Yes,
I Love You – Bab 49
Hari
minggu terasa begitu sepi tanpa Hasya di sisi. Izz cuba merasai kehadiran gadis
itu di dalam biliknya tetapi hampa. Bilik tidurnya yang besar itu terasa begitu
kosong tanpa seorang lagi penghuninya. Apalah gunanya bilik yang besar lagi
mewah itu jika orang yang mendiaminya tidak ceria lagi. Hasya sudah pergi. Ya!
Hasya pergi atas arahannya.
Izz
terlepas Solat Subuh. Dia memarahi dirinya sendiri kerana susah benar hendak
bangun walaupun jam loceng banyak kali berdering. Dia bangun tatkala cahaya
matahari sudah menerjah masuk ke biliknya melalui jendela yang langsirnya tidak
tertutup rapat. Dia menggeliat malas. Ruang tidur di sebelah diraba-raba.
Kosong! Kalaulah Hasya ada, tentu dia tidak akan terlewat bangun.
Izz
bersandar di kepala katil. Dia menguap kecil, masih lagi dalam keadaan mamai.
Matanya sekejap celik, sekejap pejam. Laut fikirnya cuba menganalisis kembali
peristiwa yang berlaku malam tadi. Peristiwa yang berlaku atas kehendaknya.
Peristiwa yang dirancang setelah dia berfikir panjang. Peristiwa itu jugalah
yang memisahkan Hasya dari dirinya.
“Abang... kalau Sya
mati di dalam tempoh perpisahan ini... halalkanlah makan minum Sya. Ampunkan
segala salah silap Sya. Kalau boleh, redhalah Sya sebagai isteri abang...”
Sebaik menuturkan kata-kata tersebut, Hasya berlari masuk ke perut teksi. Teksi
itu menghilang bersama kepekatan malam.
Izz tersentak. Dalam
sekelip mata, Hasya sudah tiada disisinya.Ungkapan ‘mati’ yang disebut Hasya
membuatkan dia tersedar kembali. Dia tidak dapat membayangkan jika dia dan
Hasya tidak bertemu lagi selepas ini.
“Syaaa....!” Jeritnya. Namun
jeritannya langsung tidak didengari oleh Hasya. Jeritan itu hanya bergema di
sekitar banglo mewahnya, tidak mampu menceroboh masuk ke ruang teksi yang sudah
bergerak meninggalkan halaman rumah tersebut.
Izz
meraup mukanya. Kata-kata terakhir Hasya malam semalam asyik kedengaran di
telinganya. Dia tidak pernah berfikir sejauh itu. Dia tidak dapat membayangkan
apa yang akan terjadi kepadanya jika perkara itu benar-benar berlaku. Natijahnya,
ayat itu berulang kali menganggu ketenangannya.
Izz
mencapai tuala lalu menapak masuk ke bilik mandi. Air pancut dibuka lalu
dibiarkan membasahi seluruh tubuhnya. Di dalam juraian air ‘hujan’ itu, dia
melihat sekeping nota terlekat berhampiran bekas peralatan mandi.
Shave cream dah tinggal
sikit, stok baru belum dibeli.
Izz
mengambil nota itu. Mengenangkan Hasya masih mengambil berat ke atas dirinya
walaupun dia berlaku zalim, dia berasa sedih. Hatinya pedih!
Usai
mandi, dia turun ke bawah untuk bersarapan. Ruang dapur kemas tanda tidak
berusik. Tiada bau masakan yang sentiasa membuka seleranya. Tiada makanan
terhidang di meja makan saat tudung saji dibuka. Tiada air minuman yang
disuakan kepadanya ketika dia duduk di kerusi. Peti sejuk dibuka, pelbagai
jenis sayur-sayuran dan buah-buahan memenuhi ruang.
Sayangnya,
dia tidak tahu memasak. Dia memandang sepi isi ayam dan sotong yang sudah siap
dipotong. Jika Hasya ada, sudah pasti akan disuruhnya memasak macam-macam. Mak
Bee pun tidak ada. Tiada restoran mahupun kedai makan berhampiran kawasan
perumahan mewah itu. Kalau dibina sekali pun, siapa yang akan singgah kerana
setiap rumah mempunyai amah. Sudahnya, dia mengambil dua biji epal lalu
dikunyah perlahan.
Ketika
menutup pintu peti sejuk, Izz melihat ‘sticky note’ terlekat di situ. Dia
mendekatkan mukanya pada nota itu, ingin tahu apa yang tertulis.
Karipap ayam frozen ada
dalam bekas plastik warna putih.
