8/06/2013

Yes I Love You 48



Yes, I Love You – Bab 48

Insiden tengah hari tadi begitu menyesakkan dadanya. Dia bersandar lesu di kerusinya. Kot ditanggalkan lalu disangkut di belakang kerusi, tali leher dilonggarkan. Wajahnya jelas kelihatan sugul. Dia meraup wajahnya beberapa kali. Tangan kanan diletakkan di atas dahi. Fikirannya sarat dengan pelbagai soalan yang tidak menemui jawapan. Mengapa semuanya berlaku tatkala kasihnya pada Hasya sudah bertandang?

Izz menghela nafasnya perlahan. Dia cuba membuang jauh segala kekusutan yang mendiami layar fikirnya. Namun, dia gagal. Meskipun dia tidak mahu mengingati tentang semua itu tetapi hal-hal itu tetap bertapak di mindanya. Kawan yang diharapkan untuk diluahkan masalah kini menjadi lawan. 

Pintu bilik kerjanya diketuk. Dia hanya membiarkan. Beberapa saat kemudian, ketukan itu bertalu lagi, kali ini lebih kuat dari yang pertama. Izz memekakkan telinganya. Malas hendak bertemu sesiapa. Akhirnya, si pengetuk pintu itu masuk juga walaupun tidak mendapat kebenaran dari Izz. Jarinya sudah letih mengetuk pintu.

“Encik Izzdihar...” Panggilnya perlahan.

Tiada respon. Lelaki itu masih enak bersandar sambil memejamkan mata.

“Eh, bos aku ni tidur ke?” Omel Mimi sendirian. “Encik Izzdihar...” Cubaan kali keduanya gagal juga.

“Seronoknya jadi bos... dalam office pun boleh tidur lena.” Mimi berjalan mendekati meja kerja majikannya, dia ingin meletakkan ‘barang’ yang dibawa.

“Mimi... sedapnya you mengata I. Dah ready nak resign ke?!” 

Mimi tersentak. Izz yang disangka tidur nyenyak sehingga tidak menyedari kehadirannya telah mendengar bebelannya sebentar tadi. 

“Maa... maaf, Encik Izzdihar.” Kepalanya ditundukkan. Malu hendak menatap mata Izz sedangkan lelaki itu masih lagi memejamkan mata.

“Lain kali jangan mengumpat kalau tak nak kena pecat.” Matanya sudah dibuka. “I tak nak diganggu... hal apa yang penting sangat sampai you tak boleh tunggu?”

“Ada surat untuk Puan Hasya.” Mimi menghulurkan sebuah sampul surat bersaiz A4 kepada Izz. Izz tidak menyambutnya. Mimi meletakkan sampul tersebut di atas meja kerja Izz.

“Okey! You keluar dulu.” Mimi menurut. Langkahnya dihayun laju. “Mimi... esok you tak payah datang kerja.” Tegas Izz bersuara.

Mimi melongo. “En... Encik Izzdihar pe... pecat saya?” Terketar-ketar Mimi bertanya. 

“Esok hari minggu. You nak kerja dengan hantu?” Izz ketawa. Baru usik sikit, Mimi sudah menggelabah.

Hampir luruh jantung Mimi dengan gurauan Izz. Nasib badan, dapat bos suka mengenakan orang! Seketika kemudian, Mimi sudah menghilang.

Izz memandang sampul surat yang terdapat di atas mejanya. “Kenapa pulak surat Hasya dialamatkan ke office? Tak pos terus ke rumah?” Ada keraguan merajai hatinya.

Surat itu dicapai. Nama pengirim dan lokasi asal surat itu dicari. Lelaki itu mengerutkan keningnya sehingga bertaut menjadi satu. Pantas dia mengoyak surat itu untuk melihat isinya. Ada beberapa ‘barang’ di dalamnya. Dia mengambil sekeping surat yang tersisip di dalam lalu membacanya. 

Izz keluar dari pejabat dengan tergesa-gesa. Tanpa sebarang pesanan kepada Mimi, dia meninggalkan kerjanya untuk menyelesaikan ‘urusan’ lain yang lebih penting. Terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas membuatkan dia lebih melenting. 

“Encik Izzdihar, nak ke mana tu?” Soal Mimi sebaik melihat Izz beredar.

Izz tidak menjawab soalan Mimi, sebaliknya dia terus menapak laju.

“Encik Izzdihar kena jumpa arkitek pukul 4.15 nanti.” Mimi mengingatkan jadual Izz sambil mengejar bosnya itu.

“Batalkannn...” Tengking Izz sebelum pintu lif tertutup rapat.

Sesampainya di rumah, dia terjun keluar dari Caldina lalu meluru masuk ke dalam rumah. Pintu keretanya tidak ditutup.

“Hasyaaa...!” Dia memekik kuat. Susuk Hasya masih tidak kelihatan. Izz semakin baran. “Hasyaaa...!” Pekiknya lagi. Lebih kuat dari tadi. 

