7/24/2013

Yes I Love You 43



Yes, I Love You – Bab 43

Dia terjaga tika embun jantan masih menitik. Matanya terasa berat untuk dibuka, mungkin sembab akibat terlalu banyak mencurahkan hujan air mata. Dia tidur di bilik kerja suaminya. Hanya berbantalkan lengan di dalam kesejukan malam. Dia terasa ada sesuatu menyelubungi separuh dari tubuhnya. Diambil dan diamati. Ianya adalah comforter. Dia sendiri tidak sedar bila dan siapa yang memberikan comforter tersebut. Mungkinkah Izz?

Laut fikirnya memproses semula kata-kata suaminya malam tadi. Perempuan curang, gelaran yang cukup menjijikkan, menyebutnya pun dia tidak tergamak. Dia bangun lalu bersila. Comforter dilipat. Dia perlu meneruskan tugasnya sebagai isteri seperti biasa. Biarlah luka di jiwa pudar bersama masa. 

Dia berdiri pegun di hadapan pintu biliknya. Tidak tahu sama ada perlu diketuk dahulu atau terus masuk seperti selalu. Tidak tahu pintu itu berkunci atau sudah dibuka. Tangan kiri memegang comforter, tangan kanan memulas tombol pintu bilik perlahan-lahan. Berdebar dadanya tatkala pintu bilik itu terbuka. Kaki digagahkan untuk melangkah masuk meskipun hati goyah.

Katilnya kosong. Deruan air kedengaran di bilik mandi. Cepat pula Izz bangun apabila dia tidur sendirian. Selalunya liat hendak bangun pagi. Hasya membuka almari pakaian. Baju kemeja, seluar slack dan tali leher Izz diletakkan di atas katil. Dua helai sejadah dihamparkan.

Izz keluar dari bilik air. Matanya menangkap susuk tubuh Hasya yang sedang membelakanginya. Pintu bilik air sengaja ditutup kuat menyebabkan gadis itu terperanjat. Jantungnya berdetak hebat. Tidak berani hendak bertentang mata dengan Izz. Sehelai tuala melayang lalu jatuh di atas kaki Hasya. 

“Awal abang bangun hari ni...” Hasya mengalah. Dia menegur Izz malangnya tidak bersahut. Lelaki itu mendiamkan diri. 

Hasya masuk ke bilik air. Mandi ala kadar dan berwuduk. Sebaik keluar dari bilik air, Izz sudah pun menunaikan solat Subuh. Lelaki itu tidak menunggunya untuk berjemaah bersama. Rutin yang mereka lakukan bersama sejak berkahwin. Setitik air mata menuruni pipinya.

Izz sudah lengkap berpakaian. Izz sudah siap berdandan. Hasya sedikit pun tidak dipedulikan seolah-olah gadis itu tiada di hadapannya. Hasya mahu mengambil briefcase Izz tetapi belum sempat dia mencapainya, tangan Izz lebih pantas merebutnya. Hasya hampir tersembam apabila briefcase lelaki itu kasar menghentam tubuhnya. 

Hasya menggosok-gosok belakang badannya yang sakit. Izz langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi. Menitik air mata Hasya mengingatkan sikap Izz terhadapnya. Tambah pilu apabila pakaian yang disediakan, tidak disentuh langsung lelaki itu sedangkan setiap hari Hasya menyediakan pakaiannya ke pejabat. Hasya mengesat air matanya. Dia turun ke bawah. 

Hasya membantu Mak Bee menyediakan sarapan seperti biasa. Dia buat-buat ceria. Tidak mahu orang lain menyedari kesedihannya. Roti canai segera digoreng dengan api sederhana. Mak Bee pula memanaskan gulai daging lebihan semalam untuk dimakan dengan roti canai.

Semua orang turun bersarapan setelah makanan siap dihidangkan. 

“Sarapan apa hari ni... Sya?” 

Hasya yang sedang meletakkan dua keping roti ke dalam pinggan berpaling ke arah Izz. Lelaki itu senyum mengejek ke arahnya. 

“Roti canai cicah gulai daging.” Soalan Izz dijawab dengan sopan.

