9/28/2011

Yes, I Love You 16

Yes, I Love You – Bab 16

Suasana di ruang tamu itu cukup tegang. Sejak tadi tiada seorang pun yang berani bersuara. Banglo Datuk Izzuddin yang berhawa dingin menjadi panas membahang gara-gara kehadiran tetamu yang tidak diundang sama sekali.

Setengah jam sebelum itu.....

”Assalamualaikum.” Izz masuk ke dalam rumah diikuti oleh isterinya.

Papa dan mamanya sedang bersantai di sofa. Pada masa-masa begini, mereka akan menonton televisyen. Kedua-duanya berpaling kepada Izz yang sudah menghampiri mereka. Hasya hanya tersenyum kepada kedua-dua mentuanya.

“Waalaikumussalam.” Jawab Datuk Izzuddin yang sedang menonton segmen sukan di Buletin Utama.

“Dari mana ni? Lewat kamu balik.” Datin Faridah mengerling jam di dinding. Entah ke mana saja budak berdua ni pergi. Sudah malam baru pulang.

“Saja jalan-jalan.” Izz tersenyum.

“Izz ni pun satu… kenapa tak telefon beritahu balik lambat? Mama risau… tahu tak?” Leter Datin Faridah.

“Sorrylah mama. Izz tak tahu pulak mama risau sebab Izz asyik masyuk berdating dengan Sya sampai tak sedar hari dah malam.” Izz ketawa kecil. Dia sengaja mengusik mamanya.

Hasya tersipu malu. Datin Faridah mencerlung ke arah Izz. Datuk Izzuddin tidak menunjukkan sebarang reaksi, barangkali tidak mendengar gurauan Izz.

“Kami ada tetamu istimewa untuk mama dan papa.”

“Tetamu istimewa? Ustazah Siti Nor Bahyah ke?” Datin Faridah sengaja menyebut nama ustazah kegemarannya. Maklumlah dia selalu menonton rancangan Semanis Kurma. Kalaulah betul Izz berjaya membawa ustazah itu ke rumahnya, tersenyum lebarlah dia minggu ini.

“Lebih istimewa dari tu, ma.” Izz senyum lagi.

“Ada tetamu? Kenapa tinggal kat luar? Ajaklah masuk.” Datuk Izzuddin memberi arahan.
Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sekaligus membawa maksud tidak berpuas hati dengan cara Izz melayan tetamu.

“Okey, pa.” Izz berjalan ke pintu utama. Dia menjengukkan kepalanya ke luar rumah. Dia menggamit tetamunya masuk ke rumah. Seketika kemudian, terpacaklah Izzdiyad, Natalia dan bayi mereka di ruang tamu.

Secara tiba-tiba, Izzdiyad meluru ke arah papa dan mamanya yang duduk bersebelahan di sofa.

Dia memeluk lutut kedua-dua mama dan papanya. “Papa, mama... ampunkan Yad. Ampunkan Yad. Ampunkan Yad.” Air mata jantan Izzdiyad sudah laju menuruni pipi.

Datuk Izzuddin diam. Dia terkesima dengan aksi spontan ‘tetamu istimewa’ yang tidak pernah diduga akan kembali semula. Datin Faridah juga diam. Namun, empangan matanya sudah bergenang air. Bila-bila masa sahaja empangan itu akan pecah juga.

Izzdiyad anakku! Mama rindu sangat pada Yad! Mama teringin memeluk Yad! Kata-kata tersebut hanya terluah di dalam hati Datin Faridah. Dia tidak berani menzahirkannya secara nyata. Panahan mata Datuk Izzuddin cukup untuk membuatkan mulutnya terkunci rapat.

Di paha mereka, Izzdiyad masih merayu sambil meraung. “Papa, mama...tolonglah cakap sesuatu. Jangan diam macam ni.” Badannya terhinggut-hingut menahan tangis yang semakin menggila.

Sepatah perkataan pun belum terbit dari mulut papa dan mamanya. Berhati batukah mereka? Tidakkah mereka mendengar rintihan yang mendayu-dayu itu? Tegakah mereka membiarkan anak itu terus digelar anak derhaka? Benarkah sudah tertutup pintu hati mereka buat anak yang bernama Izzdiyad?

