4/06/2010

Yes, I Love You 10

Yes, I Love You – Bab 10

Pesawat dari Royal Brunei Airlines mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Izzdiyad menjejakkan kakinya ke Malaysia setelah hampir dua tahun dia meninggalkannya.

“Alhamdulillah. Malaysia, here we come.” Ucapnya kuat. Udara segar bumi Malaysia dihirup. Dia rindu pada segala-galanya yang ada di sini. Akan tetapi bersambutkah rindunya nanti? Hatinya gusar apabila memikirkan respon yang bakal diterimanya nanti. Namun, dia sudah nekad kali ini. Dia perlu meyakinkan semua orang bahawa dia sudah bersedia untuk menghadapi apa jua balasan.

“Abang, kita tinggal kat mana nanti?” Satu suara lembut menyapa telinganya.

“Untuk sementara waktu, kat chalet.” Izzdiyad tersenyum memandang isterinya. Anaknya sedang lena tidur di pangkuan ibunya.

Telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Dia melekapkan telefon di telinga kanannya.

“Hello. Yad, kau dah sampai ke?”

“Dah. Aku baru ambil luggage.”

“Natalia dengan baby sihat?”

“Alhamdulillah, semua okey. Before aku lupa, congrats Izz.”

“Thanks. Aku dah suruh Zikri ambil korang. Dia akan bawa kau ke chalet.”

“Esok aku pergi lambat sikit kot.”

“Apa pulak lambat? Datang awallah. Kaukan ahli keluarga pengantin, mana boleh datang lambat.”

“Aku kena uruskan teksi dulu dengan pihak chalet ni.”

“Tak payah. Semua aku dah settlekan. Esok Zikri ambil kau, tunggu je call daripada dia.”

“Okey, Izz. Thanks ye.”

“No hal, Yad. See you later.”

“Okey.”

Izzdiyad memerhati sekitar lapangan terbang itu. Dia kagum kerana negara tanah tumpah darahnya mempunyai struktur bangunan yang sehebat itu. Dari jauh dia melihat Zikri melambai-lambai ke arahnya. Dia mengangkat tangan kirinya untuk membalas kembali lambaian lelaki itu.

**********

Zikri memandu Nissan Latio putihnya di dalam kesibukan kota. Izzdiyad bersandar sambil memejamkan mata. Mungkin letih setelah menaiki penerbangan selama dua jam. Natalia dan bayinya di kerusi belakang telah lena diulit mimpi. Zikri memperlahankan radio keretanya walaupun lagu kegemarannya sedang diputarkan.

“Zik, kau bila lagi?” Pertanyaan Izzdiyad memecah kesunyian yang tercipta.

Zikri terpinga-pinga. “Bila apa ye?” Dia menggaru dagunya. Kurang mengerti dengan pertanyaan itu.

“Kahwin.”

“Owhhh! Coming soon!” Dia tayang gigi. Sekadar menjawab soalan Izzdiyad tanpa berfikir panjang. Serta-merta wajah Hasya terbayang di ruangan mata. Entah mengapa sejak pertemuannya kembali dengan gadis itu, hatinya dirundung pilu.

“Dah ada calon?”

“Adik kau dah wat hak milik kekal.” Zikri bersuara perlahan. Dia berharap suaranya tidak didengari.

“Adik aku gatal?” Izzdiyad yang tidak dapat menangkap maksud sebenar Zikri membuat andaian sendiri.

Zikri sedikit menggelabah. “Errr... memang pun Izz gatal. Dia yang kahwin awal sampai aku pun kena tempiasnya sekali.” Ketawa plastik kedengaran.

“Tak sangkakan? Izz yang lebih nakal tetapi dia pula yang ikut cakap mama.”

“Ala Yad, tak usah kenang kisah lama. Buka kisah baru pulak.”

Suasana kembali senyap. Masing-masing melayan perasaan.

“Zik, kau dengar tak apa aku cakap ni?” Izzdiyad bersuara sedikit kuat.

Zikri terpinga-pinga. “Hah? Apa yang kau cakap tadi?” Dia senyum nipis.

“Macam mana bisnes?”

“Bolehlah cari makan.” Zikri senyum lagi.

Zikri membantu Izzdiyad mengeluarkan bagasi dari but kereta. Dia turut menghantarnya ke bilik walaupun dilarang oleh Izzdiyad. Setelah mengucapkan terima kasih, Izzdiyad dan keluarganya masuk berehat di kamar. Esok mereka mempunyai acara penting untuk dihadiri. Zikri pula meminta diri.

**********

Izzdiyad merebahkan dirinya ke katil. Dia meniarap di sebelah anaknya yang masih lena tidur. Pipi anak kecil itu diusap perlahan dengan belakang jari telunjuk. Anak kecil itu lambang kasih sayang antara dia dan Natalia. Anak kecil itu pelengkap kehidupan mereka sebagai seorang manusia. Anak kecil itu diharap dapat melenturkan hati ibu bapanya yang sekeras batu.

“Abang, pergilah mandi,” Natalia sudah pun keluar dari bilik mandi. Rambutnya digulung ke dalam tuala agar cepat kering. Izzdiyad menggeliat kecil. Terasa malas ingin bergerak dari pembaringannya. Wajah isterinya direnung lama.

“Kenapa?” Natalia pelik dengan sikap suaminya.

“Thanks for everything sayang.” Izzdiyad bangun dari katil. Merapati isterinya. Wanita itu dipeluk erat. “I love you so much.” Bergetar nada suaranya.

“I love you too.” Natalia turut mengeratkan pelukannya.

Badan Izz bergetar. Natalia meleraikan pelukannya. Seakan mengerti beban ditanggung suaminya, Natalia membiarkan Izzdiyad memeluknya semula. Dia mengusap-usap perlahan belakang badan suaminya. Tanpa disedari, tubir matanya bergenang juga. Lepaskanlah lelahmu di bahuku wahai suamiku kerana aku sentiasa ada untukmu di dalam suka atau duka.

**********

“Maaaa... mak, Hasya mana?” Izz masih malu-malu hendak memanggil Fatimah sebagai mak. Maklumlah dia bertandang ke rumah itu sekali sahaja sebelum Hasya dinikahi.

“Aik, dia isteri kamu tapi kamu tanya mak?” Fatimah menyakat. Sengaja ingin melihat reaksi lelaki muda itu.

“Tadi dia ada tapi sekarang ni tak tau dia pergi mana.” Izz terasa malu apabila diperli begitu. Manalah perginya Hasya ni? Dia memang rasa terasing kalau duduk di dalam rumah ni tanpa kelibat isterinya. Bukannya orang di dalam rumah ni sombong tetapi terlebih ramah sampaikan dia jadi segan kalau tak ada idea nak bercakap.

