5/06/2010

Yes, I Love You 14

Yes, I Love You – Bab 14

Hasya mengesan bunyi sesuatu. Namun dia tidak mengetahui dari mana arah bunyi itu. Dari ruang tamu dia cuba mencari bunyi tersebut. Namun, bunyi itu kurang jelas. Dia menapak lagi. Kali ini dia berada di hadapan dua buah bilik. Dia tidak pasti bilik-bilik itu bilik apa.

Dia melekapkan telinganya di pintu bilik pertama, bunyi itu kedengaran tetapi kurang jelas. Dia menghampiri pintu bilik kedua pula, cuba mendengar bunyi yang sama. Pintu tersebut tidak bertutup rapat. Hasya melihat dari celah pintu, komputer terpasang dengan video yang tidak dia ketahui jenis ceritanya. Bunyinya pun agak kuat.

Kelihatan seseorang sedang menonton video tersebut. Dia mengetuk pintu bilik. “Mama, Sya ni.”

“Masuklah.” Datin Faridah mengawal nada suaranya.

Hasya menutup pintu lalu menghampiri ibu mentuanya. Ada banyak rak buku di dalam bilik itu. Pelbagai jenis bahan bacaan tersusun kemas dengan tag namanya sekali. Jelaslah bilik itu adalah perpustakaan mini keluarga mentuanya.

Ada sebuah meja panjang tersedia di situ. Ia mampu memuatkan dua puluh orang sekaligus dalam masa yang sama. Hasya menarik sebuah kerusi lalu duduk berhampiran Datin Faridah. Mata Datin Faridah masih melekat pada video. Kelihatan dua orang kanak-kanak sedang berkejaran di taman permainan kanak-kanak. Kehadiran Hasya sedikit pun tidak diendahkan.

“Mama, kenapa ni? Mama tak sihat?” Hasya pelik melihat wajah sayu mamanya. Ada sisa air mata di pipinya. Jelaslah wanita itu menangis sebelum dia masuk.

“Tak ada apa-apa, Sya. Mama okey.” Matanya masih fokus pada video. Kali ini kanak-kanak itu sedang menyambut hari lahir. Kedua-duanya meniup lilin dan memotong kek.

“Siapa ni mama?” Hasya menunjukkan jarinya ke arah budak kecil yang comel. Budak itu sedang menyuap kek kepada seorang lagi budak yang lebih besar darinya.

“Suami kamu.”

“Comel jugak dia masa kecik. Sorang lagi tu siapa?”

Datin Faridah diam. Soalan Hasya dibiarkan sepi. Hanya tangisannya yang kedengaran. Alamak, mama menangis!

Hasya risau. “Sya salah cakap ke? Sya mintak maaf, mama.”

Datin Faridah berpaling mengadap muka Hasya. Dia teringin berkongsi kisah dukanya dengan gadis itu. Sebelum ini, beban itu cuma dibiarkan terbuku di hati. Kini sudah sampai masanya untuk dia membebaskan segala-galanya. “Izzdiyad. Abang Izz.”

Hasya mengangguk faham. “Dia ada kat mana sekarang mama?”

Sekali lagi air mata menjadi jawapan kepada soalan Hasya. Gadis itu jadi keliru. Kenapa soalannya sering membuatkan ibu mentuanya menangis. Adakah dia tersilap cakap lagi?

Datin Faridah mengesat air matanya. Hidungnya dikesat dengan tisu. Lambakan tisu kelihatan di dalam bakul sampah. Dia mendiamkan diri agak lama. Teragak-agak untuk bercerita sejarah silam yang cukup perit.

Dia menarik nafas agak dalam lalu dihembus kuat. “Panjang ceritanya Sya.”

Kening Datin Faridah berkerut. Datuk Izzuddin berwajah cemberut. Izz sudah kecut perut. Akan tetapi Izzdiyad sedikit pun tidak terkejut dengan wajah-wajah di depannya yang berserabut.

“Kamu jangan bergurau dengan mama, Yad. Soal nikah kahwin bukan boleh dibuat mainan.” Terperanjat besar Datin Faridah dengan perkhabaran yang dibawa pulang oleh anak sulungnya itu.

“Mama, Yad tak berniat pun nak buat macam tu. Dulu pun Yad setuju sebab Yad memang takde kekasih tapi sekarang Yad dah temui orang yang Yad cinta.” Izzdiyad cuba membuatkan mamanya faham.

“Habis tu, tunang kamu nak campak kat mana? Kamu ni memang sengaja cari masalah. Mama tak izinkan kamu kahwin dengan sesiapa pun selain Faiqah.” Datin Faridah tetap bertegas.

“Maafkan Yad, mama. Hanya Natalia pilihan Yad. Dia yang akan jadi isteri Yad.” Izzdiyad tetap tidak mahu kalah.