Terkocoh-kocoh Hasya datang dari arah dapur. “Abang dah balik? Maaf, tadi Sya tengah berkebun di belakang rumah. Jadi, tak berapa dengar suara abang.” Senyuman bermain di bibirnya. 

Keringat membasahi dahi Hasya. Dia memakai baju T berlengan panjang, berseluar sukan dan bertudung hitam. Bajunya bermandikan peluh kerana banyak aktiviti yang dilakukan di luar rumah. Dia menanam tiga pasu pohon cili. Membubuh baja pada pokok mangga. Menyiram pokok-pokok bunga ibu mentuanya.

Hasya tunduk mencapai tangan Izz, ingin disalami tetapi lelaki itu melarikan tangan kanannya. Hasya tercengang dengan perlakuan Izz. Walaupun mereka masih belum berbaik sepenuhnya tetapi Izz tidak menghalang haknya sebagai seorang isteri sebelum ini. 

“Tak payah nak berlagak baik depan aku!” Izz mencerlungnya tajam. 

“Kenapa ni? Apa yang tak kena?” Hasya semakin tidak faham. Dia bukan berpura-pura. Selama ini layanannya pada Izz tetap sama.

“Tengok ni...!” Jeritnya. Puluhan keping gambar ditarik dari dalam sampul surat lalu dilempar ke muka Hasya. 

Hasya pegun di situ. Dia terkejut dengan tindakan Izz. Perlahan-lahan dia menunduk. Sekeping gambar diambil. Buntang matanya melihat gambar itu. Cepat-cepat gambar yang lain dijenguk. Akhirnya dia terduduk di situ, dikelilingi puluhan gambar-gambarnya bersama Thaqif. Tiada kata-kata tersusun, hanya air mata menderu turun.

Sekeping surat yang turut berada di celah-celah gambar-gambar tersebut, dibuka dan dibaca. Kini, dia faham amukan Izz berpunca daripada surat itu. Harus diperbuat apa lagi jika keadaan langsung tidak memihak kepadanya? Surat itu direnyuk lalu dicarik-carikkan. Thaqif, lelaki yang telah menghancurkan kebahagiaannya. Lelaki yang tidak berperikemanusiaan. 

“Menangis konon!” Izz menjuihkan mulutnya.  “Apa lagi cerita kau nak reka?!” Izz mencangkung di hadapan Hasya. Dagu isterinya diangkat kasar. 

Hasya memandang ke lantai. Tidak berani melawan panahan mata Izz yang mencerlung garang. Keadaan tegang beberapa hari lalu belum dapat dipulihkan sepenuhnya, adakah masalah baru pula menunggu? Salah faham yang melanda kini menjadi semakin parah. Hasya tahu apa sahaja penjelasan yang terbit dari mulutnya, takkan dipercayai oleh Izz.

“Cakappp...! Sejak bila kau buat hubungan sulit dengan Thaqif?” Nada suara Izz naik mendadak daripada rendah kepada tinggi. Dagu Hasya dilepas kuat. 

“Abanggg..! Sya tak ada hubungan pun dengan dia. Semua ini fitnah. Percayalahhh...!” Gadis itu memegang dagunya yang sakit. Sungguh dia berasa terhina dituduh sedemikian rupa. 

Izz ketawa mengejek. “Fitnah? Lepas upload kat Facebook, kau suruh kekasih kau tu hantar gambar ke pejabat pulak ye? Ohhh... kalau hantar ke rumah ni, kau takut orang tau skandal kau, kan? Tapi kau lupa, kat pejabat, lagi cepat gambar kau jatuh ke tangan aku.” 

“Sya tak buat semua tu. Sungguh, Sya tak buat.” Mendatar suara Hasya. Dia sudah penat bertikam lidah dengan suami yang enggan memahami.

“Heyyy! Berhenti berbohong. Aku dah muak dengan pembohongan kau!” Izz bingkas berdiri. Dia berjalan mengelilingi Hasya.

 Hasya hanya diam. Dia tunduk memandang gambar-gambar yang berselerak di sekelilingnya. Malas hendak memberi respon jika semua jawapannya hanya dilihat sebagai alasan.

“Tak cukup dengan Thaqif, kawan baik aku pulak kau goda! Dasar perempuan sundal.”

Hasya mengangkat muka. Terkejut dia dengan perkataan sundal yang ditujukan kepadanya. Izz sudah melampau. 

“Apa abang merepek ni? Sya tak ada apa-apa dengan dia.” Selepas dituduh berkasih dengan Thaqif, kini Zikri pula dikaitkan dengannya. Hasya sedaya upaya mengawal dirinya walaupun rasa hormatnya pada insan bernama suami itu semakin luntur.

“Kalau kau tak ada apa-apa dengan dia... kenapa gambar-gambar kau dia edit dengan cantik? Kenapa dia print dan letak dalam sketch book? Kenapa ada tulisan Zikri love Hasya?”

