5/07/2012

Yes I Love You 26

Yes, I Love You – Bab 26

Hasya mengekori suaminya ke gedung buku. Dia cukup teruja apabila disogokkan dengan pelbagai bahan bacaan. Setelah memaklumkan kepada Izz, dia menuju ke rak-rak buku yang ada manakala Izz ke ruang membaca. Dia menonong ke rak yang menempatkan pelbagai jenis majalah. Tiga buah majalah diambil lalu dia menuju ke rak komik pula. Dia membelek-belek beberapa jenis komik sambil membaca muka depannya.

Dia mendengar suara yang agak kuat tidak jauh dari tempat dia berdiri. Dia melihat seorang lelaki serta seorang gadis yang bertugas sebagai juruwang seperti sedang bertelagah. Dia membawa majalah dan dua buah komik ke kaunter bayaran.

Izz menapak ke arah Hasya. Beberapa buah majalah berkaitan perniagaan dan pemotoran dibawa bersama.

Lelaki dan juruwang itu masih bercakap. Hasya sekadar memerhatikan situasi yang sedang berlaku sambil cuba mengamati butir percakapan mereka. Izz sudah mempamerkan muka bosan kerana terpaksa beratur di belakang sedangkan orang di hadapan tidak pula membuat bayaran.

“Sya… kau bayar. Aku tunggu kat luar.” Izz meletakkan majalah-majalahnya di atas tangan kiri Hasya manakala not RM100 ditangan kanan Hasya.

Izz menapak keluar dari gedung buku. Malas hendak menunggu.

“Kak... maaf. Saya tumpang tanya. Apa masalah encik ni?” Hasya menegur juruwang tersebut.

Miss, what happen?” Seorang pemuda lain turut bertanya kepada juruwang.

Hasya dan pemuda itu bertanya hampir serentak. Akhirnya mereka tersenyum sesama sendiri.

“Saya tak tahu apa masalahnya. Dia guna broken Inggeris... saya kurang faham ayat dia. Katanya tak tahu berbahasa Melayu.” Gadis itu berterus-terang.

Pemuda itu memandang wajah Hasya. “Awak tahu berbahasa Cina?”

Hasya mengangguk. “Tahu sikit-sikit.. tapi kalau encik nak bantu dia pun, elok juga.”

Pemuda itu tersenyum. “Tak kisahlah siapa pun yang tolong, asalkan masalah dapat diselesaikan. Jadi, awak jelah bantu dia.”

Hasya mengangguk. Bak kata lelaki itu, hal ini berlaku kerana masalah perbezaan komunikasi. Justeru, hanya seorang penterjemah yang diperlukan untuk menyelesaikannya. Kebetulan dia dan pemuda itu sama-sama boleh berbahasa Mandarin, jadi sesiapa pun boleh menghulurkan bantuan. Semakin lama dibiar, semakin berlarutan pula jadinya.

“Nínhǎo, nín yǒu shénme xūyào ma?” (Hai, boleh saya bantu awak?) Hasya menyapa lelaki Cina di hadapannya.

Lelaki Cina itu tersenyum. Lega kerana ada orang yang boleh membantunya. “Wǒ zuótiān zàizhèr mǎide shū yǒu wèntí, xiǎng huàn yī xià.” (Semalam saya membeli buku di sini tetapi buku itu ada masalah, jadi saya mahu menukarnya.)

Hasya mengganggukkan kepalanya. “Nín néng gàosù wǒ, shū yǒu shénme wèntí ma?” (Boleh awak beritahu apa masalahnya?)

“Hòumiàn jǐ yè yìndé hěn móhū, gēnběn kànbùqīng.” (Sebenarnya cetakan di muka surat terakhir rosak, saya tidak boleh membacanya.) Lelaki itu menunjukkan bahagian yang dimaksudkan.

“Shì ma? Wǒ kàn yī xià.” (Betul ke? Biar saya tengok.) Hasya mengambil buku itu lalu ditunjukkan kepada juruwang sambil mengulangi perbualannya dengan lelaki itu kepada juruwang. Gadis juruwang mulai faham. Dia meminta Hasya memberitahu lelaki itu bahawa bukunya akan diganti.