Tiga
camca milo disudu. Air panas dari termos dituang ke dalam mug. Tiga camca susu
pekat manis dimasukkan. Milonya dikacau perlahan. Mug diacukan ke bibir lalu
air milo diteguk. Izz tersentak dek kerana rasa panas yang melalui
kerongkongnya.
“Sya... aku terror buat
air milo. Kau nak rasa tak milo buatan aku?” Izz mengganggu Hasya yang mahu
menyediakan air untuknya.
“Ye ke? Boleh jugak...
Sya nak tengok skill abang buat air.” Hasya tersenyum. Dia bergerak sedikit,
memberi laluan kepada Izz untuk menunjukkan bakat.
Izz dengan bangganya
menyuakan air yang telah siap dibancuh kepada Hasya. “Cubalah! Mesti sedap
punya.”
Dengan lafaz bismillah,
Hasya menelan milo itu seteguk. Bulat matanya memandang Izz. “Panas melecur...
manis melekat.”
“Panas? Manis? Kau tipu
aku kot!” Izz merampas mug dari Hasya lalu air buatannya yang kononnya lazat
diteguk. Memang panas! Memang manis! Keputusannya, Izz gagal! “Kenapa milo yang
kau buat rasanya lain?”
“Ada dua sebab... yang
pertama, Sya letak air panas separuh dan air masak separuh, barulah tak panas
sangat bila diminum. Satu lagi, Sya tak letak susu sebab milo tu dah manis.”Mug
ditangan Izz diambil. Milo tersebut ‘dibaiki’ sebelum dihirup. Tak elok
membazir!
Izz
tersenyum pahit. Hasya dengan peribahasa yang direkanya sendiri sentiasa
mengundang gelak ketawanya. Izz menuang sedikit airnya yang panas lagi manis
lalu ditambah dengan air masak sebelum diminum semula. Memang jauh berbeza rasa
milo buatannya dan milo air tangan Hasya.
Izz
berjalan ke luar rumah. Dia melihat bunga-bungaan hasil ‘tangan’ ibunya dan
Hasya segar berkembang. Seumur hidupnya, dia tidak pernah menyiram pokok-pokok
bunga tersebut. Hari ini, dia mencipta sejarah apabila mengambil alih tugas
Hasya menyiram bunga-bunga tersebut. Pandangannya jatuh pada bunga orkid.
♪♪ Apa di pandang kepada anggerik
Tumbuh meliar di dalam hutan
Mekar sehari besok binasa
Sebelum layu ia kan mati
Bukan memandang kepada cantik
Pokok pangkalnya hati berkenan
Kalau sesuai budi bahasa
Sampai berkubur bersatu hati
Bunga Anggerik yang mekar
Sungguh molek di pakai
Bunga Anggerik di desa
Indah budi bahasa ♪♪
Tumbuh meliar di dalam hutan
Mekar sehari besok binasa
Sebelum layu ia kan mati
Bukan memandang kepada cantik
Pokok pangkalnya hati berkenan
Kalau sesuai budi bahasa
Sampai berkubur bersatu hati
Bunga Anggerik yang mekar
Sungguh molek di pakai
Bunga Anggerik di desa
Indah budi bahasa ♪♪
“Sya... kau puji bunga anggerik... tapi... kau belek bunga orkid.” Sergah
Izz ketika Hasya sedang asyik menyanyi di sekeliling taman orkid. Dia ketawa.
Nyanyian Hasya terbantut. “Bunga anggerik dengan bunga orkid tu bunga
yang sama. Sebutannya saja yang berbeza mengikut bahasa.” Tangannya terus ligat
menyiram pokok-pokok bunga yang lain pula.
Paip air di tangan Izz melurut ke bawah sehingga membasahi kaki
seluarnya. Di taman bunga itu pun, ingatannya pada Hasya tidak pernah padam.
Izz segera menutup pili air. Dia masuk semula ke ruang tamu.
Punggung dihenyak ke sofa. Televisyen dibuka, saluran Astro sedang
menayangkan filem klasik Tan Sri P Ramlee berjudul Ahmad Albab. Ketika itu,
babak nyanyian antara Syawal dan Mastura yang baru mendirikan rumahtangga terlayar
di skrin .
♪♪ Kita semua
sepakat, dikampung hai pening lalat
Mengucapkan
selamat hai selamat pengantin baru
Dari dulu berapa
kali ana ceritakan
Kebahgiaan
ditangan tuhan
Hasya miskin
dapat kahwin orang kaya
Izzdihar
anak Datuk Al Izzuddin ♪♪
Hasya mengalunkan lagu itu mengikut lirik yang telah ditukar di tempat
yang sesuai olehnya sendiri. Dia langsung tidak menyedari kehadiran Izz
dibelakangnya.
