4/06/2010

Yes, I Love You 07

Yes, I Love You – Bab 7

Hasya menyarung baju tidur ke tubuh. Dirinya terasa segar selepas mandi. Dia menyiapkan baju dan kain pelikat untuk Izz. Dua helai sejadah dihampar. Kalau sebelum ini dia sering solat berjemaah bersama-sama ahli keluarganya, kali ini dia mahu solat bersama suaminya.

Izz termenung di tepi kolah kecil di dalam bilik mandi. Air paip dibuka perlahan. Mahu mandi tetapi airnya terlalu sejuk. Dia tidak betah dengan keadaan seperti itu. Dia mengambil gayung lalu dijiruskan sedikit air itu di kakinya. Alamak, sejuknya. Macam mana aku nak mandi ni?

Pintu bilik air terkuak. Izz menjengukkan kepalanya sedikit. Dia terpandang Hasya sedang menyisir rambutnya di hadapan cermin solek. Izz menganga. Sungguh dia tidak menyangka Hasya mempunyai rambut ikal mayang separas pinggang yang cukup cantik. Lazimnya mahkotanya itu dilindungi. Rambut itu sedikit beralun apabila ditiup angin kipas. Melalui biasan cermin, dia dapat melihat wajah Hasya yang manis. Cukup ralit dia menikmati situasi indah itu.

Tiba-tiba Hasya berpaling. “Abang, kenapa tercegat kat situ? Dah siap mandi?”

“Be…be… lum. Aaa…aaa... air ni sejuk sangat. Tak biasa. Takde water heater ke?” Izz tergagap apabila perbuatannya memerhatikan Hasya disedari.

Hasya ketawa kecil. “Tak ada. Nanti Sya ambilkan air panas kat dapur.” Patutlah lama sangat kat dalam bilik air, rupa-rupanya tak biasa mandi tanpa pemanas air.

“Hah? Air panas? Takkan nak suruh mandi air panas?” Habislah melecur kulit aku. Dahlah ketampanan aku ni sukar ditandingi, ada ke patut nak suruh aku buat macam tu? Hasya ni tak betul ke?

Hasya ketawa lagi. “Tak. Bukan macam tu. Air panas tu Sya nak campur dengan air dalam kolah. Jadi, taklah sejuk sangat abang mandi nanti.” Pelik betul suami aku ni. Boleh pulak dia fikir aku nak mandikan dia dengan air panas? Melepuh laa kulit dia nanti. Siapa tak sayang suami oiii?

“Owhhh! Okey.” Malunya aku. Aku ingat dia nak suruh aku mandi air panas tadi. Hai laa Izz, kenapa kau malukan diri sendiri depan Hasya? Buat malu kaum saja.

Hasya kembali dengan sebaldi kecil air panas. Dia menuangkan air panas tersebut ke dalam kolah. Kemudian, suhu air tersebut dirasa dengan tangan. Izz memerhati perbuatan Hasya sambil berpeluk tubuh di tepi pintu bilik air.

“Okey. Air nih dah tak sejuk sangat. Abang dah boleh mandi.”

“Terima kasih.”

“Kasih diterima.” Selamba Hasya menjawab seraya keluar dari situ.

Izz menghalang laluan Hasya dengan meletakkan tangan kanannya di pintu bilik air sambil tersengih. “Tak nak mandi sekali? Come, join me.”

Hasya berubah wajah. Wajahnya sudah berubah warna. “Sya dah mandi.”

Izz cuba memegang tangan Hasya tetapi Hasya pantas melalui ruang yang ada di bawah tangan Izz. Dia berjaya lolos keluar. “Sya ada wuduk.”

“Nanti kau.” Izz ketawa sambil menutup pintu bilik air. Jantung Hasya berdegup kencang.

**********

“Hasya, sini jap. Ada hal sikit nak cakap.”

Hasya berhenti menyimpan pakaian Izz ke dalam almarinya. Dia duduk di birai katil. Izz mengengsot, memberi ruang agar Hasya dapat duduk di sebelahnya.

“Sya...” Izz menarik nafas. Kemudian dihela dengan kuat. Dia mencari kata-kata yang terbaik untuk diucapkan kepada Hasya.