“Dia ada kat halaman depan. Sibuk menilik bunga-bungaan dia tu sebab esok kamu dah nak bawak dia balik.” Fatimah memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah halaman.

“Owhhh. Terima kasih ye mak.” Izz mengorak langkah menuju ke tangga. Ingin segera mencari isterinya.

“Amboi, laju nampak. Nak ke mana?” Alang yang sedang menjemur kasut Nikenya di atas para menegur.

“Cari Hasya.”

“Korang ni macam belangkas. Takleh hilang sorang eh?” Alang kupas senyum nakal. Namun dia lega kerana kedua-dua suami isteri itu boleh menerima satu sama lain walaupun berkahwin bukan atas dasar cinta.

Izz cuma ketawa kecil melayan usikan Alang.

Yes, I Love You 09

Yes, I Love You – Bab 9

Laju, laju, Buaiku Laju.
Pohon beringin, tegaknya tinggi,
Kalau rendah, menyapu bumi,
Penghibur aku, menolong aku,
Bertiuplah oh angin bayu,
Laju, laju, Buaiku Laju.

Izz tersengih mendengarkan nyanyian Hasya. Buaian itu bergerak perlahan. Kelihatan Hasya terlalu asyik melayan perasaan sehingga tidak menyedari kehadiran suaminya. Izz berjalan perlahan-lahan di belakang Hasya. Kemudian, buaian Hasya ditolak laju. Hasya sedikit menjerit. Dia berpaling. Wajahnya merah padam apabila melihat suaminya ketawa.

Izz melangkah ke arah hadapan buaian. Hayunan buaian diberhentikan. Kedua-dua tangannya memegang tali buaian. Kedudukannya dengan Hasya sangat dekat. Hasya gugup. Izz mendekatkan mukanya ke wajah Hasya. “Kau tengah buat telenovela Bawang Merah Bawang Putih versi baru ke??” Ketawanya masih belum reda.

“Errrr, taklah. Se… se… sebenarnya tengah tunggu aa… aa… abang balik.” Terketar-ketar Hasya menjawab. Sememangnya benar dia sedang menunggu Izz pulang dari solat Jumaat.

“Owhhh! Tunggu aku balik sambil buat konsert bawah pokok?” Sinis kedengaran soalan Izz. Boleh tahan juga suara gadis melayu tipikal ni. Alangkah bagusnya kalau Hasya nyanyikan lagu genre pop rock untuk aku. Ini tidak, lagu klasik juga yang dipilihnya.

“Saja. Hilangkan bosan.” Jujur jawapannya. Suami aku ni tak boleh tanya elok sikit? Asyik nak perli saja kerjanya.

“Haaa…..! Aku tahu. Kau berangan nak kahwin dengan anak rajakan tapi malang sebab bersuamikan anak datuk macam aku. Musnahlah harapan kau.” Izz mendekatkan bibirnya ke telinga Hasya yang tersarung tudung. Kau akan tahu bagaimana istimewanya layanan aku pada kau nanti, lebih istimewa dari layanan seorang ‘raja’.

“Sya masuk dulu ya.” Hasya bangun dari buaian tetapi Izz masih berdiri di hadapannya. Agak sukar untuk dia melepasi halangan yang dibina Izz.

“Tak boleh. Tadi kau tunggu akukan? Jadi, aku nak kau temankan aku. Hiburkan hati aku dengan nyanyian kau.” Izz duduk di buaian. Tangannya pantas menarik tangan Hasya memaksa isterinya itu duduk berbuai bersama-sama dengannya.

Izz menunjal-nunjal kakinya ke tanah. Buaian itu mula bergerak. Tangannya memegang tali kiri dan kanan buaian. Hasya kaku apabila tangan kanan Izz terkena belakang badannya apabila dipegang pada tali.

**********

Bagasi berwarna coklat dengan segaris jalur putih cuba digapai. Terkial-kial Hasya cuba menurunkannya dari bahagian atas almari. Hanya hujung jarinya sahaja yang mampu menyentuh bagasi itu. Dia menjinjitkan kakinya sedikit. Namun, usahanya tetap gagal. Hasya tidak berputus asa, dia mengambil kerusi meja soleknya dan dia memanjat naik.

Izz hanya memerhatikan dari celah pintu bilik yang terkuak sedikit. Dia melangkah masuk ke bilik tanpa meninggalkan bunyi. Pintu bilik ditutup dengan perlahan, tidak mahu Hasya menyedari kehadirannya. Dia bersandar di pintu bilik sambil berpeluk tubuh. Hasya cuba menarik bagasi itu tetapi tersangkut pada bahagian atas almari tersebut. Hasya menarik dengan kuat bagasi tersebut menyebabkan kerusi yang dinaikinya bergoyang. Tidak semena-mena, Hasya hilang imbangan badan dan dia jatuh ke bawah.

“Ya Allahhh...” Hasya menjerit kecil. Entah mengapa dirasakan lantai tempat dia jatuh tidak rata. Bagasi yang turut jatuh bersamanya terhempap pada bahu kanannya. Dia menggosok-gosok bahunya yang terasa perit. Dia terperanjat besar apabila melihat tempat dia jatuh.

“Maa... maa... maaf. Sya tak sengaja. Abang tak apa-apa?” Dia berada di atas badan Izz, bukannya di atas lantai. Rupa-rupanya Izz sempat menyambutnya ketika dia jatuh tetapi bagasi yang jatuh kemudian menyebabkan dia turut rebah bersama Hasya. Dahinya berdarah terkena hentakan roda bagasi.

Kepala aku dah berdarah. Dia boleh tanya aku tak apa-apa pulak. “Sepatutnya kau tanya aku sakit kat mana.” Izz cuba bangun tetapi dia terasa sedikit pening.

Hasya menyentuh dahi Izz yang berdarah. Dia mengelap luka itu dengan hujung bajunya. “Kejap ye, Sya ambilkan ubat.” Dia membantu Izz bangun lalu didudukkan di atas katil. Bahunya sendiri terasa sengal tetapi tidak dihiraukan.

Hasya masuk semula ke bilik dengan membawa kapas dan minyak gamat. Fatimah turut masuk ke dalam bilik mereka.

“Banyak juga darah ni. Izz nak pergi klinik?”

“Takpelah mak. Sikit je ni.”

Hasya mengesat darah dengan kapas. Sedikit minyak gamat disapu pada kapas yang lain dan disapu perlahan pada dahi Izz.