“Amboi, seronoknya buat latihan vokal! Nak buat konsert amal?” Sindir
Izz. Kepala digeleng-digelengkan apabila
melihat gelagat isterinya itu.
Hasya berpaling ke arahnya sambil tersengih. “Taklah... tapi... kalau
abang bagi, Sya tak ada masalah.” Jawab Hasya selamba sebelum meneruskan
tontonannya.
Izz segera menutup televisyen. Entah mengapa semua benda yang dibuatnya
ada sangkut-paut dengan Hasya. Mungkin dia perlu berbuat sesuatu. Hatinya
merintih pilu. Sungguh dia rindu! Rindu pada gadis itu!
Izz mencapai kunci kereta. Dia perlu ‘lari’ dari rumah buat seketika
kerana bayang Hasya mengejarnya di situ.
Terlalu banyak kenangan yang diciptanya bersama Hasya di banglo milik
papanya. Hasya yang dikahwini tanpa mengenali hati budi mula disenanginya setelah
beberapa bulan hidup bersama. Apabila rasa cintanya mula terbit buat isterinya,
gadis itu membuat onar. Kepercayaannya kepada Hasya setinggi gunung tetapi
runtuh dalam sekelip mata.
Izz memandu keluar dari kesesakan Kuala Lumpur. Caldinanya dipandu
mengikut had laju di lorong kiri. Dia mahu mencari ketenangan di tempat yang
sunyi. Punat radio ditekan, lagu yang bersiaran di radio swasta begitu
membingitkan telinganya. Dia menukar siaran, lagu cina pula kedengaran. Sepatah
haram pun tidak difahaminya. Sekali lagi siaran radio ditukar, kedengaran suara
penyampai radio sedang berceloteh.
“Terima kasih kerana terus setia bersama Radio Malaysia, Klasik Nasional.
Seterusnya saya akan putarkan lagu permintaan Raimie yang berada di Kemaman,
Terengganu. Lagu pilihannya ialah Hati Rindu. Katanya lagu ini ditujukan kepada
kakaknya, Shahiza yang berada di UKM, Bangi.” Seketika kemudian, lagu pun
berdendang.
Izz mahu menukar siaran radio apabila tangan Hasya menghalang
jari-jemarinya. “Kau ni kenapa? Tak jemu lagi dengar lagu lama walaupun setiap
hari layan filem P. Ramlee?” Izz mulai bosan dengan kegemaran Hasya melayan
lagu klasik.
Hasya tayang gigi. “Tak pun. Kat tv tayang cerita P. Ramlee, tentulah
lagunya pun lagu P. Ramlee... tapi Klasik Nasional siar lagu-lagu klasik yang
lain macam lagu Jasni, Rahmah Rahmat, Momo Latif, R. Ismail...” Hasya membilang-bilang
penyanyi yang dia tahu.
“No way! Aku nak dengar Red Fm. Alihkan tangan kau, cepat!” Tangan Hasya
ditepis. Izz takkan beralah kali ini. Dia mahu mendengar lagu yang lebih segar
dan terkini.
“Alah abang... rancangan ni tinggal setengah jam je lagi. Lepas habis
nanti, abang tukarlah. Lagi pun, Sya dah lama tak dengar lagu R. Azmi ni. ” Hasya
separuh merayu. Kalau di kampung dulu, dia tidak pernah melepaskan peluang
untuk mendengar rancangan Pilihan Hati ke Hati. “Bukan selalu Sya dapat dengar
rancangan ni...” Suara Hasya semakin kendur. Merajuk!
“Okey! Lepas habis, tukar ke Red Fm.” Akhirnya Izz mengalah. Tidak sampai
hati untuk menghampakan Hasya. Lagi pun, bukan selalu Hasya mendengar Klasik
Nasional di dalam keretanya.
Izz tidak jadi menukar stesen radio. Dia membiarkan sahaja lagu-lagu
klasik menjadi santapan telinganya. Bersama-sama lagu yang berdendang sayu,
wajah Hasya menerpa di ingatannya.
Eriyza : Sesungguhnya manusia hanya merancang, Allah jua penentu keputusannya. Permohonan maaf penulis nukilkan kepada semua pembaca ekoran kegagalan menghabiskan enovel ini menjelang Syawal. Penulis tidak boleh fokus pada penulisan dek kerana beberapa perkara penting perlu diuruskan terlebih dahulu. Sekali lagi, jutaan ampun maaf dari hati penulis.