6/11/2013

Yes I Love You 37

Yes, I Love You – Bab 37

Dia memandu perlahan. Dia memarkir Toyota Caldinanya di perkarangan Restoran Mesra Jingga. Pintu kereta dibuka lalu dia keluar. Dia menunggu seketika. Penumpang di sebelah kiri masih tidak berganjak. Tetap kaku di tempat duduknya.

Cermin hitam keretanya diketuk. Tiada tindakbalas dari penumpang di dalamnya. Dia mulai naik marah. Pintu kereta dibuka kasar. Dia memandang isterinya dengan renungan tajam.

“Kenapa kau tak keluar? Nak aku heret kau masuk ke restoran tu?” Izz sudah bercekak pinggang.

Geram sungguh dia dengan perangai Hasya malam ini. Dari rumah lagi, isterinya menolak ajakannya untuk ke majlis hari lahir Thaqif. Seandainya Thaqif bukan klien terbesar syarikatnya buat masa ini, tentu sahaja dia tidak kisah jika Hasya tidak mahu ikut sekali. Sudahlah Thaqif memintanya membawa bersama ahli keluarga, bermakna kehadiran Hasya dinantikan lelaki itu.

Hasya menggeleng. “Abang... Sya tak nak masuk. Abang pergilah. Sya tunggu kat sini.” Hasya masih merayu.

Dia berharap agar Izz mengasihaninya. Dia tidak selesa berada di majlis seperti itu walaupun diberitahu hanya majlis hari jadi. Dia tidak mahu menjadi tatapan mata umum dengan pakaian seperti itu. Majlis anjuran ahli perniagaan terkenal seperti Thaqif tentunya eksklusif.

“Sya, apa masalah kau ni? Kau nak tunggu kat sini macam tunggul kayu? Baik kau ikut aku masuk. Bukan selalu kau dapat peluang ke majlis mewah macam ni!” Izz tidak faham. Susah sangatkah hendak menemaninya ke majlis tersebut? Bukan buat apa pun, sekadar duduk dan makan. Dia juga berdegil tidak akan masuk tanpa teman.

“Sya tak biasa dengan majlis macam ni. Lagi pun...”

“Stop! Aku tak nak dengar alasan. Kau nak keluar sendiri atau nak aku heret macam kaki buli? Kau cuma ada dua pilihan!” Pergelangan tangan Hasya sudah dicengkam. Wajahnya merah padam. Geram!

Hasya menanggapi cerlungan Izz dengan pandangan gerun. “Sya keluar sendiri.”

Dia tahu sama ada dia memilih pilihan pertama atau kedua, tiada satu pun yang memihak kepadanya. Dia perlu beralah jika tidak mahu menerima padah. Daripada ditarik keluar dengan terpaksa, baik dia pergi dengan rela. Mudah-mudahan kemarahan Izz reda sedikit, dia pula tidak mendapat sakit.

Akhirnya Hasya mengalah. Izz pula tersenyum megah. Mereka mula mengatur langkah menuju ke Restoran Mesra Jingga yang mewah.

Sebaik pasangan ‘merpati dua sejoli’ itu memasuki dewan berhawa dingin di restoran tersebut, banyak mata memaku wajah mereka. Bukan seorang dua yang menyaksikan mereka berjalan di karpet merah malah hampir kesemua orang yang ada di dalam dewan tersebut berbisik sesama sendiri. Sama cantik, sama padan!

Apa tidaknya, tuksedo kelabu bertali leher hitam rekaan Lord’s Tailor menyerlahkan lagi penampilan Izz sebagai ahli perniagaan muda yang berkarisma lagi berkeyakinan. Izz tidak perlu menggunakan sebarang aksesori untuk menyerlahkan gayanya kerana kekacakan wajahnya sudah cukup untuk membuatkan wanita menoleh acap kali. Aura maskulinnya tersebar ke seluruh dewan.

Pada majlis itu, Hasya kelihatan persis sang puteri apabila tampil memperagakan sepasang gaun malam yang elegan dan glamor. Gaun malam kelabu cerah dari fabrik sifon itu tampak hebat membalut tubuh Hasya. Tudung Ariani dengan warna sedondon dipakai kemas menutup auratnya. Tanpa kilauan berlian menghiasi dirinya dan hanya dengan solekan nipis, Hasya berjaya mencuri tumpuan sekelian yang hadir, terutamanya lelaki.

Hasya menyilangkan tangannya ke tangan Izz umpama mengulangi sejarah pernikahan mereka tidak lama dahulu. Mereka ibarat ‘watak utama’ majlis tersebut. Mereka terus menapak ke arah Thaqif yang sedang sibuk melayan para tetamunya.