“Wah, roti canai! Pekena pulak dengan gulai daging! Best ni!” Izz tersenyum simpul melihat hidangan kegemarannya di hadapan mata.

 “Memanglah sedap sebab gulai daging ni Hasya yang masak.” Natalia menceduk gulai ke dalam pinggan suaminya setelah pinggan-pinggan lain selesai diisi.

“Masakan Hasya memang tip top! Takde bandingan! Betul tak, Sya?” 

Hasya tersenyum nipis. Pandai sungguh lelaki ini berlakon. Dalam bilik tadi, bukan main lagi dia melancarkan ‘Hari Bisu Sedunia’. Sekarang namanya asyik disebut.

“Nampak gayanya sayang kena berguru dengan Hasya. Nanti boleh tunjuk skill memasak kat Brunei.” Izzdiyad mengusik isterinya.

“Maknanya abang cakap sayang masak tak sedaplah?” Natalia mencebik. Kemudian dia ketawa bahagia.

“Sedap... tapi... kurang menyengat je.” Izzdiyad ketawa lagi.

Natalia mencubit lengannya perlahan. Refleks dia mengaduh sakit.

“Sya... Kak Nat nak berguru ni. Boleh, kan?” Natalia separuh bergurau.

“Apa pulak tak boleh Nat? Kalau ada lelaki asing datang nak belajar pun dia sanggup jadi cikgu, takkan biras sendiri dia tak sudi ajar?” Izz tersenyum sinis. 

“Kalau macam tu, Sya ajarlah abang Yad sekali. Boleh jugak memasak kalau Kak Nat kau ni bersalin lagi.” Tambah Izzdiyad pula.

Natalia tersedak mendengar percakapan suaminya. Beberapa teguk air segera dihirup.

“Abang ni... Insyirah tu masih kecil lagi. Sebelum kita tambah anak, biarlah Hasya beranak pula. Boleh jugak jadi kawan Insyirah.”

“Korang jangan risaulah. Ada rezeki nanti, asyik beranak sajalah si Hasya ni.” Sesuap roti canai masuk ke dalam mulut Izz.

Hasya yang tahu dirinya diperli hanya mampu senyum segaris. Mereka yang bergurau tetapi hatinya yang kacau!

“Izzdiyad... Izzdihar... habiskan sarapan tu dulu. Jangan asyik bergurau senda depan rezeki! Macam budak-budak!” Datin Faridah bersuara agak kuat. 

Yes... madam! Serentak Izz dan Izzdiyad menabik ibu mereka.

Datuk Izzuddin hanya menjadi pemerhati. Malas hendak ikut campur di dalam perbualan muda-mudi. Sesekali dia tersenyum melayan gelak ketawa anak menantunya.

Usai sarapan, Datuk Izzuddin bergegas ke pejabat. Datin Faridah perlu menghadiri perasmian Butik sahabat baiknya. Izzdiyad keluar entah ke mana. Natalia menjenguk bayinya di tingkat atas. Mak Bee mencuci pinggan mangkuk di dapur. Tinggallah Izz dan Hasya di meja makan. Secara automatik, perang dingin mereka bermula kembali.

Hasya hanya memandang sekeping roti canai yang berada dalam pinggannya. Sedikit pun belum dicubit. Kuah gulai daging yang masih berasap sekadar dilihat. Seteguk air belum pun melalui kerongkongnya hari itu. Selera makannya tiada.

Semua orang terlalu berselera menjamah sarapan pada pagi itu. Semuanya makan bertambah termasuklah lelaki yang berada di hadapannya. Tiga keping roti canai bersama dua mangkuk gulai daging berjaya dihabiskan Izz. Itu belum dikira lagi dengan dua cawan teh o.

“Abang...”

Izz diam. Malas hendak respon pada percakapan isterinya. Dia mengesat mulut dan tangannya yang sudah dibasuh dengan tisu.

“Abang...”

“Hey...! Jangan ingat aku dah maafkan kau! Aku cuma berlakon depan orang lain!” Jari telunjuk kiri dituding di hadapan muka Hasya. Pantas Izz mengeluarkan amaran sebelum mendengar apa yang ingin Hasya perkatakan.