“Shízài bàoqiàn, shì wǒmen de wèntí. wǒ mǎshàng gěi nín huàn. nín dài shōujù lái le ma?” (Mereka minta maaf atas kejadian ini. Buku ini akan diganti segera. Awak ada bawa resit pembelian?)

Lelaki itu menggangguk sambil menghulurkan sekeping resit.

“Hǎode, shāoděng yīxià, mǎshàng gěi nín huàn běn xīnde.” (Baiklah, tunggu sebentar, mereka akan berikan yang baru.)

Lelaki itu mengucapkan terima kasih kepada Hasya sambil melangkah keluar.

“Terima kasih dik sebab tolong akak.” Juruwang kupas senyum.

“Sama-sama.” Senyuman dibalas kembali.

Pemuda tadi masih belum berganjak. Dia kagum dengan Hasya kerana boleh berbahasa Mandarin dengan baik. Jarang gadis melayu boleh berbuat demikian.

Di luar gedung buku, Izz bertemu dengan Hafiz. “Alang, dari mana ni?”

Alang tersengih. “Alang pergi ke bangunan kat seberang jalan tu. Izz buat apa kat sini?”

“Tunggu Sya. Dia beli buku kat dalam. Alang tunggu kat sini sekejap ye, Izz pergi panggilkan dia. Agaknya dia dah siap buat bayaran.”

Izz baru hendak menapak ke dalam gedung buku apabila Alang menghalangnya.

“Adik pun ada? Eh, takpe Izz. Biar Alang je masuk. Nak buat surprise!” Alang tersengih. Dia sudah mula masuk ke dalam.

“Adikkk…” Alang menepuk bahu Hasya.

Terperanjat gadis itu apabila disergah begitu. “Alanggg… buat apa kat sini?” Hasya gembira bertemu dengan abangnya.

“Alang ada interview dekat-dekat sini. Kebetulan Alang terjumpa Izz kat depan kedai ni… sebab tulah Alang tau adik ada kat sini.”

“Emak apa khabar? Adik rindulah kat mak.” Hasya memaut lengan Alang.

“Mak okey je. Eleh, rindu apanya? Kang minggu lepas adik dah balik dengan Izz jenguk mak. Dah jadi isteri orang, tak boleh asyik nak bekepit dengan mak je. Tau?” Alang sempat menasihatkan adiknya.

“Yelah, adik tau. Alang, kirim salam kat mak. Salam rindu!” Hasya ketawa kecil. “Alang, mana abang Izz?”

Seperti kilat, Izz sudah terjengul di hadapan mereka berdua. “Jom, kita pergi lunch.”

“Okey, Izz dengan adik pergi dulu. Alang nak pow komik kejap.” Alang terus melangkah laju ke rak yang menempatkan komik.

“Adikkk… jom pergi.” Izz mengusik Hasya. Dia sudah berjalan keluar.

“Awak, saya pergi dulu ye. Abang-abang saya dah panggil.” Hasya menghampiri pemuda yang masih tercegat di situ sebelum mengejar Izz agar mereka dapat berjalan beriringan.

Pemuda itu mengangguk. Dia hanya menghantar langkah Hasya dengan ekor matanya. Entah mengapa, dia tertarik pada gadis itu walaupun baru bertemu sekali.

Izz masuk ke sebuah restoran. Dia mengambil tempat di kawasan berhampiran tingkap. Pandangan ditala pada jalan raya yang agak lenggang. Hanya ada beberapa kenderaan di kedua-dua laluan.

“Kau memang fasih berbahasa Cina?” Soalnya setelah Hasya bercerita kisah di gedung buku.

“Nak kata fasih tu taklah... bolehlah bercakap sepatah dua.”

“Kau belajar dengan siapa?”

“Cikgu kat sekolah.” Dia sengih.

“Owhhh...! Kau sekolah cina? Tak sangka pulak budak kampung macam kau minat belajar bahasa Cina.” Izz seperti mengejek.

Hasya cuma menggangguk. Pelayan restoran datang untuk mengambil pesanan. Setelah membuat pesanan, mereka meneruskan perbualan.

Hasya memandang wajah Izz seketika. Dia tidak mengetahui mengapa lelaki di hadapannya ini suka bercakap dengan nada sinis.