Sebaik melihatkan Izz dan Hasya, lelaki itu meminta diri dari sahabatnya untuk meraikan tetamu yang baru hadir. Jejaka itu cukup tertawan dengan gaya anggun Hasya. Matanya tidak berkelip memandang wajah gadis itu.

Izz yang perasan dengan pandangan nakal Thaqif  berbisik ke telinga Hasya. “Aku tak benarkan kau cakap banyak malam ni. Kalau kau tak reti speaking, diam sudah.”

“Hi, Izz! Thanks for coming.” Sapa Thaqif mesra.

“Hello, Thaqif! My pleasure!” Izz berjabat tangan dengan jejaka tersebut.

“Kenalkan... ini...” Kata-kata Izz terhenti di situ apabila Thaqif terlebih dahulu menyapa Hasya.

“Hasya... We know each other. Apa khabar?”

“Sihat alhamdulillah.” Hasya kupas senyum.

Izz tidak mengesyaki apa-apa apabila diberitahu isterinya dan Thaqif saling mengenali. Pasti Thaqif mengetahui status Hasya. Thaqif  mempelawa pasangan tersebut ke meja makan. Peluang yang ada ingin digunakan sepenuhnya untuk mengenali gadis bernama Hasya dengan lebih rapat. Izz dan isterinya bukan setakat duduk semeja dengan Thaqif  malah bersebelahan dengannya. Zikri turut ada di meja tersebut. Senyuman dilemparkan kepada suami isteri itu.

“Amboi, awal kau sampai Zik!” Izz mengambil tempat di sebelah Zikri.

“Taklah. Baru sampai jugak. Punggung pun belum panas lagi ni.” Dia ketawa. Mata ditala pada Hasya. Jantungnya berdegup kencang.

“Apa khabar, Sya?”

“Sihat.” Hanya sepatah jawapannya.

Hasya terpaksa duduk di sebelah Thaqif. Mata lelaki itu asyik menikam wajahnya.  Hasya tidak senang duduk. Izz pula asyik senyum sejak mereka mula duduk. Majlis malam itu sungguh eksklusif cuma Hasya tidak pasti mengapa ianya diadakan di sebuah restoran, tidak dibuat di hotel seperti yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang kaya yang lain.

Hatinya meronta-ronta ingin tahu tetapi siapalah dia untuk mengambil tahu hal ahli perniagaan sekaya itu. Seketika kemudian, lampu yang tadinya cerah bertukar malap. Pentas utama menyala dengan pelbagai kerlipan lampu berwarna-warni. Serentak itu, kedengaran lagu Happy Birthday dimainkan secara instrumental dengan piano. Beberapa orang membawa kek setinggi tujuh tingkat ke pentas utama.

Pengerusi majlis memberi ucapan sebelum mempersilakan Thaqif ke pentas utama. Thaqif berdiri. Tiba-tiba dia menghulurkan tangannya kepada Hasya. Dia mahu Hasya menemaninya ke pentas utama. Gadis itu terpinga-pinga. Izz pun terkujat juga. Hasya memandang Izz, meminta bantuan suaminya agar dia tidak perlu menjadi gadis pengiring. Izz tidak memberi sebarang reaksi. Dia membiarkan Hasya membuat keputusan sendiri.

Dalam keadaan serba salah, Hasya bangun  juga. Namun, huluran tangan itu tidak disambut. Thaqif  seakan memahami pendirian Hasya segera menjatuhkan tangannya. Dia segera menapak ke pentas utama. Hasya mengikut dengan rasa bersalah. Izz pura-pura tidak kisah walhal hatinya membara marah. Zikri pula yang resah apabila Izz buat tak endah.

“Izz, kenapa kau biarkan Hasya ikut Thaqif naik ke pentas?” Rasa tidak puas hatinya terluah juga apabila melihat Izz tidak bertindak.

“Dia sendiri yang nak, bukan aku suruh.” Jawapan mudah Izz.

Di atas pentas, Thaqif sudah pun memotong kek hari lahirnya. Senyuman lebar disungging kepada setiap tetamu yang hadir. Lagu Happy Birthday masih dimainkan. Para tetamu di bawah bertepuk tangan bagi memeriahkan majlis.

“Dia naik pun sebab hormatkan Thaqif. Kenapa kau tak bantah?” Zikri masih bengang dengan Izz. Lelaki itu seolah-olah tidak ambil peduli tentang isterinya.

