Yes, I Love You – Bab 20
Datuk Izzuddin sedang ralit bermain tennis bersama kawan-kawannya ketika Izzdiyad menghampirinya. Dia langsung tidak menyedari kehadiran anaknya di situ. Aktiviti bersukan pada hujung minggu memang menjadi rutin Datuk Izzuddin.
“Zudin, bukan anak you ke tu?” Datuk Burhan menuding jarinya ke arah seorang pemuda yang terpacak di bawah payung tempat mereka meletakkan peralatan tennis.
“Si Izz tu bukan suka main tennis. You salah orang kot.” Datuk Izzuddin tetap meneruskan permainannya bersama Datuk Zaki. Dia langsung tidak memandang ke arah pemuda tersebut.
“Bukan Izz. Kalau tak salah I, anak you yang lagi sorang tu.” Datuk Burhan yakin pemuda itu anak kepada sahabatnya.
“You mean Izzdiyad?” Datuk Izzuddin cepat-cepat berpaling ke kanan. Memang benar susuk tubuh itu milik Izzdiyad. Dia tidak dapat menyangkal lagi bahawa itu anak lelaki sulungnya.
Menyedari kehadirannya telah disedari oleh papanya, Izzdiyad segera menghampiri Datuk Izzuddin dan kawan-kawan papanya.
“Hi, uncle Burhan... uncle Zaki.” Tangannya laju dihulur pada kedua-dua lelaki tersebut.
“Dah tak reti bagi salam ke?” Datuk Izzuddin menyindir anaknya.
“Errr... Assalamualaikum.” Sapa Izzdiyad sekali lagi. Terasa membahang pipinya disindir papa sendiri di depan ahli perniagaan yang berjaya. Senyuman tetap dikupas walaupun pahit.
“Waalaikumussalam. You ni Zudin, serius sangat pulak.” Salam Izzdiyad disambut Datuk Zaki.
“Lama betul uncle tak jumpa kamu.” Giliran Datuk Burhan pula menyalami tangan Izzdiyad.
“Yad baru je balik sini, uncle. Dengar khabar syarikat uncle semakin maju.” Izzdiyad cuba mengambil hati rakan-rakan bapanya. Datuk Burhan dan Datuk Zaki bukanlah asing baginya kerana kedua-dua lelaki itu sama-sama berjaya di dalam perniagaan seperti papanya.
“Bolehlah cari makan tapi mana setanding company papa kamu.” Datuk Burhan ketawa.
“Buat bisnes apa sekarang, Yad?” Datuk Zaki mencelah.
“Sama macam papa… tapi… kat Brunei.”
“Kenapa sampai ke Brunei? Buka laa cawangan kat sini.” Soal Datuk Burhan lagi.
“Betul tu. Kamu berpotensi besar untuk berjaya.” Sokong Datuk Zaki pula.
“Saja berhijrah, cari pengalaman baru.”
“Berhijrah? Bukan lari?” Datuk Izzuddin menyindir lagi.
Izzdiyad sekadar tersenyum nipis.
“Alang-alang kamu dah ada kat sini, apa kata join kami main?” Pelawa Datuk Zaki.
“Zaki, baru kalah satu round takkan dah give up kot? You masih ada peluang tewaskan I. Tak perlu beregu.” Datuk Izzuddin menolak cadangan Datuk Zaki.
“I setuju dengan Zaki. Asalnya kita memang nak main beregukan? Apa salahnya gantikan tempat William dengan anak you? Lagipun I bosan dok menunggu giliran.” Saran Datuk Burhan.
William merupakan rakan kongsi Datuk Burhan. Asalnya mereka ingin bermain tennis berempat tetapi William tidak dapat datang di saat-saat akhir kerana bibiknya lari dari rumah dengan mencuri sejumlah wang dan gelang jade pusaka yang bernilai puluhan ribu ringgit milik isterinya. Sudahnya, Datuk Burhan terpaksa menjadi penonton di tepi padang.
Datuk Izzuddin terpaksa akur dengan permintaan dua sahabat akrabnya. Jangan nanti dikata tidak diberi muka pula. “Suka hati you all.”
“So… apa kata kamu anak muda?” Datuk Burhan angkat kening.
“Beres.” Izzdiyad ketawa.