“Aduh! Pedih!” Izz menjerit kecil. Tangan Hasya dipegang. “Slowlah sikit.”

“Yelah. Dah nak siap ni. Tahan sikit ye.” Sya memujuk Izz seperti sedang memujuk anak-anak kecil yang takut disuntik.

“Nasib baik sikit saja lukanya. Kalau tidak, teruklah mak kena marah dengan mama kamu esok.” Fatimah tersenyum.

“Kenapa pulak mama nak marah kat mak?” Izz kurang mengerti.

“Manalah tau, kot-kot mama kamu fikir mak dera kamu.” Fatimah berseloroh.

“Laa, ke situ pulak perginya mak ni.” Izz ketawa. Gelihati dengan percakapan ibu mentuanya. Pandai juga wanita ini menceriakan suasana yang tadinya muram.

Hasya disisinya cuma tersenyum nipis.

“Adik dah simpan semua barang nak bawak?” Fatimah memandang wajah Hasya.

“Belum lagi mak. Kejap lagi adik kemas.” Hasya meletakkan minyak gamat dan kapas di atas meja solek.

“Mak keluar dululah. Jangan lupa semak semula barang yang nak dibawa. Kang tertinggal, susah pulak.” Fatimah mengangkat punggung.

“Adik dah simpan semua barang nak bawak?” Izz mengajuk ayat ibu mentuanya sambil ketawa.

“Baru je nak simpan.” Hasya menjeling. Suka sangatlah tu dapat mengenakan aku.

“Adik, mari sini jap.” Gamit Izz.

“Abang nak apa?” Hasya merapati Izz.

“Aku rasa panggilan adik dah tak sesuai untuk kau.” Izz buat muka serius.

“Kenapa?’ Hasya turut serius.

“Sebab kau dah kahwin. Nanti kalau ada anak, takkah kelakar kalau kita panggil anak tapi mak yang menyahut?” Izz ketawa sambil bersandar di kepala katil.

Muka Hasya berubah warna. Sudah merah menahan malu mendengar usikan Izz.

“Kenapa kau diam?” Izz masih mengusik.

“Malas nak layan abang.” Hasya kembali ke tepi almari. Dia mengambil bagasi lalu dibuka. Pakaian Izz di dalam almari dimasukkan ke dalam bagasi. Sebahagian dari baju-bajunya turut diletakkan di sebelah pakaian Izz. Hasya membuka pula almari kecil. Separuh daripada tudung-tudungnya yang tergantung kemas diambil lalu dimasukkan juga ke dalam bagasi.

Izz yang ralit memerhatikan Hasya tersengih nakal. “Adik, baju dengan seluar kecik tak bawak ke?” Tawa Izz pecah lagi.

Yes, I Love You 08

Yes, I Love You – Bab 8

“Abang, bangun.” Hasya menggerak-gerakkan kaki Izz.

“Hmmm...” Izz tarik selimut ke paras dada.

“Abang, bangunlah, Subuh dah ni.” Hasya menggoyang-goyangkan bahu Izz pula.

“Hmmmm...” Selimut ditarik menutupi seluruh tubuhnya.

Hasya mulai berang. Dia menarik sedikit selimut Izz. Bibirnya didekatkan ke telinga Izz. Perlahan-lahan dia bersuara. “Innalillahiwainna ilaihiroojiuun.”

Izz bingkas bangun. Seram sejuk tubuhnya mendengar ungkapan Hasya tadi. Dia menjeling tajam. Hasya di sebelah sudah ketawa kecil. Tahu pun takut. Siapa suruh liat sangat nak bangun?

“Kau ni takde kerja lain ke? Pagi-pagi lagi dah takutkan aku.” Izz geram.

“Abang liat sangat nak bangun. Sya terpaksa laa guna idea bernas.” Hasya masih ketawa.

“Pergilah mandi, Sya dah tambah air panas dalam kolah. Nanti kita nak solat berjemaah dengan semua orang.” Tuala dihulurkan.

Tuala bertukar tangan. Izz mengeliat kecil. “Kau nak ke mana tu?”

“Sya nak mandi kat luar.” Hasya berhenti memulas tombol pintu bilik.

“Mandi air perigi? Pagi-pagi macam ni? Tak sejuk ke?” Izz mula membayangkan kesejukan air perigi. Dia sempat membuat aksi menggeletar dengan menyilangkan tangannnya di dada.

“Sejuk tapi seronok. Abang nak cuba?” Hasya tersenyum melihat kelakuan Izz. Lucu juga dia ni.

“Tak naklah aku. Sejukkk!” Izz menyelubungi tubuhnya dengan tuala sehingga ke kepala. Dia menggoyangkan badannya seolah-olah menggigil kerana sejuk yang amat sangat.

Hasya ketawa lagi sebelum melangkah keluar dari bilik. Izz tersenyum. Dia gembira melihat gelak ketawa Hasya. Mujurlah Hasya tidak bermasam muka dengannya gara-gara peristiwa malam semalam. Risau juga dia jika Hasya melancarkan perang dingin padanya, pasti dia tidak betah untuk duduk beberapa hari lagi di rumah itu.

**********

“Assalamualaikum...” Izz menarik kerusi. Dia duduk di sebelah Alang, berhadapan dengan Along. Fatimah yang duduk di kerusi utama menghadiahkan senyuman buat menantu barunya.

“Waalaikummussalam.” Serentak Angah dan ibu mentuanya menjawab.

Hasya menceduk bihun yang sudah siap dimasak ke dalam bekas. Munirah mengacau air kopi panas. Diana pula meletakkan pinggan dan cawan di meja makan.

“Pak Su, tolong letak atas meja.” Hannah menatang sepinggan keropok lekor yang baru digoreng.

Izz mengambil pinggan itu lalu diletakkan ke atas meja. “Rajin Hannah ni ye.” Dia tersenyum kecil.

“Wah! Pandai pulak anak Along bagi gelaran kat Izz. Tak perlu diajar.” Alang tersengih.

“Mestilah. Inikan suami Mak Su, tentu laa kena panggil Pak Su.” Hannah memeluk lengan Izz.

“Pandai betul Hannah ni. Siapa yang ajar?” Izz memuji.

“Abah.” Jarinya dituding ke arah Along. Lelaki itu senyum segaris.

“Alah, nanti bila baby Darwisy besar, tentu lagi pandai dari kakak dia.” Alang mengusik anak buahnya.

Hannah mencebik. “Pak Lang jahat. Tak nak kawan.” Anak itu mencebik.