Berdesing telinga Izz mendengarnya. Dia berpaling ke arah Zikri. “Kau sendiri cakap dia beri muka kepada Thaqif. Habis tu, kau nak aku buat apa? Marah Hasya? Tumbuk Thaqif?”

Kek yang telah dipotong disuap ke dalam mulutnya. Sejuring kek disudu lalu disua kepada Hasya. Terpempan seketika gadis itu, sudahlah naik ke pentas tidak dijangka, disua kek pun tidak diduga. Hasya mencari wajah Izz di bawah. Izz melarikan matanya apabila pandangan mereka bersatu. Hasya semakin gundah. Thaqif menunggu detik-detik indah.

“Kau tengok tu, makan kek bersuap pulak. Betul... kau sikit pun tak kisah?” Zikri semakin berang. Tergamak Izz membiarkan isterinya dibuli orang.

Zikri sudah bangun dari kerusinya. Dia tidak peduli, kalau Izz tidak mahu mempertahankan Hasya, dia bersedia untuk mengambil alih tugas tersebut. Baru setapak dia melangkah, tangannya ditarik Izz.

“Zik, kau tak perlu menyibuk. Duduk!” Izz menyinga. Dia bukan lelaki lemah untuk membiarkan isterinya dibela oleh orang lain. Izz tergesa-gesa ke pentas utama. Beberapa orang pelayan yang sedang membawa kek ke meja tetamu dirempuh kasar. Habis kek-kek tersebut terbarai ke lantai. Tanpa ucapan maaf, Izz memanjangkan langkahnya.

Zikri gelisah. Dia tidak boleh membiarkan Izz terus merosakkan majlis hari lahir Thaqif. Sudahlah kejadian kek yang jatuh itu membuatkan banyak mata tidak senang dengan perlakuan Izz. Lebih buruk lagi kalau barannya membahang, pasti lebam biji mata Thaqif dek tumbukan padu sahabatnya itu.

“Semua sekali, ikut Encik Izzdihar!” Arah Zikri tiba-tiba. Semua pekerjanya yang berada semeja dengannya tercengang. Mereka berpandangan sesama sendiri.

Zikri sudah mula melangkah. Dia menoleh sekilas. Pekerjanya masih belum berganjak.

“Cepatttt!!!” Zikri menaikkan nada suaranya.

Para pekerjanya bingkas bangun lalu segera mengekori Zikri.

Izz sungguh geram. Dia berhajat mau menarik sahaja tangan Hasya untuk diajak pulang. Dia tidak peduli sama ada Thaqif marah atau tidak, isterinya tidak perlu terus berada di situ. Sebaik dia memegang tangan Hasya, semua pekerjanya termasuk Zikri sudah berada di sekelilingnya. 

Tiba-tiba...

♫♫ Allah selamatkan kamu... ♫♫
♫♫ Allah selamatkan kamu... ♫♫

Dengan kuat Zikri menyanyikan lagu itu buat Thaqif sambil bertepuk tangan. Oleh kerana alunan piano masih bergema, Zikri telah menukar irama asal gubahan Tan Sri Dr P Ramlee kepada melodi piano berkenaan.

Serentak dengan itu, semua pekerjanya turut sama mengikut Zikri menyanyi. Zikri yang sedar suasana masih janggal, telah mengajak tetamu di bawah turut sama menyanyi bersama-sama dengan mereka. Majlis yang pada mulanya sedikit kecoh telah berubah menjadi meriah dengan kecerdikan Zikri menukar suasana.

♫♫ Allah selamatkan kamu... ♫♫
♫♫ Allah selamatkan kamu... ♫♫
♫♫ Allah selamatkan Ahmad Thaqif... ♫♫
♫♫ Allah selamatkan kamu... ♫♫

Thaqif yang pada mulanya terpinga-pinga dengan ‘persembahan koir’ yang tidak dijangka itu tersenyum lebar. Dia semakin gembira apabila para tetamunya turut bangun bertepuk tangan dan sama-sama mengambil bahagian dalam acara nyanyian hari lahirnya.

Dalam kemeriahan yang dicipta oleh Zikri, Izz mengambil peluang untuk menbawa isterinya keluar dari situ. Tangan Hasya ditarik laju. Selaju itu juga mereka menuruni tangga pentas sebelum menyusup di celah-celah tetamu yang masih lagi bersukaria.

Dari atas pentas, kelibat mereka berdua dilihat Thaqif. Dia hanya mampu memerhati dengan ekor mata. Sudu berisi kek di tangannya dicampak ke atas meja. Dia mengetap bibir bawah. Hajatnya untuk membuat kejutan kepada Hasya tergencat. Segala persediaan yang telah diatur rapi menjadi sia-sia.