“Aku ada hal nak cakap.” Kenapalah susah sangat aku nak mulakan bicara ni? Kalau tak cakap, aku yang gelisah tapi kalau cakap dia pulak yang resah. Pendek kata, memang susah.

“Cakaplah.” Hasya menunggu butir bicara seterusnya dari Izz.

Seminit... dua minit... lima minit dan akhirnya...”Aku belum bersedia untuk semua ini.”

“Maksud abang?” Hasya memandang Izz. Dia ingin tahu ‘hal’ yang ingin Izz perkatakan.

Izz menarik nafas lagi. Kali ini dihembus perlahan. “Aku belum ready nak jadi seorang suami. Nak share life dengan orang lain. Nak jaga orang lain. I’m too young to get married.” Lega. Akhirnya dapat juga aku luahkan isi hati. Tapi kau faham ke ayat aku yang akhir tu?

Bagai halilintar membelah bumi, Hasya terasa dunianya musnah dalam sekelip mata. Inikah ‘kebahagiaan’ yang diharapkan oleh setiap tetamu yang hadir siang tadi? Inikah ‘kata-kata romantik’ yang patut didengarinya pada malam pertama pernikahannya? Inikah ‘kasih sayang’ yang patut diterimanya di dalam ikatan perkahwinan yang belum pun berusia 24 jam? Inikah ‘hukuman’ yang disabitkan ke atasnya kerana akur dengan pernikahan ini?

Setitis... dua titis... dan akhirnya membuak-buak air mata Hasya menuruni pipinya. Tanpa sebarang bicara, hanya sendu mengiringi tangisannya. Akulah pengantin yang berduka di malam pernikahan. Akulah pengantin yang bernasib malang sedangkan inai masih merah di jari. Akulah pengantin yang begitu mudah dijatuhkan hukuman tanpa sebarang perbicaraan. Akulah pengantin itu. Abang kejam. Abang zalim. Abang jahat. Hati Hasya menjerit. Hati Hasya merintih. Hati Hasya mengamuk. Namun, ianya hanya peperangan di dalam hati, tidak mampu dilontar keluar.

Izz kelu. Terbit simpati di hatinya tatkala melihat air mata Hasya. Dia tidak mahu hipokrit. Dia mahu berterus-terang agar Hasya tahu tentang suara hatinya. Dia tahu hati Hasya hancur lumat apabila mendengarkan bicaranya tadi. Dia rasa Hasya berhak tahu. Jika tidak hari ini, lambat laun semuanya akan terbongkar jua.

Hasya bangun. Dia menapak ke jendela. Perlahan daun pintu jendela dibuka. Angin malam yang dingin menampar lembut pipinya. Sedingin hatinya ketika itu. Air mata yang masih bersisa diseka dengan hujung jari. Dia membuang pandang ke arah buaian kayu yang nampak samar-samar akibat simbahan cahaya dari lampu jalan. Kemudian, dia merenung pula bulan di langit. Bulan sedang mengambang penuh. Indah sekali. Malangnya keindahan itu tidak dapat dinikmati sepenuhnya. Wahai bulan yang mengambang, tahukah dikau bahawa aku berhati walang?

Izz turut bangun. Dia sedikit takut dengan reaksi bisu Hasya. Dia lebih suka kalau gadis itu menghamburkan kata-kata marah daripada mendiamkan diri. Dia lebih rela kalau Hasya menampar wajahnya, menumbuk perutnya atau menyepak kakinya daripada merenung kepekatan malam yang kelam.

“Sya, aku tahu kau marah. Kau boleh lepaskan amarah kau pada aku. Jangan diam macam ni.” Suara Izz memecah kesunyian.

Hasya berpaling. Dia merenung Izz. “Kalau Sya berperang dengan abang sekali pun, kenyataan ini takkan berubahkan? Abang dipaksa kahwin dengan Sya?” Tegas suara Hasya walaupun perlahan. Pintu jendela ditutup kembali.

“Sorry. Tak, aku memang rela kahwin dengan kau.”

Kening Hasya berkerut. “Rela tapi tak bersedia? Gurauan apa semua ni? Atau abang ada keka...?”