“Yad, kamu tak boleh malukan kami macam ni. Faiqah tu budak baik. Rugi kalau kamu lepaskan dia.” Datuk Izzuddin masih berusaha memujuk.

“Yad tahu dia baik papa. Sebab tulah Yad mahu pertunangan ni diputuskan cara beradat. Yad sanggup pergi mintak maaf kat mak ayah Faiqah.” Izzdiyad memujuk kembali hati papa dan mamanya.

“Kamu tetap dengan keputusan kamu? Ini pertanyaan terakhir papa. Fikir baik-baik sebelum jawab kerana ia penentu nasib kamu kelak.” Datuk Izzuddin semakin geram.

“Ya papa, Yad tetap nak putuskan pertunangan dengan Faiqah. Yad nak kahwin dengan Natalia.” Izzdiyad tidak berganjak dengan kehendak hatinya.

“Baik, ini pula keputusan papa. Mulai hari ini kamu boleh lepas bebas di luar sana. Kami tak perlukan anak macam kamu.” Datuk Izzuddin sudah hilang sabar.

Izzdiyad terdiam. Hanya matanya yang berkaca yang bersuara tanpa nada. Datin Faridah sudah tidak mampu berkata apa-apa. Hatinya sudah robek. Bajunya sudah lencun dengan air mata. Izz cuma kaku di sofa. Keluarga bahagianya hancur musnah dalam sekelip mata. Satu-satunya abang yang dia ada akan pergi menjauh daripadanya. Dia akan menjadi ‘anak tunggal’ selepas ini.


Hasya memeluk mamanya. Dia cuba mendamaikan hati mamanya yang tersayat pilu. Esak tangis mamanya berdendang semula. Malah lebih kuat dari tadi. Hasya juga turut serta dalam drama air mata ini. Namun air matanya yang tumpah belum dapat menandingi tangisan kecewa mamanya.

“Mama nampak dia dalam majlis kahwin kamu. Sampai hati dia tak nak jumpa mama.” Kolam matanya yang baru kering kembali basah. Dia berkecil hati dengan sikap anaknya itu.

“Agaknya dia takut mama masih marah kat dia.” Hasya cuba memujuk.

“Memang mama marah tapi takkan dia tak boleh mengalah? Masa Izz sebut nama Yazid tu mama dah tahu itu Yad. Masakan mama tak kenal anak mama sendiri walaupun cuma dari belakang?”

Datin Faridah berhenti melangkah, dia tidak jadi menghampiri Izz. Lelaki yang berbual dengan Izz bagaikan dikenali. Warna kulit yang sama, ketinggian yang sama dan lenggok badan yang sama, dia tahu itu anaknya yang telah lama lari meninggalkan rumah. Sudahnya, dia hanya memanggil Izz dari jauh.

Kemudian, dia pergi ke belakang rumah. Melalui rimbunan pokok bunga yang ada di situ, dia mengendap. Sah! Lelaki yang dilihatnya tadi adalah Izzdiyad. Lelaki itu kelihatan sedang berbual mesra dengan seorang wanita yang memangku anak sebelum mereka menaiki kereta Zikri lalu hilang dari pandangan. Dia terduduk di situ.


“Mama, jangan sedih ye. Sya yakin dia akan bawa isterinya jumpa mama nanti. Masa tu, keluarga kita akan lengkap semula.” Hasya mengusap belakang badan mamanya. “Kalau dorang datang nanti, mama sudi maafkan dorang tak?”

Datin Faridah memandang wajah Hasya agak lama. Gadis itu adalah menantu pilihan hatinya. Akan tetapi isteri Izzdiyad langsung tidak diketahui perilakunya. Malah dia sendiri tidak rela untuk mengakui perempuan itu sebagai menantu. Namun, dia tetap sayangkan Izzdiyad walaupun suaminya tidak mahu mengambil tahu lagi perihal anaknya itu.

“Mama hanya ada dua orang anak. Sebenarnya Izz lebih nakal kalau nak dibandingkan dengan abangnya. Yad ikut je apa yang mama perintah tapi Izz lebih suka membantah.” Dia tersenyum mengenangkan karenah anak-anaknya. “Siapa sangka keadaan jadi sebaliknya...” Dia kembali berwajah murung.

“Mama, kadangkala anak melukakan hati ibu bapa tetapi jauh di sanubari, mereka tetap menyayangi orang tua mereka. Dalam hati mama, abang Yad tetap anak yang baikkan? Dia masih ada peluangkan?” Hasya mengesat air mata mamanya dengan ibu jari.
Tanpa sedar, Datin Faridah mengangguk perlahan.

Di sebalik daun pintu yang sengaja dibuka sedikit, seseorang mengukir senyuman.

“Thanks Sya.” Ucapnya walaupun dia tahu Hasya tidak mendengar.

0 comments

Post a Comment

Terima kasih kerana sudi membaca novel ini.
Sebarang komentar dari anda amatlah penulis hargai.