya meletakkan ketiga-tiga telefon itu di atas ribanya. “Cuba abang tengok semua telefon ni. Telefon abang paling canggih... telefon lama Sya pulak biasa saja tapi... semua telefon ni paling banyak digunakan untuk call dan sms. Jadiii... baru atau lama bukan isu utama asalkan boleh call dan sms. Ciri-ciri lain tu dikira bonus je.” Lagaknya seperti seorang penjual telefon sewaktu mengutarakan pendapat.

Izz melingkarkan tangannya ke atas sofa. Perlahan-lahan tangannya jatuh di atas bahu Hasya. Dia tersenyum mendengarkan penerangan Hasya. “Owhhh! Kalau begitu, aku ambil baliklah telefon ni.” Dia mengambil Samsung Galaxy S III lalu dimasukkan ke dalam poket baju kemejanya.

“Sya ambil yang ni boleh?” Hasya mengusik Izz dengan mengambil Samsung Galaxy Notenya.

Izz menarik hidung Hasya lembut. Serentak dengan itu, mereka berdua ketawa bersama.

“Ni nombor telefon baru kau.” Izz menunjukkan kad starter pack kepada Hasya. “Nombor kau dengan nombor aku sama kecuali digit terakhir. Nombor aku berakhir 78... nombor kau 79.” Tambah Izz lagi.

“Abang tukar nombor jugak? Couple number lagi tuuu...” Hasya tersenyum nakal. Kening diangkat dua kali.

“Twin number laa. Aku tukar sebab nombor tu unik dan menarik. Bukan macam yang kau fikirkan.” Izz menunjal dahi isterinya perlahan. Dia tidak akan sesekali mengaku yang dia sengaja membeli couple number untuk dirinya dan Hasya. Entah mengapa dia sangat teruja untuk memiliki nombor sedondon dengan isterinya. Dia tidak tahu sebabnya tetapi hatinya berasa bahagia.

Hasya masih lagi tersenyum. Bukan dia tidak tahu muslihat Izz tetapi lelaki itu lebih suka berahsia. Hasya mendail nombor telefon Izz di Samsung Galaxy S III barunya. Seketika kemudian Samsung Galaxy Note Izz mendendangkan true tone Tik Tok dari Ke$ha.

Matanya buntang melihat nama pemanggil yang tertera di telefon Izz. Hasya My Honey. Dia mengulangi ayat itu agar dapat didengari oleh Izz. “Hasya My Honey. Wow! Nice name.”

Alamakkk! Izz kantoi. Dia sama sekali tidak menduga Hasya akan membuat miss call ke telefonnya. Dia berlagak selamba walaupun wajahnya sudah berubah riak. Malu!

Hasya menambah Izz ke dalam senarai rakan di telefonnya. Dia tersengih sewaktu menulis nama Izz untuk disimpan. Izz mencuri pandang. Dia mendengus apabila melihat gelaran yang diberi oleh Hasya kepadanya. “What? Chubby Hubby?”

Izz memandangnya dengan geram. “Kenapa kau senyum? Nak kena cium?”

Secara automatik Hasya menutup mulutnya dengan kedua-dua belah tangan. Namun, pipinya tetap menjadi mangsa bibir Izz.

Hasya berwajah kelat. Izz memeluknya erat sambil ketawa kuat.



Eriyza : Izz dan Hasya bersiaran lagi. Baca jangan tak baca.

5/07/2012

Yes I Love You 26

Yes, I Love You – Bab 26

Hasya mengekori suaminya ke gedung buku. Dia cukup teruja apabila disogokkan dengan pelbagai bahan bacaan. Setelah memaklumkan kepada Izz, dia menuju ke rak-rak buku yang ada manakala Izz ke ruang membaca. Dia menonong ke rak yang menempatkan pelbagai jenis majalah. Tiga buah majalah diambil lalu dia menuju ke rak komik pula. Dia membelek-belek beberapa jenis komik sambil membaca muka depannya.

Dia mendengar suara yang agak kuat tidak jauh dari tempat dia berdiri. Dia melihat seorang lelaki serta seorang gadis yang bertugas sebagai juruwang seperti sedang bertelagah. Dia membawa majalah dan dua buah komik ke kaunter bayaran.

Izz menapak ke arah Hasya. Beberapa buah majalah berkaitan perniagaan dan pemotoran dibawa bersama.

Lelaki dan juruwang itu masih bercakap. Hasya sekadar memerhatikan situasi yang sedang berlaku sambil cuba mengamati butir percakapan mereka. Izz sudah mempamerkan muka bosan kerana terpaksa beratur di belakang sedangkan orang di hadapan tidak pula membuat bayaran.

“Sya… kau bayar. Aku tunggu kat luar.” Izz meletakkan majalah-majalahnya di atas tangan kiri Hasya manakala not RM100 ditangan kanan Hasya.

Izz menapak keluar dari gedung buku. Malas hendak menunggu.