“Aik, merajuk pulak. Nanti Pak Lang nak pergi makan aiskrim. Kakak nak ikut tak?”

“Tak nak.” Laju Hannah menggelengkan kepalanya.

“Betul ni? Kalau macam tu, Pak Lang ajak Pak Su sajalah.”

“Mana boleh?”

“Kenapa pulak?”

“Nanti Mak Su marah. Pak Lang ajaklah Mak Lang.”

Iskkk, budak Hannah ni, boleh pulak dia terfikir pasal Mak Lang yang belum wujud lagi. Hafiz gigit bibir bawah. Tiba-tiba kehilangan kata-kata. Semua yang berada di meja makan sudah pecah tawa melihat muka kelat Alang.

Hasya ketawa kecil. Izz merenungnya. Tawa Hasya mati terus. Dia tunduk. Kali ini Izz pula yang tersengih.

Terdengar jeritan kanak-kanak menangis dari ruang tamu. Munirah mahu bangun menjenguk anaknya tetapi Hasya sudah mendahuluinya. “Kak Ngah makanlah dulu, biar adik tengokkan Rifqi.”

“Izz, tolong pegang Darwisy. Mak nak turun ke bawah kejap.” Fatimah meletakkan cucunya di ribaan Izz.

Izz terkulat-kulat. Seumur hidupnya dia belum pernah memegang bayi sekecil itu. Kalau setakat mengagah, biasa laa dia buat. Anak saudaranya sendiri pun tidak pernah diletakkan ke riba apatah lagi untuk didukung. Sebenarnya dia kurang suka pada kanak-kanak.

“Kalau Izz tak biasa, bak sini.” Diana menghulurkan tangan mahu mengambil anak bongsunya.

“Takpelah. Kak Long habiskan bihun tu dulu.” Izz mengusap-usap belakang Darwisy yang sudah menangis.

“Izz, bawa dia berjalan. Dia kadang-kadang tak berapa suka kalau kita duduk.” Along menerangkan perihal anaknya.

Izz bangun lalu beredar dari dapur. Dia ke ruang tamu. Darwisy didukungnya dengan berhati-hati. Terasa kekok benar apabila memegang anak yang baru berusia setahun. Hasya membelakanginya. Dia duduk bersimpuh sambil ralit menepuk-nepuk perlahan bahu Rifqi agar anak itu lena semula. Setelah memastikan Rifqi tidur kembali, Hasya bangun.

“Aduhhh...” Hasya menggosok-gosokkan hidungnya yang berlaga dengan hidung Izz.

Mukanya berona merah apabila melihat Izz senyum segaris. Kenapa Izz berdiri dekat sangat? Tak pasal-pasal hidung mancung dia bertembung dengan hidung kemek Hasya.

“Nasib baik tak patah batang hidung aku.” Izz mengurut-urut hidungya yang sengal.

“Amboi, ada orang buat telenovela laga hidung pulak. Nampaknya tahun depan mak dapat cucu baru laa.” Angah tersengih nakal.

“Angah ni, mengarut je. Bukan telenovela tapi telelagala.” Hasya menjeling Izz.

“Kalau betul pun, apa salahnyakan Izz?” Angah mengusik lagi.

Izz cuma ketawa. Darwisy didukung pula di sebelah kiri. Tangan kanannya sudah lenguh.

“Angah ni. Bencilahhhh...” Hasya sedikit geram. Dia mengambil Darwisy dari dukungan Izz lalu bergerak ke dapur.

Tawa Angah masih bersisa.

“Adik.” Laung Angah.

“Apa...?” Suaranya sedikit kuat.

“Telelagala ni ada siaran ulangan tak?” Angah ketawa kuat. Dia sudah mengangkat anaknya untuk di bawa masuk ke dalam bilik.

Hasya berpaling. Dia menjerit kecil. “Angahhh..” Geramnya dia. Izz pun ketawa juga. Apa dia tak rasa malu ke? Ada ke patut dia bersekongkol dengan Angah?

Yes, I Love You 07

Yes, I Love You – Bab 7

Hasya menyarung baju tidur ke tubuh. Dirinya terasa segar selepas mandi. Dia menyiapkan baju dan kain pelikat untuk Izz. Dua helai sejadah dihampar. Kalau sebelum ini dia sering solat berjemaah bersama-sama ahli keluarganya, kali ini dia mahu solat bersama suaminya.

Izz termenung di tepi kolah kecil di dalam bilik mandi. Air paip dibuka perlahan. Mahu mandi tetapi airnya terlalu sejuk. Dia tidak betah dengan keadaan seperti itu. Dia mengambil gayung lalu dijiruskan sedikit air itu di kakinya. Alamak, sejuknya. Macam mana aku nak mandi ni?

Pintu bilik air terkuak. Izz menjengukkan kepalanya sedikit. Dia terpandang Hasya sedang menyisir rambutnya di hadapan cermin solek. Izz menganga. Sungguh dia tidak menyangka Hasya mempunyai rambut ikal mayang separas pinggang yang cukup cantik. Lazimnya mahkotanya itu dilindungi. Rambut itu sedikit beralun apabila ditiup angin kipas. Melalui biasan cermin, dia dapat melihat wajah Hasya yang manis. Cukup ralit dia menikmati situasi indah itu.

Tiba-tiba Hasya berpaling. “Abang, kenapa tercegat kat situ? Dah siap mandi?”

“Be…be… lum. Aaa…aaa... air ni sejuk sangat. Tak biasa. Takde water heater ke?” Izz tergagap apabila perbuatannya memerhatikan Hasya disedari.

Hasya ketawa kecil. “Tak ada. Nanti Sya ambilkan air panas kat dapur.” Patutlah lama sangat kat dalam bilik air, rupa-rupanya tak biasa mandi tanpa pemanas air.

“Hah? Air panas? Takkan nak suruh mandi air panas?” Habislah melecur kulit aku. Dahlah ketampanan aku ni sukar ditandingi, ada ke patut nak suruh aku buat macam tu? Hasya ni tak betul ke?

Hasya ketawa lagi. “Tak. Bukan macam tu. Air panas tu Sya nak campur dengan air dalam kolah. Jadi, taklah sejuk sangat abang mandi nanti.” Pelik betul suami aku ni. Boleh pulak dia fikir aku nak mandikan dia dengan air panas? Melepuh laa kulit dia nanti. Siapa tak sayang suami oiii?

“Owhhh! Okey.” Malunya aku. Aku ingat dia nak suruh aku mandi air panas tadi. Hai laa Izz, kenapa kau malukan diri sendiri depan Hasya? Buat malu kaum saja.