Suara Izzdiyad masih bergema. “Papa, mama... tolonglah ampunkan Yad dan Natalia. Kami nak mintak restu papa dengan mama.” Datuk Izzuddin menepis tangan Izzdiyad yang kemas memegang sebelah lututnya. Dia bingkas bangun. Matanya mencerlung tajam ke arah Natalia yang masih berdiri sambil memangku anak.

Natalia segera tunduk memandang jubin lantai. Dia tidak berani berbalas pandangan dengan lelaki tua itu, apatah lagi hendak memberikan senyuman. Anak di pangkuannya dipeluk semakin erat. Dai berharap keadaan tidak menyenangkan ini segera tamat.

Raungan Izzdiyad menyebabkan anaknya terjaga lalu menangis. Kini, bapa dan anak sama-sama tenggelam dalam esak tangis. Namun, Izzdiyad tidak mempedulikan tangisan anaknya. Hanya Natalia yang menepuk-nepuk lembut tubuh kecil itu agar lena semula.

“Sya, ambil baby. Bawak masuk dalam bilik.” Datuk Izzuddin bersuara. Hasya sedikit tersentak. Arahan papanya segera dituruti.

Natalia cuak. Gusar jika anaknya dirampas keluarga suaminya. Hasya yang memahami riak wajah Natalia memberi jaminan bahawa anak itu tidak akan ‘diculik’.

“Kak, marilah. Biar baby tidur dengan selesa. Tentu tangan kakak dah lenguh dukung baby.” Hasya mempersilakan Natalia ke bilik tetamu.

“Sya, lepas tidurkan baby, hantar perempuan tu ke sini semula.” Tegas suara Datuk Izzuddin.

Natalia berhenti melangkah. Jantungnya berdegup kencang. Memandang wajah Datuk Izzuddin pun dia tidak berani. Entah apalah nasibnya nanti. Entah apalah ‘denda’ yang bakal dilaluinya. Memikirkan itu semua, Natalia semakin takut.

Datin Faridah hanya mampu menangis. Dia ingin memeluk Izzdiyad. Dia ingin mencium Izzdiyad. Dia ingin mengusap kepala Izzdiyad. Dia ingin melakukan semua perkara yang pernah dibuatnya ketika Izzdiyad kecil. Namun, renungan tajam suaminya membantutkan semua hasratnya. Lalu, titisan airmata menjadi ekspresi perasaannya.

Datuk Izzuddin memerhati Izzdiyad yang masih menangis di paha isterinya. Kaftan yang dipakai isterinya sudah lencun dengan air mata Izzdiyad. Bukan dia tidak simpati pada anak itu. Bukan dia tidak sayang pada anak itu. Bukan dia tidak rindu pada anak itu. Bukan sekeras itu hatinya.

Namun, dia mahu memberi pengajaran kepada Izzdiyad. Ibu bapa tidak boleh diperlekehkan sesuka hati. Tugas ibu bapa bukan sekadar membesarkan anak sehingga dewasa. Selepas itu anak boleh melukakan hati ibu bapa tanpa sekelumit pun rasa bersalah. Dia mahu Izzdiyad tahu bukan mudah untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Izz yang menjadi pemerhati sedari tadi bersimpati kepada Izzdiyad dan Natalia. Dia bangun lalu berdiri di sisi papanya. “Papa...”

“Shut up! Kamu jangan masuk campur!” Tengking Datuk Izzuddin. Izz tidak berani membuka mulut lagi. Jika Datuk Izzuddin sudah menyinga, tiada sesiapa pun yang patut mendekatinya. Izz kembali duduk di sofa.

Lima belas minit kemudian, Hasya kembali bersama Natalia ke ruang tamu. Langkahnya mati apabila tiba di anak tangga terakhir. Tangan Hasya digenggam kuat seolah-olah mahu gadis itu terus menemaninya. Izzdiyad tidak boleh diharapkan ketika ini kerana lelaki itu sendiri sedang menanti ‘hukuman’ yang bakal dijatuhkan dek bapa mentuanya.

