Yes, I Love You – Bab 9
Laju, laju, Buaiku Laju.
Pohon beringin, tegaknya tinggi,
Kalau rendah, menyapu bumi,
Penghibur aku, menolong aku,
Bertiuplah oh angin bayu,
Laju, laju, Buaiku Laju.
Izz tersengih mendengarkan nyanyian Hasya. Buaian itu bergerak perlahan. Kelihatan Hasya terlalu asyik melayan perasaan sehingga tidak menyedari kehadiran suaminya. Izz berjalan perlahan-lahan di belakang Hasya. Kemudian, buaian Hasya ditolak laju. Hasya sedikit menjerit. Dia berpaling. Wajahnya merah padam apabila melihat suaminya ketawa.
Izz melangkah ke arah hadapan buaian. Hayunan buaian diberhentikan. Kedua-dua tangannya memegang tali buaian. Kedudukannya dengan Hasya sangat dekat. Hasya gugup. Izz mendekatkan mukanya ke wajah Hasya. “Kau tengah buat telenovela Bawang Merah Bawang Putih versi baru ke??” Ketawanya masih belum reda.
“Errrr, taklah. Se… se… sebenarnya tengah tunggu aa… aa… abang balik.” Terketar-ketar Hasya menjawab. Sememangnya benar dia sedang menunggu Izz pulang dari solat Jumaat.
“Owhhh! Tunggu aku balik sambil buat konsert bawah pokok?” Sinis kedengaran soalan Izz. Boleh tahan juga suara gadis melayu tipikal ni. Alangkah bagusnya kalau Hasya nyanyikan lagu genre pop rock untuk aku. Ini tidak, lagu klasik juga yang dipilihnya.
“Saja. Hilangkan bosan.” Jujur jawapannya. Suami aku ni tak boleh tanya elok sikit? Asyik nak perli saja kerjanya.
“Haaa…..! Aku tahu. Kau berangan nak kahwin dengan anak rajakan tapi malang sebab bersuamikan anak datuk macam aku. Musnahlah harapan kau.” Izz mendekatkan bibirnya ke telinga Hasya yang tersarung tudung. Kau akan tahu bagaimana istimewanya layanan aku pada kau nanti, lebih istimewa dari layanan seorang ‘raja’.
“Sya masuk dulu ya.” Hasya bangun dari buaian tetapi Izz masih berdiri di hadapannya. Agak sukar untuk dia melepasi halangan yang dibina Izz.
“Tak boleh. Tadi kau tunggu akukan? Jadi, aku nak kau temankan aku. Hiburkan hati aku dengan nyanyian kau.” Izz duduk di buaian. Tangannya pantas menarik tangan Hasya memaksa isterinya itu duduk berbuai bersama-sama dengannya.
Izz menunjal-nunjal kakinya ke tanah. Buaian itu mula bergerak. Tangannya memegang tali kiri dan kanan buaian. Hasya kaku apabila tangan kanan Izz terkena belakang badannya apabila dipegang pada tali.
**********
Bagasi berwarna coklat dengan segaris jalur putih cuba digapai. Terkial-kial Hasya cuba menurunkannya dari bahagian atas almari. Hanya hujung jarinya sahaja yang mampu menyentuh bagasi itu. Dia menjinjitkan kakinya sedikit. Namun, usahanya tetap gagal. Hasya tidak berputus asa, dia mengambil kerusi meja soleknya dan dia memanjat naik.
Izz hanya memerhatikan dari celah pintu bilik yang terkuak sedikit. Dia melangkah masuk ke bilik tanpa meninggalkan bunyi. Pintu bilik ditutup dengan perlahan, tidak mahu Hasya menyedari kehadirannya. Dia bersandar di pintu bilik sambil berpeluk tubuh. Hasya cuba menarik bagasi itu tetapi tersangkut pada bahagian atas almari tersebut. Hasya menarik dengan kuat bagasi tersebut menyebabkan kerusi yang dinaikinya bergoyang. Tidak semena-mena, Hasya hilang imbangan badan dan dia jatuh ke bawah.