Hasya kembali dengan sebaldi kecil air panas. Dia menuangkan air panas tersebut ke dalam kolah. Kemudian, suhu air tersebut dirasa dengan tangan. Izz memerhati perbuatan Hasya sambil berpeluk tubuh di tepi pintu bilik air.

“Okey. Air nih dah tak sejuk sangat. Abang dah boleh mandi.”

“Terima kasih.”

“Kasih diterima.” Selamba Hasya menjawab seraya keluar dari situ.

Izz menghalang laluan Hasya dengan meletakkan tangan kanannya di pintu bilik air sambil tersengih. “Tak nak mandi sekali? Come, join me.”

Hasya berubah wajah. Wajahnya sudah berubah warna. “Sya dah mandi.”

Izz cuba memegang tangan Hasya tetapi Hasya pantas melalui ruang yang ada di bawah tangan Izz. Dia berjaya lolos keluar. “Sya ada wuduk.”

“Nanti kau.” Izz ketawa sambil menutup pintu bilik air. Jantung Hasya berdegup kencang.

**********

“Hasya, sini jap. Ada hal sikit nak cakap.”

Hasya berhenti menyimpan pakaian Izz ke dalam almarinya. Dia duduk di birai katil. Izz mengengsot, memberi ruang agar Hasya dapat duduk di sebelahnya.

“Sya...” Izz menarik nafas. Kemudian dihela dengan kuat. Dia mencari kata-kata yang terbaik untuk diucapkan kepada Hasya.

“Aku ada hal nak cakap.” Kenapalah susah sangat aku nak mulakan bicara ni? Kalau tak cakap, aku yang gelisah tapi kalau cakap dia pulak yang resah. Pendek kata, memang susah.

“Cakaplah.” Hasya menunggu butir bicara seterusnya dari Izz.

Seminit... dua minit... lima minit dan akhirnya...”Aku belum bersedia untuk semua ini.”

“Maksud abang?” Hasya memandang Izz. Dia ingin tahu ‘hal’ yang ingin Izz perkatakan.

Izz menarik nafas lagi. Kali ini dihembus perlahan. “Aku belum ready nak jadi seorang suami. Nak share life dengan orang lain. Nak jaga orang lain. I’m too young to get married.” Lega. Akhirnya dapat juga aku luahkan isi hati. Tapi kau faham ke ayat aku yang akhir tu?

Bagai halilintar membelah bumi, Hasya terasa dunianya musnah dalam sekelip mata. Inikah ‘kebahagiaan’ yang diharapkan oleh setiap tetamu yang hadir siang tadi? Inikah ‘kata-kata romantik’ yang patut didengarinya pada malam pertama pernikahannya? Inikah ‘kasih sayang’ yang patut diterimanya di dalam ikatan perkahwinan yang belum pun berusia 24 jam? Inikah ‘hukuman’ yang disabitkan ke atasnya kerana akur dengan pernikahan ini?

Setitis... dua titis... dan akhirnya membuak-buak air mata Hasya menuruni pipinya. Tanpa sebarang bicara, hanya sendu mengiringi tangisannya. Akulah pengantin yang berduka di malam pernikahan. Akulah pengantin yang bernasib malang sedangkan inai masih merah di jari. Akulah pengantin yang begitu mudah dijatuhkan hukuman tanpa sebarang perbicaraan. Akulah pengantin itu. Abang kejam. Abang zalim. Abang jahat. Hati Hasya menjerit. Hati Hasya merintih. Hati Hasya mengamuk. Namun, ianya hanya peperangan di dalam hati, tidak mampu dilontar keluar.

Izz kelu. Terbit simpati di hatinya tatkala melihat air mata Hasya. Dia tidak mahu hipokrit. Dia mahu berterus-terang agar Hasya tahu tentang suara hatinya. Dia tahu hati Hasya hancur lumat apabila mendengarkan bicaranya tadi. Dia rasa Hasya berhak tahu. Jika tidak hari ini, lambat laun semuanya akan terbongkar jua.

Hasya bangun. Dia menapak ke jendela. Perlahan daun pintu jendela dibuka. Angin malam yang dingin menampar lembut pipinya. Sedingin hatinya ketika itu. Air mata yang masih bersisa diseka dengan hujung jari. Dia membuang pandang ke arah buaian kayu yang nampak samar-samar akibat simbahan cahaya dari lampu jalan. Kemudian, dia merenung pula bulan di langit. Bulan sedang mengambang penuh. Indah sekali. Malangnya keindahan itu tidak dapat dinikmati sepenuhnya. Wahai bulan yang mengambang, tahukah dikau bahawa aku berhati walang?

Izz turut bangun. Dia sedikit takut dengan reaksi bisu Hasya. Dia lebih suka kalau gadis itu menghamburkan kata-kata marah daripada mendiamkan diri. Dia lebih rela kalau Hasya menampar wajahnya, menumbuk perutnya atau menyepak kakinya daripada merenung kepekatan malam yang kelam.

“Sya, aku tahu kau marah. Kau boleh lepaskan amarah kau pada aku. Jangan diam macam ni.” Suara Izz memecah kesunyian.

Hasya berpaling. Dia merenung Izz. “Kalau Sya berperang dengan abang sekali pun, kenyataan ini takkan berubahkan? Abang dipaksa kahwin dengan Sya?” Tegas suara Hasya walaupun perlahan. Pintu jendela ditutup kembali.

“Sorry. Tak, aku memang rela kahwin dengan kau.”

Kening Hasya berkerut. “Rela tapi tak bersedia? Gurauan apa semua ni? Atau abang ada keka...?”

“No! Aku takde kekasih. Cuma tak bersedia. Itu saja.” Pantas Izz memotong.

Huhhh!!! Hasya mengeluh. “Jadi, apa maknanya pernikahan kita ni? Sekadar permainan? Begitu?” Dia keliru dengan jawapan Izz.

“Bukan macam tu, Sya. Aku harap kau dapat beri aku masa untuk menerima kau dalam hidup aku. Perkenalan ekspres kita tidak cukup untuk aku menilai kau.” Jujur jawapan Izz.

“Kalau abang rasa Sya bukan gadis baik, kenapa abang teruskan perkahwinan ni? Kenapa tak halang mama abang dari jodohkan kita? Sya sangka abang tak kisah kahwin ditentukan keluarga.” Mudahnya kau memberi alasan. Dari seorang gadis, kau menukar status aku menjadi isteri dan selepas ini mungkinkah status aku akan berubah lagi menjadi jan...da...? Ya Allah, menyebut perkataan itu pun aku tak sanggup. Apatah lagi melaluinya.