“Kenapa abang tanya Sya? Kenapa abang tak tanya Zikri sendiri? Kalau dia yang buat semua tu, kenapa Sya pulak yang bersalah?” Hasya membela dirinya sendiri.

“Dah pandai melawan, ye? Baik kau mengaku, apa hubungan kau dengan Zikri?” Tengking Izz. 

Hati Hasya mendidih. Dia terus-terusan dituduh pembohong walaupun dia tidak berbuat salah. Adakah dia patut mendiamkan diri? Itu bererti dia mengiyakan semua tuduhan yang dikenakan ke atasnya. Tidak! Dia patut membela diri. Dia bukan isteri yang boleh dibuli sesuka hati.

“Cukuppp...!” Jerit Hasya. Air mata dikesat kasar dengan jari-jemarinya. Dia bangun.

Izz terpempan dengan jeritan Hasya yang menyakitkan gegendang telinganya. Kali pertama Hasya meninggikan suara terhadapnya. 

“Ini kali terakhir Sya cakap. Sya tak ada hubungan sulit dengan Thaqif mahu pun Zikri. Kalau abang tak percaya, Sya tak berupaya untuk membuktikannya. Tapi ingatlah seperkara, Allah sentiasa ada untuk membantu hambaNya yang teraniaya.” 

Lantunan kata-kata Hasya terasa pedih mencucuk dadanya. Izz sudah tidak rasional, semua perkataan yang diucapkan Hasya menjadi nanah di hatinya. 

“Keluarr...! Keluarrr...! Keluar sebelum aku tamparrr!” Tangannya sudah diangkat tinggi cuma belum dilepaskan ke pipi si isteri.

Dalam ‘peperangan’ yang semakin berlarutan, Hasya berlari keluar. Dia terjelepuk di tepi kolam ikan. Wajahnya disembamkan ke lutut yang sudah diangkat separas dada. Ikan-ikan koi menjadi saksi bisu kepada esak tangis Hasya yang semakin jelas kedengaran. Dia gagal mengawal keadaan. Dia semakin hilang arah tujuan. 

Di dalam rumah, amarah Izz sudah semakin surut. Lama dia berfikir untuk mencari jalan keluar bagi meredakan ribut yang melanda rumahtangganya. Beberapa jam lalu, dia hampir menampar isterinya sendiri. Dia kesal dengan perilakunya yang melampaui batas. Dia tidak mahu menyakiti Hasya sehingga menyebabkan tubuh badan gadis itu berbekas.

Izz menolak pintu bilik. Hasya masih belum selesai solat. Dia tidak jadi masuk, pintu bilik ditutup kembali. Dia menghenyakkan punggungnya di sofa. Dia perlu membuat perhitungan dengan Hasya. Mereka tidak boleh terus berada di dalam situasi sebegitu. Sesuatu perlu dilakukan agar kedua-duanya bebas dari masalah. 

Hasya mengesat air mata yang masih bersisa. Telekung solat digantung di tempat biasa dan sejadah disidai. Hasya termenung di birai katil. Mahu tidur, malam masih muda. Mahu keluar, nanti meletus lagi perang dunia. Akhirnya, dia berdiri di balkoni merenung bulan yang sedikit terlindung dek awan. Oh bulan, sekeping hati milik Hasya juga dibadai rawan.

“Hasya...” Suaranya mendatar, tidak lagi memekik.

Hasya berkalih pandang. Tubuh dipusing mengadap suaminya. 

“Aku rasa baik kita berpisah buat sementara waktu.” Senafas Izz menuturkannya. 

Walaupun berat hatinya untuk membuat keputusan sebegitu, namun dia perlu memberi ruang kepada dirinya sendiri dan Hasya untuk mencari ketenangan.

Hasya angkat muka.  Dia mencari mata Izz tetapi lelaki itu melarikan anak matanya kerana Izz tidak sanggup berbalas pandangan. Kelopak matanya mulai terasa panas, barangkali mahu hujan lagi. Akhirnya itu keputusan muktamad seorang suami kepada si isteri. 

“Baiklah! Sya akan pergi dari sini kalau itu yang abang mahu.” Hasya berlalu pergi dengan perasaan sebu di hati. Sebentar lagi, dia akan melangkah kaki meninggalkan rumah mewah ini. 



 Eriyza : Penulis kembali bersiaran. Adakah Hasya benar-benar pergi atau Izz hanya menguji hati si isteri?? Nak tau jawapannya?? Kenalah tungguuu... Aci tak sambung lepas raya?? Hehehe! :p

8/02/2013

Pesanan Penulis

'Drama' Yes I Love You terpaksa dihentikan 'tayangan' buat seketika ekoran 'pengarah' menemani ayahanda di wad.

Mohon para 'penonton' mendoakan kesihatan ayahanda penulis.

Published with Blogger-droid v2.0.6