Hasya tidak jadi hendak meneruskan bicara. Sudahnya, dia hanya memandang Izz menapak ke luar rumah. Dia terus mengekori Izz walaupun lelaki itu benci kepadanya. Dia memerhatikan Izz memakai stokin dan kasut. Briefcase di atas sofa dicapai lalu dihulurkan tetapi tiada tangan yang menyambut. Izz sudah masuk ke dalam perut Caldinanya. Akhirnya, Hasya meletakkan briefcase itu di tempat duduk penumpang.

Dia pergi ke pintu sebelah pemandu. Enjin kereta sudah dihidupkan. Izz mahu menutup pintu tetapi Hasya tercegat di situ. 

“Heyyy! Tepilah, aku nak tutup pintu!” Jerkahnya.

Hasya mencapai tangan kanan Izz, mahu dikucup seperti biasa tetapi lelaki itu melarikan tangannya. 

“Abang... jangan halang hak Sya yang satu ni.” Pegangan Hasya sungguh kejap, tangan Izz belum dilepaskannya. Matanya sudah berkaca. 

Izz akhirnya mengalah. Dia membiarkan Hasya mengucup tangannya. Dua titis air mata Hasya membasahi belakang tangan kanannya. Hatinya dipagut sayu namun dia tetap bersikap bersahaja. Sebaik Hasya beredar sedikit, dia menutup pintu keretanya dengan kuat.

Hasya memandang kereta Izz berlalu pergi dari halaman rumah sehingga kereta itu hilang dari pandangannya di jalan besar. Izz sempat memandang perlakuan isterinya melalui cermin pandang belakang. 

Hasya tidak segera masuk ke dalam rumah sebaliknya dia menuju ke kolam ikan. Kolam ikan koi Datuk Izzuddin berkonsepkan Taman Jepun. Di sekelilingnya dihiasi dengan pepohon bonsai, kemboja dan busida. Ikan koi yang berwarna-warni kelihatan sangat cantik di dalam kolam air yang jernih. Hati Hasya yang walang kembali riang. Krisis dalaman rumahtangganya ingin dilupakan seketika.

Caldina yang tadinya dipecut laju segera diperlahankan mengikut had laju apabila wajah Hasya tidak kelihatan lagi. Izz memandu di lorong tengah. Fikirannya melayang jauh ke awan. Dia membrek secara mengejut apabila lampu isyarat di hadapannya bertukar merah. Kenderaan belakang membunyikan hon apabila Izz masih tidak bergerak apabila lampu isyarat berwarna hijau. Izz tersentak.

Izz membelok ke sebuah stesen minyak. Dia menyembamkan mukanya ke stereng. Hatinya terasa begitu sebal, serba tidak kena. Sejak dari malam semalam, gambar-gambar Hasya bersama Thaqif  bermain di ruang matanya. Tidak mampu dihindari dari ingatannya. Semakin difikirkan semakin menyesakkan dadanya. Namun, dia tidak boleh berdiam diri tatkala melihat ‘kemesraan’ kedua-duanya di dalam video.

Sebaik melihat wajah Hasya, amarahnya meluap-luap. Oleh kerana itu, dia tidak mahu berada berhampiran Hasya kerana gadis itu ibarat api dan marahnya umpama minyak, memang tak boleh dekat. Akalnya mengatakan Hasya bukan punca masalah tetapi hatinya menafikan dengan menuduh Hasya tetap bersalah. 

Izz mengambil telefonnya di atas dashboard. Jari jemarinya laju menghantar mesej.

Mimi, I amik cuti half day.

Sms itu dihantar. Dia menunggu balasan dari Mimi tetapi sepi. Izz mengandaikan Mimi sudah tahu apa yang perlu dibuat. Telefon dimasukkan ke dalam poket seluar. Izz mula memandu meninggalkan tempat itu. Dia memandu tanpa arah tujuan. Sekadar ingin membuang masa, dia tahu dia tidak akan dapat menguruskan kerja dengan baik di dalam keadaan minda yang bercelaru.

Hampir setengah jam memandu, telefonnya menjerit minta diangkat. Handsfreenya dipasang.

Hello!”

Hello... Encik Izzdihar ada kat mana ni?”

Highway Kesas. Kenapa call? I dah mesej you... I cuti pagi ni.”