“No! Aku takde kekasih. Cuma tak bersedia. Itu saja.” Pantas Izz memotong.

Huhhh!!! Hasya mengeluh. “Jadi, apa maknanya pernikahan kita ni? Sekadar permainan? Begitu?” Dia keliru dengan jawapan Izz.

“Bukan macam tu, Sya. Aku harap kau dapat beri aku masa untuk menerima kau dalam hidup aku. Perkenalan ekspres kita tidak cukup untuk aku menilai kau.” Jujur jawapan Izz.

“Kalau abang rasa Sya bukan gadis baik, kenapa abang teruskan perkahwinan ni? Kenapa tak halang mama abang dari jodohkan kita? Sya sangka abang tak kisah kahwin ditentukan keluarga.” Mudahnya kau memberi alasan. Dari seorang gadis, kau menukar status aku menjadi isteri dan selepas ini mungkinkah status aku akan berubah lagi menjadi jan...da...? Ya Allah, menyebut perkataan itu pun aku tak sanggup. Apatah lagi melaluinya.

“Sorry. Aku tak ada niat nak permainkan kau, Sya. Memang aku setuju kahwin dengan kau walaupun kita tak pernah berkenalan sebelum ni. Aku harap kita boleh berkawan dulu sebelum jadi suami isteri dalam erti kata sebenar.” Aku tak berdaya menolak permintaan mama. Sungguh aku tidak mahu melihat mama menderita lagi. Cukuplah sekali. Walaupun aku terpaksa berkorban, namun demi ibu yang melahirkan aku ke dunia ini, aku rela. Maafkan aku Hasya kerana melibatkan kau sekali dalam kisah hidupku ini.

“Ada niat atau tidak, hakikatnya abang permainkan Sya. Abang heret Sya dalam permainan yang abang cipta sendiri. Kalau itu kata abang, Sya ikut. Kita akan jadi kawan dalam rumahtangga kita ni.” Hasya menyeka lagi air mata yang bergenang di tubir mata. Meskipun pahit kenyataan yang berada di depan mata, namun dia terpaksa pasrah jua kerana akad nikah yang terlafaz mewajibkan dia mentaati suaminya.

“Okey. Kau boleh buat apa saja yang kau suka selagi ianya tidak menjejaskan maruah kau dan keluarga kita. Cuma, kat depan keluarga kita, buat macam kita ni pasangan yang ideal. Kau ada apa-apa syarat? Cakap je, aku akan tunaikan kalau mampu.” Izz melabuhkan punggung di birai katil.

“Sya tak ada apa-apa syarat.” Hasya tunduk memandang kakinya sendiri. Apalah gunanya syarat jika tidak dilaksanakan?

“Dahlah. Hari pun dah larut malam. Baik tidur. Aku akan tidur kat bawah.” Izz mencapai bantal dan selimut. Hasya menghalang perlakuan Izz dengan mengambil semula bantal dan selimut.

“Abang tetamu. Abang tidur je kat atas katil. Biar Sya tidur kat bawah.”

“Mana boleh? Tuan rumahlah tidur atas katil.”

“Apa kata kita lambung syiling?”

“Okey! Aku wau, kau bunga raya. Setuju?”

“Sya ikut je.” Izz mengambil syiling di dalam dompetnya lalu dilambung. Satu... dua.. tiga.. belum pun sempat syiling ditekap ke tangan... ting... ting... ting... bunyi syiling berdenting lalu bergolek entah kemana. Izz menggaru-garu kepalanya. Hasya ketawa kecil. Dia hampir lupa duka yang menyelubunginya tadi.

“So? Macam mana?” Izz angkat kening tiga kali.

Hasya hanya jongket bahu. Lampu bilik dipadam.

“Sya, jangan tutup lampu boleh tak?” Izz menarik lengan baju Hasya di dalam gelap.

“Kenapa? Nak main lambung syiling lagi ke?”

“Tak.” Izz geleng. “Aku tak biasa tidur dalam gelap. Ada cahaya sikit pun jadilah.” Bedside lamp tak ada ke? Aku takut gelap. Kalau Hasya tahu, tentu dia gelakkan aku. Malulah aku.

0 comments

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.