“Sorry. Aku tak ada niat nak permainkan kau, Sya. Memang aku setuju kahwin dengan kau walaupun kita tak pernah berkenalan sebelum ni. Aku harap kita boleh berkawan dulu sebelum jadi suami isteri dalam erti kata sebenar.” Aku tak berdaya menolak permintaan mama. Sungguh aku tidak mahu melihat mama menderita lagi. Cukuplah sekali. Walaupun aku terpaksa berkorban, namun demi ibu yang melahirkan aku ke dunia ini, aku rela. Maafkan aku Hasya kerana melibatkan kau sekali dalam kisah hidupku ini.

“Ada niat atau tidak, hakikatnya abang permainkan Sya. Abang heret Sya dalam permainan yang abang cipta sendiri. Kalau itu kata abang, Sya ikut. Kita akan jadi kawan dalam rumahtangga kita ni.” Hasya menyeka lagi air mata yang bergenang di tubir mata. Meskipun pahit kenyataan yang berada di depan mata, namun dia terpaksa pasrah jua kerana akad nikah yang terlafaz mewajibkan dia mentaati suaminya.

“Okey. Kau boleh buat apa saja yang kau suka selagi ianya tidak menjejaskan maruah kau dan keluarga kita. Cuma, kat depan keluarga kita, buat macam kita ni pasangan yang ideal. Kau ada apa-apa syarat? Cakap je, aku akan tunaikan kalau mampu.” Izz melabuhkan punggung di birai katil.

“Sya tak ada apa-apa syarat.” Hasya tunduk memandang kakinya sendiri. Apalah gunanya syarat jika tidak dilaksanakan?

“Dahlah. Hari pun dah larut malam. Baik tidur. Aku akan tidur kat bawah.” Izz mencapai bantal dan selimut. Hasya menghalang perlakuan Izz dengan mengambil semula bantal dan selimut.

“Abang tetamu. Abang tidur je kat atas katil. Biar Sya tidur kat bawah.”

“Mana boleh? Tuan rumahlah tidur atas katil.”

“Apa kata kita lambung syiling?”

“Okey! Aku wau, kau bunga raya. Setuju?”

“Sya ikut je.” Izz mengambil syiling di dalam dompetnya lalu dilambung. Satu... dua.. tiga.. belum pun sempat syiling ditekap ke tangan... ting... ting... ting... bunyi syiling berdenting lalu bergolek entah kemana. Izz menggaru-garu kepalanya. Hasya ketawa kecil. Dia hampir lupa duka yang menyelubunginya tadi.

“So? Macam mana?” Izz angkat kening tiga kali.

Hasya hanya jongket bahu. Lampu bilik dipadam.

“Sya, jangan tutup lampu boleh tak?” Izz menarik lengan baju Hasya di dalam gelap.

“Kenapa? Nak main lambung syiling lagi ke?”

“Tak.” Izz geleng. “Aku tak biasa tidur dalam gelap. Ada cahaya sikit pun jadilah.” Bedside lamp tak ada ke? Aku takut gelap. Kalau Hasya tahu, tentu dia gelakkan aku. Malulah aku.

Yes, I Love You 06

Yes, I Love You – Bab 6

Zikri mengepalai rombongan pengantin lelaki dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi. Kira-kira 50 orang ahli kelab mereka turut serta berkonvoi. Riuh-rendah penduduk kampung berbual sesama sendiri yang tidak ingin melepaskan peluang menyaksikan konvoi pengantin itu.

“Aku terima nikahnya Hasya Binti Hisyam dengan mas kahwinnya RM300 tunai.” Serentak dengan itu, air mata Hasya mengalir laju. Secara automatik, Hasya sah menjadi milik kepada Izzdihar Bin Datuk Izzuddin. Dirinya kini bukan lagi hak ibunya, mengenangkan hal itu, makin deras air mata Hasya menuruni pipinya. Kini, suami harus ditaati melebihi ibunya sendiri.

Hasya ditemani rakan-rakan akrabnya di hadapan pelamin yang dihias cantik. Hasya tunduk memandang cincin platinum bertatah berlian di jari manisnya yang disarung Datin Faridah sebagai tanda pertunangan sejurus sebelum dia dinikahkan. Bertunang hanya satu jam sebelum statusnya bertukar menjadi isteri. Cincin di jarinya dipusing-pusing, cuba berfikir layakkah cincin semahal itu menghiasi jarinya?

Izz menghampiri Hasya yang duduk bersimpuh 3 meter di sebelah kanannya. Debaran di dada Hasya semakin kuat. Jantung Izz berdegup pantas. Seutas gelang tangan dipakaikan kepada isterinya. Hasya menyalami dan mencium tangan suaminya lama. Izz mencium dahi Hasya. Bergetar hatinya, terasa ada perasaan aneh menyelinap masuk. Perasaan apakah ini? Mengapakah ianya cukup menyesakkan jiwa?

Pasangan mempelai yang berpakaian sedondon berona putih disandingkan di atas pelamin nan indah. Senyuman tidak lekang di wajah kedua-duanya. Kerlipan flash dari kamera dan telefon bimbit profesional mahu pun amatur tidak putus-putus merakamkan gambar mereka. Pihak lelaki pula mengambil video sebagai kenangan.

**********

Izz dan Hasya menghantar rombongan pengantin lelaki ke kereta. Puan Fatimah dan anak-anaknya turut serta menghantar Datuk Izzuddin dan Datin Faridah.

“Fatimah, kami balik dulu. Ajarlah Izz cara nak jadi menantu yang baik. Kita jumpa lagi di KL minggu depan.” Erat Datin Faridah memeluk besannya.

“InsyaAllah kak Dah. Saya akan anggap Izz macam anak saya sendiri. Baiklah.” Fatimah meleraikan pelukannya.

Datuk Izzuddin bersalaman dengan kesemua abang Hasya.

Zikri menghampiri Izz dan Hasya. “Selamat pengantin baru, Izz.” Bahu Izz ditepuk-tepuk. Senyuman dilemparkan kepada Hasya.

“Terima kasih, Zik. Jalan elok-elok.” Izz menghulurkan tangan lalu disambut Zikri.

“Jumpa lagi Fiz. Ada masa nanti datanglah jumpa aku.” Zikri memeluk bahu Hafiz iaitu Alang kepada Hasya.

“Okey. Maybe lepas aku praktikal. Aku call kau nanti.” Hafiz tersenyum.

Izz dan Hasya berpandangan sesama sendiri. Mereka agak keliru dengan kemesraan yang ditunjukkan oleh kedua-dua lelaki itu.