“Kak... maaf. Saya tumpang tanya. Apa masalah encik ni?” Hasya menegur juruwang tersebut.

Miss, what happen?” Seorang pemuda lain turut bertanya kepada juruwang.

Hasya dan pemuda itu bertanya hampir serentak. Akhirnya mereka tersenyum sesama sendiri.

“Saya tak tahu apa masalahnya. Dia guna broken Inggeris... saya kurang faham ayat dia. Katanya tak tahu berbahasa Melayu.” Gadis itu berterus-terang.

Pemuda itu memandang wajah Hasya. “Awak tahu berbahasa Cina?”

Hasya mengangguk. “Tahu sikit-sikit.. tapi kalau encik nak bantu dia pun, elok juga.”

Pemuda itu tersenyum. “Tak kisahlah siapa pun yang tolong, asalkan masalah dapat diselesaikan. Jadi, awak jelah bantu dia.”

Hasya mengangguk. Bak kata lelaki itu, hal ini berlaku kerana masalah perbezaan komunikasi. Justeru, hanya seorang penterjemah yang diperlukan untuk menyelesaikannya. Kebetulan dia dan pemuda itu sama-sama boleh berbahasa Mandarin, jadi sesiapa pun boleh menghulurkan bantuan. Semakin lama dibiar, semakin berlarutan pula jadinya.

“Nínhǎo, nín yǒu shénme xūyào ma?” (Hai, boleh saya bantu awak?) Hasya menyapa lelaki Cina di hadapannya.

Lelaki Cina itu tersenyum. Lega kerana ada orang yang boleh membantunya. “Wǒ zuótiān zàizhèr mǎide shū yǒu wèntí, xiǎng huàn yī xià.” (Semalam saya membeli buku di sini tetapi buku itu ada masalah, jadi saya mahu menukarnya.)

Hasya mengganggukkan kepalanya. “Nín néng gàosù wǒ, shū yǒu shénme wèntí ma?” (Boleh awak beritahu apa masalahnya?)

“Hòumiàn jǐ yè yìndé hěn móhū, gēnběn kànbùqīng.” (Sebenarnya cetakan di muka surat terakhir rosak, saya tidak boleh membacanya.) Lelaki itu menunjukkan bahagian yang dimaksudkan.

“Shì ma? Wǒ kàn yī xià.” (Betul ke? Biar saya tengok.) Hasya mengambil buku itu lalu ditunjukkan kepada juruwang sambil mengulangi perbualannya dengan lelaki itu kepada juruwang. Gadis juruwang mulai faham. Dia meminta Hasya memberitahu lelaki itu bahawa bukunya akan diganti.

“Shízài bàoqiàn, shì wǒmen de wèntí. wǒ mǎshàng gěi nín huàn. nín dài shōujù lái le ma?” (Mereka minta maaf atas kejadian ini. Buku ini akan diganti segera. Awak ada bawa resit pembelian?)

Lelaki itu menggangguk sambil menghulurkan sekeping resit.

“Hǎode, shāoděng yīxià, mǎshàng gěi nín huàn běn xīnde.” (Baiklah, tunggu sebentar, mereka akan berikan yang baru.)

Lelaki itu mengucapkan terima kasih kepada Hasya sambil melangkah keluar.

“Terima kasih dik sebab tolong akak.” Juruwang kupas senyum.

“Sama-sama.” Senyuman dibalas kembali.

Pemuda tadi masih belum berganjak. Dia kagum dengan Hasya kerana boleh berbahasa Mandarin dengan baik. Jarang gadis melayu boleh berbuat demikian.

Di luar gedung buku, Izz bertemu dengan Hafiz. “Alang, dari mana ni?”

Alang tersengih. “Alang pergi ke bangunan kat seberang jalan tu. Izz buat apa kat sini?”

“Tunggu Sya. Dia beli buku kat dalam. Alang tunggu kat sini sekejap ye, Izz pergi panggilkan dia. Agaknya dia dah siap buat bayaran.”

Izz baru hendak menapak ke dalam gedung buku apabila Alang menghalangnya.

“Adik pun ada? Eh, takpe Izz. Biar Alang je masuk. Nak buat surprise!” Alang tersengih. Dia sudah mula masuk ke dalam.

“Adikkk…” Alang menepuk bahu Hasya.

Terperanjat gadis itu apabila disergah begitu. “Alanggg… buat apa kat sini?” Hasya gembira bertemu dengan abangnya.

“Alang ada interview dekat-dekat sini. Kebetulan Alang terjumpa Izz kat depan kedai ni… sebab tulah Alang tau adik ada kat sini.”

“Emak apa khabar? Adik rindulah kat mak.” Hasya memaut lengan Alang.

“Mak okey je. Eleh, rindu apanya? Kang minggu lepas adik dah balik dengan Izz jenguk mak. Dah jadi isteri orang, tak boleh asyik nak bekepit dengan mak je. Tau?” Alang sempat menasihatkan adiknya.