Datuk Zaki tersenyum lebar. Dia mengambil tempat di sebelah kiri gelanggang bersama Datuk Burhan.
Izzdiyad masuk ke gelanggang. Dia mengangguk apabila matanya bertembung dengan mata papanya. Dia sudah bersedia untuk bertarung.
Raket tennis sudah dipegang. Hanya menanti untuk memulakan servis.
Mata Datuk Izzuddin tajam menikam wajahnya. “Tak reti warming up dulu ke?”
Izzdiyad tersengih. Dia segera memanaskan badan. Ada rasa bahagia dihatinya kerana papanya masih mengambil berat akan dirinya.
“Make sure we win.” Datuk Izzuddin serius. Tiada segarit senyum di wajahnya.
“Trust me, pa.” Izzdiyad menunjukkan ibu jari kanannya tanda bersedia untuk berjuang.
Pusingan pertama berlangsung hebat. Ternyata gandingan Datuk Burhan dan Datuk Zaki sukar untuk dikalahkan dengan mudah. Berhempas pulas pasangan anak-beranak itu untuk menewaskan pasukan lawan.
“Wah, hebat jugak gandingan you all.” Datuk Zaki meneguk air mineralnya.
“Mana ada uncle. Dah lama Yad tak main tennis. Semput jugak nak habiskan round pertama. Apatah lagi main dengan uncle.” Izzdiyad ketawa kecil. Tekaknya terasa haus. Malangnya dia tidak membawa bekalan air.
“Uncle macam tak percaya kamu dah lama tak main. Skill permainan kamu punyalah bagus. Kalau selalu main, maybe kamu boleh kalahkan si Rafael.” Ketawa Datuk Burhan kedengaran.
“Rafael Benitez tuh ke?”
Empat pasang mata memandang pada empunya badan yang tiba-tiba bersuara. Pak Musa tersengih bersama telefon bimbit Izzdiyad di tangan.
“Rafael Nadal. Rafael Benitez tu pengurus Liverpool.” Izzdiyad memberikan jawapan yang sebenar.
Pak Musa mulai faham. Kelima-lima mereka ketawa riang.
Telefon bimbitnya dicapai. Izzdiyad membalas mesej yang masuk ke telefon bimbitnya.
“Jom start. Round kedua bagi kami menang pulak.” Datuk Zaki mula melangkah masuk ke gelanggang. Kali ini mereka bertukar gelanggang.
“Zaki, Burhan... try your best.” Datuk Izzuddin tersengih. Sengaja menyakat mereka berdua. Dia tahu agak sukar untuk kedua-dua sahabatnya menang memandangkan Izzdiyad ada bersamanya. Mereka terpaksa mengerah keringat berlebihan untuk memberi tentangan hebat.
“Zudin, bagilah chance.” Datuk Burhan ketawa.
“Yad.” Sebotol air mineral dilemparkan.
“Thanks, pa.” Izzdiyad menangkap kemas air mineral tersebut. Dia tersenyum senang. Dalam bengang ada sayang. Papa... sungguh sukar menebak isi hatimu.
“Izzdiyad!” Datuk Izzuddin memanggil anaknya masuk ke gelanggang. Semua orang sudah bersedia untuk berjuang di pusingan kedua.
“Coming.” Izzdiyad meletakkan botol air mineral di atas meja lalu berlari masuk ke gelanggang.
Hampir satu jam tiga puluh minit bermain, akhirnya perlawanan sengit antara kedua-dua pasukan selesai. Datuk Burhan dan Datuk Zaki bersandar keletihan di kerusi. Tergambar perasaan gembira di wajah Datuk Izzuddin. Izzdiyad tidak kisah sangat dengan keputusan perlawanan. Kalah atau menang bukan keutamaan. Dia puas kerana berpeluang menemani papanya bermain tennis. Aktiviti yang sering mereka lakukan bersama sebelum dia meninggalkan Malaysia.
“You all menang lepas mata deuce je ni. Nak menang terus memang payah.” Datuk Zaki masih tidak mahu mengaku kalah.
“Menang nasib je tu. Ni mesti sebab Izzdiyad.” Datuk Burhan pula menokok. Jari dituding ke arah Izzdiyad.