“Adik ingat lagi tak kawan Alang yang selalu ikut Alang balik rumah masa Alang belajar kat Dungun dulu?”

“Kawan Alang? Balik rumah? Dungun?” Hasya cuba berfikir. “Abang Zikri?” Hasya sedikit menjerit. Ada riak gembira di wajahnya.

Zikri mengangguk sambil tersengih. Mujurlah Hasya masih ingat siapa dirinya. Meskipun dia turut riang dengan pernikahan Izz tetapi hatinya rawan apabila mengetahui Hasya yang menjadi pasangan temannya itu.

Izz berwajah kelat apabila melihat wajah ceria Hasya. Dia sedikit tersentak apabila ditegur oleh Hanif yang merupakan Along kepada Hasya.

“Pengantin baru pergilah salin baju. Periuk belanga dah menunggu tu.” Hanif tersengih.

“Periuk belanga? Nak buat apa Along?” Izz kurang faham. Hasya di sebelah dikerling.

“Kena basuhlah.” Angah pula menyampuk. Nama Angah pula ialah Haziq.

“Kejap lagi kami basuhlah. Nak melaram dengan baju pengantin lama sikit pun tak boleh. Kacau daun betullah Along dengan Angah ni.” Hasya menjawab.

“Melaram apa lagi adik oiii? Pergi solat Asar dulu.” Alang pula mengarah.

“Yelah, yelah.” Hasya mula menapak ke atas rumah.

“Adik.” Panggil abang-abangnya serentak.

Hasya berpaling. “Apa lagi?”

“Ni Encik suami takkan tinggal kat sini? Ajaklah Izz sekali.”

Wajah Hasya berona merah. Alamak, lupalah pula pada Izz. Dia kembali mendapatkan Izz.

“Jom. Naik atas.” Pelawanya pada Izz.

Izz hanya menurut. Lima tapak mereka melangkah, kedengaran lagi suara ipar-iparnya.

“Cepat sikit turun. Periuk belanga dah lama tunggu.” Mereka ketawa.

Basuh periuk belanga? Izz telan air liur. Tidak dapat dibayangkan penderaan yang bakal dilaluinya sebentar lagi.

**********

Izz terkebil-kebil memandang lambakan periuk besar yang perlu dibasuh. Bukan sebuah malah enam buah periuk besar termasuk dua buah kuali yang ada di situ. Dia tercegat sambil bercekak pinggang. Tidak tahu hendak dimulakan dari mana atau lebih tepat lagi dia tidak pernah membuat kerja-kerja sebegini. Hasya keluar sambil membawa besen yang memuatkan serbuk pencuci, span dan stainless steel. Sebuah bangku kecil dihulurkan kepada Izz.

“Nak buat apa dengan benda ni?” Bangku itu diambil. Izz melihat ada sedikit kesan kemek pada tudung periuk yang besar. Dia mengetuk-ngetuk tudung periuk dengan bangku itu.

“Abang, jangan buat macam tu!” Hasya menjerit. Dia risau kalau tudung periuk itu pecah nanti.

“Eh, kenapa pulak? Tudung periuk ni kemek. Sebab tu kena ketuk, bagi elok balik.” Apa kena dengan Hasya ni? Dia bagi aku bangku untuk apa? Bukan untuk ketuk tudung yang kemek ni ke?

“Kita ambil macam tu, kena pulangkan pun dalam keadaan yang sama. Bangku ni tujuannya untuk duduk. Takkan nak membasuh sambil berdiri?” Hasya tersengih.

Serentak dengan itu, kedengaran gelak tawa beberapa orang di sekitar mereka. Hasya dan Izz memandang ke arah suara-suara itu. Along, Angah, Alang, Diana dan Munirah sedang memerhatikan mereka.

“Kami datang ni nak beri bantuan kemanusiaan.” Along masih ketawa.

“Betul tu. Kesian sungguh tengok pengantin lelaki kena buli.” Diana menyokong kata-kata suaminya.

“Jom, bang. Kita bantu dorang.” Munirah menarik tangan suaminya. Angah hanya menurut.

Alang mengambil beberapa batu bata untuk dijadikan alas punggung. Mereka beramai-ramai membantu pengantin baru membasuh periuk belanga yang ada. Izz agak seronok kerana ipar-iparnya tidak habis-habis membuat lawak. Sakit perutnya melayan karenah mereka. Kaum perempuan pula sekadar tersenyum kecil ketika mereka semua ketawa besar. Sekali sekala Hasya yang tekun membasuh dikerlingnya. Isterinya itu kelihatan cantik walaupun peluh membasahi dahinya.

“Izz, takkan lari gunung dikejar. Janganlah asyik merenung.” Alang mengusik.

Izz yang asyik memandang Hasya tersentak. Tahu dirinya sedang diperli. Tiba-tiba mukanya terasa panas. Malu usah terkata tetapi bibirnya tetap menyungging senyuman.

“Lagi cepat Izz siapkan kerja, lagi cepat dapat berehat.” Angah turut mengusik sambil tersengih.

Yes, I Love You 05

Yes, I Love You – Bab 5

Izz laju menuruni anak tangga. Dia terus menuju ke dapur. Kelihatan Datuk Izzuddin dan Datin Faridah sudah siap bersarapan. Dia bangun agak lewat pada hari cuti sebegini. Izz mengambil tempat di hadapan mamanya. Mak Bee menuang secawan milo panas. Nasi goreng dihidangkan kepada Izz.

Datin Faridah mengerling Datuk Izzuddin tetapi Datuk Izzuddin masih bersikap selamba. Datin Faridah berdehem perlahan. Respon Datuk Izzuddin masih sama. Datin Faridah berdehem lagi, kali ini lebih kuat. Datuk Izzuddin tersenyum, berasa geli hati dengan gelagat isterinya.

Izz memandang kedua-dua ibu bapanya dengan hairan. Entah apalah agenda tersembunyi mereka sehingga bersikap aneh di hadapannya. Izz menyuap nasi goreng perlahan-lahan. Milo panas ditiup sebelum dihirup.

“Izz, selepas kamu bersarapan nanti, jangan pergi ke mana-mana. Papa ada hal sikit nak bincang dengan kamu.” Akhirnya Datuk Izzuddin bersuara.

“Okey.” Jawab Izz sepatah.

Datuk Izzuddin dan isterinya berlalu dari meja makan.