“Mesej? Tak ada pun. Encik Izzdihar ada meeting dengan William Carlson jam 10.10 minit pagi nanti.”

You jangan nak bohong Mimi. I ada sms you tadi. Batalkan je meeting tu.”

“Betul! Memang tak ada. Dah tak sempat nak batalkan.”

You ni Mimi, memang tak boleh harap. Okeylah! Kejap lagi I sampai!”

Izz memeriksa semula sms yang dihantarnya tadi. Dahi ditepuk, sms itu bukan ke nombor Mimi.


Eriyza :  Jika tiada aral, bab seterusnya akan dipos tidak lama lagi. Apa akan berlaku pada pasangan ini?? Tungguuuuu.....

20 comments

Anonymous

mesti terbagi kat hasya kn..huhuhu..

Unknown July 24, 2013 at 9:46 PM

Cepat la ..xsbar nk bc n3 seterusnya

Eriyza July 24, 2013 at 9:56 PM

@Anonymous:
Bagi kat Zikri kot :p

Eriyza July 24, 2013 at 9:57 PM

@emyliana adlin:
Sabar noo.

Unknown July 24, 2013 at 10:18 PM

amende la izz neh...sesak napas ngan perangai membuta tuli dia neh..geramsss

Eriyza July 24, 2013 at 10:57 PM

@yoo zara:
Kasik brain wash
sket kat Izz.

Anonymous

Aduih,lemah jiwa betulla dgn Izz ni.
-nuyrah-

Unknown July 25, 2013 at 6:43 AM

sian nyer kat hasya...cemburu tk bertempat izz nih!jgn nyesal dh lh izz,nk sha plak yg merajuk panjang ngan si hubby...biaq padan si izz...

Kak Sue July 25, 2013 at 8:41 AM

Izz ni suka ikut panas baran dia ja... suka menuduh tampa usul periksa.. kasihan Sya... ni nama cemburu buta hidup meraba-raba... ubah diri sendiri dulu baru boleh cakap Sya macam-macam....

Riena July 25, 2013 at 1:55 PM

cian Sya..
tp kan, Izz salah msg ke no siape erk?xsabar nk tau nie.heheh...
Izz jgn la cemburu sgt..kan baru kwin...
p la jumpe Thaqif tu..terus terang..
salah sdri gak.pas tu nk tuduh2 Sya lak.ini y nk marah nie.hehehe....

xpe2...dlm dunia rumahtangga mst la byk cabaran & dugaan...(ewah.cam dh kwin je gayanye nie)

Unknown July 25, 2013 at 3:07 PM

sian sya.

IVORYGINGER July 26, 2013 at 12:32 AM

Izz langsung tak matang. Sbg suami dia tak boleh la tlampau ego, klu ada salah faham tnya la elok2x. Lgpun Sya mn ada p mn2x klu tak dgn Izz atau dikalangan family Izz. Takkan Izz tak boleh fikir. Dr mula2x lg dia pandang rendah dgn Sya. Pdhal Sya bukannya bebal dia sorg yg cerdik. Tak belajar tinggi tak bermaksud tak mampu nak menongkah dunia. Jgn la biarkan ego mu mencalarkan hati seorg isteri yg solehah. Nnti bila dah hilang sesal dah tak guna lg. Sabar org perempuan ni pun ada batasnya. Kmungkinan Sya akan pergi jauh dan takkan kembali lg.

Eriyza July 28, 2013 at 3:40 PM

@Anonymous:
Hehehe! :)

Eriyza July 28, 2013 at 3:41 PM

@norihan mohd yusof:
Hasya x reti merajuk.

Eriyza July 28, 2013 at 3:42 PM

@Kak Sue:
Comel plak falsafah akak tu. :)

Eriyza July 28, 2013 at 3:42 PM

@Riena:
Cuba teka mesej tu
masuk ke hp sape??

Eriyza July 28, 2013 at 3:43 PM

@baby mio:
Memang kesian.

Eriyza July 28, 2013 at 3:43 PM

@IVORYGINGER:
Setuju dgn anda.

maisarah hatta April 13, 2018 at 8:38 PM

Sedihnye sya!!

maisarah hatta April 13, 2018 at 8:39 PM

Sedihnye sya!!

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.