“Amboi, you berdua tak puas hati lagi ke? Terima jelah keputusan 7-5, 8-6 tu.” Datuk Izzuddin ketawa. Dia tahu rakan-rakannya bukan mudah berkecil hati.
“Maknanya uncle Burhan dengan uncle Zaki terror. Silap haribulan, Yad pun boleh kalah.” Izzdiyad memegang bahu kedua-dua lelaki itu dari belakang. Dia ketawa kecil.
“Anak you ni hebatlah.” Datuk Zaki turut ketawa.
“Like father like son.” Datuk Izzuddin menjawab bersahaja.
Tawa mereka pecah serentak. Tiada siapa pun tahu gurauan Datuk Izzuddin adalah luahan hatinya yang sebenar. Dia tidak dapat menyangkal perangainya banyak tumpah kepada Izzdiyad. Ke mana lagi tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dia senyum sendiri.
“Jom, pergi minum.” Datuk Burhan terasa dahaga semula. Dia mahu minum nescafe tarik. Minuman kegemarannya sejak dulu lagi.
“Good idea. Tapi siapa nak belanja ni?” Datuk Zaki tersengih.
“Takkan winner pulak kena belanja?” Datuk Izzuddin berseloroh.
Datuk Burhan pandang Datuk Izzuddin. Datuk Izzuddin pula pandang Izzdiyad. Izzdiyad hanya tersenyum melayan gelagat rakan-rakan papanya.
“Jom. Hari ni Yad sponsor.” Izzdiyad akhirnya meleraikan persoalan yang bermain di minda masing-masing.
Izzdiyad sendiri sudah lama tidak minum di luar dengan papanya. Jadi, kesempatan yang ada perlu direbut dengan sebaik mungkin. Dia tidak kisah kalau ada orang lain bersama asalkan papanya sudi turut serta. Dia mula bergerak ke Kompressor.
“Yad, naik Murano. Suruh Pak Musa balik dulu.” Datuk Izzuddin berjalan selamba mendahului Izzdiyad. Kunci kereta dilempar kepada Izzdiyad.
“Okey, pa.” Izzdiyad menyambut kunci Murano.
“Pak Musa balik dulu, ye. Kami nak ke cafe.” Izzdiyad memberi arahan kepada Pak Musa.
Lelaki tua itu sekadar mengangguk.
Enjin kereta dihidupkan. Izzdiyad bergerak meninggalkan gelanggang tennis dengan mengekori kenderaan Datuk Burhan dan Datuk Zaki. Papanya bersandar sambil memejamkan mata. Ada senyuman terukir di bibir Izzdiyad. Alhamdulillah syukur. Hati kecilnya bicara sendiri.
©Eriyza 1: Bab ini penulis nukilkan mengikut pengetahuan yang terlalu cetek dalam permainan tennis. Jika berlaku kesilapan dalam dialog mahu pun penceritaan, mohon tunjuk ajar dari sesiapa yang mahir agar dapat penulis betulkan kembali jalan ceritanya.
©Eriyza 2: Penulis akan mencuba nasib untuk menghantar karya picisan ini ke syarikat penerbitan. Doakan segala urusan berjalan lancar. Terima kasih.
10 comments
Alhamdulillah syukur Ayah mana yang x sayang anak..
nasib baik Yad pandai ambil hati papa n kawan-kawan papa dia...
@sue
Yad cuba naseb je tu. :D
npk nye c ayah da berlembut...
bijak betul c Yad ambk kesempatan merapatkan diri die ngn ayah die kn...
@Riena
Yad try n error kot.
Hehehe!
cepat2 kn larh another chapter tuh sis! :D
SALAM eRIYZA,
Bukankah perkataan "tennis" tu patut dieja "tenis" dalam BM?
bila nk sambung citer nie?
atau novel nie dlm proses d buku kan tuk pasaran..
xsabar nak tau kisah2 mereka..n xsabar2 tuk memiliki novel y best nie.. >,<
@sabrina
Memang nk wat cepat tp jd lambat gak. :)
@Anonymous
Ye ke?? Nanti sy rujuk pd yg pakar.
Mekaseh atas info anda. ["_"]
@Riena
Tatau laa nasib enovel ni, susah nk ckp.
Post a Comment
Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.