Izz menapak ke sofa. Dia menghenyakkan punggungnya di situ. Mama dan papanya duduk di sofa di sebelah kanannya. Izz menunggu butir bicara dari papanya. Datuk Izzuddin menutup televisyen. Dia membetulkan kedudukan. Sekilas, wajah isterinya dipandang. Datin Faridah mengangguk tanda mahu suaminya memulakan bicara.

“Izz, papa dengan mama dah sepakat nak tunangkan dan nikahkan kamu bulan depan.”

“Hah? Bukan tunang saja ke? Nikah sekali?” Izz terkejut. Dia tidak menyangka secepat ini dia perlu menjadi suami sedangkan menjadi tunang orang pun dia masih berat hati.

“Rancangan kami dah berubah sebab masa tu abang-abang Hasya cuti. Jadi bolehlah mereka tengok adik mereka kahwin.” Datin Faridah menyampuk.

“Mama, takkan mama pentingkan cuti pihak sana saja? Abang Izzdiyad pun belum diberitahu. Apa pula kata dia nanti?” Izz terlepas cakap. Dia tahu mamanya tidak suka dia menyebut tentang Izzdiyad, satu-satunya abang yang dia ada.

“Ada dia fikirkan kita masa dia bernikah dulu? Tak adakan? Jadi, kita tak perlu ambil tahu perasaan dia. Nak datang ke tidak, mama tak peduli. Kamukan dah setuju? Jadi, apa bezanya kalau dipercepatkan beberapa bulan je?” Tinggi suara Datin Faridah.

“Suka hati mamalah. Izz ikut je.” Izz mengalah. Tidak mahu menaikkan kemarahan mamanya.

**********

Izz mengeluh. Zikri yang sedari tadi memerhatikan perangai Izz hanya menggelengkan kepala. Sudah tiga kali dia mendengar Izz mengeluh sejak mereka berhenti rehat di situ. Izz meregangkan badannya ke kiri dan kanan sambil tangan diluruskan ke atas.

Zikri mengesat peluh yang memercik di dahi.

“Izz, kenapa kau masih susah hati? Bukankah kau sendiri yang rela?”

“Rela dalam terpaksa.” Izz meluruskan kaki kirinya di atas palang. Kepalanya disentuh ke lutut kiri.

“Masih sempat untuk kau tarik diri Izz. Perkahwinan paksa takkan bahagia.” Zikri mengesat peluh di leher.

“No. Aku tak nak mama aku kecewa sekali lagi. Mungkin ini pengorbanan yang perlu aku buat.” Kaki kanan pula diluruskan di atas palang. Sekali lagi kepala disentuh ke lutut kanan.

“Kau tak rasa ini tak adil buat gadis melayu tipikal tu?” Zikri cuba memberi nasihat.

“Entah. Susah nak katalah Zik. Zaman sekarang ni banyak benda yang tak adil kot.” Izz membuka penutup air mineral. Sepertiga isinya diteguk.

“Hey kawan, tuh dah dikira hipokrit. Jangan menyesal sudah.” Zikri kesal dengan jawapan mudah Izz.

“Just wait and see.” Sebahagian lagi air mineral yang tinggal dicurahkan ke atas kepala. Terasa segar seketika.

“So, bila majlis two in one kau tu?”

“Dua minggu lagi.” Izz meneruskan joggingnya.

“Oiii, tunggulah aku Izz.” Zikri mengejar Izz yang sudah meninggalkannya. Tak guna punya kawan. Tunggulah aku sekali.

“Lembappppp….” Izz menjerit sambil ketawa.

********

Hasya memeluk rakan-rakannya satu persatu. Lama pelukannya kali ini. Terasa berat benar hatinya untuk berpisah dengan mereka. Berat hati untuk meninggalkan zaman remaja yang baru diinjak beberapa tahun lalu. Namun, dia sudah membuat keputusan dan dia mahu semua orang mendoakan kebahagiaan buat dirinya. Kad wangi berwarna ungu diberikan kepada rakan-rakannya.

“Aku terperanjat betul masa mak aku beritahu kau nak kahwin.” Rozita mencium kad undangan tersebut. Bau kad itu dicium. Wangi.

“Mak kau paksa kau kahwin? Kau tak rasa rugi ke kahwin awal? Kau tak nak sambung belajar macam kami?” Bertalu-talu soalan dari Norni.

“Bila kau bertunang? Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba nak kahwin.” Suria pula mencelah.

“Ada gambar dia tak? Bagilah, aku nak tengok.” Sampuk Suhaida pula.

“Korang ni. Tanyalah satu demi satu. Ni tak, main tembak je, tak sempat aku nak jawab.” Hasya tersenyum. Terasa lucu dengan gelagat rakan-rakannya. Belum sempat dia menjawab soalan pertama, soalan kedua sudah dikemukakan.

“Tak ada paksaan dalam perkahwinan ini. Aku yang redha. Mungkin ini jalan hidup aku. Maaflah, gambar dia tak ada. Kalau nak kenal, datanglah walimah aku nanti.”

“Hasya, antara kita berlima, kau yang paling pintar tapi kau yang kahwin dulu. Tak sangka betulkan?” Rozita mengagumi Hasya yang bukan sahaja cantik tetapi cerdik. Bukan seorang dua yang menaruh minat pada gadis ini sewaktu mereka bersekolah dahulu tetapi tiada seorang pun yang mampu memiliki hatinya. Kini, gadis itu memilih untuk menjadi seorang isteri sekaligus meleburkan hasratnya untuk menjejakkan kaki ke menara gading.

“Jodoh aku datang awal. Nanti giliran korang pulak.”

“Entahnya, si Rozita dengan Norni ni ada pakwe tapi tak jugak kahwin. Kau yang tak ada affair dengan sesiapa pula yang naik pelamin dulu.”

“Aduhhhh…..! sakitlah.” Suria menjerit kecil bila pahanya dicubit kiri dan kanan oleh Rozita dan Norni. Dia menggosok-gosok pahanya dengan kedua-dua tangan. Siapa suruh mulut celupar? Kang dah kena cubit. Padan muka.

Mereka semua ketawa memerhatikan wajah kelat Suria.

“Hasya, kalau boleh sambunglah belajar. Rugi betul kalau orang secerdik kau tak belajar di universiti.”

“InsyaAllah Norni. Jika ada peluang, ruang dan wang, aku akan belajar semula.”

“Bakal suami kau tuh sporting tak?” tanya Suhaida.

“Entah. Darah sama merah tapi kumpulan lain-lain.” Selamba Hasya menjawab sambil jongket bahu.

Pecah ketawa rakan-rakannya yang lain. Sudah lama mereka tidak melayan lawak spontan dari Hasya.