“Kauuu…, sini!” Jari telunjuk dituding tepat ke arah Natalia.

Isyarat diberi agar Hasya beredar dari situ. Izz segera melambai isterinya supaya duduk disisinya. Hasya melepaskan pegangan tangan Natalia perlahan-lahan. Senyuman diberi agar Natalia mendapat sedikit semangat untuk berdepan dengan ‘hakim’.

Datuk Izzuddin meletakkan kedua-dua tangannya di belakang. Dia mendengus kuat. Dia bagaikan singa kelaparan yang bertemu dengan mangsanya, ‘sepasang arnab’ yang bila-bila masa saja bakal diterkamnya. Ingin dirobek-robek kulitnya dan diratah-ratah dagingnya!

“Kamu berdua duduk sini!” Jerkah Datuk Izzuddin.

Natalia berjalan lambat-lambat. Kerusi kayu jati di hadapan Datuk Izzuddin diisi oleh Natalia. Izzdiyad bangun. Air matanya dikesat. Dia berjalan perlahan ke arah kerusi kayu jati tersebut. Melabuhkan punggung di sebelah isterinya.

“Buat apa kamu balik ke sini?!” Kedua-dua wajah di depannya direnung tajam.

“Kami nak mintak maaf, pa. Kami tahu kami bersalah.” Lemah suara Izzdiyad.

“Dulu kamu nak sangat kat perempuan ni, kan? Sanggup lepas bebas kerana cinta! Apa perlunya kamu pulang ke sini lagi?!” Melengking suara lelaki itu.

“Papa... maafkanlah kami. Papa cakaplah apa yang perlu kami buat agar papa sudi maafkan kami?” Tangan Datuk Izzuddin dipegang.

“Maaf?!” Datuk Izzuddin ketawa mengejek. “Jangan mimpilah!” Pegangan tangan Izzdiyad direntap kasar.

“Pa...” Tubir mata Izzdiyad basah lagi. Sudah puas dia merayu, namun hati papanya sedikit pun tidak terusik. Dia sudah kehilangan kata-kata. Dia hampir berputus asa.

“Pap... errr... Datuk. Tolonglah maafkan suami saya. Dia sentiasa rindukan keluarga ni.” Natalia bersuara walaupun takut. Dia perlu membantu Izzdiyad. Mungkin permintaannya juga ditolak tetapi sekurang-kurangnya dia telah berusaha.

“Kau diammm…! Sebab kaulah dia jadi anak derhaka! Sebab kaulah dia lari tinggalkan keluarga! Sebab kauuu…!” Jarinya dituding-tuding di depan muka Natalia. Gadis itu ketakutan. Lengan Izzdiyad dipegang kuat. Matanya turut basah.

“Papa.. jangan salahkan Natalia. Yad yang bersalah. Yad yang patut kena marah.” Tangan Datuk Izzuddin dipegang lagi namun tetap direntap oleh papanya.

“Papa tak ada anak macam kamu. Pergi dari sini. Pergi..! Perggiii...!” Datuk Izzuddin memalingkan muka ke arah lain. Tidak mahu melihat Izzdiyad keluar dari rumah untuk kali kedua. Sungguh menyakitkan hati!

Datin Faridah sudah menggeletar menahan rasa. Dia tidak sanggup kehilangan Izzdiyad lagi. Egonya musnah sekelip mata saat melihat Izzdiyad meratap merayu pada suaminya. Biarlah apa pun terjadi, Datin Faridah mesti mempertahankan Izzdiyad.

“Abannggg... maafkanlah dia. Dia tetap anak kita.” Datin Faridah berlari mendapatkan suaminya. Suaminya didakap. Memohon belas ihsan lelaki itu agar memaafkan anaknya. “Abannggg... maafkanlah Yad.” Dada Datuk Izzuddin sudah basah dengan air mata Datin Faridah.



© Eriyza : Akhirnya enovel Yes, I Love You bersambung juga. Selamat membaca.