Izz terus menarik tangan Hasya melintasi para tetamu yang lain tanpa menoleh ke belakang lagi. Tiada sesiapa pun yang menyedari ‘peperangan’ yang baru berlaku antara mereka dan Thaqif kerana Izz pandai bermain dengan situasi.

Mereka tidak kembali semula ke tempat duduk sebaliknya menghala ke pintu utama dewan. Seorang pelayan lelaki yang sedang menyaksikan aksi pasangan itu menyedari mereka tertinggal sesuatu. Beg tangan Hasya dicapai lalu dia menapak laju di sebalik meja-meja yang dipenuhi tetamu.

“Puan...” Beg tangan berjenama Louis Vuitton dihulurkan.

Gadis itu berhenti melangkah. Beg tangannya diambil dari pelayan itu.“Thanks.” Hasya kupas senyum.

Izz cuma memandang kosong. Langkahnya diatur kembali. Hasya hampir tersembam apabila Izz menarik lengannya. Mujurlah pelayan itu sempat membantunya. Jika tidak, tentu Hasya jatuh terjelepuk.

“Kau buat apa ni?” Refleks Izz menepis tangan pelayan yang mendarat di bahu isterinya. “Kau jangan menggatal dengan isteri aku kalau tak nak penumbuk ni singgah di pipi kau! Mengerti?!” Penumbuk kirinya disua kepada pelayan itu.

Tidak mahu berbalah, pelayan itu hanya mengangguk sebagai tanda faham. Sudahnya, dia hanya memerhatikan Hasya ditarik pergi oleh Izz dengan kasar seumpama tuan yang baru menangkap hambanya yang melarikan diri. Akhirnya, dia mengeluh sambil menggelengkan kepala. Simpati dengan nasib wanita itu.




Eriyza : Terus pos selepas kerja edit-mengedit dijalankan. Sila maklumkan jika ada 'lubang' di sana sini ye. Selamat membaca.

16 comments

Anonymous

thank u my writer,akk suker sngt dpt baca n3 baru dr u...nape lh plak izz lagu tuh...sian nyer kat hasya...gaya cam izz lh plak yg duk buli kat hasya...pastu baran lh izz nih..bkn nyer nk pujuk hasya...nk lg lh my writer...

Anonymous

sungguh akk tk puas lh dek...nk lg yer....

Eriyza June 11, 2013 at 4:22 PM

@Anonymous:
Idea dah takdak kak.
Cite nak tamat dah. :)

Unknown June 11, 2013 at 6:15 PM

nak lagi....please.

Anonymous

tak cukup ...nak lagi

-yoozara-

Anonymous

Tq utk cerita yg menarik
Simpati kat Harsya. Izz cemburulah tu tp tak mo ngaku.
Sambung lagi... buatlah pula Harsya merakuk tak peduli Izz... :-P

strawberry.chocolate81 June 12, 2013 at 7:08 AM

adeh kesian kat hasya ...mencik ngan Izz 2...sengal x sudahhh adehhh

Kak Sue June 12, 2013 at 2:07 PM

rasanya Hasya dan Izz dua-dua salah...
Izz sepatutnya menghalang Hasya..
dan Hasya berhak mempertahankan maruah Izz sebagai seorang suami... taraf suami tu tinggi Hasya... jangan sebab nak jaga hati org lain hati suami sendiri terluka... BERDOSA tu....

Riena June 14, 2013 at 9:30 PM

kn dh sakit hati sdri...
sape suruh wt xtau je ngn wife sdri..
cian sya.. =(

Eriyza June 18, 2013 at 12:15 AM

@baby mio:
Insya Allah.

Eriyza June 18, 2013 at 12:16 AM

@Anonymous:
Okey.

Eriyza June 18, 2013 at 12:16 AM

@Anonymous:
Terima kasih atas idea.
Akan cuba dikembangkan.

Eriyza June 18, 2013 at 12:17 AM

@strawberry.chocolate81:
Janganlah benci kat Izz. :p

Eriyza June 18, 2013 at 12:18 AM

@Kak Sue:
Terima kasih atas komen yang membina.
Harap akak boleh bg komen sebegini
lagi pada masa akan datang.

Eriyza June 18, 2013 at 12:18 AM

@Riena:
Aha, pengajaran tuk Izz.

Anonymous

Aww kasiha hasya,,, izz jgn lah keras betul...

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.