“Ya Allahhh...” Hasya menjerit kecil. Entah mengapa dirasakan lantai tempat dia jatuh tidak rata. Bagasi yang turut jatuh bersamanya terhempap pada bahu kanannya. Dia menggosok-gosok bahunya yang terasa perit. Dia terperanjat besar apabila melihat tempat dia jatuh.
“Maa... maa... maaf. Sya tak sengaja. Abang tak apa-apa?” Dia berada di atas badan Izz, bukannya di atas lantai. Rupa-rupanya Izz sempat menyambutnya ketika dia jatuh tetapi bagasi yang jatuh kemudian menyebabkan dia turut rebah bersama Hasya. Dahinya berdarah terkena hentakan roda bagasi.
Kepala aku dah berdarah. Dia boleh tanya aku tak apa-apa pulak. “Sepatutnya kau tanya aku sakit kat mana.” Izz cuba bangun tetapi dia terasa sedikit pening.
Hasya menyentuh dahi Izz yang berdarah. Dia mengelap luka itu dengan hujung bajunya. “Kejap ye, Sya ambilkan ubat.” Dia membantu Izz bangun lalu didudukkan di atas katil. Bahunya sendiri terasa sengal tetapi tidak dihiraukan.
Hasya masuk semula ke bilik dengan membawa kapas dan minyak gamat. Fatimah turut masuk ke dalam bilik mereka.
“Banyak juga darah ni. Izz nak pergi klinik?”
“Takpelah mak. Sikit je ni.”
Hasya mengesat darah dengan kapas. Sedikit minyak gamat disapu pada kapas yang lain dan disapu perlahan pada dahi Izz.
“Aduh! Pedih!” Izz menjerit kecil. Tangan Hasya dipegang. “Slowlah sikit.”
“Yelah. Dah nak siap ni. Tahan sikit ye.” Sya memujuk Izz seperti sedang memujuk anak-anak kecil yang takut disuntik.
“Nasib baik sikit saja lukanya. Kalau tidak, teruklah mak kena marah dengan mama kamu esok.” Fatimah tersenyum.
“Kenapa pulak mama nak marah kat mak?” Izz kurang mengerti.
“Manalah tau, kot-kot mama kamu fikir mak dera kamu.” Fatimah berseloroh.
“Laa, ke situ pulak perginya mak ni.” Izz ketawa. Gelihati dengan percakapan ibu mentuanya. Pandai juga wanita ini menceriakan suasana yang tadinya muram.
Hasya disisinya cuma tersenyum nipis.
“Adik dah simpan semua barang nak bawak?” Fatimah memandang wajah Hasya.
“Belum lagi mak. Kejap lagi adik kemas.” Hasya meletakkan minyak gamat dan kapas di atas meja solek.
“Mak keluar dululah. Jangan lupa semak semula barang yang nak dibawa. Kang tertinggal, susah pulak.” Fatimah mengangkat punggung.
“Adik dah simpan semua barang nak bawak?” Izz mengajuk ayat ibu mentuanya sambil ketawa.
“Baru je nak simpan.” Hasya menjeling. Suka sangatlah tu dapat mengenakan aku.
“Adik, mari sini jap.” Gamit Izz.
“Abang nak apa?” Hasya merapati Izz.
“Aku rasa panggilan adik dah tak sesuai untuk kau.” Izz buat muka serius.
“Kenapa?’ Hasya turut serius.
“Sebab kau dah kahwin. Nanti kalau ada anak, takkah kelakar kalau kita panggil anak tapi mak yang menyahut?” Izz ketawa sambil bersandar di kepala katil.
Muka Hasya berubah warna. Sudah merah menahan malu mendengar usikan Izz.
“Kenapa kau diam?” Izz masih mengusik.
“Malas nak layan abang.” Hasya kembali ke tepi almari. Dia mengambil bagasi lalu dibuka. Pakaian Izz di dalam almari dimasukkan ke dalam bagasi. Sebahagian dari baju-bajunya turut diletakkan di sebelah pakaian Izz. Hasya membuka pula almari kecil. Separuh daripada tudung-tudungnya yang tergantung kemas diambil lalu dimasukkan juga ke dalam bagasi.
Izz yang ralit memerhatikan Hasya tersengih nakal. “Adik, baju dengan seluar kecik tak bawak ke?” Tawa Izz pecah lagi.
0 comments
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.