“Rasulullah S.A.W menganjurkan kita supaya menuntut ilmu sehingga ke negeri China. Maksudnya kita disuruh mempelajari pelbagai jenis cabang ilmu yang ada.. tak semestinya kita perlu ke China untuk belajar jika ilmu itu dapat dipelajari di dalam negara kita. Tak dapat pergi ke China... ke sekolah Cina pun jadilah.”

“Kau tau tak... aku tak terfikir kau pergi ke sekolah Cina.. kalau sekolah Arab tu ada jugak kemungkinannya sebab orang kampung memang suka pergi sekolah agamakan?” Izz senyum sebelah kanan.

“Tak kisahlah sekolah mana pun... asalkan pandai seimbangkan ilmu dunia dan akhirat. InsyaAllah hidup tak sesat.”

Terasa membahang muka Izz mendengar serangan balas Hasya. Dia tidak suka hujahnya dipatahkan dengan mudah, lebih-lebih lagi jika orang itu adalah Hasya.

“Kau makin pandai menjawab sekar...” Ayatnya terhenti di situ apabila pelayan membawa makanan dan minuman yang mereka pesan.

“Terima kasih...” Hasya melemparkan senyuman kepada pelayan itu.

Pelayan itu membalas semula senyumannya sebelum meneruskan tugas.

Izz menghirup rakus jus epalnya. Nasi ayam yang terhidang di depan mata segera disudu.

Hasya bangun dari kerusi. Dia menuju ke sinki lalu membasuh tangan. Seketika kemudian, dia kembali semula ke tempat duduknya. Izz sudah pun makan terlebih dahulu.

Izz melihat Hasya membaca doa makan. Sudu di pinggan dialihkan ke tepi.

“Kenapa kau makan guna tangan? Makanlah dengan sudu... inikan restoran. Malu kalau orang nampak.” Dia sedikit geram dengan perlakuan Hasya yang tidak habis-habis membawa imej kampungnya. Dia tidak kisah jika Hasya melakukan perkara sedemikian di rumah tatkala semua orang makan dengan sudu tetapi jangan buat perkara yang sama di restoran terkenal seperti ini.

“Tak perlu rasa malu kalau mahu mengamalkan sunnah nabi.” Hasya senyum. Dia menyuap nasi beriani perlahan-lahan ke mulut.

Izz bengang. Jawapan Hasya bikin telinganya berdesing. Hari ini dia bernasib malang. Perbualan mereka hilang apabila Alang datang. Sorry Alang, kami makan dulu. Lapar sangat.” Izz sengih. Alang cuma tersenyum. Tangannya dilambai kepada pelayan restoran.



Eriyza : Perbualan Bahasa Mandarin diterjemahkan secara bebas oleh penulis. Sila buat teguran jika ada kesilapan terjemahan. Terima kasih dan selamat membaca.

Kredit Untuk Bahasa Mandarin - http://www.nciku.com/conversation/detailview?convseq=72&categoryLanguage=en

6 comments

Kak Sue May 7, 2012 at 2:17 PM

Sebenarnya Izz ni suka dengan Sya ke x?... masa mula-mual baca macam suka dan nak berbaik-baik... ni macam x suka pulak.....

Eriyza May 7, 2012 at 2:31 PM

@sue:
Soalan tu kita biarkan Izz sendiri jawab dalam bab akan datang. :)

Anor May 8, 2012 at 1:53 PM

Betul tu kenapa ye Izz ni mcm tak suka je kat Sya,
sepatutnya bertuah dia mendpt seorg isteri yg
tau agamanya ni asyik nk memandang rendah je dkt
Sya.. kesian dgn dia... jgn sedar yg diri dh jatuh
kaseh tp terlambat bila kaseh isteri dh beralih
arah nk menyesal tak sudah... nak lagi..

Eriyza May 8, 2012 at 2:17 PM

@Anor:
Dengar tu Izz.
Hehehe! :)

Riena May 12, 2012 at 3:45 PM

mst Izz xtau cam ne nk tunjukkan rasa suke die pada Sya kan??heheh...atau Izz ego nk ngaku??
cian kat Sya..Izz cam main tarik tali lak..

Eriyza May 12, 2012 at 11:14 PM

@Riena:
Amboi, ramainya penykong Sya.
Sian kat Izz asyik kena marah je. :p

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.