“Yelah, adik tau. Alang, kirim salam kat mak. Salam rindu!” Hasya ketawa kecil. “Alang, mana abang Izz?”

Seperti kilat, Izz sudah terjengul di hadapan mereka berdua. “Jom, kita pergi lunch.”

“Okey, Izz dengan adik pergi dulu. Alang nak pow komik kejap.” Alang terus melangkah laju ke rak yang menempatkan komik.

“Adikkk… jom pergi.” Izz mengusik Hasya. Dia sudah berjalan keluar.

“Awak, saya pergi dulu ye. Abang-abang saya dah panggil.” Hasya menghampiri pemuda yang masih tercegat di situ sebelum mengejar Izz agar mereka dapat berjalan beriringan.

Pemuda itu mengangguk. Dia hanya menghantar langkah Hasya dengan ekor matanya. Entah mengapa, dia tertarik pada gadis itu walaupun baru bertemu sekali.

Izz masuk ke sebuah restoran. Dia mengambil tempat di kawasan berhampiran tingkap. Pandangan ditala pada jalan raya yang agak lenggang. Hanya ada beberapa kenderaan di kedua-dua laluan.

“Kau memang fasih berbahasa Cina?” Soalnya setelah Hasya bercerita kisah di gedung buku.

“Nak kata fasih tu taklah... bolehlah bercakap sepatah dua.”

“Kau belajar dengan siapa?”

“Cikgu kat sekolah.” Dia sengih.

“Owhhh...! Kau sekolah cina? Tak sangka pulak budak kampung macam kau minat belajar bahasa Cina.” Izz seperti mengejek.

Hasya cuma menggangguk. Pelayan restoran datang untuk mengambil pesanan. Setelah membuat pesanan, mereka meneruskan perbualan.

Hasya memandang wajah Izz seketika. Dia tidak mengetahui mengapa lelaki di hadapannya ini suka bercakap dengan nada sinis.

“Rasulullah S.A.W menganjurkan kita supaya menuntut ilmu sehingga ke negeri China. Maksudnya kita disuruh mempelajari pelbagai jenis cabang ilmu yang ada.. tak semestinya kita perlu ke China untuk belajar jika ilmu itu dapat dipelajari di dalam negara kita. Tak dapat pergi ke China... ke sekolah Cina pun jadilah.”

“Kau tau tak... aku tak terfikir kau pergi ke sekolah Cina.. kalau sekolah Arab tu ada jugak kemungkinannya sebab orang kampung memang suka pergi sekolah agamakan?” Izz senyum sebelah kanan.

“Tak kisahlah sekolah mana pun... asalkan pandai seimbangkan ilmu dunia dan akhirat. InsyaAllah hidup tak sesat.”

Terasa membahang muka Izz mendengar serangan balas Hasya. Dia tidak suka hujahnya dipatahkan dengan mudah, lebih-lebih lagi jika orang itu adalah Hasya.

“Kau makin pandai menjawab sekar...” Ayatnya terhenti di situ apabila pelayan membawa makanan dan minuman yang mereka pesan.

“Terima kasih...” Hasya melemparkan senyuman kepada pelayan itu.

Pelayan itu membalas semula senyumannya sebelum meneruskan tugas.

Izz menghirup rakus jus epalnya. Nasi ayam yang terhidang di depan mata segera disudu.

Hasya bangun dari kerusi. Dia menuju ke sinki lalu membasuh tangan. Seketika kemudian, dia kembali semula ke tempat duduknya. Izz sudah pun makan terlebih dahulu.

Izz melihat Hasya membaca doa makan. Sudu di pinggan dialihkan ke tepi.

“Kenapa kau makan guna tangan? Makanlah dengan sudu... inikan restoran. Malu kalau orang nampak.” Dia sedikit geram dengan perlakuan Hasya yang tidak habis-habis membawa imej kampungnya. Dia tidak kisah jika Hasya melakukan perkara sedemikian di rumah tatkala semua orang makan dengan sudu tetapi jangan buat perkara yang sama di restoran terkenal seperti ini.

“Tak perlu rasa malu kalau mahu mengamalkan sunnah nabi.” Hasya senyum. Dia menyuap nasi beriani perlahan-lahan ke mulut.

Izz bengang. Jawapan Hasya bikin telinganya berdesing. Hari ini dia bernasib malang. Perbualan mereka hilang apabila Alang datang. Sorry Alang, kami makan dulu. Lapar sangat.” Izz sengih. Alang cuma tersenyum. Tangannya dilambai kepada pelayan restoran.



Eriyza : Perbualan Bahasa Mandarin diterjemahkan secara bebas oleh penulis. Sila buat teguran jika ada kesilapan terjemahan. Terima kasih dan selamat membaca.

Kredit Untuk Bahasa Mandarin - http://www.nciku.com/conversation/detailview?convseq=72&categoryLanguage=en